"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.
Showing posts with label Persediaan Trip. Show all posts
Showing posts with label Persediaan Trip. Show all posts

29 December 2015

Senjata Dari Sabah

Salam kunjungan untuk semua. Semoga semua sentiasa di dalam rahmat dari-Nya. Selamat menyambut perayaan hari Natal kepada semua sahabat beragama Kristian. Ketika post ini sedang diupdate.. hujan sudah mula berhenti di Terengganu tetapi kadang-kadang ada juga hujan renyai sekejap-sekejap. Igauan banjir besar masih belum nampak bayang. Semoga banjir tahun ini tidak menjadi. Nak memancing di pantai...laut semakin keruh dan bergelombang.. duduk rumah sahaja le jawabnya sambil membelek-belek senjata 2016.

Pada post kali ini ambe ingin berkongsi senjata bagi menawan sotong mengabang yang digunakan oleh Ikhwan semasa aktiviti eging di Sabah. Mungkin kita boleh berkongsi serba sedikit ilmu baru. Bagi pemancing di Sabah... nampak gayanya bolehlah mula mengikut jejak langkah Ikhwan untuk mencuba eging sotong memandangkan Sabah mempunyai banyak kawasan berpotensi untuk aktiviti ini. Diharap juga akan lahir lebih ramai lagi peminat eging di Sabah. Kalau ada sebarang pertanyaan boleh tanya Ikhwan. Boleh hantar E-mail kepada sotonglaut untuk dipanjangkan kepada Ikhwan. Kata orang... malu bertanya sesat jalan....dan bila dah tak sesat jangan kedekut ilmu sudah lah...




Jig Asuka, Yamashita dan Surecatch 
menjadi pilihan orang Sabah



Rod Expert Graphite 12-25lb



Reel: Shimano Stradic FJ 2500



Jig Asuka, Yamashita, Surecatch



Nampaknya di Sabah, jig-jig biasa sangat mendapat sambutan si lembut berbanding sotong di Pantai Timur Semenanjung yang begitu memilih. Dari apa yang dikongsikan oleh Ikhwan, kawasan pantai negeri Sabah memang sangat berpotensi untuk eging sotong mengabang. Rugi sekali jika warga Sabah tidak menggunakan peluang keemasan ini untuk menduga sang lembut di sana. Sotong bersaiz sederhana begitu mudah untuk ditangkap di kawasan tepi pantai sahaja. Jika kena teknik dan kaedah yang betul, hasil tangkapan tentu dapat ditingkatkan. Semuanya bermula dengan ilmu dan pengalaman. Belajar dari mereka yang berpengalaman dan sebarkan ilmu walaupun sedikit agar ia boleh memberi manfaat untuk semua. Diharap selepas ini akan ada lagi orang Sabah dan juga pencandat dari negeri lain yang menonjolkan diri dan tidak kedekut untuk berkongsi pengalaman di laman maya ini. Semoga berjumpa lagi-Abe Din
Read more >>

12 June 2014

Simple Apps

Selamat datang dan terima kasih kepada semua yang sudi berkunjung ke sini. Pada post kali ini ambe nak berceloteh sambil bercerita mengenai satu aplikasi telefon pintar yang sangat berguna kepada pencandat dan pemancing. Aplikasi bersaiz 1.8M dicipta bagi membantu pemancing melihat perubahan persekitaran yang secara tidak langsung berkait rapat dengan aktiviti mereka.

Apps diedarkan penama Anton Nikitin secara percuma tetapi dengan ciri yang terhad... hehe percuma le katakan. Kalau korang nak lebih ciri, korang kena dapatkan Pro Version yang dijual secara atas talian. Setakat ini... 100,000 hingga 500,000 Apps berkenaan telah dimuat turun bagi tujuan installasi.

Bagi korang yang ingin mendapatkan perisian ini... download terus dari Play Store dengan menggunakan akaun Google. Opps... lupa lak nak gitau... software ni dikenali dengan nama Fishing & Hunting Solunar Time. Gunakan maklumat dari perisian ini untuk meramal masa terbaik untuk korang pergi mencandat dan memancing. Suka ambe nak ingatkan... jangan asyik nak tengok Apps ni ketika memancing.... jatuh phone dalam laut... sendiri tanggung.
  
 
 Muka Depan Apps dan Ramalan Pasang Surut Air Laut

Ambe dah guna Apps ni dalam telefon pintar ambe... memang lama dah ambe cari perisian macam ni. Kalau dulu asyik rujuk air pasang surut dari majalah jika nak adakan trip memancing... sekarang semuanya ada di tangan dan hujung jari sendiri. Senang dan mudah... Apabila korang pasang Apps ni... ia akan detect secara automatik lokasi tempat korang berada. Alaaaa.... macam google earth tu lah.. buleh tengok bumbung rumah korang. Kihkih.... Apa yang ambe suka dengan perisian ini ialah keupayaannya untuk memapar keadaan muka bumi lokasi kita berada dan kawasan yang kita nak pergi.

Apps ini juga mampu meramalkan masa bulan dan matahari mula terbit, berada tegak di atas kepala dan ketika terbenam. Antara ciri lain termasuklah keadaan cuaca semasa, suhu, kelajuan angin dan macam-macam lagi lah... tak reti ambe nak cakap betapa bergunanya benda ni. Rujukan ambe selalu tertumpu kepada pasang surut air laut, kelajuan angin, kedudukan bulan, suhu dan cuaca semasa ketika itu. Semua faktor ini sangat membantu ambe ketika hendak turun mencandat dan memancing. Hehe... lupa nak bagitau, ambe guna yang free je. Maklumat Apps percuma pun dah banyak ciri yang berguna.


Calendar Dan Peta Lokasi Ada Juga... Bestttt....

Sebelum ambe terlupa... Apps ini dicipta untuk telefon pintar, Android. Kalau telefon korang cap ayam jangan nak salahkan ambe kalau korang tak leh install. Baca arahan betul-betul sebelum install. Kalau tak reti... tanya orang. Jangan nak tunjuk pandai. Satu lagi telefon korang mesti ada internet... kalau tidak lupakan saje cita-cita korang nak guna Apps ni.

Kalau pemancing dan pencandat atau siapa sahaja rasa Apps ni berguna... haaa.. install cepat sebelum tuan dia tukar Apps ni jadi berbayar. Kalau ok... share le dengan kengkawang. Suruh diorang install sama. Kalau tidak, diorang asyik tanya air pasang surut je bila nak buat trip memancing atau mencandat. Kalau diaorang ada Apps ni... bior diorang tengok sendiri. Kalau tanya jugak... kasi penampar satu das. 

Ok lah bro... letih dah ni. Ambe harap perkongsian ambe ni berguna. Selamat memancing dan mencandat. Jaga diri dan jumpa lagi-Abe Din.
Read more >>

06 August 2013

Susun Candat

Selamat datang untuk korang semua. Hari ni.. aku nak berceloteh tentang candat pulak. Camne trip korang? Banyak dapat sotong?. Bagi pencandat-pencandat tegar, candat atau jig sotong merupakan satu keperluan yang sangat penting. Paling kurang diorang ni kena ada set-set candat yang pelbagai... baru nampak brutal. Kalau setakat candat sekor jer ada.. pastu mengaku dah pro... pi main jauh-jauh. Wat penat je aku citer jer.

Pencandat perlu kerap menukar candat apabila berlaku perubahan kepada kedudukan matahari, pencahayaan dan perubahan tahap kejernihan air. Kalau tali putus... memang sah dah kena tukar baru. Oleh sebab itu, pencandat perlu mempunyai satu kaedah untuk menukar candat dengan lebih cepat.

Proses menukar candat akan menjadi lebih mudah jika candat disusun dengan kemas dan teratur. Jangan letak candat merata-rata... ia boleh menyebabkan kecederaan. Cuba korang beli bekas yang boleh bantu korang menyusun candat dengan kemas dan teratur. Jangan salah beli... pastikan bekas yang dipilih adalah dari jenis lutsinar, ringan dan tidak terlalu besar. Pastikan juga bekas candat anda kemas apabila ditutup. Kalau tidak, risiko candat terjatuh dan tercicir memang tinggi.


Bekas candat aku... baru beli ni bro

Anda boleh menyusun candat mengikut harga candat, saiz, warna atau kemampuannya menarik perhatian sotong. Jangan susun ikut suka... nanti lambat masa korang nak pilih. Bekas yang lutsinar dapat membantu korang memilih candat terlebih dahulu sebelum bekas candat dibuka. Tentu menjimatkan masa.

Cer korang tengok bekas candat baru aku macam kat bawah tu. Korang perasan tak yang bekas tu ada dua layer, depan dan belakang. Dua-dua belah buleh letak candat, cili dan pisau kecil pun aku letak dalam tu gak. Bekas candat buleh diletak di dalam beg atau korang letak tali untuk digalas seperti beg.


Koleksi candat kesayangan aku

Aku harap apa yang aku celotehkan kat sini... dapat bagi sedikit panduan untuk korang sume... yang nak pakai je lah. Post akan datang aku share isu lain pulak. 

Sebelum aku blah, aku nak promosi sikit berkaitan satu tawaran yang aku dah post kat dalam blog ni. Sebenarnya aku nak cari seramai mungkin rakan-rakan yang sudi berkongsi memori berkaitan sotong. Semua perkongsian aku akan publish dalam ruang-ruang yang bersesuaian dalam blog buruk nih.

Korang boleh hantar gambar korang bersama sotong. Kalau korang bukan kaki candat... korang buleh hantar gambar korang masa beli sotong kat pasar ke, masa masak sotong ke, dengan foto sotong ke, teady bear sotong ke, gambar dengan candat, joran sotong.. atau apa-apa ajelah berkaitan sotong. Bukan apa saje nak kongsi dengan pengunjung lain kat blog ni.

Kalau korang ada artikel sesuai berkaitan sotong pun aku akan publishkan... tapi takde royalti le. Di kesempatan ini juga, aku nak ucapkan terima kasih kepada semua yang sudi berkongsi dengan blog sotonglaut ni. Rasenya semua yang send bahan kat aku... aku dah publishkan. Terima kasih sekali lagi. Korang yang minat nak masuk boleh send bahan atau gambar melalui E-mail colourless_orchid@yahoo.com. Hadiah sedang dipertimbangkan.

Sehingga berjumpa lagi. Bye.
Abe Din.
Read more >>

Pemilihan Tali

Selamat datang kepada semua pengunjung dan pencandat tegar sotong. Pada post kali ini, aku nak berkongsi sedikit berkaitan cara-cara untuk memilih tali bagi pancingan sotong mabang. Untuk pengetahuan korang bagi pancingan sotong di daratan, tali yang perlu digunakan perlu daripada tali jenis halus dan kuat. Tali yang dipilih juga perlulah sepadan dengan kekili dan joran yang digunakan. Semua faktor ini korang kena amik kira agar perlawanan dengan sotong menjadi lebih adil dan menyeronokkan.

Biasanye, aku menggunakan kekili bersaiz sederhana. Kekili udang pun bolek gak... tatapi masa lawan sotong... rase macam tak best sangat le. Aku guna kekili Shimano saiz kecil yang boleh memuatkan tali sepanjang 100 meter. Pancingan sotong mabang tidak perlu menggunakan tali yang panjang kerana ia akan memudahkan tali menjadi kusut. Pastikan juga tali yang korang guna hanya diisi lebih kurang 60 hingga 80 peratus sahaja daripada isipadu gelung kekili. Kalau korang degil... isi penuh-penuh, konon pro.. rase le sendiri. Aku taknak kabo, korang cube rasa dulu.. hehe. Belajar dari pengalaman lebih baik. Tak tau tanya, malu sesat jalan dan sotong tak dapat. kihkih.


Baca maklumat tali sebelum membeli

Sebelum korang beli tali pancing untuk mencandat sotong, pasti korang baca betul-betul maklumat yang ditulis. Aku syorkan korang cari tali yang mempunyai diameter antara 0.18 hingga 0.20 mm. Tali berdiameter kecil akan cepat tenggelam dan menjauhkan jarak balingan candat. Gunakan tali yang kuat.... mahal sikit pun takpe. 

Korang boleh juga guna tali benang.... bagi pencandat baru baik guna tali tangsi. Tali benang lebih kuat dan berdiameter kecil... kelemahan die mudah kusut di hujung joran dan kalau terbelit pada mata candat... kena potong tali. Paling malang mata candat boleh rosak. Satu lagi perlawanan menggunakan tali benang tidak begitu real. Keras semacam je.

Kalau korang degil gak nak guna tali benang ikut korang le... kalau dekat, aku ketuk kepala dah. Tapi apakan daya dok jauh. Takpe.. takpe jangan risau, buleh guna tali benang tatapi korang kena sambung tali tangsi lebih kurang beberapa meter sebelum cili dan candat diikat. Tujuannya ialah untuk menyerap tekanan dan menjadikan perlawanan real sikit. Jangan nangis batal pose.

 
Contoh jenama tali yang aku guna

Kat atas tu.. contoh tali yang aku pernah guna. Di pasaran memang banyak jenis tali dijual... tapi nak cari tali halus memang payah sikit. Sebelum korang beli... test tarik sekali, kalau putus, toksah beli. Sebelum test tengok tuan kedai dulu, biar dia tak nampak. Bukan ape... tali halus ni jarang dibeli. Akibatnya stok lama bertambun kat kedai. bile dah lame.. dia jadi reput sikit. Tu le sebab aku suruh korang test dulu.

Padankan tali dan kekili korang dengan joran halus dan ringan. Pencandat perlu membaling candat berulang kali tanpa jemu. banyangkan kalau joran korang berat dua kilo. Boleh patah tangan.

Sebelum aku blah, aku nak bagi tips yang last sekali. Korang jangan letak joran korang dalam kereta dalam tempoh yang lama. Apalagi jika korang parking kereta kat tempat panas. Tali akan mudah menjadi reput. Kalau rajin selepas guna, korang bilas tali menggunakan air tawar... bukan susah sangat, siram je dengan air mineral... Siap.

Cukup lah tu untuk kali ni. Aku ada kerja lain ni. Nak cari bahan-bahan mentah untuk masak berbuka nanti. Tutup pasar nanti. Terus tak leh masak. Jumpa lagi Selamat berpuasa untuk mereka yang berpuasa saje tau. Bye. Jumpa lagi..
Abe Din.
Read more >>

05 August 2013

Umpan Sotong

Salam sejahtera dan selamat berkunjung ke blog sotonglaut kepada semua yang sudi bertandang ke sini. Pada post kali ini, aku akan menyentuh tentang umpan sotong. Seperti yang umum telah tahu, sotong biasa dijadikan umpan untuk memancing ikan kebiasaanya di laut. Umpan sotong memang popular dan mudah digunakan. Cara pengendalian yang mudah dan cepat merupakan satu sebab mengapa umpan sotong menjadi pilihan pemancing. Daging sotong yang liat juga sukar untuk tercabut dari mata pancing ketika disambar ikan.

Walaupun umpan sotong mempunyai kelebihan... ia juga mempunyai kelemahan tersendiri. Pada kali ini, aku akan cuba berkongsi beberapa tips penggunaan umpan sotong bagi tujuan memancing ikan. Maklumat yang aku list kat sini hanya beberapa kerat sahaja... mungkin korang ada pengalaman yang lebih banyak lagi... kongsi le sama. Jangan kedekut sangat.

Kelebihan
1-Daging yang liat sukar tercabut
2-Mudah dipotong mengikut bentuk disukai
3-Mudah dibeli di pasar
4-Cepat: Memotong dan mencangkuk
5-Tahan lama di dalam air
6-Boleh simpan lebih lama
7-Harga murah

Kelemahan
1-Umpan statik
2-Berbau jika lama terdedah
3-Dakwat: Kotor ketika dipotong
4-Lalat cepat tertarik
5-Sotong lama kurang afektif
6-Kulit sukar ditanggal dari mata kail



Sotong terbukti mampu menjerat pelbagai 
spesies ikan terutamanya spesies ikan karang

Kebiasaannya aku akan memotong umpan terlebih dahulu sebelum turun ke laut. Umpan yang dipilih adalah umpan baru dan berdaging keras. Umpan yang dipotong perlulah bersesuaian dengan saiz mata kail yang hendak digunakan. Potong memanjang serta asingkan bahagian kepala dan badan sotong ke dalam bekas yang berbeza. 

Potong umpan lebih awal banyak kelebihannya iaitu anda tidak perlu bersusah payah memotong umpan ketika berada di dalam bot. Memotong umpan sotong dalam bot akan mengotorkan persekitaran bot. Cuba korang bayangkan jika ikan sedang galak makan umpan. Semua pemancing tentu sibuk meminta umpan dan memotong umpan. Suasana dalam bot sedikit kecoh... tangan pula kotor dan tidak selesa untuk memegang umpan dan batang pancing. Memang korang boleh basuh tangan ... sempat ke?


Persediaan awal memudahkan aktiviti memancing

Lebih baik korang sedia awal... pastu asingkan ke dalam bekas mengikut jumlah pemancing... lebih senang dan korang boleh menumpukan perhatian korang kepada menurun dan menaikan tangkapan sahaja..... satu lagi ikat mata kail yang putus.

Aku juga nak share cara mencangkuk umpan sotong pada mata kail. Aku belajar kaedah ni daripada seorang nelayan tua kat tempat aku. Umpan sotong yang dicangkuk mestilah dipotong memanjang dan dicangkuk dalam keadaan menjurai. Dia kata, ikan besar selalunya akan menyambar bahagian pangkal.... berdekatan mata kail. Ikan kecil pula lebih cenderung menggigit bahagian ekor. Betul atau tidak... korang cuba sendiri. Aku?... dah lama dah praktis kaedah ni dan memang menjadi. Lagi satu cangkukan umpan dalam keadaan menjurai ini akan menjadikan keadaan sotong tidak begitu statik dan mampu menarik perhatian ikan.

Sampai di sini dahulu celoteh aku... jumpa lagi di lain masa. Selamat memancing.
Abe Din.
Read more >>

Kenal Lokasi

Selamat datang kepada semua pengunjung. Terima kasih di atas kesudian korang berkunjung ke blog buruk aku nih.. Lama rasanya aku tidak menjenguk ruangan post artikel ni. Sejak akhir-akhir ni sibuk kerja... tak sempat nak update blog. Cari-cari ruang... sempat juga update sikit.

Pada post kali ini, aku nak share sedikit panduan mencandat dengan korang. Salah satu masalah utama pencandat landbase ialah kehilangan mata candat akibat tersangkut pada struktur dalam air seperti batu karang. Harga candat memang mahal, kalau tersangkut sekor candat... boleh koma sekejap. Cuba bayangkan harga candat... yang agak bagus sedikit lebih kurang RM38 sekor. Kalau baru beli... baling dua tiga kali, tersangkut. Emm... kecewa jiwa raga. Orang kata frust menonggeng.


Masa sesuai melawat kawasan ialah ketika air surut

Ramai pencandat hanya melawat lokasi mencandat ketika waktu malam iaitu ketika aktiviti memancing. Tabiat ini menyebabkan mereka tidak begitu menguasai keadaan lokasi mereka mencandat sotong. Mereka tidak tahu kedudukan struktur-struktur batuan, kayu, lumut, karang yang boleh menyebabkan candat mereka tersangkut.

Jika candat kerap tersangkut dan putus ia tentu akan merugikan pencandat. Aku mencadangkan agar korang sekali-sekala pergilah melawat lokasi tempat korang mencari rezeki pada waktu siang. Kenapa siang? Pada ketika ini, korang boleh melihat keadaan dalam air yang berpotensi dan lokasi tidak sesuai untuk melakukan aktiviti mencandat sotong. 

Ketika air jernih... struktur dalam air mudah dilihat. Lebih-lebih lagi jika korang berada di lokasi yang agak tinggi. Jika air surut, korang dapat lihat struktur yang timbul dengan lebih jelas. Beberapa kesimpulan boleh korang buat seperti... tempat ini tidak sesuai dibaling candat.. sangkut. Tempat ini sesuai. Batuan tu sesuai untuk dijadikan base lontaran. Kawasan ini sesuai mencandat ketika air pasang. Kawasan ini sesuai ketika air surut dan lain-lain lagi. Semua kesimpulan yang korang buat boleh membantu korang ketika korang mencandat sotong di malam hari.


Kenali lapangan : Ramai yang tidak amik peduli

Tempat tinggi: Pemerhatian lebih luas

Jadi... korang cari lah masa yang sesuai untuk melawat lokasi mencandat korang pada waktu siang. Semoga lawatan korang akan membuahkan hasil dan risiko candat tersangkut akan dapat diminimakan. Sehingga berjumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

08 July 2013

Luminous dan Jig

Salam pertemuan untuk semua. Terima kasih kepada semua pelawat dan followers yang sudi bertamu di blog buruk aku ni. Post kali ini adalah sambungan kepada post aku sebelum ini iaitu berkaitan dengan ubahsuai jig. Dedulu... aku pernah post artikel berkaitan dengan cat luminous ni... kali ni aku post sekali lagi. Kebetulan hari ni.. ada seorang kenalan maya sotonglaut bertanya tentang cat luminous. Dengan anggapan ramai yang masih belum tahu dan niat nak share dengan korang... aku post le sekali lagi tentang cat ajaib ni. Baik tak aku.. kihkih.

Terima kasih Rimau Akor.. Di atas Sokongan Anda 

Untuk Pengetahuan Rimau Akor... cat berkenaan aku beli kat Chukai, Kemaman. Ada satu kedai Melayu hadapan Masjid Sultan Ahmad. Boleh le gi cari. Harga dia RM35. Lama dah beli... Warna putih dan hijau je ada. Hok lain sume habis.

Sejak aku post artikel tentang candat bola... memang ramai yang tanya dan nak cuba buat. Candat ciptaan aku nih memang killer abis. Banyak dah sotong aku dapat dengan ubahsuai candat ni. Sesaper lum cuba, boleh try buat sendiri. Candat bola ni telah diuji di lapangan dan pernah melenyapkan penguasan candat harga mahal. Pernah sorang mamat tu pakai candat mahal. Pusing aku dua tiga kali tak dapat sotong. Aku dengan candat bola tak menang tangan dok layan sotong. Masa tu malam, dia tak nampak candat aku. Aku tak bagitau die.... camane nak bagitau, dia tak tanya. Kah kah.. Lastly... dengan penuh gaya, dia terus belah dari situ.
Ni le rupa cat tu....
Hijau tu, contoh Yamashita murah yang telah disolek.


 Tiga ekor jig. Hok atas tu belum disolek
Harga jig sekor... RM4.00

Untuk menyolek dan menghasilkan candat bola ni, tak le susah mana. Makan lagi susah. Celup berus cat dalam cat luminous kemudian korang buat le corak ikut suka korang contohnya belang-belang macam kat atas tu. Corak baju tentera pun boleh. Candat bola peringkat awalnya, bercorak bulat-bulat yang dibuat secara rawak pada badan jig. Korang jangan cat keseluruhan badan jig... melampau le tu. Sikit je... ujian yang aku buat, jika cat terlalu banyak.. power jig akan hilang.

Selalunya bahagian perut jig dibiarkan seperti asal. Cat juga pada belakang mata jig (di tengah-tengah). Jika korang pandai cat seolah-olah macam ikan. Camne nak tau corak ikan. Haa.. ni nak kabo ni. Sabor sikit boleh?

Memula cat lebih kurang pada jig yang korang tak pakai atau kat rapala ikan pun boleh. Buat beberapa garisan halus melintang atau ikut suka korang le camne korang nak buat. Pastu... tutup lampu. Haa corak yang nampak tu le. Kalau rupa jig macam ikan bilis... kira ok le tu. kalau corak nampak serabut je... lari sotong nanti. Untuk maklumat korang... corak yang simple dan ringkas lebih berkesan. Tak caye... cuba le sendiri.

 Jig mahal. Tak Berbaloi korang cat. 
Buang masa dan tenaga je..
Kalau jig tu dah uzur... haa, cepat-cepat cat.


Jig Sederhana Mahal
Mampu mengalahkan jig mahal selepas di"bola"kan.


Jig murah... Emm..
Cepat le korang cat. 
Kuasanya akan bertambah.

Apa yang aku catat kat sini... hanya nak kongsi dengan korang je. Sapa nak guna ilmu ni, boleh guna. Sapa tak mahu ... ikut suka korang le. Kalau ilmu ni dapat membantu korang... aku harap korang kongsi dengan mamber lain. Jangan kedekut. Tiada guna ilmu kalau korang simpan jer.. 

wuhh.. letih pulak asyik menaip jer. Berjam-jam perah otak cari idea nak share dengan korang. Aku nak gi makan lak. Jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

Ubah Jig Anda ?

Bertemu lagi di laman maya sotonglaut.blogspot.com. Pada post kali ini, aku nak kongsi dengan korang tentang keperluan mengubahsuai jig. Tajuk yang sama pernah aku post dalam blog ini satu ketika dahulu. Perlukan kita membuat ubahsuai kepada jig? Bila ketika yang paling sesuai untuk membuat pengubahsuaian? Apakah keadaan yang mendesak kepada keperluan ini? dan berbagai-bagai lagi persoalan yang perlu anda jawab sebelum ada mengambil keputusan untuk mengubahsuai jig anda.
Ubahsuai jig meliputi kepada bentuk badan, warna, keadaan mata candat, mata udang, bulu sisi, struktur tambahan dan kadar tempoh tenggelam jig. Sebelum sesuatu ubahsuai dilakukan anda perlu mengambil kira beberapa faktor seperti:
1-Harga candat anda
2-Peratus tangkapan candat anda
3-Perubahan keadaan air,kedalaman air, arus.
4-Peratus kehadiran sotong
5-Perubahan cahaya dan cuaca dll.

 
Perlukah Jig Anda Diubahsuai ?

Kadang-kadang jig anda tidak perlu kepada pengubahsuaian. Untuk mendapatkan sotong... anda perlu memperbaiki gaya tarian dan tarikan jig berkenaan. Cara persembahan jig dalam air banyak membantu menggoda sotong untuk memegang jig anda.


Faktor untuk mengubahsuai jig
1-Harga Candat
Jarang ubahsuai dilakukan kepada jig yang berharga mahal. Kerana candat mahal selalunya lebih afektif menarik minat sotong. Selalunya ubahsuai dilakukan pada jig murah yang kurang efektif menarik minat sotong.
2-Peratus Tangkapan Jig
Apabila peratus tangkapan oleh sesuatu jig rendah. Perlu pengubahsuaian pada jig berkenaan. Pemantauan keadaan ini melibatkan masa lebih lama. Peratus tangkapan juga dinilai pada situasi tangkapan yang pelbagai.
3- Perubahan Keadaan Air, Kedalaman Air dan Arus.
Keadan kejernihan air misalnya memerlukan perubahan kepada penampilan candat samada pada warna badan atau penambahan struktur lain. Kedalaman air pula mempengaruhi masa jig sampai ke sasaran... perlu kepada penambahan struktur seperti penggunaan sinker. Arus air yang berbeza memerlukan saiz pemberat yang berbeza. Sinker juga boleh membantu menambah berat jig.
4- Peratus Kehadiran Sotong
Kehadiran sotong yang rendah di sesuatu kawasan memerlukan kita melalukan sesuatu kepada jig yang kita gunakan. Apatah lagi jika ramai pencandat bersaing pada lokasi yang sama untuk mendapatkan sotong. Penampilan fizikal dan struktur perlu dilakukan.

5-Perubahan Cahaya dan Cuaca
Keadaan cuaca dan keamatan cahaya menghasilkan pandangan yang berbeza pada kulit jig. Penambahan cat luminous misalnya boleh meningkatkan lagi keberkesanan jig.

Jika anda orang berada... banyak jig dalam kotak candat. Tak perlu nak fikir banyak tentang hal ini. Ambil sahaja jig yang mahal.. terus baling. Sotong jarang menolak. Mereka yang hanya mempunyai candat murah.... kena le lebih kreatif untuk mempromosi jig anda kepada si lembut di dalam air. 

Hingga berjumpa lagi
Abe Din.
Read more >>

06 July 2013

Bersedia Ke Lokasi?

Persediaan Sebelum Ke Lokasi

Berjumpa lagi di ruangan maya sotonglaut. Pada post kali ini, Abe Din akan berkongsi tentang persediaan yang perlu dilakukan sebelum menyertai sesuatu trip mencandat sotong. Persediaan rapi perlu dijalankan kerana kekurangan peralatan boleh membantutkan usaha menjerat sotong. Pancing perlu disediakan paling kurang dua batang dengan beberapa kekili tambahan bagi kegunaan semasa kecemasan. Candat perlu mencukupi kerana kawasan pulau memang terkenal dengan kawasan batuan yang kerap memutuskan tali pancing.

Candat-candat Pilihan Ke Lokasi

Candat perlu disusun dengan kemas agar mudah diambil. Pencandat sotong perlu menukar candat mengikut kejernihan air laut dan keadaan cuaca ketika itu. Susunan kemas dan teratur dapat memudahkan pencandat ketika di lokasi. Kotak candat perlu diikat dengan kemas agar tidak terbuka. Jika candat terjatuh ke dalam laut atau di celah-celah batu... ia tentu menyusahkan.

 Rapala Untuk Menduga Ikan 

Gewang ikan juga boleh di bawa sebagai senjata tambahan. Perlu diingat, antara faktor sotong tidak mahu memegang candat ialah kerana kehadiran ikan di lokasi. Pencandat yang pandai menggunakan peluang tentunya akan menukar candat kepada gewang ikan sebaik sahaja terlihat kelibat ikan di lokasi. Kecekapan dan kepantasan pencandat dapat membuahkan  hasil tambahan bagi sesuatu trip. Pencandat boleh menukar semula gewang kepada candat sebaik sahaja sotong kembali ke kawasan berkenaan.

 Candat-candat Untuk Ujian

Pencandat juga boleh membawa candat-candat lama untuk diuji di lokasi. Ada sesetengah candat lama masih lagi berkesan menjerat spesies lembut ini. Jika ada rezeki tidak ke mana.

Siap Sedia Menggempur

Pastikan juga kekili anda diservis terlebih dahulu. Periksa keadaan cincin joran. Pastikan semuanya berada di dalam keadaan yang terbaik. Bawa tali dan kekili simpanan untuk digunakan ketika perlu. Lebih baik sediakan payung sebelum hujan.

 Kawasan Pantai Berbatu yang Tenang

Persediaan seterusnya adalah ilmu. Ilmu yang dimaksudkan di sini adalah keupayaan anda untuk menjangka kehadiran sotong di sesuatu lokasi dengan melihat keadaan persekitaran anda. Pengalaman ini akan anda berolehi setelah kerap melakukan trip mencandat di lokasi-lokasi yang berbeza.

Sekian dahulu. Sehingga berjumpa lagi.
Abe Din.
Read more >>

18 June 2012

Gajus VS Sotong


Selamat bertemu lagi di blog maya Sotonglaut. Harap anda semua yang sentiasa mengikuti blog buruk aku ni.. akan sentiasa sihat hendaknya.

Pada post kali ini, aku akan berceloteh tentang buah gajus. Di Terengganu buah ini lebih dikenali dengan panggilan "Jambu Golok". Mungkin nama berkenaan diambil sempena bentuk buahnya seperti golok atau parang. Buah ini juga dikenali dengan panggilan "Janggus", "Jambu Monyet", "Jambu Terung" dan "Bunga Kesasar". Nama saintifik gajus ialah Anacardium occidentale.


Buah Gajus Yang Masak Ranum

Pokok Gajus dikatakan berasal dari Brazil dan ditanam untuk mendapatkan bijinya. Bijinya akan dibelah dua dan dibuang kulit luarnya. Biji gajus menghasilkan getah yang sedikit gatal jika terkena kulit. Di Terengganu, penduduk tempatan memungut buah-buah gajus untuk mendapatkan bijinya. Bijinya dibelah dan digoreng sebelum dimakan. Biji gajus mempunyai rasa lemak seperti kacang.

Putik-putik Gajus

Gajus Terbiar: Masak Dan Rosak Di Pokok

Di pantai Timur, Buah gajus kurang popular untuk dijadikan sebagai makanan berbanding kawasan pantai Barat. Besar kemungkinan pokok gajus terlalu banyak di pantai timur. Jika korang berkesempatan datang ke kampung-kampung nelayan di Pantai Timur, korang akan jumpai banyak pokok-pokok gajus tumbuh samada ditanam manusia atau tumbuh meliar. Buah-buah gajus terbiar mengecut di atas pokok. Selalunya hanya haiwan seperti lembu sahaja yang berkumpul di bawah pokok gajus ketika musimnya untuk memakan buah gajus yang gugur. Rasa buah gajus sedikit masam dan kandungan air di dalam buah berkenaan cukup tinggi.


Buah Gajus Pelbagai Warna

Walaupun buah gajus tidak begitu popular berbanding bijinya, masih ada yang menjadikan gajus semagai menu masakan. Selalunya buah gajus dimasak bersama sotong, ikan atau makanan laut lain. Masakan yang biasa dijumpai di sini ialah masak lemak. Rasanya boleh tahan juga...



Pucuk Gajus Sesuai Dijadikan Ulam

Pucuk gajus muda pula dijakan ulam untuk dimakan bersama nasi. Harga secekak ulam gajus di sini ialah RM0.50. Di kawasan pantai barat pula, pucuk gajus juga cukup popular dijadikan ulam. Ia juga dijadikan sebagai ulam yang dipotong untuk dipadankan dengan laksa penang. Rasa memang sedap.


Gajus VS Sotong

Apa kaitan antara buah gajus dan sotong? Mungkin persoalan ini tidak pernah korang fikir. Kalau korang singgah di kedai-kedai makan di Terengganu pada musim gajus berbuah, tentu korang pernah terjumpa menu masakan buah gajus bersama sotong. Menu seperti ini tidak selalu ada. Ianya bermusim. Kalau pucuk gajus tu... sepanjang tahun pun ada..

Kenapa buah gajus selalu dipadankan dengan sotong dalam satu-satu menu masakan? Aku tertarik untuk menulis tentang tajuk ini apabila aku teringatkan perbualan dulu-dulu diantara aku dan seorang otai sotong. Katanya kalau pokok jambu golok dah berbunga dan berbuah itu tandanya sotong sudah boleh dicandat di laut. Sebetulnya musim pokok gajus berbuah dan musim sotong torak hadir ke perairan Terengganu adalah sama. 

Nelayan tempatan menggunakan petunjuk alam ini untuk meramalkan kehadiran sotong di perairan Terengganu. Apa yang menariknya... ia sudah diguna pakai sekian lama dan ramalan berkenaan menjadi. Itulah sebabnya, sotong dan gajus merupakan sebahagian daripada sumber asas yang banyak diperolehi ketika itu untuk dijadikan pasangan masakan. Pada zaman moden ini.. kombinasi masakan sotong boleh dipelbagaikan, maka jarang sekali dijumpai sotong dimasak bersama buah gajus.

Jika korang berhajat untuk datang mencandat sotong torak di Terengganu, pastikan juga adakah masa berkenaan pokok gajus sedang galak berbuah di Terengganu. Ini kerana musim gajus berbunga dan berbuah adalah kemuncak kehadiran sotong torak. Ini bukan bermakna musim lain tiada... cuma jumlah sotong torak ketika itu agak kurang.

Jangan lupa selepas musim kemuncak sotong torak berlalu, kemuncak kehadiran sotong mabang pula akan mengambil tempat sehingga musim tengkujuh melanda. Semoga maklumat yang aku beri kali ini berguna untuk korang yang bercadang ke Terengganu untuk mencandat sotong. Selamat mencandat.
Jumpa lagi.
Read more >>

21 April 2011

Jom ! Candat


Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung blog sotonglaut. blogspot.com

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat yang sudi melawat blog kecil ini. Abe Din juga sangat berharap agar info yang terdapat di sini dapat disebar luas kepada individu yang memerlukan.

Untuk pengetahuan peminat-peminat hardcore sotong, musim mencandat sotong telah tiba. Kerajaan negeri Terengganu bersama dengan agensi-agensi swasta sedang giat membuat promosi mencandat sotong 2011. Walaupun pelancaran beberapa pesta candat baru bermula, telah ada beberapa trip mencandat sotong dijalankan oleh beberapa bot nelayan.

Masa yang paling sesuai untuk mencandat ialah pada 13 hingga 18 bulan Islam setiap bulan. Sotong dikatakan sangat aktif menyambar candat terutamanya candat jenis "twist" dan "candat mayat". Pada bulan mengambang sotong memang suka bermain-main dengan cahaya terang. Pada tahun ini kedatangan sotong diramalkan awal sebulan iaitu pada Mac berbanding bulan April pada tahun sebelumnya.

Musim ini merupakan lubuk rezeki kepada pengusaha hotel, homestay, resort, tuan punya bot pancing dan pemandu-pemandu pelancong. Dari survey yang Abe Din buat di internet, ada pakej mencandat dan menginap yang ditawarkan sehingga RM248. Ketika musim puncak kedatangan sotong, harga sewaan bot sahaja boleh mencecah hampir seribu ringgit bagi setiap trip dan tidak mustahil lebih.

Bagi mempromosi aktiviti candat ini, kerajaan Terengganu telah bekerjasama dengan Harian Metro bagi menganjurkan Karnival Candat Sotong Harian Metro 2011. Usaha ini dilihat bukan sahaja membantu promosi kerajaan negeri tetapi ia juga membantu memudahkan pemancing luar yang ingin merasai tarikan sotong di Terengganu. Abe Din juga berharap agar promosi sebegini dapat diperhebatkan pada masa-masa akan datang.

Untuk maklumat semua,  TMFiesta Cabaran Candat Sotong tahun 2010 telah menawarkan hadiah RM277.000 cukup untuk memberikan gambaran tentang sambutan acara mencandat sotong di Terengganu setiap kali musim mencandat tiba. Pada tahun ini, dianggarkan lebih 50 anggota pelbagai agensi termasuk Pasukan Marin, Maritim, PDRM, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam bergabung tenaga terbabit dalam Karnival Candat Sotong Harian Metro 2011 di Pulau Warisan dan Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa mulai 30 April hingga 1 Mei.
Konsep pada tahun ini ialah ‘Meriah Di Laut, Meriah Di Darat’.

Bagi pemancing luar, Abe Din sertakan satu promosi yang mungkin boleh membantu.

Pesta Candat Sotong
Tarikh: 1 April hingga 31 Julai 2011
Tempat: Pulau Redang, Terengganu
Penganjur: Kerajaan Negeri Terengganu
Tel: 09-623 1957
Faks: 09-624 6989


Maklumat kepada pencandat baru
Bagi membantu pencandat baru, Abe Din berikan beberapa tips yang boleh digunakan sebelum dan selepas menyertai trip mencandat sotong.
1-Tetapkan baget mengikut kemampuan anda.
2-Pastikan anda menyediakan peralatan peribadi yang perlu sahaja.
3-Pastikan anda membeli peralatan mencandat yang betul
4-Sediakan ubat tahan mabuk jika anda tidak yakin
5-Sediakan baju tebal bagi menahan kesejukan
6-Jika bot tiada bumbung, sediakan baju hujan
7-Jaket keselamatan sebagai keperluan penting
8-Pergi secara berkumpulan. Seeloknya ada sifu sotong
9-Pastikan harta anda di darat berada dalam keadaan selamat
10-Jangan panik jika berdepan situasi yang tidak diingini
11-Tambah ilmu mencandat sebelum mengikut trip
12-Jika perlu bertanya kepada sifu, rakan tekong. Jangan malu
13-Jika anda mabuk di darat.. elakkan memandu. Rehat dahulu.

Tips lain
1-Pastikan candat disusun dengan selamat di dalam bot
2-Cuba cari bot yang lebih murah dan ada ciri keselamatan
3-Best lagi kalau tekong..seorang yang baik
4-Sentiasa bantu-membantu ketika mencandat
5-Jangan guna tali yang banyak jika pencandat ramai
5-Cuba gunakan candat mayat kepala merah putih jenis flourensent

Jangan Buat
1-Datang lewat.. orang lain kena tunggu pula.
2-Ada beberapa peralatan penting tertinggal.
3-Malas mencandat... duduk saja
4-Sotong tidak dibahagi sama banyak
5-Cakap merapu, cakap besar
6-Melunjur kaki keluar bot
7-Sukaria berlebih-lebih di laut
8-Baling.. letak sotong ikut suka dalam bot
9-Jika guna pancing... hampir kena orang sebelah
10-Kamera jatuh dalam air
11-Muntah dalam bot
12-Menangis ... nak balik (ada ke?)

Jika anda lihat di sepanjang pantai Terengganu dari Kemaman hingga ke Besut seakan-akan terdapat bandar terapung yang bercahaya, ini adalah petanda bahawa aktiviti mencandat sotong sedang memuncak. Orang kata kalau pergi... mesti dapat. Jangan terkejut jika anda mendengar berita seorang nelayan tempatan membawa pulang sebanyak 80 hingga beratus kilo sotong dalam semalaman sahaja. Perkara seperti ini tidak mustahil berlaku jika kena pada "kandang sotong".

Abe Din berharap pada tahun ini tidak berlaku kes-kes yang tidak diingini seperti tahun sebelumnya. Jika masih ingat pada tahun sebelumnya ada kes bot karam, pemancing lemas, dipanah petir, tertikam todak dan sebagainya. Sama-samalah kita mengingatkan antara satu sama lain. Semoga trip yang anda rancang akan membuahkan hasil yang lumayan.

Ingat..! pastikan ada mempunyai ilmu yang cukup sebelum lautan dalam hendak diduga. Selamat mencandat.
Abe Din.
Read more >>

15 May 2010

Alat & Kelengkapan

Persediaan kelengkapan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu makanan, keperluan peribadi, dan peralatan mencandat.

Makanan yang perlu disediakan bergantung kepada tempoh trip. Selalunya, tekong bot memasak dan menyediakan makanan kepada penyewa. Semua ini termasuk di dalam pakej sewaan bot. Jika makanan tidak disediakan, selalunya bot berkenaan tidak menawarkan tempoh trip yang lama. Seeloknya, peserta trip menyediakan makanan yang ringkas seperti roti, biskut serta air minuman yang mencukupi.

Keperluan peribadi yang perlu dititik berat termasuklah ubat-ubatan. Adalah elok jika tekong menyediakan kotak ubat kecemasan di dalam botnya. Pada waktu malam, suasana di laut sangat sejuk. Jika ada tiupan angin, sejuknya hingga ke tulang. Pastikan anda membawa baju sejuk. Keperluan lain adalah ala kadar sahaja.

Peralatan mencandat adalah mengikut keperluan individu. Pencandat baru perlu meminta nasihat pencandat yang lama sebelum membeli peralatan mencandat. Ini akan mengelakkan mereka daripada membeli peralatan yang tidak diperlukan. Jangan bergantung 100% kepada nasihat pekedai kerana kadang-kadang peralatan berkenaan sememangnya tidak perlu. Pastikan peralatan yang dibeli mencukupi mengikut keperluan anda.

Ingat, tiada kedai di laut. Sedaikan payung sebelum hujan- Abe Din
Read more >>

Pemilihan Tekong

Tekong merupakan individu penting yang banyak memberi sumbangan kepada aktiviti mencandat sotong. Dengan bayaran yang mahal, pencandat berhak untuk mendapatkan khidmat terbaik daripada tekong.

Tekong sepatutnya mahir mencari kandang sotong atau tempat sotong bertelur. Mereka juga akan mengalih bot tanpa disuruh jika tiada henjutan sotong. Ada juga tekong yang membawa awak-awaknya yang sememangnya mahir mencandat sotong. Apa yang menarik, semua hasil candat mereka malam itu akan diberikan kepada penyewa bot.

Sekadar gambar hiasan

Tekong yang baik juga tidak lokek untuk menunjuk ajar dan memberikan bantuan yang sepatutnya kepada penyewa mereka. Saya sendiri banyak mendapat tunjuk ajar daripada tekong-tekong bot yang saya sewa. Bantuan mereka ikhlas dan tidak tertumpu kepada kaum hawa sahaja. Ada juga tekong, yang sudi meminjamkan kelengkapan dan peralatan mencandat kepada penyewanya. Makananpun mereka sediakan. Ada tekong yang mengajak peserta trip makan dirumahnya.

Walaubagaimanapun, tekong-tekong gred A ini agak sukar untuk diperolehi. Kalau adapun, mereka sangat sibuk dan jadual mereka sentiasa penuh. Bot mereka kerap ditempah untuk membawa pemancing dan pencandat sotong.

Jika kita gagal mendapatkan tekong gred A ini, kita sebagai pemancing perlulah cuba untuk beradaptasi dengan kerenah tekong. Sebaiknya jangan menimbulkan suasana hubungan yang tidak baik antara ahli trip dengan tekong. Jika anda berpuas hati dengan khidmat tekong anda, pastikan anda menempah tekong berkenaan untuk trip yang berikutnya-Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing