PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

18 May 2010

Tips Elak Mabuk

Sesuatu trip mencandat sotong tidak akan bermakna jika pesertanya mabuk laut. Selalunya mereka yang mabuk laut akan hilang selera untuk makan dan membuat aktiviti-aktiviti lain termasuklah mencandat sotong.

Ada individu yang mabuk laut tidak mampu walaupun untuk bangun dan berdiri. Mustahil untuk tekong bot menghantar ahli yang mabuk laut ke jeti dan kemudian kembali semula ke laut. Ahli yang mabuk selalunya boleh mengganggu aktiviti mencandat rakan-rakan lain yang tidak mabuk. Ada juga rakan-rakan yang baik mengambil keputusan untuk membatalkan trip hanya kerana kasihankan rakan mereka yang mabuk laut.

Satu kisah yang ingin saya kongsi iaitu peristiwa yang berlalu pada suatu petang lebih kurang lima tahun lepas. Ketika bot mencandat yang saya naiki melepasi kuala, kami dapati terdapat seekor kucing di atas bot. Rupa-rupanya, kucing berkenaan sedang tidur di dalam kabin bot. Disebabkan kami sudah jauh melepasi kuala, kami mengambil keputusan untuk tidak berpatah balik dan membawa bersama kucing berkenaan.

Kami dijangka akan pulang pada pukul 11 pagi keesokannya. Kucing berkenaan tidak banyak bergerak dan banyak menghabiskan masa untuk duduk. Jika ia berjalan sedikit, ia akan duduk semula. Kami beranggapan mungkin kucing berkenaan mabuk laut. Ikan umpan yang diberi juga tidak dijamah. Sebaik sahaja kami tiba di jeti keesokannya, kucing berkenaan terus melompat ke jeti sambil menoleh sekali ke belakang dan terus menghilang.

Mabuk terbahagi kepada dua kumpulan utama iaitu mabuk laut dan mabuk darat. Mabuk laut dibahagikan kepada tiga kategori iaitu ringan, sederhana, dan berat. Mabuk laut ringan, tidak mengganggu aktiviti individu. Individu yang mabuk laut ringan akan merasa sedikit pening sahaja dan boleh diubati dengan hanya menyapu minyak angin.

Bagi mabuk laut sederhana, individu akan muntah tetapi masih boleh melakukan aktiviti mencandat sotong. Kes mabuk berat pula akan menyebabkan individu termuntah beberapa kali dan tidak mampu untuk berdiri apalagi melakukan sebarang aktiviti mencandat.

Mabuk darat selalunya terjadi apabila kita sudah berada di darat. Kesannya boleh dirasai sehingga beberapa hari. Mereka yang mabuk darat akan rasa terumbang-ambing semasa berdiri dan tidur. Mabuk darat juga boleh membahayakan jika mereka yang terlibat memandu kenderaan. Gangguan kecil pada medula oblongata di otak akan menyebabkan individu terasa seakan dibuai-buai. Kesan mabuk darat ini akan hilang dengan sendiri.

Sepanjang pengalaman saya ke laut, berbagai cara telah saya gunakan untuk mengelak dari mabuk laut. Semua kaedah ini diperolehi dari perbualan dengan nelayan-nelayan tempatan dan rakan-rakan pemancing yang lain. Walaupun anda biasa ke laut, risiko untuk mabuk laut tetap ada.

1-Mengurangkan makan makanan yang banyak minyak sebelum turun ke laut.
2-Makan asam atau benda masam seperti asam masin ketika mula rasa hendak mabuk laut.
3-Jangan terlalu lama memandang lantai bot. Kerap mengikat pancing di atas bot boleh mengundang mabuk laut.
4-Jangan merenung atau melihat riak air laut dalam tempoh yang lama.
5-Cuba beri tumpuan pada objek jauh seperti pantai, bot nelayan, bukit-bukau dan pulau-pulau.
6-Pastikan anda tidak mencium bau minyak diesel dan asap bot. Duduk di bahagian hadapan.
7-Jangan duduk berdekatan enjin bot. Bunyi yang kuat boleh mengundang mabuk
8-Jangan bermain dengan hasil tangkatan terlalu lama. Bau hanyir boleh meloyakan
9-Terjun ke laut dan menyelam sekali kemudian naik semula. Jaga-jaga ikan jerung.
10-Makan pil mabuk selalunya 10 hingga 30 minit sebelum bot bertolak.

Kaedah moden yang masih kurang popular ialah pemakaian gelang bagi mencegah mabuk laut. Saya mengetahui kehadiran gelang ini yang bertujuan menstabilkan aliran darah melalui iklan di dalam sebuah majalah. Sehingga kini saya masih belum berpeluang untuk mencuba keberkesanannya.

Perlu diingat, bukan semua panduan di atas mesti serasi dengan anda. Mencuba dahulu adalah lebih baik. Adalah diharapkan aktiviti mencandat anda tidak diganggu dengan mabuk laut.
-Abe Din

No comments:

Post a Comment

Blogger Pancing