"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

17 June 2010

Cara Ikatan

Pada post kali ini saya akan menerangkan secara umum bagaimana untuk mengikat perambut bagi pancingan sotong mabang. Untuk pengetahuan semua, hanya pancingan di unjam sahaja yang memerlukan ikatan perambut khas. Bagi pancingan di kawasan pesisir pantai, jig atau candat diikat terus kepada tali utama.

Saya mempelajari cara ikatan ini daripada nelayan tradisional di Terengganu. Cara ikatan ini juga digunakan untuk memancing ikan. Perbezaan ketara antara pancingan ikan dan sotong adalah dari segi kekuatan tali utama dan kekuatan perambut. Panjang perambut juga berbeza di antara jenis-jenis ikan dan sotong.

Antara alat utama yang digunakan ialah batu pemberat atau lebih dikenali sebagai 'batu ranggon' oleh nelayan tempatan. Batu pemberat diperbuat daripada timah berbentuk seperti telur sotong. Memandangkan harga batu pemberat timah semakin mahal, nelayan tradisional telah beralih kepada penggunan besi padu yang dikerat serta dipateri. Pemberat buatan sendiri ini lebih murah dan tahan lama berbanding pemberat timah.

Rupa timah pemberat yang berbeza dari timah berlubang yang lebih kecil

Di samping pemberat, sejenis alat yang juga penting ialah tanduk. Pada masa dahulu tanduk diperbuat daripada tanduk kerbau yang diraut dan dilentur menggunakan api agar membengkok kemudian diikat dan dianyam menggunakan tali tangsi. Pada masa kini, tanduk plastik lebih mudah ditemui di kedai-kedai pancing.

Perbezaan antara tanduk kerbau dan tanduk plastik

Tujuan utama penggunaan tanduk dan pemberat adalah bagi mengelakkan tali perambut daripada terlilit pada tali utama. Penggunaan tanduk akan menyebabkan tali perambut menjauhi tali utama. Walaubagaimanapun jika tiada arus, tali utama dan tali perambut kadang-kadang boleh juga terlilit dan berpintal.

Timah pemberat yang siap dipasang pada tanduk

Di bawah ditunjukkan illustrasi ikatan perambut yang telah siap disambung kepada tali utama. Tali utama boleh dipasang pada kekili pancing ataupun serek. Perbezaan ketara antara perambut bagi pancing dan serek adalah pada kekuatan tali utama dan kekuatan perambutnya.

Penerangan Rajah
1-Tali utama
2-Tanduk
3-Tali perambut
A-Swivel. Boleh juga dipasang pada hujung tanduk dan hujung perambut.
B-Batu Pemberat ( batu raggon)
C-Candat udang atau jig
X-Jarak antara tanduk dan jig lebih kurang 1 hingga 2 depa


Peringatan
1-Pastikan tali perambut lebih kecil daripada tali utama
2-Penggunaan perambut terlalu panjang akan memudahkan ia tersangkut pada unjam.
3-Ketika menarik sotong, pastikan tanduk dan pemberat diletakkan pada kedudukan mudah untuk dilepaskan semula ke laut jika terjadi henjutan akhir yang kuat.

Penggunaan perambut pendek adalah bagi mengelakkan jig tersangkut pada unjam. Jangan turunkan jig secara tergesa-gesa kerana perambut pendek mudah tersangkut pada tanduk. Jika tiada arus, jig mesti diturunkan secara perlahan-lahan bagi mengelakkan perambut terbelit.

Anda boleh menambah panjang perambut jika bot anda dilabuhkan berjauhan daripada unjam. Anda juga boleh menggunakan teknik seperti pancingan torak iaitu meletakkan jig udang ditengah dan candat twist di bahagian paling bawah untuk menjadi pemberat. Jika anda menggunakan teknik ini, penggunaan tanduk dan timah pemberat tidak diperlukan-Abe Din.

2 comments:

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing