PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

30 July 2011

Fizikal Mabang

Salam untuk semua pelawat. Terlalu sibuk dengan tugas harian hinggakan blog pun lupa nak update. Kali ini, Abe Din hendak membawa pembaca untuk mengenali serba sedikit tentang fizikal sotong mabang yang ditangkap iaitu dari segi warna dan bentuk. Bentuk dan warna sotong sangat berkait rapat dengan persekitaran habitatnya.

Sotong mabang boleh berada di lokasi yang sama dalam tempoh yang lama. Kebiasaannya sotong-sotong bersaiz kecil jarang berpindah jauh. Sotong yang bersaiz lebih besar pula kerap berpindah-randah mengikut air pasang surut.



Gambar-gambar di atas menunjukkan bahawa sotong berkenaan ditangkap pada lokasi  yang mempunyai kelajuan air laut yang sederhana. Warna yang terang, putih dan merah menunjukkan sotong berkenaan adalah dari jenis yang berpindah mengikut air pasang surut.



Sotong di atas pula adalah sotong yang banyak menghabiskan masa di sesuatu lokasi yang tetap dan wilayahnya tidak begitu luas. Warna yang hitam menggambarkan bahawa sotong ini berada di kawasan batuan hinggakan warna tubuhnya seakan-akan warna batuan bagi tujuan penyamaran.

Ada tiga bentuk sotong mabang yang biasa ditangkap. Bentuk ini dikaitkan dengan kelajuan arus laut. Sotong mabang yang mempunyai badan yang panjang dan larus ditangkap di kawasan arus laut yang laju dan bergelora. Saiz, panjang dan kelebaran yang sederhana menunjukkan lokasi air yang sederhana kuat manakala sotong mabang yang ditangkap di kawasan berarus tenang lebih gemuk, pendek dan lebar saiz badannya.

Hingga berjumpa lagi..
Abe Din


Read more >>

24 July 2011

Sentuhan awal

Selamat datang kepada semua pelawat dan pencandat sotong. Kali ini, Abe Din akan menerangkan dengan ringkas tindakan yang perlu dilakukan sebaik sahaja jig anda ditarik oleh sotong.

Semasa mencandat sotong mabang terutamanya, anda perlu peka terhadap sebarang tindakbalas yang terhasil kesan daripada tarikan dari dalam air. Sebagai pencandat anda mesti boleh membezakan antara tarikan sotong dan spesies bukan sotong. Pencandat yang mahir bukan sahaja boleh membezakan tarikan spesies-spesies dalam air tetapi juga dapat menganggar berat dan saiz sotong yang menarik jig.

Sotong memang terkenal dengan sifat "bekeng" atau dikenali juga sebagai "garang". Sifat ini menyebabkan sotong cukup cepat memberi respon terhadap jig yang melalui kawasannya. Jika tiba time sotong makan, pencandat tentunya tidak akan duduk diam kerana melayan sapaan si lembut ini.

Jika sotong bersaiz kecil, beberapa henjutan pendek dan berulang-ulang akan dirasakan dihujung joran anda. Jika sotong yang mengena bersaiz besar, anda akan rasanya seakan jig anda tersangkut pada karang atau batu. Kita hanya mengetahui ia adalah perbuatan sotong apabila jig ditarik dan joran dibenam dengan kuat. Jika saiz yang lebih besar, tali daripada gelendong kekili akan ditarik keluar dengan laju.

Pada ketika ini, kemahiran pemancing akan menentukan kejayaan menawan sotong berkenaan. Cara yang paling simple ialah dengan mengangkat joran secara meninggi dan dibiarkan statik atau dalam keadaaan bertahan. Pastikan juga tegangan kekili dilaraskan dengan betul. Tidak terlalu ketat atau terlalu longgar. Sebaik sahaja tarikan sotong lemah atau berhenti, karau tali pancing perlahan-lahan dan bertahan jika tarikan masih berlaku.

Jangan bimbang kerana sotong amat jarang membawa jig anda ke kawasan struktur kecuali jika anda memancing di unjam. Dalam tempoh yang singkat, sotong yang menarik pancing anda akan naik ke permukaan air dan ia akan menarik tali pancing secara lurus ke hadapan. Ketika ini sotong akan kerap menyembur air dari permukaan laut. Perlu diingat semakin kuat sotong menarik jig anda, maka semakin dalam lah mata kail jig tertancap pada tantakel sotong berkenaan.

Biarkan sotong menarik tali pancing anda sehingga ia benar-benar letih. Proses ini akan  memudahkan anda untuk mendaratkan sotong ke tebing. Gunakan peralatan yang sesuai untuk mengangkat sotong jika saiz sotong yang mengenai pancing anda cukup besar.

Hingga berjumpa lagi. Salam hormat.
Abe Din
Read more >>

22 July 2011

Ubahsuai Mata Jig

Salam untuk semua pelawat sotonglaut.blogspot. Pada kali ini, Abe Din akan menerangkan teknik bagi mengubahsuai mata kail candat atau jig udang yang selalunya digunakan utuk menjerat sotong mabang. 

Pencandat lama selalunya suka membeli jig-jig yang telah terbukti keberkesanannya walaupun harga jig berkenaan mahal. Pencandat baru yang kurang berpengalaman pula selalunya membeli jig-jig yang dirasakan oleh mereka cantik dan menarik. Sotong mabang sangat mudah untuk memegang jig-jig yang pelbagai warna dan corak. Walaupun begitu, jig yang lebih mahal memang terbukti dapat memerangkap si lembut dengan lebih berkesan.

Antara jig-jig yang biasa terdapat di pasaran.

Pencandat jarang menggunakan jig-jig yang kurang mendapat sambutan daripada si lembut atau jig-jig yang selalu menyebabkan sotong terlepas. Jig-jig sebegini akan dibiarkan melepak di dalam bekas candat atau disimpan di rumah sebagai tukun-tukun atau hiasan yang tidak berguna.

Mungkin ramai yang tidak tahu, ada di antara jig-jig udang berkenaan yang sangat diminati si lembut cuma disebabkan susunan dan kualiti mata kailnya, si lembut kerap berjaya melepaskan diri. Abe Din berpendapat jika sedikit pengubahsuaian dilakukan kepada mata jig berkenaan, maka anda masih berpeluang untuk mendapatkan si lembut menggunakan jig tersebut. Ekperimen ini telah dilakukan sendiri oleh Abe Din dan sangat berjaya. Sehingga kini teknik dan petua ini juga diaplikasikan pada jig-jig pertengahan seperti Yamashita.


Mata jig yang biasa ditemui.



Terdapat dua jenis susunan mata jig yang biasa ditemui iaitu jenis A: susunan silang dan jenis B: susunan selari. Susunan selari paling banyak dijumpai di pasaran. Selalunya mata jig ini disusun dengan ketinggian dan sudut bukaan yang sama.

Terdapat dua teknik dan petua yang biasa Abe Din gunakan untuk mengubahsuai jig murah. Idea utama ialah dengan mengubahsuai sudut bukaan mata jig.

Teknik 1-Menguncupkan sedikit barisan mata jig bahagian dalam dan membuka sedikit mata jig barisan bawah. Sudut mestilah sama mengikut baris.

Teknik 2- Menyilang sudut bukaan secara berselang seli mengikut barisan dalam dan barisan bawah seperti rajah di bawah.

Menyilang secara berselang seli

Gunakan alat yang sesuai untuk membengkok mata jig. Jangan sesekali menggunakan tangan atau jari. Selalunya Abe Din menggunakan teknik ini pada jig-jig yang murah dan kerap menyebabkan sotong terlepas. Jangan ubahsuai jig mahal yang memang terbukti sangat efektif dalam menjerat sotong. Jika pengubahsuaian perlu dibuat pada jig-jig mahal, lakukan dengan paling minima.

Memang sukar untuk dinyatakan peratus keberkesanannya. Sebenarnya ia memang sangat-sangat berkesan. Bak kata orang, belum cuba belum tahu. Rahsia dan teknik ini pertama kali Abe Din kupas dan dedahkan di sini untuk kaki-kaki mencandat sotong. Selamat mencuba dan sebarkan maklumat ini kepada rakan-rakan pencandat yang lain.

Semoga jumpa lagi
Abe Din
Read more >>

19 July 2011

Tinjauan Lokasi 3

Salam untuk semua pelawat yang sudi datang atau yang tersesat ke sini. Kali ini nak cerita tentang lokasi baru mencandat sotong mabang. Sebelum ini Abe Din sudah terdengar tentang lokasi ini, cuma belum berkesempatan untuk membuat lawatan.

Baru-baru ini, Abe Din bersama seorang rakan berpeluang mencuba nasib di lokasi baru ini. Terletak bersempadan dengan Kerteh dan Paka. Lokasi berkenaan terletak berdekatan dengan Stesen Janakuasa TNB Sultan Ismail, Paka. Kami dimaklumkan bahawa terdapat dua laluan ke lokasi ini iaitu melalui TNB atau melalui kandang kuda di pantai Paka.

Pelabuhan Kerteh


Pelabuhan Kerteh dari lokasi mencandat


Mula tiba... tak pandai lagi... casting dari pantai je.


Beberapa pencandat sedang mencari sotong mabang


Teknik mengharung air.. paras pinggang

Sewaktu mula tiba, kami tidak begitu tahu teknik pancingan di sini. Kehadiran beberapa pencandat yang biasa ke sini memberi peluang kami bertanya dan belajar cara mencandat yang biasa diamalkan di sini. Menjelang senja terdapat lebih kurang 10 hingga 15 orang pencandat berkumpul sambil mencuba nasib di sini.

Mula masuk dalam air... macam-macam bermain dalam kepala... mungkin fikiran kami sama je... ish... JERUNG. Kalau datang... habis... tak sempat lari. Hingga tempoh tamat.. tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Hasil kami berdua lebih kurang 10 ekor mabang termasuk yang terlepas. Best candat kat sini... sotong sini besar-besar dan ganas... kata seorang rakan baru.

Selepas trip pertama, dua lagi trip telah diadakan. Kalau ada masa nanti Abe Din post gambar. Susah sikit nak ambil gambar kat sini.. nak pegang pancing lagi, beg lagi, plastik lagi,... Hush.. kalau jatuh dalam air...demam seminggu. Bukan jatuh orang... telefon merangkap kamera kesayangan le...

Jumpa lagi..
Abe Din
Read more >>

15 July 2011

Trip Mabang 6-2011

Selamat datang kepada semua pelawat, pencandat dan rakan blogger. Baru-baru ini, Abe Din dan seorang rakan sempat mengadakan trip ke-6, mencari sotong mengabang di batu tambak, Teluk Kalong Kijal. Kami tiba di lokasi selepas asar. Air memang cantik... cuma...sotong je yang kurang galak menyambar jig udang.


Mabang kecil dan candat Yamashita 2.0


Saja je... fokus kamera arah member... 
kih2x.. aku dapat lesen


Sotong berlatar belakang lokasi mencandat


Sotong mabang yang berjaya ditipu jig Yamashita.


Banyak kali tukar candat.. tak dapat juga sotong
Kalau dah takde rezeki.. macam tu le.. 
Kih kih.. aku juara.

Petang berkenaan dapat beberapa ekor sotong saiz sederhana. Candat Yamashita warna oren memang menjadi. Beberapa ekor sotong dilihat mengejar candat hingga ke tebing tetapi berpatah balik. Hanya seekor dua sahaja yang sudi menyambar candat. Sotong besar takde ke? kih.kih.

Jumpa lagi..
Abe Din
Read more >>

14 July 2011

Mahalnya Sotong..

Salam untuk semua.. berjumpa lagi di sini... Rasa macam lama je tak update blog sotong ni.. Hari ni baru buka kononnya hendak post entri baru.. terkejut sakan bila tengok perubahan pada blogspot. Pening lalat sekejap.. camana nak taip, upload dan macam-macam lagi... kejap je pening... dah ok pun.

Hari ini nak cerita tentang harga sotong yang melambung di Kemaman. Nampaknya pada tahun ini musim sotong torak tidak begitu menjadi di Kemaman. Nelayan-nelayan tempatan yang mencandat torak pulang dengan hasil yang tidak seberapa. Banyak juga trip-trip mencandat yang kecundang. Walaupun begitu, ada juga kedengaran beberapa kumpulan pencandat dan nelayan yang bernasib baik.

Pada penghujung bulan Jun baru-baru ini, Abe Din sempat merayau-rayau di pasar tani di Kerteh. Kononnya singgah mencari umpan untuk memancing ikan. Sampai di gerai ikan, ternampak gerai menjual sotong mabang yang masih segar. Cuba tanya harga... RM18 sekilo. Macam tak percaya rasanya... menurut tuan gerai berkenaan, sotong agar sukar diperolehi pada tahun ini menyebabkan harganya agak mahal sedikit.

Sekilo lebih kurang 2 atau 3 ekor


Perut buncit... mesti ada telur


Sotong jarum dan ketupat berkualiti rendah. 
Ada kulit yang telah tertanggal. 
Tantakel nampak sedikit lembik dan tidak segar.


Cuba lihat bandingan saiz sotong dan jari Abe Din


Satu-satunya gerai yang menjual sotong


Kalau macam ini... payah le sikit nak makan sotong. Esoknya Abe Din bercerita dengan rakan sekerja tentang harga sotong berkenaan. Sedikit terkejut apabila rakan Abe Din mengatakan harga berkenaan lebih murah dari sotong yang dibelinya beberapa hari sebelum itu di bandar Chukai iaitu RM20 sekilo.

Kenapa sotong semakin kurang? Mungkin banyak yang perlu diperhalusi dan dikaji. Adakah kehadiran sotong di perairan Terengganu ini akan mengikut jejak langkah penyu yang semakin berkurangan setiap tahun? Mungkin juga ada cara untuk menyelesaikan kemelut ini, cuma belum dijumpai atau ianya tidak begitu penting untuk diselesaikan. Siapa sebenarnya mangsa? nelayan atau pengguna? Susah juga ye.....

Jumpa lagi..
Abe Din
Read more >>

01 July 2011

Tinjauan Lokasi 2B

Salam untuk semua.
Kita masih lagi berceloteh tentang tinjauan lokasi di Kuala Abang, Dungun. Dalam tinjauan baru-baru ini, sempat pula merakamkan keunikan yang terdapat di pantai ini. Walaupun kawasan pantai ini lebih kecil daripada saiz padang bola sepak tetapi ia menyimpan sesuatu yang menarik untuk diperhatikan dan dikongsi.

Struktur pantai yang terjadi di sini adalah hasil daripada hakisan air laut dan juga angin. Kewujudan kawasan lembut batuan menyebabkan pembentukan struktur batuan yang cantik dan menarik. Tambahan pula beberapa spesies tumbuhan masih mampu bertahan hidup di kawasan batuan ini walaupun persekitarannya nampak menyukarkan.

Sekali lihat macam mengkuang. Buahnya cantik.


Tumbuh subur menganjur ke laut


Batuan unik yang ditumbuhi pokok ru.


Batuan hasil ukiran ombak dan angin.


Baru dapat.. bukan di sini.. tempat lain.

Kadang-kadang terfikir juga, berbaloikah usaha ini... berjalan jauh hanya untuk mempromosi si lembut. Biar orang tahu tentang sotong, biar mereka belajar ilmu mencandat sotong. Biar mereka menjadi penyumbang dan bukan semata-mata pengguna. Bodohkah aku..

Tidak ramai yang sedar.. rupa-rupanya aku semakin dekat dengan-Nya. Semakin jauh aku berjalan, semakin banyak pintu yang terbuka. Moga-moga jalan aku terus lurus dalam mencari dan mengenal-Nya.
Abe Din
Read more >>

Tinjauan Lokasi 2

Apa khabar pengunjung semua. Moga sentiasa ceria.
Pada kali ini, Abe Din akan membawa anda melawat salah satu lokasi mencandat sotong mabang atau mengabang di Terengganu. Lokasi yang dimaksudkan terletak di daerah Dungun bersebelahan jalan utama Dungun-Kuala Terengganu berdekatan dengan Kuala Abang.

Pada cuti yang lepas, sempat Abe Din merayau-rayau di daerah Dungun mencari candat barang seekor dua. Lokasi ini diketahui dari seorang pekedai pancing bangsa Cina yang tidak lokek berkongsi maklumat berkaitan pancingan sotong. Terletak bersebelahan kawasan rehat Kuala Abang, Dungun, Terengganu. Lupa pula nak tanya nama kampung berkenaan.

Keadaan laut yang bergelora

Sebaik tiba di lokasi, air laut di kawasan berkenaan agak bergelora. Keadaan ini tidak sesuai untuk aktiviti mencandat sotong mabang. Langsung tidak kelihatan kelibat pencandat mabang di sini.

Papan tanda SMK (Agama) Kuala Abang berdekatan lokasi


Lokasi candat mabang dari pandanga atas


Ombak yang menghakis pantai
 

Batuan keras yang kelihatan di tepi pantai

Daripada maklumat yang diperolehi, kawasan pantai ini juga mempunyai kawasan berbatu yang ditenggelami air laut. Ketika air tenang, sotong mengabang akan datang bermain di sekitar batuan yang tenggelam agak jauh sedikit dari pantai. Pencandat di sini mencandat dengan cara mengharung air sehingga ke paras dada. Dengan cara mengharung air sebegini, pencandat dapat membaling candat jauh ke tengah. 

Selalunya candat berat bersaiz antara 2.5 hingga 3.0 digunakan bagi melawan tolakan angin ketika balingan dilakukan. Candat yang berat juga akan mempercepatkan ia sampai ke dasar pantai. Ketika musim kemuncak, sotong akan menghampiri kawasan tepi pantai terutamanya ketika waktu malam. Jika bernasib baik anda mampu mendapatkan sotong tanpa perlu mengharung air laut.

Abe Din tidak bernasib baik merakam gelagat dan aksi pencandat sotong mabang di sini. Jika ada masa terluang, aksi yang dinanti akan dirakam dan dimuatkan di sini.
Abe Din.
Read more >>

Blogger Pancing