"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.
Showing posts with label Teknik Tarik. Show all posts
Showing posts with label Teknik Tarik. Show all posts

10 October 2016

Memujuk Si Penakut

Salam kunjungan untuk semua. Pada kali ini, aku nak kongsi satu teknik yang selalu aku guna ketika eging secara landbase. Teknik ini sekian lama digunakan bagi memujuk sotong penakut dan sotong yang curiga dengan jig. Istilah sotong culas lebih tepat jika digunakan.

Aku suka mengaplikasi teknik ini ketika air laut pasang, mula menyurut dan keadaannya tidak bergelora. Mungkin korang pernah alami, sotong-sotong agak takut untuk memegang jig ataupun sotong kerap menyentuh dan melepas kembali jig yang di pegang. Cuba korang gunakan teknik memujuk ini. Teknik ini juga aku gunakan kita sotong tidak begitu galak memegang jig. Jika kita mengamalkan teknik agresif yang memerlukan banyak tenaga, kita akan cepat letih dan lenguh. Teknik ini juga dapat memberikan sedikit kerehatan pada lengan dan tangan kita. 

Idea penciptaan teknik ini menekankan kaedah tarikan jig secara lembut dan perlahan. Secara peribadinya, aku tidak begitu berminat menggunakan teknik Jepun yang kasar, agresif dan memenatkan. Teknik Jepun ini sesuai digunakan di kawasan laut yang dalam. Ketika mula-mula mengenali eging, teknik eging Jepun adalah teknik eging yang pertama aku kaji dan cuba. Selepas beberapa bulan mencuba di Perairan Pantai Timur, aku rumuskan teknik terbaik adalah teknik yang mengaplikasi kombinasi pergerakan lembut dan lambat. 

Teknik ini tidak pernah aku jumpa digunakan di luar negara seperti Australia dan Jepun kerana mereka beraksi di kawasan perairan yang dalam dan memang sesuai teknik yang agresif dan cepat. Di perairan negara kita yang rata-ratanya berkeadaan landai, teknik karauan perlahan dan lembut adalah yang terbaik. Aku tidak meminta korang semua bersetuju dengan pendapat aku. Ini hanya pengamatan dan pengalaman selepas bertahun-tahun terlibat dengan sukan eging. Bagi aku gaya yang menarik tidak penting tetapi mendapatkan sasaran dengan teknik yang sesuai di kawasan itu lebih diutamakan. Apa guna gaya yang menggerunkan penonton tetapi hasil yang diperolehi oleh seorang budak kampung biasa yang menggunakan peralatan ala kadar lebih memuaskan.

Pada kali ini aku senaraikan gaya eging yang selalu aku guna dan banyak membantu aku ketika menjerat sang lembut:
Ranking 1-Tarikan selari dasar, karau lembut dan berhenti-henti
Ranking 2-Tarikan lembut diselang seli dengan henjutan ke atas.
Ranking 3-Memujuk

Teknik ranking ke 3-memujuk , adalah teknik utama yang akan aku perturunkan pada post kali ini. Semoga korang dapat memahami dan mengaplikasi dengan baik. Perlu juga diketahui, selaman, henjutan dan karauan bergantung kepada berat jig dan peralatan yang korang guna. Bagi aku jig selaman perlahan seperti Yamashita adalah pilihan utama.



Teknik memujuk
A-Balik jig sejauh mungkin
B-Biarkan jig jatuh bebas mengikut kedalaman yang dikehendaki *(1)
C-Gulung tali perlahan hingga tegang, buat henjutan jauh ke atas *(2)
D-Biar tali jatuh sehinga pertengahan jarak henjutan *(3)
E-Karau tali, tiga atau lima pusingan kekili dengan perlahan *(4)
F-Biarkan jig jatuh seperti kedudukan (B) *(5)
G-Ulang langkah (C) hingga (F)
H-Buat karauan perlahan apabila jig sudah hampir dengan tebing *(6)

Rasanya setakat itu dahulu pengkongsian kali ini. Semoga bermanfaat. Sama-samalah kita majukan dan perkenalkan sukan eging ini ke seluruh nusantara. Sehingga berjumpa lagi-Abe Din

"Berkongsi Ilmu Bermanfaat Walaupun Sedikit Adalah 
Lebih Baik Daripada Hanya Mengambil 
Manfaat Tanpa Berkongsi Apa-apa"


Read more >>

17 December 2011

Teknik PELUK

Bertemu lagi di ruang lembut, sotonglaut.blogspot.
Di kesempatan ini, aku hendak bercerita tentang satu lagi teknik memancing sotong yang aku namakan sebagai teknik PELUK. Hujan-hujan macam ni... tajuk pun pelik-pelik. Korang jangan pikir bukan-bukan dah le...aku bukan nak ajar korang cara-cara nak berpeluk... aku pun tak berapa reti....aku nak share teknik candat sotong je. 

Sume teknik yang aku bagi kat blog ini akan berguna pada kaki-kaki candat sebaik sahaja musim sotong tiba tahun depan. Bagi korang yang tidak minat mancing... jangan risau, anggaplah apa yang korang baca di sini sebagai santapan minda yang santai. Mungkin korang dah ikut post-post aku sebelum ini... telah banyak kali aku bagi clue tentang teknik ini. Aku selalu sebut sebagai teknik TARIK-LEPAS-TARIK atau mudah sebut Teknik PELUK candat. Cara mencandat lebih kurang sama... cuma pencandat perlu lebih peka dan berhati-hati.

Dulu aku pernah bagitau kat sini... sotong kadang-kadang tidak begitu berminat untuk mengejar dan memegang candat. Kadang-kadang.. sotong akan mengejar, sentuh sikit dan terus lari. Tentunya perangai tak senonoh ini akan merugikan pencandat yang baik hati. 

Ada sesetengah sotong (aku tengok sendiri masa air laut jernih) langsung tak peduli candat. Buat tak tau je... masa aku baling candat lalu depan dia, buat muka selamber je... abih-abih dia berganjak sedikit dan buat muka bodo semula. Rasa macam nak turun selam, tangkap dengan tangan dan sekeh sekali. Geram jugak aku... Haa, kalau korang jumpa gang sotong perangai jahat macam ni...jangan aplikasi teknik yang aku ajar ni... sah dok berkesan.



Korang tengok gambar kat atas tu... satu je tangan kena. Kalau pencandat atau sotong itu sendiri terbersin... memang terlepas le jawabnya. Mudah citer... teknik yang aku nak kabo kat korang ini sangat sesuai digunakan jika sotong berperangai macam kat atas tu. Sotong yang suka cuit-cuit juga boleh diajar menggunakan teknik ini. Paling best jika mata jig korang jenis yang tajam giler.... kalau tak tajam, korang asah le. Nak suruh aku ajar juga ke...sekeh kang. Bukan korang... sotong tu.. kih..



Intai pula gambar kat atas nu. Cukup rakus sotong memuluk kemas jig yang dihulurkan..itulah teknik PELUK. Nak bagi jadi camni... korang kena aplikasikan proses TARIK-LEPAS-TARIK. Teknik ni aku belajar dari pengalaman...kadang-kadang 100% berkesan tetapi bukan pada semua keadaan. Jika tak berkesan jangan marah aku... korang cuba teknik lain pula. Banyak teknik yang boleh dicuba. Ini hanya satu jer..

Untuk menggunakan teknik ini, korang perlu tarik jig atau karau pancing dengan lembut dan berhati-hati. Tujuannya hanya satu iaitu untuk mengesan sebarang tarikan yang berlaku. Pencandat profesional boleh menganggar saiz sotong hanya dengan merasa salam pertama sotong ini. Kemahiran ini mudah dikuasai jika peralatan, tali, dan jig yang digunakan adalah sesuai.



Cer tengok gambar kat atas... asyiknya sotong memeluk jig hingga tinggal separuh. Kalau jadi macam ini, peluang untuk sotong melepaskan diri adalah tersangat-sangat tipis kecuali kalau korang sesaje lepaskan beliau. kih.. Kalau dah kecik sangat lepas le... sian dia. Nanti bila dah besar, korang candat le balik.

Aku nak sambung citer tentang teknik tadi... Sebaik sahaja korang rasa jig korang dipegang sotong, terus korang tarik sekali dan lepas semula dalam beberapa saat (jangan terlalu lama) lebih kurang dalam kiraan tiga. Cara terbaik untuk korang melepaskan candat ialah dengan mengendurkan joran ke bawah dan tarikan kedua adalah bertujuan menaikkan sotong ke atas.

Secara kebiasaanya apabila sotong mula memegang jig, pencandat akan menahan joran dan mengarau pancing tanpa berlaku pengenduran tali utama. Pencandat juga tidak pasti bahagian mana yang terkena mata candat samada jejari primer atau sekunder. Pencandat hanya mengetahui apabila sotong sudah berada di permukaan air. Ini akan menimbulkan rasa cemas dan bimbang sotong terlepas. 

KETERANGAN TEKNIK:
Sebaik sahaja sotong memegang candat. Henjut jig sekali. Jika joran keras buat henjutan sederhana. Henjutan keras boleh dilakukan jika joran anda jenis lembut. Tujuan henjutan adalah untuk memastikan mata jig tersangkut pada jejari primer sotong kerana sotong memulakan tangkapan menggunakan jari utamanya.

Merendahkan jorang bertujuan agar sotong menarik jig merapati jejari sekunder dan bahagian mulut. Perubahan jig dari jejari primer ke sekunder mengambil masa beberapa saat sahaja. Tarikan kedua adalah dengan andaian mata jig sudah berada di kawasan jejari sekunder yang lebih banyak atau di kawasan pangkalnya iaitu mulut. Selalunyanya pada peringkat ini semua jejari sotong sedang memeluk kemas jig udang. Tarikan kali kedua akan menyebabkan lebih banyak jejari sotong yang akan mengenai mata jig udang. Ini bermaksud risiko untuk sotong melepaskan diri adalah sangat rendah. 

Sekali lagi aku nak kabo.. teknik ini tidak semestinya berkesan di dalam semua keadaan. Jika sotong dalam keadaaan menggila atau 'galak' tentunya tiada masalah kerana hampir kesemua sotong cukup rakus menerpa dan memeluk erat jig. Perlu diingat kita perlu banyak bersabor ketika belajar dan mengaplikasi sesuatu teknik. Niat perlu baik agar rezeki yang kita perolehi akan berkat. Seperti biasa, jangan lupa kongsi dengan orang lain samada teknik atau rezeki... jangan kedekut.
Jumpa lagi.. si lembut.
Read more >>

28 August 2011

Kuasa Cougar

Selamat datang kepada semua pelawat, rakan-rakan blogger dan pencandat-pencandat tegar. Belum lewat lagi aku nak ucapkan selamat berpuasa dan selamat menyambut hari raya aidil fitri. Kalau ada salah dan silap aku kat korang... aku mintak maaf bebanyak. 

Lepas raye nanti, boleh lah aktif balik mencandat sotong ni. Masa bulan puasa ni masa dan tenaga agak terhad sikit. Post kali ini nak bagi sedikit tips mencandat sotong di kawasan daratan untuk pencandat-pencandat baru. Kalau korang nak belajor mencandat, rajin-rajin lah korang baca post-post aku yang lepas. Kalau rajin,  cuba korang praktik kat lapangan. Mana tau nanti korang boleh jadi pro? Niat kena ikhlas beb... baru dapat pahala. Cuba korang perhati gambar kat bawah tu..

Member Abe Din.. Cikgu Lan sedang 
menahan asakan sotong mabang

Masa korang tarik-tarik jig, kalau ada tarikan keras dan kasar sambil membenam... haa. tahniah sotong dah bersalam raye dengan jig korang. Apa nak buat? Fisrt sekali jangan panik, jangan jerit-jerit pulak. Tengok abang kat atas tu.. releks je. Angkat joran korang tinggi-tinggi. Kalau boleh hingga 90 darjah. Kalau lebih... dah melampau le tu.. nak kena sekeh ke... nanti sotong terlepas. Satu lagi jangan ketatkan drag kekili korang. Aku selalu longgarkan drag dengan tegangan yang sesuai. Terlalu longgar pun boleh terlepas juga.

Korang kena tau... semakin kuat sotong menarik jig, maka semakin kukuhlah mata candat korang masuk dalam tantakelnya sotong. Kalau korang berani aplikasikan teknik PELUK JIG. Oppss.. aku belum ajar teknik ni. Nanti aku ajar lepas raye... Teknik PELUK JIG... sure sotong tak lepas.

Tahan joran dalam sudut 90 dan biarkan sotong tarik sorang-sorang sampai dia letih. Bila korang rase dia tak berapa nak melawan.. baru korang kayuh perlahan-lahan. Kalau dia lawan... korang bertahan. Jangan gopoh.. nanti terlepas. Sampai tepi ada beberapa cara untuk mengangkat sotong iaitu mengheret ke tepi, memegang bahagian leher, mencangkuk dengan gaik atau angkat terus macam member aku kat bawah tu. Haa... cara angkat terus tidak begitu digalakkan... hanya profesional saje leh wat macam tu. Kalau jig cougar leh wat cam ni... memang hebat.

Angkat stail profesional... dilarang tiru... 
risiko tanggung sendiri. Cougar.. beb..

Cuba korang lihat kawasan yang dibulatkan 
Tantakel sotong melekat pada jig caugar

Jika korang perhati betul-betul imej dalam bulatan, ia menunjukkan bahagian yang terkena candat. Ada beberapa bahagian tantakel sotong yang selalu terlekat pada mata candat. Gambar di atas menunjukkan cara sotong memegang candat TAHAP 2. Nanti aku cerita lepas raye.. TAHAP 2 menggambarkan peratus kekuatan benaman mata candat pada tantakel sotong.... nanti aku cite ye..

Masa korang hendak angkat sotong kena hati-hati sikit... kerana sotong selalunya simpan sedikit ink power dia untuk ditanda pada korang. Kalau kena baju, muka, kaki atau kat mana-mana je nanti bini korang masam muka lak. Sendiri tanggung tau.. Paling kurang sotong akan tembak sekali semasa kat atas darat.

Rasenya cukuplah kali ni... nak gi cari buluh lemang dengan daun ketupat plak. Raye dah dekat ni. Di kesempatan ini... aku menyusun sepuluh jari jika ada wat salah kat korang sume. Mungkin tulisan aku tak best.. atau terkata korang atau apa je yang korang tak puas hati... mintak maaf bebanyak. Aku juga nak ucap Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri Maaf  Zahir & Batin. Moga-moga raye tahun ni lebih bermakna buat semua.
Berhati-hati semasa memandu... happy always.

Jumpe lagi...
Abe Din
Read more >>

24 July 2011

Sentuhan awal

Selamat datang kepada semua pelawat dan pencandat sotong. Kali ini, Abe Din akan menerangkan dengan ringkas tindakan yang perlu dilakukan sebaik sahaja jig anda ditarik oleh sotong.

Semasa mencandat sotong mabang terutamanya, anda perlu peka terhadap sebarang tindakbalas yang terhasil kesan daripada tarikan dari dalam air. Sebagai pencandat anda mesti boleh membezakan antara tarikan sotong dan spesies bukan sotong. Pencandat yang mahir bukan sahaja boleh membezakan tarikan spesies-spesies dalam air tetapi juga dapat menganggar berat dan saiz sotong yang menarik jig.

Sotong memang terkenal dengan sifat "bekeng" atau dikenali juga sebagai "garang". Sifat ini menyebabkan sotong cukup cepat memberi respon terhadap jig yang melalui kawasannya. Jika tiba time sotong makan, pencandat tentunya tidak akan duduk diam kerana melayan sapaan si lembut ini.

Jika sotong bersaiz kecil, beberapa henjutan pendek dan berulang-ulang akan dirasakan dihujung joran anda. Jika sotong yang mengena bersaiz besar, anda akan rasanya seakan jig anda tersangkut pada karang atau batu. Kita hanya mengetahui ia adalah perbuatan sotong apabila jig ditarik dan joran dibenam dengan kuat. Jika saiz yang lebih besar, tali daripada gelendong kekili akan ditarik keluar dengan laju.

Pada ketika ini, kemahiran pemancing akan menentukan kejayaan menawan sotong berkenaan. Cara yang paling simple ialah dengan mengangkat joran secara meninggi dan dibiarkan statik atau dalam keadaaan bertahan. Pastikan juga tegangan kekili dilaraskan dengan betul. Tidak terlalu ketat atau terlalu longgar. Sebaik sahaja tarikan sotong lemah atau berhenti, karau tali pancing perlahan-lahan dan bertahan jika tarikan masih berlaku.

Jangan bimbang kerana sotong amat jarang membawa jig anda ke kawasan struktur kecuali jika anda memancing di unjam. Dalam tempoh yang singkat, sotong yang menarik pancing anda akan naik ke permukaan air dan ia akan menarik tali pancing secara lurus ke hadapan. Ketika ini sotong akan kerap menyembur air dari permukaan laut. Perlu diingat semakin kuat sotong menarik jig anda, maka semakin dalam lah mata kail jig tertancap pada tantakel sotong berkenaan.

Biarkan sotong menarik tali pancing anda sehingga ia benar-benar letih. Proses ini akan  memudahkan anda untuk mendaratkan sotong ke tebing. Gunakan peralatan yang sesuai untuk mengangkat sotong jika saiz sotong yang mengenai pancing anda cukup besar.

Hingga berjumpa lagi. Salam hormat.
Abe Din
Read more >>

25 May 2010

Menarik Sotong

Sekadar hambar hiasan

Apabila candat sedang dihenjut, kita akan terasa seolah-olah tarikan kita lebih berat dari sebelumya. Itu menandakan ada sotong yang telah sudi memegang candat kita dengan jari lembutnya. Mungkin jenis candat yang kita gunakan telah menarik minat sotong atau cara henjutan kita yang membuatkan sotong tergoda untuk menariknya.

Sotong tidak seperti ikan, tarikannya sangat jujur. Sotong akan menarik pancing kita dalam tarikan lurus mengundur ke belakang berbanding ikan yang membuat tarikan rawak dan lebih menggila. Jika pancing kita telah mengenai sotong, risiko untuk tersangkut dengan struktur tidak diingini adalah cukup minima berbanding ikan.
Pencandat yang mahir bukan sahaja dapat membezakan antara tarikan ikan dan sotong, mereka juga mampu membezakan tarikan ular laut yang terkena pancing.

Sekadar gambar hiasan

Jika sotong yang memegang candat anda bersaiz besar, ia akan membuat beberapa kali benaman ke bawah hinggakan tali pancing tertarik ke luar. Jika anda menggunakan 'serek', anda akan dapat merasa tarikan sotong yang original. Walaupun anda menahan tali ditepi bot, sotong besar masih mampu menarik tali 'serek' anda keluar.

Perlu diingat, jangan sekali-kali mengunci kekili pancing anda. Jika menggunakan 'serek' pastikan tali anda boleh dihulurkan keluar jika tarikan sotong terlalu kuat. Pastikan juga tali pancing anda sentiasa dalam keadaan tegang.

Menarik sotong tidak sama seperti menarik ikan. Jangan melayan tarikan sotong seperti anda membuat sentakan ikan. Jika anda menarik sotong seperti ikan, peluang untuk mendapatkan sotong agak tipis. Mungkin anda hanya mendapat jejari sotong sahaja. Apabila semakin lama anda mencandat, akan akan faham sendiri seni pancingan sotong ini.

Sekadar gambar hiasan

Semasa sotong tiba dipermukaan, sotong akan memancutkan dakwatnya ke atas. Oleh itu elakkan dari melihat sotong dalam posisi berhadapan. Pastikan sotong berada agak jauh dari muka anda dengan cara meluruskan tangan semasa mengangkat sotong. Sotong mampu memancutkan dakwat dan air melebihi ketinggian bumbung bot. Selalunya sotong torak hanya membuat sekali pancutan yang kuat. Pancutan air juga menunjukkan kedudukan sotong yang sudah berada berdekatan dengan permukaan.

Jika kita menghampiri bot-bot mencandat sotong, kita boleh melihat pancutan-pancutan air yang tinggi. Pancutan yang kerap memberi gambaran bilangan sotong yang berjaya didaratkan. Jika semakin banyak dan kerap pancutan, maka semakin banyak sotong yang telah dicandat. Selalunya fenomena sebegini tidak lama, oleh itu pemancing perlu peka kepada perubahan pola ini.

Bagi nelayan tradisional dan pencandat-pencandat hardcore, mereka akan menarik sotong dengan tarikan yang sesuai, memegang badan sotong dalam posisi rendah, mencampak ke dalam bekas sotong dan melepaskan semula candat ke laut dengan muka yang cukup selamber. Semuanya berlaku cukup pantas. Agak sukar untuk melihat sotong yang telah mereka tangkap dari jarak yang jauh. Walaubagaimanapun, pancutan yang dilakukan oleh sotong dapat memberikan gambaran yang cukup bermakna bagi bot-bot yang baru tiba ke lokasi berkenaan.

Semoga post-post berkaitan sotong torak ini dapat dijadikan sebagai panduan terutamanya kepada pencandat-pencandat yang baru. Post-post berikutnya akan membincangkan pula pelbagai sudut dan aspek bagi mengilat sotong ngabang atau sotong mabang.-Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing