"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.
Showing posts with label Sotong Jarum. Show all posts
Showing posts with label Sotong Jarum. Show all posts

19 October 2013

Jarum Dungun

Salam kunjungan untuk semua pelawat. Moga-moga anda semua gembira dan dirahmati-Nya selalu. Mungkin masih belum terlewat untuk aku ucapkan selamat menyambut Aidil Adha kepada semua pelawat yang beragama Islam. 

kali ni.. aku nak kongsi pengalaman aku semasa melakukan ujian mencandat di Teluk Lipat, Dungun. Walaupun masa kunjungan sangat singkat... pengalaman mencandat di sana adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan. Dengan keindahan pantai dan sinaran lampu jalan serta lampu dari kedai makan memang cantik dan mengasyikkan. Selalunya kalau aku turun mencandat... kawasannya agak tersorok dan jauh dari kesibukan kenderaan. Berbeza sedikit di sini.... proses mencandat memang tidak dapat hendak dipisahkan dari kesibukan aktiviti lain yang dilakukan manusia.

Trip yang disertai oleh lima gang sotonglaut ini tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Semua ahli tidak berjaya menjerat sotong pada malam berkenaan. Mungkin juga keadaan laut yang bergelora... sekali-sekala nampak kelibat anak-anak gelombang musim tengkujuh sudah mula datang menyapa kawasan pantai. Memang peluang untuk mendapatkan sotong sedikit tipis.

Gang yang menyetai trip kali ini memang rajin-rajin belaka. Walaupun tidak dapat sotong... (sebenarnya tarikan sotong pun tak merasa), mereka masih terus gigih membaling candat dan membuat karauan. Pelbagai teknik karuan dan henjutan dilakukan, semuanya tidak membuahkan hasil. Kami membuat kesimpulan tiada sotong yang menghampiri kawasan pantai.

 Sotong tunggal pada pagi berkenaan

Ketika hampir subuh... Seekor sotong jarum telah sudi menangkap candat aku. Pada hari itu... aku sorang je dapat sotong. Sotong jarum sesat berkenaan sangat berminat kepada candat Yamashita yang telah dibuat sedikit modifikasi. Bila aku dah dapat sekor... rakan lain yang telah letih, mula gagah membaling umpan menghala ke laut.... malangnya kami telah ditakdirkan mendapat seekor sotong sahaja. Selepas ditunggu sotong berikutnya tidak muncul-muncul, kami sedekahkan sotong tunggal kami pada seekor kucing yang memang sedia menunggu di lokasi. Kalau nak di bawak balik ke resort memang tak padan. Buat kawan gelak je.... dah memang rezeki kucing kat situ.

Tertancap kukuh pada pangkal lengan utama

Bagi korang yang tak pernah rasa camane tarikan sotong jarum... bila lagi nak cuba. Kali juga aku nak share beberapa tips untuk memancing sotong jarum. Hok pertama sekali sotong jarum kerap muncul ketika air bergelora. Candat yang paling digemarinya ialah warna merah dan pink. Dua warna ni adalah warna universal bagi sotong. Walaupun begitu warna lain juga boleh membuka selera sotong jarum seperti hijau dan oren. Warna selain merah dan pink sangat bergantung kepada keamatan cahaya dan kejernihan air. Kalau ada bulan mengambang... lagi best. Gabungan air yang sedikit bergelora dan cahaya bulan adalah petunjuk tentang kehadiran sotong jarum. 

Spesies "straw" ini selalunya hadir berkumpulan. Jika korang dapat sekor... tentu ada lagi kawanan sotong yang mencari makan. Baling candat menghala ke laut. Tarikan jarum tidaklah sekuat sotong mabang. Tarikannya terasa sedikit kuat di permulaan dan lemah pada peringkat pertengahan dan akhir tarikan.

Saiz sotong jarum boleh dijangka dan dibezakan berdasarkan cara tarikan sotong berkenaan. sotong jarum yang besar selalunya akan melendutkan joran anda dalam tempoh lama  sebelum tarikan diperlahankan. Selalunya satu hingga tiga kali pecutan atau lendutan joran akan terjadi. Panjang badan jarum boleh dijangka mengikut lama setiap sela pecutan yang dilakukannya. Semakin lama tempoh pecutan setiap satu sela... semakin panjanglah sotong berkenaan. Berbeza dengan sotong mabang yang melakukan pecutan-pecutan pendek tetapi kuat dan berat. 

Jika pecutan yang dilakukan lebih lama dan banyak tali dibawa keluar... ada dua kemungkinan yang biasa berlaku. Bagi menjangkakan kemungkinan yang berlaku, anda harus peka pula pada arah tali dilarikan. Jika tarikan talinya tidak sekata, ke bawah, ke kiri atau kanan... kemungkinan makhluk yang menyambar candat anda adalah ikan. Jikalau arah tali yang dibawa lari lurus ke hadapan dan ke atas dengan sela pecutan yang lama dan berat,  berkemungkinan spesies yang melarikan candat anda adalah "sotong torak".

Sekian untuk kali ini... hingga berjumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

12 June 2011

Trip Mabang 5-2011

Selamat datang semua,
Selepas trip ke-4, trip seterusnya diatur keesokan harinya bersama teman rapat, Mat. Macam biasa,, tujuan utama nak cari sotong mabang. Malam sebelumnya masih terasa tarikan sotong besar yang ditangkap oleh Mat. Bila le... nak dapat besar macam tu.

Sampai di lokasi air agak jenih di bahagian kiri dan keruh sedikit di bahagian kanan. Lokasi sebelah kiri, langsung tidak membuahkan hasil. Berpuluh kali jig udang dibaling... masih tiada sambaran.

Kami mengambil keputusan untuk berpindah ke sebelah kanan. Balingan pertama dan kedua Abe Din disambut oleh dua ekor sotong jarum bersaiz sederhana. Ehh..jarum sahaja ke? Kami masih tidak berputus asa mencari mabang. Siapa sahaja yang biasa mencandat mabang memang sentiasa rindukan tarikannya yang ganas dan keras.

Sotong jarum pertama yang dinaikkan.


Lokasi tepi pantai menjadi pilihan menghendap mangsa.

Sambil duduk bersila di atas pasir pantai, kami sabar menunggu jig ditarik sotong. Balingan demi balingan membuahkan hasil beberapa ekor lagi sotong jarum.

Antara sotong jarum yang diperolehi Abe Din

Anak sotong torak yang menyambar umpan di gigi air.

Sekian lama menarik dan menghenjut jig.. seekor anak torak menyambar dengan ganas. Cara tarikannya hampir menyamai sotong mabang. Di akhir pecutannya agak lemah sedikit seolah-oleh ia cuba mendedahkan identitinya sebagai seekor sotong torak. Paling menarik.. sotong torak ini menarik umpan jig terlalu hampir dengan pantai. Berani sungguh.. memang selalunya sotong torak biasa dicandat di tengah laut. Itulah kalau dah dinamakan rezeki.


Tangkapan Abe Din malam itu

Malam berkenaan, Abe Din berjaya menangkap 5 ekor sotong. Syukur.. rezeki ada untuk kaum kerabat di rumah. Sambil berfikir...nak masak apa esok?
Abe Din
Read more >>

29 May 2010

Trip Malam 28 Mei

Sotong Torok Lebih Sedap Daripada Sotong Mabang
Sekadar Gambar hiasan

Pada malam 28 Mei 2010, lebih kurang pukul 8.30 pm, saya mula ke port sotong di Petronas. Setelah sampai lebih kurang 5 minit seorang lagi rakan Sotong Mania tiba ke lokasi pada ketika itu saya telah berjaya mencandat 2 ekor sotong mabang saiz remaja.

Ramai pemancing telah berada sejak petang di kawasan batu tambak berkenaan. Ada yang memancing ikan dan mengilat sotong. Lebih kurang pukul 11.00 malam semua pemancing telah pulang kerana hasil kurang memberangsangkan. Ketika itu saya yang menduduki lokasi hujung batu tambak arah utara sudah berjaya menaikkan sotong sebanyak 6 ekor termasuk jarum dan seekor torak.

Saya dan rakan terus mengilat sehingga pukul 3.00 pagi. Awan hitam dan kilat dari sebelah selatan menyebabkan kami mengambil keputusan untuk kembali ke kawasan pantai. Ketika itu saya telahpun menaikkan sebanyak 14 ekor sotong termasuk 3 ekor sotong torak lebih kurang 2.5 jengkal.Memandangkan awan dan kilat semakin menjauh, kami mengambil keputusan untuk cuba mengilat di kawasan pantai arah selatan. Rakan saya berjaya menaikkan seekor sotong mabang saiz remaja. Tidak lama kemudian pancing saya dihenjut dan dibenam keras dalam jarak lebih kurang 15 meter. Saya terus berdiri sambil menahan joran yang semakin melendut dan tali ditarik keluar dari kekili. Sotong masih mampu menarik dan menghenjut sehingga ke pesisir pantai. Kami agak terkejut kerana sotong yang memegang candat ialah sotong torak sepanjang 3.5 jengkal.

Siapa Sangka Torak Menyerang Hingga ke Pesisir Pantai
Sekadar Gambar Hiasan

Beberapa balingan berikutnya sekali lagi mendapat tarikan keras berdekatan dengan tepi pantai. Saya beranggapan candat tersangkut batu. Dengan sekali henjutan, seekor lagi sotong torak bersaiz lebih daripada 2 jengkal terdampar di pantai. Kami agak pelik kerana sotong torak selalunya dipancing di laut lepas. Malam itu saya mendapat 17 ekor sotong (5 mabang, 7 jejarum dan 5 torak). Rakan saya memperolehi 7 ekor sotong. Jumlah keseluruhan lebih kurang 24 ekor. Kami pulang menjelang pukul 5 pagi.

Peristiwa sotong torak membedal jig candat di pesisir pantai adalah sesuatu yang jarang berlaku. Berdasarkan pengalaman saya, torak yang menghampiri kawasan pantai atau batu untuk mencari makanan selalunya berpasangan. Apabila jig saya ditarik dalam jarak 15 meter, sotong kedua mengikut rakannya hingga ke kawasan pantai. Sebaik balingan berikutnya dilakukan, kemungkinan sotong yang sedang keliru mencari rakannya yang hilang secara tiba-tiba akan terus menangkap jig yang melalui kawasannya.

Bagi pemancing yang mahir, mereka tidak akan membuat banyak pergerakan apabila menaikkan sotong bersaiz besar samada torak atau mabang. Pergerakan yang minima akan memudahkan proses menjerat sotong kedua. Jika pemancing bangun dan banyak bergerak, sotong kedua yang mengikut sotong pertama akan melarikan diri ke kawasan tengah laut. Jika keadaan ini berlaku, peluang untuk mendapatkan sotong kedua adalah tipis.

Jig Keramat-Klon Yamashita

Sesuatu yang menarik pada trip berkenaan ialah penggunaan jig murah yang kami namakan jig klon yamashita. Hasil daripada jig ini mengatasi hasil jig yang mahal seperti golden bait (yamashita). Saya hanya memperolehi 2 ekor sotong mabang menggunakan golden bait berharga RM32. Jig klon yang digunakan hanya berharga RM11 bagi 3 jig. Apa yang penting di sini, pemancing dan pencandat perlu membuat beberapa percubaan bagi menguji sesutu jig yang sesuai dengan anda. Dalam post berikutnya, saya akan menerangkan bagaimana untuk melakukan beberapa pengubahsuaian pada jig murah untuk menambahkan lagi nafsu makan sotong-Abe Din
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing