Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung blog sotonglaut. blogspot.com
Pada kesempatan ini, Abe Din masih lagi ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasihkepada semua pengunjung terutamanya individu yang sudi menjadi pengikut blog sotonglaut ini. Abe Din berharap semua info yang terdapat di laman ini akan dapat disebar luas dan dikongsi bersama rakan-rakan lain yang tidak berkesempatan melawat blog kecil ini. Terima kasih juga kepada pengunjung yang sudi menghantar komen pada post-post sebelum ini.
Sotong sedang mengawan dan bertelur
Pada post kali ini, Abe Din akan berceloteh tentang telur sotong. Mungkin ramai di antara kita adalah peminat telur sotong. Telur sotong tidak bercengkerang dan mempunyai tekstur yang lembut. Telur sotong mengandungi kandungan air yang menyebabkan ia agak lembik pada peringkat awal kematangan telur. Oleh sebab itu telur sotong mudah pecah dan berkecai.
Pada kebiasaannya, telur sotong berwarna putih susu pada peringkat awal, berbiji-biji putih di peringkat separa matang dan berbiji-biji gelap pada fasa akhir sebelum penetasan berlaku. Ketika fasa akhir, anak sotong yang kecil boleh dilihat bergerak-gerak di dalam biji-biji telur berkenaan.
Ketika telur sotong berada di dalam tiub badan, bentuk telur akan dikekalkan oleh badan sotong. Bentuk telur sotong adalah berbeza mengikut spesies. Ada yang berbentuk memanjang, bulat, dan bentuk tidak sekata.
Lokasi-lokasi pilihan sotong untuk bertelur
Sotong memillih tempat yang berbeza-beza untuk bertelur mengikut spesies. Sotong Torak, jejarum, ketupat, dan mabang memilih lokasi cetek yang boleh ditembusi oleh cahaya matahari bagi membantu proses penetasan telur. Selalunya sotong jenis ini bertelur secara kumpulan besar dan setempat. Sotong kurita pula bertelur di kawasan tersorok dan biasanya bertelur secara sendiri atau kumpulan yang kecil.
Proses dimulai dengan ritual mengawan yang melibatkan kumpulan sotong. Dari pembacaan Abe Din, sotong bukan jenis haiwan monogami tetapi pemilihan pasangannya adalah rawak dan sukar ditentukan. Beberapa spesies sotong seperti sotong mabang akan berlawan bagi merebut seekor sotong betina. Ada juga sotong bersaiz lebih kecil mengambil kesempatan mengawan dengan sotong betina ketika jantan yang lebih besar sedang mengancam antara satu sama lain.
Pengalaman Abe Din menunjukkan bahawa sotong yang sedang mengawan tidak begitu berminat untuk menyambar jig udang. Sotong yang sedang mengandung telur pula lebih berminat untuk menyambar jig begitu juga sotong yang telah bertelur. Abe Din tidak dapat memastikan adakah sotong yang sedang bertelur mempunyai minat untuk menarik jig.
Ketika proses ritual mengawan, semasa bertelur atau dengan kata lain ketika sotong berkumpul dalam kumpulan yang banyak, berlaku kecederungan untuk sotong mencederakan sesama sendiri terutamanya bagi spesies sotong jarum, cumi-cumi dan torak.
Anak sotong yang mula menetas
Sotong torak dan mabang yang begitu popular di Terengganu bertelur dalam kumpulan yang besar. Lokasi telur berkenaan dikenali sebagai "kandang" oleh masyarakat setempat. Jika di kawasan laut lepas terdapat banyak "kandang" sotong yang perlu dicari pemancing. Setiap tahun lokasi "kandang" akan berubah-ubah mengikut lokasi pasir yang terbentuk di tengah laut. Kemahiran tekong mencari "kandang" tentunya akan membuahkan hasil yang lumayan kerana lokasi berkenaan merupakan tempat berkumpulnya beribu-ribu sotong. (Cara-cara mencari "kandang" telah Abe Din bincangkan di dalam post sebelum ini)
Sotong yang mempunyai telur boleh dikenalpasti dengan melihat bahagian abdomennya yang nampak sedikit membengkak dan mengeras. Telur sotong memang sedap... setakat ini belum ada yang palsu macam telur ayam tu...kih.kih. Jika anda mempunyai stok telur sotong yang banyak tentunya pelbagai resepi boleh direka dan dicuba.
Telur sotong selalunya agak lembik dan mudah pecah. Keadaan ini akan menyukarkan kita untuk mencuci bahagian dalam badan sotong. Satu cara yang boleh dipraktikan ialah dengan menyimpan sotong di dalam peti sejuk. Selepas dibekukan sedikit, proses mengeluarkan telur, membuang dakwat dan mencuci akan menjadi lebih mudah.
Telur sotong boleh dimasak secara berasingan atau dibiarkan berada di dalam badan sotong. Jangan buang telur sotong... rugi... kerana sotong tidak bertelur sepanjang masa. Kita jarang melihat sotong yang dijual mempunyai telur. Tidak mustahil jika dikatakan sotong bertelur setahun sekali bergantung kepada spesies.
Tidak lama lagi "si panjang" atau sotong torak akan mula ditangkap di perairan Terengganu. Mungkin ramai yang ingin tahu kenapa pada masa-masa tertentu sahaja sotong spesies ini mengunjungi pantai Timur? Jawapanya hanya satu iaitu untuk mencari makan, mengawan dan BERTELUR.
Semoga berjumpa lagi..
Abe Din