Atas : Kepelbagaian candat cetakan terus
Bawah : Candat yang dilapisi kain berwarna
Dapat dilihat dengan jelas perbezaan medium yang digunakan, pemilihan warna, jenis rekabentuk mata dan penggunaan mata kail yang berbeza.
Bawah : Candat yang dilapisi kain berwarna
Dapat dilihat dengan jelas perbezaan medium yang digunakan, pemilihan warna, jenis rekabentuk mata dan penggunaan mata kail yang berbeza.
Secara umumnya sotong mabang ditangkap menggunakan candat atau jig berbentuk udang. Ada juga candat-candat sotong mabang versi baru yang meniru rupabentuk ikan. Setakat ini, ramai pengilat bukan sahaja di Malaysia malahan dunia menggunakan jig mabang atau reef squid yang berbentuk udang. Penggunaan candat atau jig ini cukup efektif.
Terdapat 3 medium yang digunakan untuk membuat candat mabang iaitu plastik padu, plastik kosong yang lebih ringan dan kayu ringan. Candat yang telah siap dibentuk akan dihiasai dengan kain bercorak atau cetakan cat secara terus pada badan candat.
Pada peringkat permulaan, penggunaan candat plastik padu dan kayu yang dicat pada badannya digunakan secara meluas. Sejak akhir-akhir ini penggunaan plastik kosong dan ringan serta dibaluti kain bercorak menjadi pilihan pencandat.
Pada masa kini candat versi baru mengandungi ruang udara di dalamnya. Ruang udara ini berfungsi untuk mengawal candat supaya berada pada kedudukan tertentu. Candat versi baru juga menggunakan lapisan kain berwarna dimana di bahagian dalam kain berkenaan diletakkan kepingan kertas berwarna-warni di kiri dan kanan badan yang boleh dilihat secara samar-samar dari bahagian luar. Badan candat baru juga menggunakan campuran bahan luminous yang boleh menyimpan cahaya dalam jangka masa tertentu apabila disuluh dengan menggunakan lampu.
Di kiri dan kanan candat selalunya dipasang dengan sedikit bulu burung yang telah diwarnakan yang bertindak sebagai sirip. Penggunaan bulu ini bertujuan untuk mengimbangkan kedudukan candat udang. Bulu dipasang melurus ke hadapan dan hampir menutup mata candat.
Terdapat tiga jenis mata udang yang digunakan iaitu mata yang dilukis, mata yang digam dan mata yang dilekat tidak menggunakan gam. Mata udang dipasang pada kedua-dua belah kepala di kiri dan kanan. Mata udang juga sama seperti badan candat iaitu yang tidak menyimpan cahaya dan jenis luminous yang menyimpan cahaya.
Hujung candat akan dipasang dengan dua lapisan mata kail yang disusun secara membulat. Syarikat berbeza akan menampilkan susunan dan bentuk mata kail yang berbeza. Mata candat diperbuat daripada besi tajam tanpa ceracak. Terdapat juga syarikat di Jepun yang membuat penambahan dengan meletakkan mata-mata kail berlengkuk tunggal yang ditanam di bahagian atas badan jig.
Terdapat beberapa warna dominan yang dihasilkan oleh syarikat pengeluar candat iaitu warna merah, oren, kuning, pink, putih dan hijau. Pada masa kini, candat dicorak mengunakan gabungan pelbagai warna bagi menambahkan lagi penampilannya.
Warna candat yang berbeza adalah sesuai pada masa dan keadaan tertentu sahaja. Jangan memilih candat kerana kecantikannya. Sotong tidak mementingkan kecantikan candat. Sotong hanya akan memegang candat apabila ia hampir menyerupai makanannya. Sebagai contoh mudah, candat berwarna hijau yang dibeli akan menghasilkan warna biru violet di dalam air yang jernih ketika waktu bulan cerah. Ketika bulan gelap tentu candat berkenaan akan menghasilkan warna yang berbeza. Bagaimana jika air laut keruh ? Boleh anda bayangkan warna sebenar yang akan dihasilkan oleh candat-candat yang lain ?
Sebagai pengilat sotong, anda perlu melakukan percubaan dan kajian bagi mengetahui candat yang sesuai pada situasi yang berbeza. Post yang berikutnya, Abe Din akan cuba mengupas cara pemilihan candat berdasarkan pengalaman yang telah diperolehi sebelum ini-Abe Din
salam, saya nk tanya, dimana kita boleh dapatkan umpan2 ni ye? tq
ReplyDeleteKat kedai pancing paling mudah dibeli...kedai-kedai pancing di terengganu mesti ada benda ni. Jenis berbeza-beza mengikut spesies sotong dan harganya juga berbeza2 mengikut kemampuannya beraksi menjerat sotong.
Delete