"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.
Showing posts with label Awas Bahaya. Show all posts
Showing posts with label Awas Bahaya. Show all posts

12 July 2014

Bahaya Tu Boh!

Salam Ramadhan untuk semua pengunjung beragama Islam. Selamat datang kepada semua pelawat. Baru-baru ini ambe mendapat kiriman gambar WhatsApp dari Zulkifly... sabahat tegar sotonglaut di Dungun. Gambar tentang aktiviti mencandat di Tanjung Jara, Dungun. 

Gambar dihantar berkaitan satu kaedah mencandat yang semakin popular iaitu mencandat secara mengharung atau mencandat dalam air. Terima kasih kepada sahabat kita yang sudi berkongsi maklumat yang boleh ambe paparkan di sini untuk dikongsi dan diambil pengajaran. Memang tujuan utama pembinaan blog sotonglaut adalah untuk memberi pendidikan dan pengetahuan kepada semua pencandat baru dan lama mengenai kaedah pancingan sotong yang selamat dan berkesan. Ambe tidak akan berhenti daripada terus berkongsi ilmu dan pengetahuan sehingga seni pancingan sotong berjaya diangkat pada kedudukan yang baik di negara kita.



Kaedah Mencandat Dalam Air

Sebenarnya... kaedah mencandat secara mengharung ini telah lama dipraktik oleh pencandat di kawasan Pantai Timur. Suatu ketika dahulu ambe pernah melakukan kaedah ini dengan mengharung air laut sehingga ke paras dada untuk mencandat. Mengikut anggapan ketika itu... sotong besar paling banyak berada jauh ke tengah laut. Bari yang tiada bot untuk ke lokasi berkenaan, mereka memilih kaedah ini untuk mendapatkan hasil lebih lumayan.

Sebenarnya kaedah ini sangat bahaya kepada pencandat. Risiko lemas cukup tinggi. Jika ombak datang secara tiba-tiba, peluang untuk menyelamatkan diri sangat rendah. Mesin dan peralatan memancing juga lebih mudah terkena air masin dan cepat rosak. Jika pencandat tidak memakai kasut yang sesuai... risiko untuk disengat ikan depu yang beracun sangat tinggi. Duri ikan seperti ikan pari dan belangkas juga boleh menjadi ancaman kepada pencandat.

Malang tidak berbau, Baik beringat sebelum kena

Kebiasaannya, pencandat akan meletakkan sotong yang dipancing di dalam jaring atau bekas yang kemudiannya digantung pada pinggang. Sotong selalunya akan melepaskan dakwat hitam walaupun sudah mati. Dakwat ini selalu menarik perhatian ikan-ikan pemangsa seperti ikan jerung. Jerung yang kelaparan boleh bertindak secara agresif jika ia mengesan kehadiran makanan.

Semasa sotong cuba untuk dinaikkan, pancutan dakwatnya boleh mengenai mata pencandat. Peratus terkena dakwat di muka lebih tinggi disebabkan aras kedudukan muka pencandat hampir menyamai paras kedudukan sotong. Dakwat yang terkena mata boleh menyebabkan mata menjadi kabur dalam beberapa minit. Jika berlaku kecemasan ketika ini... tentu sukar untuk pencandat menyelamatkan diri.

Penggunaan lampu suluh untuk menyuluh umpan dan hasil tangkapan di tengah laut juga boleh mendedahkan tubuh pencandat kepada serangan mengejut ikan todak. Ikan todak yang terkejut boleh melukakan pencandat dan boleh juga membawa maut.

Ketika air jernih dan musim obor-obor, pencandat juga akan mudah terkena bisa dan disengat. Walaupun ada yang berkata sudah biasa dengan sengatan obor-obor, pencandat baru mungkin tidak biasa.... dan tentu akan menderita jika terkena. Jika candat pemancing terkena obor-obor dalam jarak yang dekat dan ketika cuba melepaskan obor-obor itu... percikan tubuhnya boleh mengenai mata pencandat. Bahaya sungguh... cakap boleh le. Kalau kena... silap-silap bersara terus.

Mencandat dari atas batu juga perlu berhati-hati

Mudah cerita... ambe nak nasihatkan pada semua pencandat yang masih mengamalkan kaedah ini.... berhentilah. Kaedah ini memang bahaya. Ingat sebelum kena.... jangan ingat kita sorang je kat dunia ni. Kita ada ibubapa, keluarga, anak-anak, saudara mara, rakan-rakan yang tentunya akan bersedih jika perkara yang tidak diingini berlaku kepada kita. Mencandatlah dengan selamat. Agama kita pun melarang menggunakan kaedah yang bahaya untuk mencari rezeki sedangkan ada kaedah lain yang lebih baik dan selamat. 

Berhentilah, sudah-sudah... cukuplah... tolong bagitau saing-saing lain yang masih sombong dan merasai dirinya cukup gagah dan kuat hinggakan tidak mahu mendengar nasihat orang lain. Beringatlah sebelum terkena. Terima kasih kepada En. Zul yang sudi menghantar gambar berkenaan bagi membantu Abe Din menulis untuk membantu sahabat-sahabat yang lain. Hingga berjumpa lagi. Selamat berpuasa-Abe Din


Read more >>

05 August 2013

Kenal Lokasi

Selamat datang kepada semua pengunjung. Terima kasih di atas kesudian korang berkunjung ke blog buruk aku nih.. Lama rasanya aku tidak menjenguk ruangan post artikel ni. Sejak akhir-akhir ni sibuk kerja... tak sempat nak update blog. Cari-cari ruang... sempat juga update sikit.

Pada post kali ini, aku nak share sedikit panduan mencandat dengan korang. Salah satu masalah utama pencandat landbase ialah kehilangan mata candat akibat tersangkut pada struktur dalam air seperti batu karang. Harga candat memang mahal, kalau tersangkut sekor candat... boleh koma sekejap. Cuba bayangkan harga candat... yang agak bagus sedikit lebih kurang RM38 sekor. Kalau baru beli... baling dua tiga kali, tersangkut. Emm... kecewa jiwa raga. Orang kata frust menonggeng.


Masa sesuai melawat kawasan ialah ketika air surut

Ramai pencandat hanya melawat lokasi mencandat ketika waktu malam iaitu ketika aktiviti memancing. Tabiat ini menyebabkan mereka tidak begitu menguasai keadaan lokasi mereka mencandat sotong. Mereka tidak tahu kedudukan struktur-struktur batuan, kayu, lumut, karang yang boleh menyebabkan candat mereka tersangkut.

Jika candat kerap tersangkut dan putus ia tentu akan merugikan pencandat. Aku mencadangkan agar korang sekali-sekala pergilah melawat lokasi tempat korang mencari rezeki pada waktu siang. Kenapa siang? Pada ketika ini, korang boleh melihat keadaan dalam air yang berpotensi dan lokasi tidak sesuai untuk melakukan aktiviti mencandat sotong. 

Ketika air jernih... struktur dalam air mudah dilihat. Lebih-lebih lagi jika korang berada di lokasi yang agak tinggi. Jika air surut, korang dapat lihat struktur yang timbul dengan lebih jelas. Beberapa kesimpulan boleh korang buat seperti... tempat ini tidak sesuai dibaling candat.. sangkut. Tempat ini sesuai. Batuan tu sesuai untuk dijadikan base lontaran. Kawasan ini sesuai mencandat ketika air pasang. Kawasan ini sesuai ketika air surut dan lain-lain lagi. Semua kesimpulan yang korang buat boleh membantu korang ketika korang mencandat sotong di malam hari.


Kenali lapangan : Ramai yang tidak amik peduli

Tempat tinggi: Pemerhatian lebih luas

Jadi... korang cari lah masa yang sesuai untuk melawat lokasi mencandat korang pada waktu siang. Semoga lawatan korang akan membuahkan hasil dan risiko candat tersangkut akan dapat diminimakan. Sehingga berjumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

09 January 2013

Ribut Tropika Sonamu

Ribut DIJANGKA melanda pesisir pantai timur mulai 2 petang, 8 Januari hingga 11 Januari. Amaran angin kencang sehingga 60kmsj dengan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter. Sama-samalah kita berdoa agar ribut berkenaan tidak memberikan kesan teruk. Berita TV3 jam 8 malam menyatakan kesan yang mungkin diterima adalah minima.

  

Aku mengharapkan, anda semua mendapatkan maklumat yang sahih dari agensi yang bertanggungjawab seperti Jabatan Meteorologi dan sumber hebahan kerajaan seperti TV dan radio. Aku juga sangat berharap tidak ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mengeluarkan kenyataan liar yang tidak tepat dan boleh menimbulkan suasana cemas di dalam masyarakat.

JANGAN mengambil risiko dengan melakukan aktiviti-aktiviti berhampiran kawasan pantai dan tangguhkan sementara hasrat untuk ke laut. Sama-samalah kita berdoa agar dijauhi dari segala perkara buruk. Semoga Allah melindungi kita semua. AMIN.
Read more >>

28 May 2011

Ribut Laut

Salam untuk semua pelawat dan pengunjung.
Dua hari lepas, Abe Din mengetengahkan isu berkaitan sotong dan pencemaran. Antara isi utama yang diulas ialah tentang kurangnya sotong yang ditangkap di beberapa kawasan di Terengganu, khususnya Kemaman.

Pagi tadi kawan baik Abe Din, Mat menelefon dan memberitahu dia baru pulang dari mencandat di perairan Kerteh. Misi dengan dua buah bot bersama belasan pencandat telah mengharung perairan Kerteh semalaman bagi mencandat sotong torak. Abe Din diberitahu, sotong torak cukup banyak bermain cahaya lampu di bawah bot mereka. Teruja sekejap... ini petanda baik, sotong sudah datang.

Apa yang menyedihkan, menurut rakan Abe Din... sotong tidak galak menyambar candat. Mereka hanya memperolehi beberapa kilogram sahaja. Apabila Abe Din bertanyakan tentang arus... Mat memberitahu tiada arus atau arus mati. Patutlah sotong tidak galak.. sotong torak memang kurang menyambar jig jika tiada arus, walaupun kita lihat beribu-ribu sotong bermain di bawah bot.


Lebih menyedihkan lagi, kumpulan berkenaan terpaksa berhadapan dengan ribut yang melanda. Bagi mereka yang belum ada pengalaman dilanda ribut laut... tentunya tidak begitu faham dengan saat getir yang dilalui. Abe Din sudah beberapa kali berhadapan dengan ribut. Bot dilambung ombak sehingga berkedudukan menegak dalam 45 hingga 50 darjah sebelum bot dihempas keras ke bawah.

Tong ikan dan kotak-kotak pancing bergerak ke hadapan dan ke belakang silih berganti. Habis semua doa dibaca hinggakan semua pencandat tertidur. Terjaga sahaja hari dah siang dan ribut sudah teduh. Beberapa tudung tong ikan hilang... peralatan lainnya berselerak ke sana sini. Semasa ribut.. kami peluk tiang bot kuat-kuat, ada juga yang memeluk tong air, tong ikan bersedia jika terjadi sesuatu yang tidak diingini.

Itulah asam garam yang perlu ditempuhi oleh pencandat dan nelayan-nelayan saban tahun. Pada musim begini, cuaca agak sukar untuk diramalkan. Jika ribut datang dari arah lautan, peluang untuk melarikan diri sedikit cerah. Itupun kalau bot yang dinaiki boleh bergerak laju. Jika ribut datang dari arah daratan seperti yang kerap berlaku pada musim ini, peluang untuk lari sedikit tipis.

Para nelayan tempatan memang sudah biasa berhadapan dengan ribut laut tetapi bagi pencandat biasa, saat berhadapan dengan ribut sebegini samalah seperti saat penentuan antara hidup dan mati. Sebab itulah ramai pencandat baru yang menghadapi situasi ini terus bersara sebaik sahaja naik ke daratan.



Apa yang akan anda lakukan jika anda berhadapan dengan ribut ketika mencandat atau memancing di tengah laut? Mungkin beberapa tips di bawah boleh membantu anda:

1-Bawa baju hujan
Jika ribut melanda, hujan boleh masuk sehingga ke dalam bot. Hujan di laut sangat sejuk hinggakan mereka yang gemukpun boleh menggigil.

2-Gunakan jaket keselamatan
Pastikan anda membawa dan paling penting memakai jaket keselamatan. Bimbang jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

3-Kemaskan peralatan
Pastikan tali, bekas pancing dan joran disusun dengan kemas dan tidak berselerak. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa tali pancing itu sendiri boleh membunuh

4-Tetapkan kedudukan
Duduk di tempat yang mudah untuk berpaut dan tidak terlalu berdekatan dengan bahagian tepi bot. Jangan berdiri dan menggunakan telefon bimbit jika ribut disertai dengan kilat dan guruh.

5-Dapatkan nasihat tekong bot
Tekong selalunya selamba je. kalau di Terengganu... rata-rata mereka sudah biasa berhadapan dengan ribut luar jangka ini.

6-Saling membantu
Mungkin ada di antara rakan anda baru pertama kali keluar mencandat... mereka mungkin  mabuk, kesejukan dan bermacam kerenah lagi. Jangan pentingkan diri.. hulurkan bantuan anda bagi meredakan kebimbangan mereka.


7-Berdoa
Berdoa adalah jalan terbaik memohon pertolonganNya dan menenangkan perasaan. Jika ribut nampak pelik sikit... salah seorang laungkan azan dengan kuat.

Sekian untuk kali ini. Selamat memancing dan mencandat. Utamakan keselamatan anda.
Abe Din
Read more >>

18 May 2010

Awasi Bahaya

Apabila henjutan sotong semakin menggila, kadang-kadang kita terlupa tentang bahaya yang menanti. Hal keselamatan diri jarang diambil peduli. Malang tidak berbau.


Ancaman Todak

Jangan bermain-main dengan lampu. Lampu suluh yang disuluh di merata-rata boleh mengejutkan ikan todak. Kebiasaannya ikan todak berada dekat dengan permukaan air. Apabila terkejut ia akan berenang dengan laju dan melompat di atas permukaan air. Jika nasib tidak baik, muncung tajamnya akan mencucuk kita. Saiz ikan todak di laut lebih besar daripada saiz ikan todak di sungai. Ikan todak juga suka berkejaran dan memburu makanan dengan membuat lompatan dan renangan yang laju. Kes tikaman todak pernah berlaku beberapa tahun lepas di Kelantan. Tikaman ikan todak berkenaan telah menyebabkan kehilangan nyawa manusia.

Spesies AsingApabila lampu bot dipasang bagi tujuan mencandat, banyak haiwan-haiwan kecil yang akan timbul menghampiri lampu. Ada diantaranya berwarna-warni dan cukup cantik. Anda dinasihatkan agar tidak menangkap atau memegangnya walaupun saiznya kecil. Kemungkinan, haiwan berkenaan sangat bahaya. Antara haiwan yang biasa timbul ialah "ulat bulu laut" yang cukup berbisa.

Ular laut
Ular laut akan timbul dipermukaan laut apabila arus laut semakin perlahan atau mati. Ular ini akan timbul bagi mencari ikan dan sotong. Ular laut seringkali terkena pancing candat yang menggunakan umpan ikan (candat umpan). Pastikan yang mengena pancing anda adalah sotong sebelum anda memegang atau mengangkatnya ke dalam bot.

Ribut dan Kilat
Apabila berlaku perubahan monsun, hujan ribut dan kilat boleh berlaku secara tiba-tiba. Jika ribut datang dari arah laut, tekong akan mudah mengesannya. Jika ribut datang dari arah daratan, sudah tentu bot mencandat tidak sempat untuk mengelak. Ada sesetengah tekong yang sudah biasa dengan ribut mengambil keputusan untuk tidak beralih dengan alasan tempoh ribut yang singkat. Bagi pemancing yang tidak biasa tentunya akan menimbulkan keadaan cemas dan takut. Ada juga tekong bot yang berlindung di kawasan pulau yang lebih tenang sebelum kembali semula ke lokasi mencandat selepas ribut berlalu.

Lebih parah lagi jika hujan ribut datang disertai kilat. Suasana sekeliling cukup mencemaskan. Apa yang dibimbangi jika hujan tanpa ribut yang disertai dengan kilat. Ada pemancing yang mengambil kesempatan untuk mencandat pada suasana sedemikian. Perlu diingat sotong akan tetap memegang umpan selagi lampu tidak dipadam.

Kilat selalunya menyambar objek atau struktur yang paling tinggi. Di laut, bot candat merupakan struktur terapung yang paling tinggi yang akan mendedahkan pemancing kepada sambaran kilat. Adalah dinasihatkan agar pemancing berada di dalam kabin bot dan tidak keluar mencandat sehingga kilat berlalu. Ada beberapa kes sambaran kilat di laut pernah dilaporkan di dalam media kita.

Sebelum ke laut adalah baik jika kita berdoa serta memohon kepada-Nya agar kita diselamatkan dari sebarang musibah dan bahaya-Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing