"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.
Showing posts with label Tengkujuh. Show all posts
Showing posts with label Tengkujuh. Show all posts

08 January 2013

Pusara Sotong Katak

Selamat datang kepada semua pengunjung. Pada kali ini sebenarnya aku nak citer sikit tentang fenomena kematian sotong katak. Ahad 6 Januari, aku dan seorang tokey burung berkunjung ke salah satu pantai di pesisir pantai Kemaman, Terengganu untuk mencari tulang sotong katak yang dikatakan banyak mati pada musim tengkujuh setiap hujung tahun.

Fenomena yang agak misteri yang agak sukar untuk dijawab. Mungkin juga sotong lain pun mati...cuma tidak diketahui manusia. Sotong katak mudah dikenali dengan kehadiran tulang sotong yang memutih di pantai ditolak ombak. Tulang sotong katak mengandungi kalsium dengan saiz yang besar. Saiz terbesar yang aku pernah jumpa lebih kurang saiz tapak kaki lelaki dewasa sepanjang hampir 30cm.

Ombak memutih membadai pesisir pantai timur

Niat aku cuma satu nak rakam foto yang menunjukkan kehadiran tolong berkenaan di kawasan pantai. Ntah macam mana bila dah sampai kat sana terlupa pula nak ambil gambar. Lagi pun angin dan ombak kuat sangat. Boleh rosak kamera kena air masin...

Hanya ada beberapa keping tulang sotong kecil yang dijumpai secara semulajadi di tepi pantai. Selebihnya tulang sotong dijumpai tersorok di bawah timbunan sampah. Banyak juga... Tulang sotong ini selalunya tulang sotong lama. Keadaannya sedikit gelap, kehijauan dan hitam. Tulang sotong baru selalunya putih bersih dan masih terdapat kepingan plastik yang masih melekat di kiri dan kanan tulang. 

Tulang yang sangat baru pula ada kesan-kesan dakwat hitam. Tulang jenis ini selalunya dijumpai di kawasan berbatu yang tinggi dan kering. Aku beranggapan ia adalah angkara burung helang yang menangkap sotong ketika air surut dan dibawa ke kawasan tinggi untuk dimakan. Tulang sotong akan ditinggal berserakan di atas batuan tersebut.

 Ombak lagi

Dari tulang yang diperolehi, aku membuat andaian bahawa sotong berkenaan telah lama mati. Pada jangkaan aku pada awal musim tengkujuh iaitu lebih kurang bulan Oktober. Apabila hujan melanda kawasan pesisir pantai, air laut bertukar menjadi tawar dengan cepat. Kemungkinan sotong tidak dapat menyesuaikan diri dan mati. Bangkainya dimakan ikan dan tulang kapurnya yang ringan dihanyutkan ombak ke tepi pantai. Mengikut pengalaman aku, kawasan pesisir yang berbatu lebih banyak dijumpai tulang... mungkin kerana sotong menjadikan kawasan berbatu dan berkarang sebagai habitatnya untuk berlindung dan mencari makan. Apabila mati... tulangnya akan dihanyutkan ke kawasan pantai berdekatan. Ini hanya teori aku berdasarkan pemerhatian di kawasan persekitaran pantai.

 Ombak semasa air sedang pasang

Kat bawah tu ialah tulang sotong yang berjaya aku temui. Tulang yang paling besar adalah tulang baru manakala tulang yang agak gelap adalah tulang lama. Kedua-duanya berguna kepada mereka yang tahu kegunaannya... Sejak akhir-akhir ini tulang sotong agak sukar diperolehi. Harganya juga semakin mahal. Sekeping tulang macam kat bawah tu... ada orang jual lebih kurang RM3 hingga RM4.

Antara tulang sotong yang dijumpai

Sepanjang lawatan aku kat sini, aku berjaya mengumpul tulang sotong macam gambar kat atas tu. Tak sampai pun sekilo. Mamber aku dapat dekat 2 kilo. Dia memang terer.. boleh masuk acara mencari harta karun. Keadaan pesisir pantai kat sini ketika ini memang tidak begitu selamat. Ombak setinggi kepala. Sejuk sungguh.. Muka jadi melekit-lekit disebabkan kandungan air laut yang tinggi dalam udara. Harap-harap laut akan cepat tenang. Boleh aku mula memancing... kihkih.
Jumpa lagi


Read more >>

27 December 2012

Tengkujuh Lagi...

Salam kunjungan semua pelawat. Moga-moga korang sume sihat... musim tengkujuh tahun ini agak lewat tiba di pantai timur. Ketika post ini ditulis.. tengkujuh sudah sampai ke kemuncak keganasannya. Hujan turun tak henti-henti, angin kuat macam nak tercabut pokok kelapa.

Kalau musim gini.. selalunya aktiviti memancing dan berkelah di kawasan pantai baik dilupakan dulu. Kalau berhajat nak turun ke laut memancing... tengok saiz bot dulu..bukan tengok saiz baju sendiri. Bukan apa takut tak sempat nak balik ke pantai.

Aku macam biasa le... kalau hujung-hujung tahun ni, toksah harap nak mencandat sotong. Nampak gayanya kena cari alternatif lain sementara nak tunggu sotong datang bulan April tahun depan. Dok rumah je... memang boring le jawabnya.

 Musim tengkujuh mula datang

Anak tengkujuh... ombak belum kuat

Selalunya kalau musim tengkujuh datang... banyak le sotong mati. Selalunya sotong katak. Tu le sebabnya banyak tulang sotong kita boleh jumpa kat pantai selepas air surut. Sebab apa die mati?.. tak tau le pulak. Sotong lain pun mati jugak.. cuma diorang bertulang nipis macam plastik.. susah nak jumpa. Tulang sotong katak besar dan warna putih... jauh lagi dah nampak. 

Post akan datang aku akan hantar gambar berkaitan fenomena sotong katak mati secara "berjemaah". Kena gi ambik gambar dulu. Skarang ni ujan lagi... takut ooo... angin kuat, ombak sampai atas kepala. Satu lagi aku ni spesies tak tahan sejuk. Bila hujan dah reda sikit, aku gi ambik gambar... sabor.
 
 Kolam berbayar... pilihan musim tengkujuh

Masa lapang, kekadang aku gi layan siakap dan spesies ikan muara di kolam berbayar. Selalunya di Kemaman dan Cherating. Aku selalu gi dengan kawan. Tak best pegi sorang sebab kalau dapat ikan besar tak boleh nak berlagak. Gambar tak dapat menceritakan semuanya... kalau diorang tengok sendiri time ambe bertarung kembang sikit hidung aku ni. Kalau diorang bertarung.. aku wat tak nampak jer.. kihkih

 Sekarang udang galah sedang menggila..

Kekadang aku gi sungai... layan udang galah. Tengok gambar kat atas tu... ibu telor tu. Susah dapat. Kalau korang dapat udang bertelur macam kat atas tu... better korang lepas balik.. biar dia membiak. Kalau aku... aku akan bawak balik, korang je kena lepas. Kalau korang tak nak lepas jugak.. takde masalah. Stok udang dalam sungai sentiasa banyak. Tiap-tiap tahun orang tangkap... udang bukan kurang, semakin banyak ada le. Nape aku kata macam tu... tiap kali aku turun mengudang, aku dapat sikit je... sure banyak lagi kat bawah tu yang belum aku dapat. Tangkapan orang lain pun sama gak macam aku...sikit.

Mesej penaja: Kalau korang jumpa mangkuk yang tuba udang. Korang tangkap ramai-ramai... jangan tuba dia pulak. Anto ke balai polis. Korang jangan bagi sedas dua atau lapan ploh das sekali gus... nanti kalau Abang Polis tangkap korang, macam mana korang nak mancing udang. Dalam lokap mana ada udang. Kihkih..Sabor.

Telur udang banyak protein... bagi yang tidak alahan le. Tapi kena ingat, kalau dah kecik sangat macam udang kering jangan le bawak balik.. kalau korang degil, memang nak kena marah dengan bini le jawabnya. Ada satu lagi spesies udang sungai yang dipanggil udang "temerang". Paling besar aku rasa saiz batang pensel je. Saiz tu dah kira otai le tu atau lebih dikenali sebagai "tua bangka". Korang jangan lepas untuk tunggu besar. Memang tak besar dah... kalau korang ambik, korang boleh buat umpan mancing siakap dan sembilang. Mana nak tahu dapat rezeki XXL, baru bini tak marah.

Ehh... rasa macam ngantuk pulak. Blah dulu lah.. jumpa lagi.
Read more >>

20 November 2011

Pindahnya Si Camar

Salam untuk semua pelawat dan pengikut setia blog sotonglaut.
Dah masuk bulan November ni... laut nampaknya sudah memberi tanda yang musim tengkujuh akan berkunjung tiba. Burung-burung camar laut yang kebiasaanya dijumpai di unjam dan laut terbuka sudah kelihatan berlegar-legar di kawasan hutan bakau. Tidur dan cari makan di situ. Sesekali terlihat kumpulan burung laut terbang dalam bentuk 'V' meninggalkan lautan menghala ke darat.

Camar laut selalu dijumpai di boya-boya unjam


Kehadirannya di kawasan pantai memberi 
mesej bahawa tengkujuh bakal tiba

Penghijrahan burung laut ke daratan kerana mereka sukar untuk mencari makanan di laut disebabkan kelajuan angin dan ombak yang melampau. Kalau musim macam ni jangan haraplah nak mencandat sotong. Ombak sampai atas kepala. Kalau nak mati... gi le candat kat sana.



Selalunya time gini, Abe Din terpaksa bersara seketika dari mencandat sotong. Tahun depan bulan April.. baru start balik. Kami akan memilih untuk memancing ikan di sungai atau kolam-kolam komersial. Nak lepaskan gian le katakan.

Waktu gini seeloknya, baik pulih pancing dan menyimpan candat dengan baik. Moga-moga tahun hadapan boleh guna lagi. Nak beli bukan murah... kalau orang kaya takpe lah. Begitulah putaran hukum alam kekadang cuaca baik, kekadang tidak. Cuma mereka yang bersyukur dan berserah diri sahaja akan mendapat ganjaran daripada-Nya. Amin.

Jumpa lagi,
Abe Din
Read more >>

17 November 2010

Amaran Tengkujuh


"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapatnya tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) : "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka".
(Ali Imran : 190-191)




Salam untuk semua peminat Sotong Mania.
Sudah lama rasanya Abe Din tidak update. Kesibukan membataskan usaha meneruskan penyampaian maklumat kepada semua.

Alhamdulillah, kali ini Abe Din ingin menyelitkan sedikit panduan dan pesanan kepada semua pemancing dan pengilat sotong. Selepas post terakhir, sudah beberapa kali aktiviti mengilat dilakukan di lokasi-lokasi yang kerap dikunjungi Abe Din.

Hasil sepanjang bulan Oktober agak kurang. Keadaan ini disebabkan kehadiran hujan yang kerap pada sebelah malam dan membataskan pergerakan pengilat-pengilat sotong. Hujan yang kerap menyebabkan keadaan air kawasan pesisir pantai menjadi sedikit keruh. Kualiti air menyebabkan kehadiran sotong ke kawasan pesisir sedikit merosot.

Bahaya : Situasi Biasa Musim Tengkujuh

Kekurangan tangkapan juga dipengaruhi oleh keadaaan air laut yang mula bergelora kesan daripada ribut yang melanda Filipina dan Taiwan. Kehadiran ombak besar menyukarkan pemancing untuk menghampiri kawasan batuan dan pantai. Pada penghujung Oktober, hanya sedikit sotong dapat dijerat.

Pemandangan Biasa Di Laut

Bagi mereka yang tinggal di kawasan pantai, mungkin biasa melihat burung camar yang terbang dalam bentuk "V" menghala ke kawasan daratan. Itu merupakan satu petanda semulajadi kehadiran angin dan laut bergelora. Burung camar biasanya berhenti rehat pada pelampung-pelampung unjam di laut. Kehadiran ombak dan angin menyebabkan kedudukan pelampung tidak stabil. Keadaan ekstrim menyebabkan burung camar berpindah ke kawasan daratan. Burung camar selalunya lebih dahulu menyedari kehadiran ombak dan gelombang. Jika anda melihat kumpulan burung camar menuju ke daratan ia adalah tanda bahawa angin, ombak dan gelombang akan tiba tidak lama lagi.

Memasuki bulan November, adalah masa yang paling tidak sesuai untuk aktiviti pancingan sotong. Bot nelayan dan bot pelancongan juga banyak yang tidak ke laut serta mengantung operasi buat seketika. Kehadiran ombak yang tinggi dalam anggaran 4.5 meter di Kelantan dan Terengganu sememangnya boleh membahayakan penumpang bot. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga bulan Mac 2012. Sotong pula dijangka akan hadir semula di kawasan pesisir pantai menjelang bulan April 2012.

Bagi pengilat-pengilat hardcore sotong mabang, diberikan beberapa panduan jika anda masih berhajat untuk meneruskan aktiviti pancingan sotong mabang. Pertama sekali anda perlu tahu bahawa pada musim tengkujuh kehadiran sotong sangat merosot. Kehadiran ombak besar menyebabkan sotong-sotong akan mati terutama jika kualiti air menjadi keruh dalam masa yang lama. Antara sotong-sotong yang mudah mati termasuklah sotong katak yang lebih bersifat pasif dan lambat bergerak. Tulang-tulang sotong katak akan mudah dijumpai di kawasan pesisir pantai apabila ombak semakin reda.

Mengiurkan : Suasana Sesuai Bagi Pancingan Pesisir

Sotong Torak pula akan berpindah ke kawasan tengah laut dan berada di kawasan dalam berlurah yang sedikit aman daripada hentaman gelombang. Umum mengetahui sotong torak hanya menghampiri kawasan beting pasir pesisir pantai bagi tujuan bertelur.

Sotong jarum dan mabang pula berpindah ke kawasan-kawasan pulau yang terlindung dan terdapat batu karang yang banyak. Kawasan yang sesuai adalah kawasan pulau berbatu karang dan berteluk. Pada musim tengkujuh, mudah untuk menjerat sotong di kawasan begini.

Kawasan Peranginan Yang Terlindung

Jika rajin anda juga boleh mencuba nasib dengan meninjau kawasan yang biasa anda mengilat sotong. Abe Din syorkan lawatan dilakukan pada waktu pagi kerana pada waktu begini selalunya ombak akan teduh seketika sehingga waktu tengahari. Itupun kalau anda bernasib baik dan tiada ombak besar yang menghempas pantai.

Kerana minat semua boleh jadi, tetapi Abe Din nasihatkan kepada semua pengilat sotong agar berehat seketika sehingga April tahun hadapan. Sebagai gantinya, cuba cari rezeki di kawasan sungai dan kuala-kuala yang sedikit tenang. Pada ketika ini, ikan siakap putih dan merah ganas melarikan umpan. Udang galah juga galak memakan umpan dan kadang kala ia hanyut sehingga ke kuala.

Jangan biarkan minat memudaratkan kita. Rezeki ada di mana-mana. Keikhlasan adalah kunci kepada keberkatan dan kerahmatan. Selamat memancing-Abe Din
(Paparan adalah berdasarkan pengalaman semata-mata. Harap maklum)
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing