"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

25 June 2010

Gaya Mengilat

Salam untuk semua..
Bila sibuk dengan tugas harian hendak update blogpun tiada masa. Sudah hampir seminggu tidak turun ke padang pancing sotong. Ramai yang bersunggut sotong di Terengganu semakin kurang. Banyak trip-trip yang gagal dan hanya bawa tangkapan ikan pulang ke pengkalan. Kalau adapun hanya beberapa kilogram sotong torak.

Mungkin sudah tiba masanya, penggila-penggila sotong ini mengubah sasaran tangkapan kepada sotong mabang pula. Pada masa kini, sotong mabang pelbagai saiz sudah mula menghampiri persisir pantai di Terengganu. Jika keadaan bulan dan air sesuai, tentu tangkapan tidak mengecewakan.

Pada post kali ini, Abe Din akan cuba menunjukkan teknik atau gaya asas mengilat sotong. Teknik-teknik ini boleh digunakan di pelbagai lokasi padang pancing iaitu kawasan persisir pantai, batuan, sekitar pulau dan unjam buatan manusia. Teknik dan gaya yang dipaparkan pada kali ini adalah gaya yang selalu Abe Din guna ketika mengilat sotong. Gaya-gaya ini lebih sesuai jika dimainkan dengan menggunakan joran. Jika anda rajin, cuba buat carian di internet bagi melihat gaya-gaya pancingan orang-orang Jepun dan Taiwan.

Sebelum kita membicarakan tentang gaya asas mengilat, cuba fahami pergerakan asas candat seperti yang ditunjukkan oleh rajah di bawah. Bagi peminat sotong yang sentiasa mengikuti penulisan Abe Din tentunya pernah melihat rajah di bawah pada post sebelumnya. Candat yang baik akan mempamerkan gerakan turun naik dengan bahagian kepala sentiasa menghala ke bawah. Jika candat yang digunakan tidak mampu membuat pergerakan seperti ditunjukkan, risiko untuk tersangkut lebih tinggi. Sotong mabang jarang melepaskan peluang bersalam dengan candat yang beraksi seperti rajah di bawah.


Rajah berikutnya menunjukkan cara-cara bagaimana umpan candat boleh dimainkan. Abe Din menyenaraikan 5 kaedah yang biasa Abe Din gunakan. Selalunya joran dipegang menggunakan tangan kanan manakala kekili dipegang menggunakan tangan kiri. Tangan kanan akan menghenjut joran manakala tangan kiri berfungsi untuk memusing kekili pada masa dan ketika tertentu. Apabila sotong menarik jig, tangan kanan perlu mengangkat joran ke atas secara tegak manakala tangan kiri memusing kekili sambil melaraskan drag. Kombinasi penggunaan tangan kanan dan kiri akan menghasilkan gerakan candat yang pelbagai. Dari pengalaman Abe Din, faktor dalaman dan luaran jig (telah dibincangkan pada post sebelum ini) sangat mempengaruhi gaya mengilat. Pengilat perlu banyak melakukan percubaan bagi mencari gaya mengilat yang sesuai dengan jig dan keadaan persekitaran padang pancing.

Kaedah 1-Jig dibaling jauh dan dibiarkan jatuh ke dasar. Jig kemudiannya ditarik secara berlahan-lahan tanpa menghenjut. Teknik ini sesuai digunakan di kawasan persisir pantai yang berpasir. Kaedah ini mensasarkan sotong mabang yang berada di kawasan dasar laut.

Kaedah 2-Jig dibaling jauh. Biarkan jig jatuh seketika mengikut anggaran kedalaman yang dikehendaki. Lakukan henjutan sekali, pusing kekili sekali, berhenti dan henjut semula. Lakukan secara berulang-ulang. Teknik ini sesuai dilakukan di kawasan persisir pantai, pulau dan kawasan berbatu.

Kaedah 3-Kaedah ini adalah kombinasi kaedah 1 dan kaedah 2. Jig dibaling jauh. Henjut jig sekali, kayuh kekili tiga kali (3) dengan perlahan dan henjut semula. Lakukan secara berulang. Teknik ini sesuai pada semua paras air di kawasan pesisir pantai, pulau dan kawasan berbatu.

Kaedah 4-Kaedah ini adalah sama seperti kaedah 3. Apa yang membezakannya ialah masa kayuhan kekili ditambah melebihi tiga kali (3) mengikut keselesaan pengilat

Kaedah 5-Jig dibaling jauh. Biarkan jig tenggelam seketika. Lakukan henjutan dua kali (2) dan pusing kekili secara perlahan mengikut bilangan yang disukai oleh pengilat.

Kaedah-kaedah yang ditunjukkan sangat afektif digunakan bagi menjerat sotong mabang. Jenis candat kepala ke bawah adalah paling sesuai untuk menggayakan kaedah yang dinyatakan di atas. Jig yang dipilih juga perlulah ringan dan tidak terlalu berat. Perlu diingat ketika kayuhan dilakukan, joran perlu direndahkan.

Berikutnya, disertakan sekali animasi gerakan candat yang Abe Din jumpa ketika membuat carian di internet. Sila perhatikan cara pengerakan jig dan cuba bayangkan juga cara tangan pengilat digayakan. (click pada imej untuk melihat animasi)


Abe Din harapkan apa yang dipaparkan kali ini akan dicuba di padang pancing sotong. Sebenarnya terdapat banyak lagi gaya yang digunakan oleh pemancing-pemancing hardcore sotong mabang yang tidak didedahkan kepada umum. Semoga pengilat-pengilat sotong tidak kedekut ilmu. Kongsilah pengetahuan yang anda ada dengan pengilat-pengilat lain agar ilmu berkenaan terus berkembang dan tidak pupus-Abe Din

No comments:

Post a Comment

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing