"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.
Showing posts with label Tabiat sotong. Show all posts
Showing posts with label Tabiat sotong. Show all posts

11 December 2011

Sesumpah Laut

Selamat datang kepada semua pelawat yang dikasihi.
Hari ni, rase malas sungguh nak update blog sotong ini. Keadaan cuaca yang tidak menentu dan angin yang bertiup.... sejuk sampai ke tulang sotong menyebabkan otak dan fizikal aku semakin pasif. Tapi...bila aku lihat pelawat datang makin ramai... aku gagahkan juga menaip walaupun jari aku dah nak jadi rata. Bukan apa.. aku tak nak kecewakan korang... datang rumah aku kosong je, sama macam dulu, tak berubah pun. Bila aku gi rumah korang... semua dah tukar... background baru, entri baru... dan macam-macam lagi yang baru. Aku ni orang miskin... sebab tulah aku tak leh nak tukar baru tiap-tiap hari (sebenarnya malas). Aku harap korang faham le... kalau tak faham gak, buat-buat macam faham dah le.

Haaa.. hari ini nak cerita tentang satu lagi tabiat spesies lembut ini iaitu menyamar. Kalau kat darat kita ada sesumpah, 'pok ke' kata orang kat sini, yang cukup teror menyamar. Kat laut banyak haiwan yang pandai menyamar salah sengkor nya sotong. Sotong bukan sahaja pandai menyamar, beliau juga pandai meniru (rujuk post aku yang dulu-dulu).

Cer.. korang lihat kat bawah. Seekor sotong remaja sedang mengubah dirinya mengikut warna pasir tempat beliau diletakkan. Sekali tengok hampir serupa... ayam yang rabun, sah tak nampak benda alah ni. Tengok muke dia yang slamber dan tidak sedikitpun rase bersalah sebaik sahaja berjaya menyamarkan diri. Sebelum aku lupa... tujuan beliau
berkeadaan demikian adalah untuk menyelamatkan diri daripada musuh. Beliau memang sedap dan disukai serta selalu menjadi buruan pelbagai spesies penghuni laut seperti ikan dan penyu.



Kajian yang dibuat oleh saintis telah menunjukkan, sotong yang dilepaskan ke warna latar yang berbeza akan cuba beradaptasi dengan latar belakang barunya dalam beberapa minit. Semua maklumat yang dilihat dari matanya dihantar ke bahagaian kepala dan dipindahkan pula ke sel-sel warna yang terdapat pada kulit haiwan berkenaan. Hemm.. kalau aku boleh wat cam tu kan best....hampir serupa macam halimunan.



Gambar kat atas tu pula menunjukkan sotong cuba meniru latar belakang 'dam aji.' Gambar bawah pula, keadaan sotong yang sudah meniru latar berkenaan. Nak gelak pun ada sebab rupe dia kelakar sikit.. tak sama macam 'dam aji' pun. Silap la... patutnya omputih tu bagi tiru batik Terengganu ke... haa, baru ada klass. Tak pun letak je kain songket. Baru nampak tradisional sikit. Baru terbaek..



Korang cuba pula teliti gambar kat atas tu. Pada mulanya sotong hitam bertompok putih lari secara berundur ke belakang.. tak tahu sebab apa.. kena kejar toyol kot. Hampir dengan lubang dia dah start tukar warna kepada kelabu dan terus meniru background laut sebaik sahaja berhenti bergerak di dalam lubang. Ayam dengan itik memang payah nak nampak ni. Beliau akan selamat dari dilihat musuh jika berkeaan begini. Tapi bukan semua musuh. Ada sejenis jerung dan ikan pari yang boleh mengesan makanan hidup yang tertimbus dalam pasir dengan melakukan scan semulajadi dari atas.. lebih kurang macam batman le..

 

Gambar terakhir yang aku nak share dengan korang. seekor sotong coklat sedang berundur dikejar... tak apa yang kejar. Terus masuk celah soft coral dan terus menyamar seperti coral berkenaan (dalam bulatan).

Aku memang kagum dengan ciptaan tuhan. Aku sendiri pun tak sampai nak mikir.... kenapa boleh jadi cam tu. Saintis barat... la ni begitu bersemangat menguji perangai spesies ini. Cuba korang bayangkan jika mereka mengetahui rahsia dan mampu menirunya. Agak-agak korang apa tujuan atau aplikasi utama omputih tu? Haaa.. cer, jawab. Apa dok dengor..Senjata. Haa betul. Mala petaka yang terjadi kesan daripada inovasi berkenaan toksah  nak habaq la..mesti dasat. Kalau teknologi cam gini dapat ke Israel...lagi le dasat.

La ni pun diorang dah buat kapal terbang halimunan yang radar pun tak leh nak kesan. Telefon Nokia kepala ular korang lagi lah tak leh nak kesan. Tahun lepas telah dicipta sejenis cat ketenteraan yang boleh menghalimunankan kereta perisai dan khemah tentera. Inovasi dan perkembangan teknologi terbaru selalunya akan menentukan juara. Sotong merupakan salah satu spesies purba yang masih mampu bertahan dengan segala macam perubahan yang berlaku di laut. Tentunya ada sesuatu yang istimewa yang tidak dipunyai oleh spesies lain yang telah pupus. Rasenya salah satu keistimewaan itu ialah keupayaan menyamar untuk melindungi diri dari musuh.

Asyik sangat menaip... udah malam buta rupanya. Sebelum aku buta sebab lama sangat dok depan komputer buruk ni... lebih baik aku berhenti merapu. Tido pun best gak.. sejuk-sejuk ni. Rasa macam kat Cameron Highland le pulak. Orang kata kat sana banyak sotong betul ke?.. Bila le aku nak gi mancing kat sana... kihkih.
Jumpa lagi maa..Selamat malam.
Read more >>

10 December 2011

Tangkap Mangsa3

Selamat datang semua pengunjung sotonglaut.blogspot.
Perbincangan kita masih berkisar tentang cara sotong memegang mangsanya. Isu kali ini cuba mengupas serba sedikit berkaitan umpan ikan dan jig buatan manusia. Aku cuba mendapatkan beberapa lagi gambar dari laman youtube untuk memudahkan penyampaian maklumat aku kepada korang.

Gambar di bawah menunjukkan sotong sedang ghairah mendakap umpan ikan. Sekali tengok umpan berkenaan digunakan untuk memancing ikan bukannya untuk mencandat sotong. Nanti kalau aku ada masa aku kenalkan kat korang candat umpan pula (bagi yang dok kenal lagi le).

Untuk pengetahuan korang, sotong masih boleh ditangkap menggunakan pancingan ikan yang berumpankan ikan. Sotong sebenarnya memang suke giler dengan ikan. Ikan adalah menu KFC bagi sotong. Kenapa sotong berkelakuan demikian. Macam citer "Ombak rindu" je. Sebenarnya sotong sedang menarik badan  ikan ke bahagian mulut yang berada di tengah pangkal jejarinya. Sotong makan dengan cara menggigit daging ikan. Kalau korang pernah mancing kat laut berumpankan sengkor ikan... mesti korang pernah lihat, umpan ikan korang ada kesan gigitan kecil (bukan love bite) di merata tempat hingga menanggalkan kulit ikan berkenaan. Haa... tu kerja spesies lembut macam kat bawah tu... bukan "Alamak toyol"

Kalau umpan kecil macam anak udang atau anak ikan bilis... sotong saiz besar selalunya telan terus tanpa amaran. Kalau korang biasa membersihkan sotong jarum... mesti pernah jumpa ikan bilis atau anak udang dalam perut sotong. Memang ganas spesies ni..




Sebenarnya, sotong lebih sukakan ikan daripada candat udang. Walaupun begitu, peratus sotong yang dinaikkan menggunakan jig udang lebih tinggi kerana gerakan jig itu sendiri yang banyak menggoda nafsu makan sotong. Peluang untuk mendapatkan sotong berpandukan gambar di atas adalah rendah kerana kedudukan mata kail ikan yang dipasang menghala ke dalam. Cer korang lihat gambar mata kail ikan dalam bulatan. Sotong akan mudah terkena pancing jika kedudukan mata kail menghala ke luar. Mata kail Apollo ikan mudah mengenai badan sotong jika kena gayanya.



Sotong selalunya berkeadaan demikian dalam jangka masa yang lama sehingga kenyang. Jika korang menarik umpan ikan, sotong akan melepaskan pegangannya pada badan ikan. Ada juga sotong yang terlupa untuk melepaskan ikan hingga berjaya disauk pemancing.



Jenis ikan yang biasa digunakan untuk memikat sotong ialah ikan tamban, kembong, kunyit, atau selar kuning yang berbeza mengikut lokasi pancingan. Jika korang sedar sotong yang sedang mengacau korang memancing ikan... apa lagi cucuk ikan pada candat umpan atau turunkan jig udang bagi mendapatkan sotong. Jika penghuni di bawah adalah sotong torak alamat kaya le korang.... berpuluh-puluh kilo sotong boleh dinaikkan jika kena caranya.

Kadang-kadang sotong menyerang secara berkumpulan seperti sotong torak. Teknik candat yang sesuai ialah menggunakan jig udang atau jig mayat yang disusun secara Apollo. Kalau guna satu jig sahaja... rugi kerana tangkapan akan berkurangan. Korang boleh baca post sebelum ini bagaimana jig disusun secara Appolo. Bagi memaksimumkan tangkapan, aku cadangkan korang menggunakan susunan hibrid antara umpan ikan dan jig. Bila-bila nanti aku post cara nak buat susunan hibrid ini. 
Jumpa lagi.

Read more >>

Tangkap Mangsa2

Salam untuk semua yang sudi melawat blog buruk aku ni.
Kali ini aku nak sambung citer tentang cara sotong menangkap jig udang. Seperti yang aku kabo sebelum ini, pengetahuan ini serba sedikit akan bantu pencandat ketika mencandat sotong. Sume gambar kat bawah tu aku print screen dari sebuah laman youtube demi untuk bagi info kat korang sume. Kalau korang berminat, korang boleh ke laman youtube dan search perkataan-perkataan seperti 'squid',' squid jig', 'Jig' dan apa sahaja yang sesuai. 

Kebanyakkan video yang terdapat di youtube dihasilkan dari negara matahari terbit, Jepun. Ada juga yang diterbitkan di Taiwan, China dan lain-lain negara. Jepun mendahului dari segi penerbitan video-vedio berkaitan teknik mencandat menggunakan jig udang. Boleh aku katakan kat sini... bahawa aktiviti mencandat sotong di Jepun sangat maju dan cukup profesional. Tidak pelik jika aku simpulkan bahawa sukan memancing sotong adalah antara sukan yang digemari oleh rakyat Jepun. Di setengah tempat, aktiviti ini lebih popular dari aktiviti memancing ikan.

Sotong dikatakan antara haiwan invertebrata laut yang cerdik dan bijak. Ia begitu cepat beradaptasi dan bergerakbalas terhadap perubahan di persekitarannya. Disebabkan kelebihan ini, sotong cukup peka dengan kehadiran jig udang di persekitarannya. Jika jig berkenaan berjaya mengoda nafsu makan sotong, tentunya jig berkenaan akan dikejar sotong berkenaan.


Cer.. korang tengok bagaimana cara sotong mendekati jig udang. Mata yang besar digunakan sebaiknya untuk melihat jig dengan lebih berkesan berbanding ikan. Cara ia mendekati jig cukup berhati-hati. Penat juga aku memikir... nape sotong tidak menangkap jig dari arah belakang iaitu pada mata jig. Mudah sikit nak mengena.


Kedua-dua jejari primernya dilancarkan ke arah jig sambil membelit kemas. Sekali tengok, seolah-olah jig disepit seperti sepit makan orang Jepun, kihkih...Jig dalam keadaan tegak, sedikit berpusing disebabkan daya yang terhasil dari tolakan lengan sotong.

Sebenarnya jig berkenaan ditarik sangat perlahan bagi tujuan penggambaran. Jika jig ditarik dengan laju, peluang untuk mengenai mata jig adalah lebih tinggi dan jig sukar untuk berpusing disebabkan daya tarikan oleh pencandat.


Dua gambar di atas menunjukkan bagaimana sotong menarik jig secara melintang dan memeluknya menggunakan jejari primer dan skunder. Sotong berpeluang melakukan aksi berkenaan kerana jig tidak ditarik. Jika jig ditarik laju, sotong tidak mampu memeluk jig seperti gambar di atas. 

Korang mungkin dok sedar... aku dah beri sedikit tips bagi teknik TARIK-LEPAS-TARIK. Kalau korang tergolong di kalangan pencandat yang bijak serta bestari, korang mesti dah dapat memahami apa yang aku maksudkan..kihkih. Mungkin bagi sesetengah pencandat... tips ini tak berguna langsung... hampeh. Takpe... aku dok kecik ati... sekurang-kurangnya maklumat ini diperlukan oleh pencandat yang baru nak belajar. Ye ker... camana tau? Diorang tanya aku kat E-mail. Jangan dok cayer... 

Kalau ada lagi yang dok faham leh tanya.. kalau ada masa aku jawab. Jangan malu tanya, nanti sesat jalan. Aku rasa lega kerana sekurang-kurangnya aku sedang buat sesuatu untuk memajukan sukan memancing sotong kat negara kita. Bukan macam sesetengah orang tu... tahu kritik je... sumbangan takde. Ada setengah tu pula.... ilmu banyak macam gaban tapi kedekut.  Jangan perasan pulak... aku tak tujukan pada pelawat blog aku ni kerana korang sume baik-baik.

Cukup untuk kali ini... akhir kata sama-sama lah kita majukan sukan mencandat sotong.
Jumpa lagi.
Read more >>

Tangkap Mangsa

Selamat datang kepada semua otai blog dan pencandat sotong tegar.
Pada post kali ini, aku akan berceloteh tentang cara-cara sotong menghambat dan menangkap jig udang. Sebagai seorang pencandat, korang perlu tahu tabiat sotong yang satu ini. Pemahaman tabiat ini akan memudahkan korang ketika mencandat.

Cuba korang tengok gambar kat bawah ini. Banyak yang boleh diperkatakan tentang gaya makan sotong tersebut. Terutamanya dari segi cara ia memegang candat udang yang semestinya melambangkan tahap kerakusannya.

Satu jari sahaja mengena
Jika tidak berhati-hati.. sotong mudah terlepas

Korang patutnya dah tahu... tabiat makan sotong ini dipengaruhi oleh banyak faktor. Urutan gambar kat bawah tu menunjukkan sotong dalam keadaan mood makan yang sederhana. Sotong menyerang dalam keadaan berhati-hati tetapi nekad. 

Sotong dalam keadaan gelojoh selalunya akan menyerang dan membuka luas lengannya bagi tujuan menangkap dan membrek. Pada gambar di bawah, sotong datang, melancarkan tantakel utama dan terus berundur ke belakang tanpa berhenti. 

Apa pentingnya pemahaman proses ini kepada korang? Dok le penting sangat.. cuma lepas ini aku akan post artikel tentang teknik TARIK-LEPAS-TARIK. Kalau korang dok faham asas ini.. payah le aku nak citer kat korang teknik tu.



Urutan gambar menunjukkan sotong datang dari arah belakang jig udang, melancarkan tantakel primer melepasi jarum candat. Sekali tengok... tangan sotong berkenaan tidak mengenai jarum candat. Dalam erti kata lain usaha menipu sotong tidak berjaya... betul ke?



Jejari primer yang menyentuh candat, menarik candat ke jejari sekunder. Haa... ketika ini le kekudukan candat itu telah secara tidak sengaja berkeadaan selari dengan badan sotong disebabkan oleh tarikan sotong berkenaan. Daya tarikan ke belakang dan tarikan tali oleh pencandat ke arah yang bertentangan menyebabkan mata jig terkena pada jejari sotong (Dilurut secara tidak sengaja).  Pada tahap ini, peluang mendapatkan sotong sekitar 50%. Separuh lagi peluang terletak pada kemahiran korang mengendalikan sotong pada permukaan air.

Kalau korang nak tahu... sebaik sahaja candat mengenai jejari sotong, beliau akan cuba melepaskan candat berkenaan. Jika gagal ia akan melepaskan senjata utamanya iaitu dakwat hitam... itupun kalau dakwat dia ada lagi. Kalau masih gagal, ia akan memecut ke belakang. Situasi inilah yang selalu menjadi drama sinetron di kalangan pencandat. Bertahun-tahun citer benda sama kat kekawan... tak jemu-jemu.

Usaha sotong ketika melepaskan diri sangat bergantung kepada tenaga, saiz badan, kelajuan, keadaan sekeliling dan jenis sotong berkenaan. Kekuatan mesin, kelembutan pencandat dan kekuatan sotong bersilih ganti sehingga pemenang diketahui samada sotong atau pencandat.
Untuk memahami dengan lebih lanjut tabiat sotong yang menjadi topik kali ini, cer korang  review sumber dari laman youtube.

Lebih baik korang tengok video untuk memahami tabiat makan sotong. Kalau nak harap korang pergi menyelam, tengok sendiri dalam laut... tak tau bila. Aku pun takut... jerung banyak. Pakai cermin selam pun terbalik.... nak pasang gas lagi tak tahu. Pasang gas masak Petronas pun takut.. Guna je teknologi yang ada. Tak tau ..tanya. Apa lagi ha.... emmm..

Rasa cam nak tido le pulak..
Ok, tido dulu..jumpa lagi...
Read more >>

14 March 2011

Tukang Tiru

Salam untuk semua pengunjung blog sotonglaut. Pada kesempatan kali ini, Abe Din ingin berceloteh tentang satu tabiat haiwan ciptaan tuhan iaitu penyamaran meniru atau lebih dikenali sebagai kemimikan (mimic). Tentunya subjek utama yang akan dibincangkan ialah berkaitan sotong dan spesies yang dipilih kali ini ialah sotong kurita dari keluarga octopus.
Mimik ialah keserupaan rupa satu spesies dengan spesies lain yang bertujuan melindungi. Keadaan ini berlaku apabila haiwan yang dinamakan mimik berevolusi untuk meniru ciri-ciri yang terdapat pada spesies lain. Kemimikan merupakan satu jenis interaksi yang selalunya akan memberi kelebihan kepada spesies yang meniru.

Dengan bahasa yang lebih mudah mimik adalah satu proses pertahanan dan pelindungan dari musuh.  Sotong kurita meniru untuk memperdayakan musuh. Beberapa jenis mimik sotong kurita telah dikenalpasti oleh saintis antaranya ialah meniru gerak laku ikan lion fish, ular laut, buran atau sea anemones dan obor-obor. Ikan singa, ular laut, buran dan obor-obor memang terkenal dengan musibah yang dibawanya. Pemangsa memang awal-awal lagi menjauhi spesies-spesies ini.

Ada dua jenis mimik yang biasa dilakukan oleh sotong kurita iaitu "Kemimikan Bates" iaitu menyamar sebagai bahaya dan "Kemimikan Mertens",  menyerupai model tidak bahaya.

Sotong kurita mempunyai musuh yang terdiri daripada pelbagai spesies ikan. Untuk pengetahuan anda, sotong kurita selalu dijumpai bersiar-siar mencari makanan secara sendirian dan sukar untuk melihatnya secara berpasang. Kelebihan meniru yang ada padanya tentunya sedikit sebanyak membantunya membuat muka selamba di hadapan musuh.
 
Atas : Ikan sebelah
Tengah : Lion fish
bawah : Ular laut

Kerapkali juga musuhnya teragak-agak untuk membuat keputusan ke atas apa yang diperhatikan. Apa yang menariknya, sotong kurita ini tidak terlalu tergesa-gesa menjauhkan diri daripada musuhnya. Mungkin untuk mengelak rahsianya daripada terbongkar. Nak hidup le katakan..

Jika anda rajin melihat rancangan National Geografi dan video-video di internet, ada juga kedapatan pemangsa yang agak "brutal". Walaupun sotong kurita selamba melakukan mimik, selamba juga dia meluru nak makan. Sotong lari tak cukup tanah. Mungkin pemangsa tu dah tahu kot. Nasib badan le.
 

Kalau difikir-fikir, haiwan juga ada ikhtiar untuk meneruskan kehidupan. Apa yang berlaku kadang-kadang memang sukar untuk dihuraikan secara tepat tetapi sekurang-kurangnya hidup ini masih dapat diteruskan. Jumpa lagi…
Abe Din
Read more >>

04 June 2010

Tabiat Mabang

Seni pancingan sotong mabang adalah berbeza mengikut lokasinya. Terdapat empat lokasi atau keadaan di mana sotong mabang boleh dipancing iaitu :

1-Mengilat mabang dari kawasan berbatu ke arah laut
2-Mengilat sotong mabang dari kawasan laut ke arah batu atau pulau
3-Mengilat sotong mabang dari kawasan tepi pantai
4-Mengilat sotong mabang di kawasan unjam

Mengilat menggunakan kaedah 1 dan 3 tidak memerlukan pengilat sotong menaiki bot. Kaedah 1 dan 3 lebih menjimatkan kos.

Sebelum pemancing turun untuk mengilat sotong mabang, pemancing perlu memahami serba sedikit tentang tabiat pemakanan sotong mabang. Secara umumnya sotong mabang memakan ikan-ikan kecil, anak udang dan ketam kecil (ketam angin). Ada juga sotong mabang bersaiz besar memakan sotong-sotong yang bersaiz lebih kecil.

Ketika siang hari, sotong mabang akan berada di kawasan perlindungannya seperti kawasan batuan, pulau dan unjam. Pengilat sotong akan mudah menangkap sotong mabang di kawasan berkenaan di siang hari. Apabila hari semakin gelap sotong akan mula menjauhi kawasan berlindungnya untuk mencari makanan.

Selalunya sotong mabang remaja yang sama saiz akan bergerak secara berkumpulan. Sotong mabang yang besar pula kebiasaannya bergerak secara berpasangan. Pemancing perlu memahami pola ini untuk memastikan hasil tangkapan lebih baik.

Pergerakan sotong mabang tidaklah terlalu jauh seperti sotong torak. Selalunya, ia akan berulang-alik dan kembali semula di kawasan pemancing. Selalunya tarikan sotong hanya berlaku beberapa kali sahaja kemudian berhenti. Pengilat sotong yang mahir akan membuat dua tindakan samada menunggu sotong datang semula ke kawasannya atau berpindah mengikut pergerakan sotong yang dijangkakan. Keadaan ini tidak berlaku jika ketika itu sotong mabang cukup banyak menghampiri kawasan candat.

Ada dua keadaan sotong mabang memegang candat iaitu secara usik-lepas dan pegang-erat. Jenis sotong mabang yang usik-lepas atau teragak-agak ini sukar untuk dijerat. Cara pegangannya sama seperti pegangan sotong cumit atau jarum. Walaubagaimanapun penggunaan candat mahal yang cukup tajam sangat mudah untuk menjeratnya.

Jika sotong menangkap secara pegang-erat, peluang pemancing agak cerah untuk menaikkanya. Penggunaan candat bermata pendek boleh menyebabkan sotong terlepas kerana pegang-erat ini selalunya disertai dengan henjutan dan tarikan yang kasar. Pengilat dicadang untuk menggunakan candat yang mempunyai mata yang panjang dan kukuh.

Pengilat sotong yang mahir selalunya tidak akan melepaskan peluang untuk mengilat sotong ketika bulan cerah kerana sotong mabang dan spesies sotong lain cukup aktif pada ketika ini. Ketika bulan cerah, cuba minimumkan pergerakan kerana ini akan menyebabkan sotong beredar ke tengah laut. Pengilat sotong boleh membuat jangkaan jika sotong menyambar candat dari jarak jauh, ia menunjukkan sotong telah menyedari kehadiran pemancing. Jika tangkapan berdekatan dengan kawasan pengilat ini menunjukkan sotong berada pada kedudukan paling dekat dengan pengilat.

Latar belakang pengilat, warna baju dan penggunaan lampu merupakan faktor yang perlu diambil kira semasa mengilat sotong. Semasa bulan gelap, selalunya sotong akan memegang candat berhampiran dengan pengilat. Mengilat ketika bulan cerah dan gelap juga banyak dipengaruhi oleh kejernihan air dan pasang-surut. Perlu diingat sotong mabang tidak menyukai lampu seperti sotong torak. Ramai yang tidak tahu bahawa sotong torak juga tidak menyukai cahaya lampu yang tidak statik iaitu cahaya lampu yang digerak berulang kali.

Secara umumnya sotong mabang tidak akan berada jauh dari kawasannya berlindung iaitu kawasan batuan atau unjam. Amat jarang sotong mabang ditangkap di kawasan laut terbuka. Jika sotong mabang menyedari kehadiran bahaya samada manusia atau ikan, maka ia akan menjauhi kawasan ia berlindung tetapi tidak terlalu jauh. Apabila tiada ancaman, sotong akan kembali semula bermain di kawasan batuan. Jika ramai pemancing berulang-alik dan memasang lampu di kawasan mengilat, peluang untuk mendapatkan sotong mabang bersaiz besar adalah cukup tipis.

Mata hijaunya yang bersaiz besar sedikit sebanyak mempengaruhi tabiat dan cara hidup sotong mabang-Abe Din
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing