PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

29 May 2010

Trip Malam 28 Mei

Sotong Torok Lebih Sedap Daripada Sotong Mabang
Sekadar Gambar hiasan

Pada malam 28 Mei 2010, lebih kurang pukul 8.30 pm, saya mula ke port sotong di Petronas. Setelah sampai lebih kurang 5 minit seorang lagi rakan Sotong Mania tiba ke lokasi pada ketika itu saya telah berjaya mencandat 2 ekor sotong mabang saiz remaja.

Ramai pemancing telah berada sejak petang di kawasan batu tambak berkenaan. Ada yang memancing ikan dan mengilat sotong. Lebih kurang pukul 11.00 malam semua pemancing telah pulang kerana hasil kurang memberangsangkan. Ketika itu saya yang menduduki lokasi hujung batu tambak arah utara sudah berjaya menaikkan sotong sebanyak 6 ekor termasuk jarum dan seekor torak.

Saya dan rakan terus mengilat sehingga pukul 3.00 pagi. Awan hitam dan kilat dari sebelah selatan menyebabkan kami mengambil keputusan untuk kembali ke kawasan pantai. Ketika itu saya telahpun menaikkan sebanyak 14 ekor sotong termasuk 3 ekor sotong torak lebih kurang 2.5 jengkal.Memandangkan awan dan kilat semakin menjauh, kami mengambil keputusan untuk cuba mengilat di kawasan pantai arah selatan. Rakan saya berjaya menaikkan seekor sotong mabang saiz remaja. Tidak lama kemudian pancing saya dihenjut dan dibenam keras dalam jarak lebih kurang 15 meter. Saya terus berdiri sambil menahan joran yang semakin melendut dan tali ditarik keluar dari kekili. Sotong masih mampu menarik dan menghenjut sehingga ke pesisir pantai. Kami agak terkejut kerana sotong yang memegang candat ialah sotong torak sepanjang 3.5 jengkal.

Siapa Sangka Torak Menyerang Hingga ke Pesisir Pantai
Sekadar Gambar Hiasan

Beberapa balingan berikutnya sekali lagi mendapat tarikan keras berdekatan dengan tepi pantai. Saya beranggapan candat tersangkut batu. Dengan sekali henjutan, seekor lagi sotong torak bersaiz lebih daripada 2 jengkal terdampar di pantai. Kami agak pelik kerana sotong torak selalunya dipancing di laut lepas. Malam itu saya mendapat 17 ekor sotong (5 mabang, 7 jejarum dan 5 torak). Rakan saya memperolehi 7 ekor sotong. Jumlah keseluruhan lebih kurang 24 ekor. Kami pulang menjelang pukul 5 pagi.

Peristiwa sotong torak membedal jig candat di pesisir pantai adalah sesuatu yang jarang berlaku. Berdasarkan pengalaman saya, torak yang menghampiri kawasan pantai atau batu untuk mencari makanan selalunya berpasangan. Apabila jig saya ditarik dalam jarak 15 meter, sotong kedua mengikut rakannya hingga ke kawasan pantai. Sebaik balingan berikutnya dilakukan, kemungkinan sotong yang sedang keliru mencari rakannya yang hilang secara tiba-tiba akan terus menangkap jig yang melalui kawasannya.

Bagi pemancing yang mahir, mereka tidak akan membuat banyak pergerakan apabila menaikkan sotong bersaiz besar samada torak atau mabang. Pergerakan yang minima akan memudahkan proses menjerat sotong kedua. Jika pemancing bangun dan banyak bergerak, sotong kedua yang mengikut sotong pertama akan melarikan diri ke kawasan tengah laut. Jika keadaan ini berlaku, peluang untuk mendapatkan sotong kedua adalah tipis.

Jig Keramat-Klon Yamashita

Sesuatu yang menarik pada trip berkenaan ialah penggunaan jig murah yang kami namakan jig klon yamashita. Hasil daripada jig ini mengatasi hasil jig yang mahal seperti golden bait (yamashita). Saya hanya memperolehi 2 ekor sotong mabang menggunakan golden bait berharga RM32. Jig klon yang digunakan hanya berharga RM11 bagi 3 jig. Apa yang penting di sini, pemancing dan pencandat perlu membuat beberapa percubaan bagi menguji sesutu jig yang sesuai dengan anda. Dalam post berikutnya, saya akan menerangkan bagaimana untuk melakukan beberapa pengubahsuaian pada jig murah untuk menambahkan lagi nafsu makan sotong-Abe Din
Read more >>

Fakta Sotong

Sotong dikelaskan di dalam kumpulan cephalopoda, subclass coleoidea, order teuthida. Terdapat dua suborders yang utama iaitu myopsina dan oegopsina. Oegopsina merupakan kumpulan sotong gergasi (giant squid).

Teuthidia merupakan order cephalopod terbesar iaitu sekitar 300 spesies di dalam 29 families. Pengkaji meramalkan terdapat lebih kurang 200 spesies sotong yang masih belum dikenal pasti. Secara umumnya sotong mempunyai lapan lengan dan dua tentakel. Ada juga jenis sotong yang mempunyai 10 lengan. Tantakelnya berfungsi untuk menangkap mangsa dan pegangannya dikukuhkan lagi dengan bantuan lengan. Setiap lengan dan tentakelnya mempunyai tiup penyedut bulat yang bertindak sebagai penyedut yang menguatkan pegangan. Lengannya akan membantu menghalakan mangsa ke arah mulut. Kesemua lengannya bersambung terus ke bahagian kepala sotong.

Di kepalanya terdapat sepasang mata yang besar. Mata besarnya memudahkan ia untuk mencari makanan dan mengesan musuh. Sotong agak menyerupai ikan berdasarkan bentuk badannya serta mempunyai sepasang sirip renang dihujung badan. Gabungan tiub tubuh dan siripnya yang aktif memberikan kelebihan kepada sotong untuk memecut dan berhenti secara tiba-tiba.

Salah satu keistimewaan sotong adalah simpanan dakwat hitamnya. Selalunya sotong memancutkan dakwatnya apabila ia rasa terancam. Jika pancutan dakwatnya terkena mata, ia akan mengakibatkan pandangan kita menjadi kabur dalam beberapa minit. Dalam tempoh berkenaan sotong sudah mampu untuk melarikan dari dari musuhnya. Ada spesies sotong yang mampu mengawal pancutan dakwatnya untuk dilepaskan sedikit demi sedikit secara berulang-ulang.

Antara keistimewaan lain sotong ialah kewujudan chromataphores yang membantu sotong untuk menyamar mengikut warna persekitarannya. Chromataphore juga berfungsi semasa ritual mengawan. Semasa proses menyamar, Chromataphores pada badan sotong akan menghasilkan cahaya maya yang menarik minat ketam dan ikan-ikan kecil untuk menghampirinya.

Majoriti sotong mempunyai panjang badan tidak lebih dari 40cm (24 inci). Giant squid pula mampu mencapai panjang sehingga 14 meter ( 46 kaki). Sotong yang paling besar mampu mencapai berat sehingga 1,000 paun. Sotong Humboldt yang ganas mampu menyerang ikan jerung untuk dijadikan makanannya.

Sotong bernafas menggunakan insang seperti ikan dan kebanyakkannya mampu hidup selama tempoh lebih kurang setahun. Sotong suka hidup di kawasan panas dan hanya sedikit hidup di kawasan yang sejuk dan dalam.


Ukuran Standart Sotong

Menurut saintis, sotong merupakan satu spesies yang boleh digunakan sebagai penunjuk kepada kualiti air laut. Sotong dikatakan tidak boleh hidup di kawasan yang tercemar. Kawasan yang mengandungi sotong menunjukkan kualiti air di kawasn berkenaan adalah baik. Sotong hidup secara berkumpulan dan berpindah randah. Sotong akan mengikuti pola pergerakan makanannya. Ia akan berhenti di kawasan yang selamat dan mempunyai makanan yang cukup. Sotong juga berhenti di sesuatu lokasi untuk bertelur tetapi tempoh persinggahan berkenaan tidak lama.

Perubahan cuaca terutamanya pemasanan global boleh merencat pertumbuhan dan pembiakan sotong. Sotong dapat mencerna makanannya dengan baik di kawasan sederhana panas. Pertambahan suhu akan merendahkan kemandirian sotong untuk hidup dan membiak. Pemanasan global juga akan menghadkan kewujudan makanannya seperti anak-anak ikan, udang dan ketam.

Suntingan dan ubahsuai : Abe Din
Read more >>

25 May 2010

Menarik Sotong

Sekadar hambar hiasan

Apabila candat sedang dihenjut, kita akan terasa seolah-olah tarikan kita lebih berat dari sebelumya. Itu menandakan ada sotong yang telah sudi memegang candat kita dengan jari lembutnya. Mungkin jenis candat yang kita gunakan telah menarik minat sotong atau cara henjutan kita yang membuatkan sotong tergoda untuk menariknya.

Sotong tidak seperti ikan, tarikannya sangat jujur. Sotong akan menarik pancing kita dalam tarikan lurus mengundur ke belakang berbanding ikan yang membuat tarikan rawak dan lebih menggila. Jika pancing kita telah mengenai sotong, risiko untuk tersangkut dengan struktur tidak diingini adalah cukup minima berbanding ikan.
Pencandat yang mahir bukan sahaja dapat membezakan antara tarikan ikan dan sotong, mereka juga mampu membezakan tarikan ular laut yang terkena pancing.

Sekadar gambar hiasan

Jika sotong yang memegang candat anda bersaiz besar, ia akan membuat beberapa kali benaman ke bawah hinggakan tali pancing tertarik ke luar. Jika anda menggunakan 'serek', anda akan dapat merasa tarikan sotong yang original. Walaupun anda menahan tali ditepi bot, sotong besar masih mampu menarik tali 'serek' anda keluar.

Perlu diingat, jangan sekali-kali mengunci kekili pancing anda. Jika menggunakan 'serek' pastikan tali anda boleh dihulurkan keluar jika tarikan sotong terlalu kuat. Pastikan juga tali pancing anda sentiasa dalam keadaan tegang.

Menarik sotong tidak sama seperti menarik ikan. Jangan melayan tarikan sotong seperti anda membuat sentakan ikan. Jika anda menarik sotong seperti ikan, peluang untuk mendapatkan sotong agak tipis. Mungkin anda hanya mendapat jejari sotong sahaja. Apabila semakin lama anda mencandat, akan akan faham sendiri seni pancingan sotong ini.

Sekadar gambar hiasan

Semasa sotong tiba dipermukaan, sotong akan memancutkan dakwatnya ke atas. Oleh itu elakkan dari melihat sotong dalam posisi berhadapan. Pastikan sotong berada agak jauh dari muka anda dengan cara meluruskan tangan semasa mengangkat sotong. Sotong mampu memancutkan dakwat dan air melebihi ketinggian bumbung bot. Selalunya sotong torak hanya membuat sekali pancutan yang kuat. Pancutan air juga menunjukkan kedudukan sotong yang sudah berada berdekatan dengan permukaan.

Jika kita menghampiri bot-bot mencandat sotong, kita boleh melihat pancutan-pancutan air yang tinggi. Pancutan yang kerap memberi gambaran bilangan sotong yang berjaya didaratkan. Jika semakin banyak dan kerap pancutan, maka semakin banyak sotong yang telah dicandat. Selalunya fenomena sebegini tidak lama, oleh itu pemancing perlu peka kepada perubahan pola ini.

Bagi nelayan tradisional dan pencandat-pencandat hardcore, mereka akan menarik sotong dengan tarikan yang sesuai, memegang badan sotong dalam posisi rendah, mencampak ke dalam bekas sotong dan melepaskan semula candat ke laut dengan muka yang cukup selamber. Semuanya berlaku cukup pantas. Agak sukar untuk melihat sotong yang telah mereka tangkap dari jarak yang jauh. Walaubagaimanapun, pancutan yang dilakukan oleh sotong dapat memberikan gambaran yang cukup bermakna bagi bot-bot yang baru tiba ke lokasi berkenaan.

Semoga post-post berkaitan sotong torak ini dapat dijadikan sebagai panduan terutamanya kepada pencandat-pencandat yang baru. Post-post berikutnya akan membincangkan pula pelbagai sudut dan aspek bagi mengilat sotong ngabang atau sotong mabang.-Abe Din.
Read more >>

18 May 2010

Awasi Bahaya

Apabila henjutan sotong semakin menggila, kadang-kadang kita terlupa tentang bahaya yang menanti. Hal keselamatan diri jarang diambil peduli. Malang tidak berbau.


Ancaman Todak

Jangan bermain-main dengan lampu. Lampu suluh yang disuluh di merata-rata boleh mengejutkan ikan todak. Kebiasaannya ikan todak berada dekat dengan permukaan air. Apabila terkejut ia akan berenang dengan laju dan melompat di atas permukaan air. Jika nasib tidak baik, muncung tajamnya akan mencucuk kita. Saiz ikan todak di laut lebih besar daripada saiz ikan todak di sungai. Ikan todak juga suka berkejaran dan memburu makanan dengan membuat lompatan dan renangan yang laju. Kes tikaman todak pernah berlaku beberapa tahun lepas di Kelantan. Tikaman ikan todak berkenaan telah menyebabkan kehilangan nyawa manusia.

Spesies AsingApabila lampu bot dipasang bagi tujuan mencandat, banyak haiwan-haiwan kecil yang akan timbul menghampiri lampu. Ada diantaranya berwarna-warni dan cukup cantik. Anda dinasihatkan agar tidak menangkap atau memegangnya walaupun saiznya kecil. Kemungkinan, haiwan berkenaan sangat bahaya. Antara haiwan yang biasa timbul ialah "ulat bulu laut" yang cukup berbisa.

Ular laut
Ular laut akan timbul dipermukaan laut apabila arus laut semakin perlahan atau mati. Ular ini akan timbul bagi mencari ikan dan sotong. Ular laut seringkali terkena pancing candat yang menggunakan umpan ikan (candat umpan). Pastikan yang mengena pancing anda adalah sotong sebelum anda memegang atau mengangkatnya ke dalam bot.

Ribut dan Kilat
Apabila berlaku perubahan monsun, hujan ribut dan kilat boleh berlaku secara tiba-tiba. Jika ribut datang dari arah laut, tekong akan mudah mengesannya. Jika ribut datang dari arah daratan, sudah tentu bot mencandat tidak sempat untuk mengelak. Ada sesetengah tekong yang sudah biasa dengan ribut mengambil keputusan untuk tidak beralih dengan alasan tempoh ribut yang singkat. Bagi pemancing yang tidak biasa tentunya akan menimbulkan keadaan cemas dan takut. Ada juga tekong bot yang berlindung di kawasan pulau yang lebih tenang sebelum kembali semula ke lokasi mencandat selepas ribut berlalu.

Lebih parah lagi jika hujan ribut datang disertai kilat. Suasana sekeliling cukup mencemaskan. Apa yang dibimbangi jika hujan tanpa ribut yang disertai dengan kilat. Ada pemancing yang mengambil kesempatan untuk mencandat pada suasana sedemikian. Perlu diingat sotong akan tetap memegang umpan selagi lampu tidak dipadam.

Kilat selalunya menyambar objek atau struktur yang paling tinggi. Di laut, bot candat merupakan struktur terapung yang paling tinggi yang akan mendedahkan pemancing kepada sambaran kilat. Adalah dinasihatkan agar pemancing berada di dalam kabin bot dan tidak keluar mencandat sehingga kilat berlalu. Ada beberapa kes sambaran kilat di laut pernah dilaporkan di dalam media kita.

Sebelum ke laut adalah baik jika kita berdoa serta memohon kepada-Nya agar kita diselamatkan dari sebarang musibah dan bahaya-Abe Din.
Read more >>

Tips Elak Mabuk

Sesuatu trip mencandat sotong tidak akan bermakna jika pesertanya mabuk laut. Selalunya mereka yang mabuk laut akan hilang selera untuk makan dan membuat aktiviti-aktiviti lain termasuklah mencandat sotong.

Ada individu yang mabuk laut tidak mampu walaupun untuk bangun dan berdiri. Mustahil untuk tekong bot menghantar ahli yang mabuk laut ke jeti dan kemudian kembali semula ke laut. Ahli yang mabuk selalunya boleh mengganggu aktiviti mencandat rakan-rakan lain yang tidak mabuk. Ada juga rakan-rakan yang baik mengambil keputusan untuk membatalkan trip hanya kerana kasihankan rakan mereka yang mabuk laut.

Satu kisah yang ingin saya kongsi iaitu peristiwa yang berlalu pada suatu petang lebih kurang lima tahun lepas. Ketika bot mencandat yang saya naiki melepasi kuala, kami dapati terdapat seekor kucing di atas bot. Rupa-rupanya, kucing berkenaan sedang tidur di dalam kabin bot. Disebabkan kami sudah jauh melepasi kuala, kami mengambil keputusan untuk tidak berpatah balik dan membawa bersama kucing berkenaan.

Kami dijangka akan pulang pada pukul 11 pagi keesokannya. Kucing berkenaan tidak banyak bergerak dan banyak menghabiskan masa untuk duduk. Jika ia berjalan sedikit, ia akan duduk semula. Kami beranggapan mungkin kucing berkenaan mabuk laut. Ikan umpan yang diberi juga tidak dijamah. Sebaik sahaja kami tiba di jeti keesokannya, kucing berkenaan terus melompat ke jeti sambil menoleh sekali ke belakang dan terus menghilang.

Mabuk terbahagi kepada dua kumpulan utama iaitu mabuk laut dan mabuk darat. Mabuk laut dibahagikan kepada tiga kategori iaitu ringan, sederhana, dan berat. Mabuk laut ringan, tidak mengganggu aktiviti individu. Individu yang mabuk laut ringan akan merasa sedikit pening sahaja dan boleh diubati dengan hanya menyapu minyak angin.

Bagi mabuk laut sederhana, individu akan muntah tetapi masih boleh melakukan aktiviti mencandat sotong. Kes mabuk berat pula akan menyebabkan individu termuntah beberapa kali dan tidak mampu untuk berdiri apalagi melakukan sebarang aktiviti mencandat.

Mabuk darat selalunya terjadi apabila kita sudah berada di darat. Kesannya boleh dirasai sehingga beberapa hari. Mereka yang mabuk darat akan rasa terumbang-ambing semasa berdiri dan tidur. Mabuk darat juga boleh membahayakan jika mereka yang terlibat memandu kenderaan. Gangguan kecil pada medula oblongata di otak akan menyebabkan individu terasa seakan dibuai-buai. Kesan mabuk darat ini akan hilang dengan sendiri.

Sepanjang pengalaman saya ke laut, berbagai cara telah saya gunakan untuk mengelak dari mabuk laut. Semua kaedah ini diperolehi dari perbualan dengan nelayan-nelayan tempatan dan rakan-rakan pemancing yang lain. Walaupun anda biasa ke laut, risiko untuk mabuk laut tetap ada.

1-Mengurangkan makan makanan yang banyak minyak sebelum turun ke laut.
2-Makan asam atau benda masam seperti asam masin ketika mula rasa hendak mabuk laut.
3-Jangan terlalu lama memandang lantai bot. Kerap mengikat pancing di atas bot boleh mengundang mabuk laut.
4-Jangan merenung atau melihat riak air laut dalam tempoh yang lama.
5-Cuba beri tumpuan pada objek jauh seperti pantai, bot nelayan, bukit-bukau dan pulau-pulau.
6-Pastikan anda tidak mencium bau minyak diesel dan asap bot. Duduk di bahagian hadapan.
7-Jangan duduk berdekatan enjin bot. Bunyi yang kuat boleh mengundang mabuk
8-Jangan bermain dengan hasil tangkatan terlalu lama. Bau hanyir boleh meloyakan
9-Terjun ke laut dan menyelam sekali kemudian naik semula. Jaga-jaga ikan jerung.
10-Makan pil mabuk selalunya 10 hingga 30 minit sebelum bot bertolak.

Kaedah moden yang masih kurang popular ialah pemakaian gelang bagi mencegah mabuk laut. Saya mengetahui kehadiran gelang ini yang bertujuan menstabilkan aliran darah melalui iklan di dalam sebuah majalah. Sehingga kini saya masih belum berpeluang untuk mencuba keberkesanannya.

Perlu diingat, bukan semua panduan di atas mesti serasi dengan anda. Mencuba dahulu adalah lebih baik. Adalah diharapkan aktiviti mencandat anda tidak diganggu dengan mabuk laut.
-Abe Din
Read more >>

16 May 2010

Cari "Kandang"

"Kandang" ialah satu istilah yang digunakan oleh pencandat tempatan bagi menerangkan lokasi sotong berkumpul dan bertelur. Jika sesiapa berjaya menjumpai "kandang" sotong, maka peluang untuk mendapatkan sotong dalam jumlah yang banyak sangat cerah.

Pada musim sotong antara April hingga Oktober, sotong torak, sotong jarum, dan sotong ketupat akan menghampiri perairan pantai timur untuk mengawan dan bertelur. Selalunya sotong akan memilih kawasan pasir kerana kawasan ini lebih cetek dan cahaya matahari boleh sampai ke dasar laut. Cahaya matahari yang cukup dapat membantu telur sotong untuk menetas.


Selepas mengawan dan bertelur sotong mempunyai tabiat makan yang agresif. Sotong yang sudah bertelur kerap menggigit antara satu sama lain. Terdapat tiga cara yang biasa digunakan oleh nelayan tempatan bagi mencari "Kandang sotong".

1. Meninjau dengan cara mencandat- Jika terdapat beberapa ekor sotong berjaya dicandat, maka bot akan dilabuhkan.

2-Mencari telur sotong- Cara ini menggunakan candat bersaiz besar untuk mengait telur di dasar laut. Proses dijalankan beberapa kali. Jika terdapat telur yang tersangkut, maka nelayan akan melakukan proses pertama sebelum bot dilabuhkan. Ada juga telur sotong yang dikesan tersangkut pada sauh bot.

3-Mencari kumpulan pencandat-Cara ini lebih mudah iaitu bot akan bergerak dan menghampiri kumpulan pencandat yang sedang berkumpul. Jika waktu malam kumpulan candat mudah dikesan dengan kehadiran lampu-lampu kalimantang dan sportlight.


Setiap tahun, kawasan kandang sotong akan berubah-ubah mengikut pembentukan serta kehadiran pasir di dasar laut. Walaubagaimanapun, kedudukan kandang tidaklah beralih terlalu jauh. Bagi nelayan yang mahir, mereka dapat mengagak lokasi kandang yang ingin dicari-Abe Din.
Read more >>

Cara Ikatan Candat

Ketika mula mencandat sotong torak, saya cuba meniru dari jauh apa yang dilakukan oleh tekong. Dari memasang umpan sehinggalah cara henjutannya. Apa yang pelik, tiada sotong yang sudi menarik candat, sebaliknya tekong menaikkan sotong seekor demi seekor. Bahu macam nak tercabut manakala jari telunjuk semakin lama semakin pedih. Sotong di bawah bot memang banyak tetapi buat tak tahu je.

Setelah sekian lama mencandat, semakin banyak pengalaman dikutip dari "sifu-sifu" sotong. Rupa-rupanya cara ikatan memainkan peranan yang cukup penting bagi menarik perhatian sotong. Candat mahal dan cantik bukan sandaran untuk mendapatkan sotong. Kali ini saya akan menerangkan secara ringkas bagaimana untuk mengikat candat. Walaubagaimanapun cara ini bukanlah satu-satunya cara yang berkesan.

1-Tali utama-Serek memerlukan kekuatan tali lebih kurang 100-150 paun. Joran 50 paun.
2-Tali Perambut-20-25 paun, tali perambut joran lebih kecil
A-Penyambung logam
B-Candat udang atau candat moden yang ringan. Candat pertama jangan terlalu dekat dengan A.
C-Candat Twist atau "candat mayat" yang dibuat dari timah
X-Jarak antara candat. Lebih kurang sejengkal

Penggunaan tali serek yang kasar mampu menggurangkan tekanan pada tangan ketika membuat henjutan atau ketika menarik sotong. Perambut yang lebih kecil mampu menjadikan tarian candat lebih real. Pada masa kini ramai pencandat menggunakan perambut jenis invisible atau lebih dikenali sebagai "perambut hantu".

Cara Membuat Perambut
Ambil Tali perambut yang sesuai dan tali kedua yang lebih kecil. Letakkan bersama dan buat satu gelung dengan dua pusingan ke dalam dan ditarik dengan ketat. Potong satu hujung tali yang kecil. Jika ia melengkung ke bawah, ia sesuai untuk diikat candat. Jika ia lurus ke bawah, itu menunjukkan anda tersalah potong. Ulang langkah berkenaan jika hendak menambah candat udang yang seterusnya. Paling kurang dua candat jenis B. Candat yang paling bawah (Twist) terus diikat pada tali perambut utama. Ia bertindak sebagai pemberat untuk menjatuhkan candat ke dasar laut serta berfungsi untuk meluruskan tali.

Candat umpan dipasang dengan mencucuk ikan dari ekor hingga ke mulut. Panyambung logam A dicucuk pada mulut ikan dan disambung ke hujung candat. Ada juga ikan yang dicucuk terbalik dari mulut ke ekor. Kedua-dua kaedah ini mampu menjerat sotong torak. Walaubagaimanapun cara seperti rajah di atas adalah lebih praktikal kerana apabila tali ditarik, ikan dilihat seolah-olah melarikan diri ke atas. Keadaan ini mampu meningkatkan nafsu makan sotong torak. Ikan yang biasa digunakan sebagai umpan termasuklah ikan tamban, kembong, kunyit, selayang dan anak ikan alu-alu.

Candat umpan tidak perlu dihenjut. Lepaskan sahaja candat berkenaan ke dasar laut dan cuba periksa sekali-sekala. Tarikan yang berat menunjukkan sotong telah terkena candat. Jika terasa ringan, rendam semula candat di dasar laut. Jika masih tiada tarikan sotong, tarik candat ke atas dan periksa tanda-tanda gigitan sotong pada badan ikan.

Candat umpan digunakan secara tunggal. Jika arus terlalu kuat, bantuan tanduk dan batu ladung diperlukan bagi menurunkan candat ke dasar laut.

Pencandat profesional, menggunakan lebih dari satu tali pancing dalam satu-satu masa. Sebagai contoh satu tali candat pelbagai dan dua tali candat umpan digunakan. Candat umpan tidak perlu dihenjut dan hanya diperiksa sekali-sekala. Hanya tali yang mempunyai candat pelbagai sahaja yang sentiasa berada di tangan pencandat untuk dihenjut.

Jika pancingan dilakukan dalam kumpulan yang ramai, penggunaan tali lebih dari satu bagi setiap pemancing adalah tidak praktikal. Tali yang terlalu banyak akan menyebabkan berlaku penyilangan dengan tali-tali rakan pancing yang lain. Jika ini berlaku, banyak masa akan terbuang bagi merungkai kekusutan tali berkenaan.

Cara yang terbaik dan teknik yang betul boleh membantu pencandat untuk memperolehi hasil yang lebih lumayan-Abe Din.
Read more >>

Jenis-jenis Candat

Pelbagai Jenis Candat Untuk Menjerat Sotong Torak

Candat bagi menjerat sotong torak terdiri dari beberapa jenis antaranya candat twist, candat udang dan candat umpan. Setiap kali turun ke laut, kita memerlukan paling kurang dua kombinasi mana-mana jenis candat. Kadang-kala sotong tidak mahu memegang candat-candat tertentu.
Candat Baru (candat ultraman) Ini Cukup "Hit"

Keberkesanan candat banyak bergantung kepada kejernihan air, kekuatan arus, arah arus, suhu air laut, kemasinan air laut, keamatan cahaya lampu, warna cahaya lampu, keamatan cahaya bulan, cara henjutan candat, nafsu makan sotong dan yang paling penting ialah jumlah sotong yang berkumpul di bawah bot. Penggunaan candat berbeza memberikan peluang kepada pencandat untuk mendapatkan hasil yang lebih.

Variasi Candat Udang

Pada post yang berikutnya, saya akan cuba menerangkan cara candat-candat ini diikat dan dikombinasikan-Abe Din.
Read more >>

Pemilihan Candat

Candat merupakan satu perkara penting yang mungkin menentukan hasil yang akan diperolehi. Pemilihan candat bukan sekadar ikut-ikutan. Ramai pencandat baru membeli candat hanya berpandukan nasihat dan cadangan tokeh kedai pancing. Perlu diingat (bukan semua) selalunya tokeh kedai pancing mempunyai agenda untuk melariskan jualan sahaja. Stok lama yang tidak laku perlu dihabiskan untuk menempatkan stok baru pula. Bukan semua tokeh kedai yang menjual candat terdiri dari pencandat tegar. Mungkin mereka langsung tiada pengalaman mencandat sotong.

Sepanjang pengalaman saya memancing sotong (lebih kurang 10 tahun), inovasi pengeluaran candat sentiasa berubah dari setahun ke setahun. Perubahan paling ketara sejak 3 tahun kebelakangan ini. Selalunya candat jenis baru lebih "kick" dari versi lama. Harganya pula tentunya lebih mahal sedikit.

Jika kita berpeluang untuk membuat carian di internet, pastinya kita akan menemui candat-candat versi baru yang tidak terdapat di pasaran Malaysia. Candat-candat ini banyak dipasarkan di Singapura, Taiwan dan China. Pada masa kini candat-candat buatan China dan Jepun cukup banyak mendominasi pasaran Malaysia dan dunia.

Dalam keghairahan kita mencuba candat-candat luar negara ini, jangan pula kita lupa kepada candat-candat tradisional termasuk candat-candat yang dihasilkan di negara kita sendiri. Dari uji lapangan yang dijalankan, candat lama buatan tempatan masih berbisa walaupun buatan dan kombinasi warnanya kurang menarik . Candat tempatan ini juga lebih murah harganya.

Jika anda berpeluang ke Bali Indonesia, cuba dapatkan candat buatan tempatan yang dijual di sana. Sekali lihat, candat yang dihasilkan oleh anak tempatan di sana sememangnya kurang menarik jika hendak dibandingkan dengan candat moden tetapi keberkesanannya menjerat sotong memang tidak boleh dipertikaikan. Dengan melihat saiz candat yang besar, sukar untuk kita bayangkan saiz sotong yang bakal menyambarnya. Tentunya sangat besar.

Jangan sekali-kali kita melihat kepada kecantikan candat sahaja. Pandangan kita tidak sama dengan pandangan sotong. Cara yang terbaik, kita kena banyak bertanya kepada pencandat-pencandat yang lama. Jangan pula kita memandang rendah kepada pencandat tempatan. Jika kita perhatikan hasil yang diperolehi oleh penduduk tempatan, mungkin kita tidak percaya jenis candat yang mereka gunakan. Jangan lupa "Lain Padang, Lain Belalangnya"-Abe Din.
Read more >>

15 May 2010

Alat & Kelengkapan

Persediaan kelengkapan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu makanan, keperluan peribadi, dan peralatan mencandat.

Makanan yang perlu disediakan bergantung kepada tempoh trip. Selalunya, tekong bot memasak dan menyediakan makanan kepada penyewa. Semua ini termasuk di dalam pakej sewaan bot. Jika makanan tidak disediakan, selalunya bot berkenaan tidak menawarkan tempoh trip yang lama. Seeloknya, peserta trip menyediakan makanan yang ringkas seperti roti, biskut serta air minuman yang mencukupi.

Keperluan peribadi yang perlu dititik berat termasuklah ubat-ubatan. Adalah elok jika tekong menyediakan kotak ubat kecemasan di dalam botnya. Pada waktu malam, suasana di laut sangat sejuk. Jika ada tiupan angin, sejuknya hingga ke tulang. Pastikan anda membawa baju sejuk. Keperluan lain adalah ala kadar sahaja.

Peralatan mencandat adalah mengikut keperluan individu. Pencandat baru perlu meminta nasihat pencandat yang lama sebelum membeli peralatan mencandat. Ini akan mengelakkan mereka daripada membeli peralatan yang tidak diperlukan. Jangan bergantung 100% kepada nasihat pekedai kerana kadang-kadang peralatan berkenaan sememangnya tidak perlu. Pastikan peralatan yang dibeli mencukupi mengikut keperluan anda.

Ingat, tiada kedai di laut. Sedaikan payung sebelum hujan- Abe Din
Read more >>

Pemilihan Tekong

Tekong merupakan individu penting yang banyak memberi sumbangan kepada aktiviti mencandat sotong. Dengan bayaran yang mahal, pencandat berhak untuk mendapatkan khidmat terbaik daripada tekong.

Tekong sepatutnya mahir mencari kandang sotong atau tempat sotong bertelur. Mereka juga akan mengalih bot tanpa disuruh jika tiada henjutan sotong. Ada juga tekong yang membawa awak-awaknya yang sememangnya mahir mencandat sotong. Apa yang menarik, semua hasil candat mereka malam itu akan diberikan kepada penyewa bot.

Sekadar gambar hiasan

Tekong yang baik juga tidak lokek untuk menunjuk ajar dan memberikan bantuan yang sepatutnya kepada penyewa mereka. Saya sendiri banyak mendapat tunjuk ajar daripada tekong-tekong bot yang saya sewa. Bantuan mereka ikhlas dan tidak tertumpu kepada kaum hawa sahaja. Ada juga tekong, yang sudi meminjamkan kelengkapan dan peralatan mencandat kepada penyewanya. Makananpun mereka sediakan. Ada tekong yang mengajak peserta trip makan dirumahnya.

Walaubagaimanapun, tekong-tekong gred A ini agak sukar untuk diperolehi. Kalau adapun, mereka sangat sibuk dan jadual mereka sentiasa penuh. Bot mereka kerap ditempah untuk membawa pemancing dan pencandat sotong.

Jika kita gagal mendapatkan tekong gred A ini, kita sebagai pemancing perlulah cuba untuk beradaptasi dengan kerenah tekong. Sebaiknya jangan menimbulkan suasana hubungan yang tidak baik antara ahli trip dengan tekong. Jika anda berpuas hati dengan khidmat tekong anda, pastikan anda menempah tekong berkenaan untuk trip yang berikutnya-Abe Din.
Read more >>

Pemilihan Ahli Trip

Keseronokan sesuatu trip mencandat yang dirancang dapat diukur melalui hasil yang diperolehi. Jika hasil memberangsangkan, sudah tentu wajah kepuasan boleh dilihat pada semua ahli trip. Maka, sepanjang perjalanan pulang ke tempat masing-masing akan diisi dengan cerita berkaitan trip yang dilalui. Jika hasilnya kurang, wajah setiap ahli akan dicorakkan dengan keletihan dan kepenatan. Hendak bersembangpun malas.

Sebaik-baiknya, ada antara ahli yang pernah menyertai trip candat pada tahun-tahun sebelumnya. Beliau boleh bertindak sebagai sifu dan boleh menunjuk ajar pencandat yang tidak berpengalaman. Elakkan membawa pencandat yang mudah mabuk laut. Jika naik keretapun muntah, bagaimana nak naik bot. Seeloknya tinggal sahaja di rumah penginapan.

Jika ada peserta trip yang mabuk. Biarkan dia berehat di dalam kabin bot (itupun jika bot ada kabin, jika tidak tidur le kat tepi bot). Kebanyakkan peserta yang mabuk, selalunya hilang selera untuk mencandat. Bagaimana jika ramai yang kecundang ? Tentunya hasil tangkatan akan semakin kurang.

Jika ramai ahli yang mahir, rezeki akan lebih murah. Ada kumpulan trip yang membayar sewa bot hanya dengan menjual hasil sotong yang dicandat. Lebihan wang hasil jualan selepas ditolak sewa bot dibahagikan sama rata. Berkilo-kilo sotong yang tidak dijual disimpan untuk dibawa balik ke rumah.

Bagi memajukan lagi aktiviti mencandat ini, seelok-eloknya pemilihan ahli trip terdiri daripada gabungan muka lama dan muka baru. Apa yang penting, semua ahli trip mesti satu kepala dan tidak mementingkan diri sendiri-Abe Din
Read more >>

Pemilihan Bot

Bot merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian yang serius sebelum trip. Saiz bot, Lokasi bot, Keselesan bot dan kadar sewa perlu diteliti dan di beri perhatian yang sewajarnya.


Gambar di atas merupakan sebuah bot yang pernah diiklankan di dalam mudah.my bagi disewa oleh pencandat. Usaha tuan bot sangat dipuji kerana secara tidak langsung ia akan memberi banyak kemudahan kepada pencandat terutamanya yang datang dari luar Terengganu. Pencandat boleh menghubungi dan berunding berkaitan harga sewaan melalui telefon dengan tuan bot. Jika mempunyai masa terluang adalah lebih baik jika wakil kumpulan pencandat datang sendiri dan melihat keadaan bot yang ditawarkan.

Pemancing akan berada di dalam bot dalam tempoh yang lama dan faktor keselesaan adalah isu utama. Kenalpasti saiz bot, bilangan penumpang yang ideal serta kemudahan yang disediakan oleh tekong bot. Di pantai timur, lokasi bot bukan merupakan faktor yang boleh menyukarkan pemancing untuk sampai, cuma lokasi tersorok akan mendedahkan kenderaan kita kepada aktiviti jenayah dan akan merugikan pemancing.

Sekadar gambar hiasan

Bagi kumpulan kecil, adalah lebih baik menyewa bot fiber bersaiz lebih 20 kaki. Bot fiber lebih laju dan jauh lebih murah dari bot nelayan. Jika berlaku hujan dan ribut akibat perubahan monsun, pemancing boleh kembali ke pantai dengan lebih cepat. Bot fiber agak kurang selesa bagi kumpulan yang ramai. Kerana saiznya yang kecil, ia lebih kuat bergoyang. Pemancing yang tidak tahan, akan mudah mabuk laut dan termuntah.

Bot nelayan lebih selesa tetapi kadar sewanya lebih mahal. Pemancing-pemancing baru dinasihatkan supaya banyak bertanya kepada pemancing lama mengenai bot-bot yang sesuai untuk disewa. Pastikan bot-bot berkenaan mempunyai jaket keselamatan. Jika tiada, lebih baik pemancing membawa jaket keselamatan sendiri. Jika tiada juga, lebih baik pinjam dari kawan. Jika masih tiada juga, lebih baik jangan pergi. Perlu diingat, ramai di kalangan pemancing yang lemas adalah mereka yang mahir berenang. Malang tidak berbau.

Elok juga jika bot-bot yang dipilih mempunyai lesen membawa pemancing. Kebanyakan bot mencandat tidak mempunyai lesen bagi membawa pemancing. Agak leceh jika masa mencandat kita digunakan untuk bersoaljawab dengan penguatkuasa di tengah laut. Ada pemancing yang didatangi oleh penguatkuasa laut terpaksa mengaku bahawa mereka adalah saudara mara tekong bot bagi mengelakkan tindakan. Di Terengganu, keadaan ini hampir tidak berlaku memandangkan bot-bot mencandat berada di kawasan yang tidak jauh dari pantai. Jika pencandat berada di laut lepas, kemungkinannya tetap ada.

Jika anda mempunyai rakan atau teman-teman sepejabat dari Terengganu dan Kelantan, minta bantuan mereka untuk mencari bot. Sebelum itu pastikan rakan anda itu, menetap di kawasan berdekatan pantai bukan di kawasan Tasik Kenyir. Harga sewaan bot mungkin akan lebih murah dari biasa.-Abe Din
Read more >>

Merancang Trip

Sekadar gambar hiasan

Musim mencandat muncul lagi. Menjelang bulan April banyak trip-trip mencandat sotong telah diadakan. Kebanyakan trip tertumpu di perairan pantai timur. Terengganu merupakan destinasi pilihan.

Hampir kebanyakkan pemancing datang dari negeri-negeri di sebelah pantai barat. Ramai antaranya adalah pencandat-pencandat mahir yang datang setiap kali musim mencandat tiba. Selebihnya adalah pencandat-pencandat baru yang mula berjinak-jinak dengan aktiviti ini.

Pencandat-pencandat baru ini, telah mendengar keseronokan mencandat dari rakan-rakan mereka pada tahun-tahun sebelumnya. Ramai juga peserta trip dianggotai oleh pencandat-pencandat daripada kaum hawa.

Setelah perancangan beberapa bulan, maka trip ditetapkan. Selepas trip berakhir, keindahan yang digambarkan tidak seindah mana. Ramai anggota trip yang mabuk, cemas berhadapan ribut, hujan serta hasil yang diperolehi kurang memuaskan. Dua kemungkinan yang akan berlaku, samada pencandat berkenaan akan datang lagi atau sudah serik mencandat.

Perkara-perkara ini dapat dielakkan jika pencandat dan bakal pencandat mengambil masa untuk belajar dan membuat persediaan yang sepatutnya sebelum menyertai trip mencandat. Dari pengalaman saya mengikut trip-trip mencandat, berani saya menyatakan bahawa kebanyakkan pencandat baru tidak membuat persediaan yang secukupnya terutama dari segi ilmu mencandat sotong sebelum menyertai trip.

Ada diantaranya yang membawa joran udang dan joran tenggiri untuk mencandat sotong. Tidak kurang juga yang mula terkial-kial belajar menggunakan "serek" atau "koyan" yang sering digunakan oleh nelayan-nelayan tempatan.

Satu trip mencandat sotong 2 hari satu malam ( petang-tengahari) melibatkan kos sewaan bot hingga RM850.00-RM1500.00 Jika kumpulan trip datang dari Kuala Lumpur, kos perjalanan, penginapan, perbelanjaan makanan dan peralatan tidak mustahil mencecah sehingga RM3000.00 bagi setiap kumpulan trip mencandat. Walaubagaimanapun kos sewaan bot bergantung kepada lokasi dan tidak diseragamkan. Menjelang musim puncak, kos sewaan bot candat meningkat dengan mendadak.

Bayangkan kos dan masa yang dilaburkan tidak membuahkan hasil yang memuaskan. Sotong yang dibawa balikpun tokeh bot yang tolong candat. Aktiviti mencandat bukanlah sesuatu yang boleh dirancang dengan sambil lewa. Beberapa faktor seperti pemilihan bot, penyediaan alat dan kelengkapan, pemilihan ahli kumpulan, faktor kesediaan fizikal dan mental, serta pengetahuan mencandat perlu diberi perhatian sebelum sesuatu trip.

Post berikutnya akan membincangkan dengan lebih lanjut tentang faktor-faktor berkaitan.
Read more >>

Blogger Pancing