"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

Kenali Abe Din



Abe Din dilahirkan di Kampung Kubu Gajah, Selama, Perak. Meminati hobi memancing sejak kecil dan mendapat asuhan pertama dari arwah nenek. Paling suka menangkap ikan pelaga siam (ikan sekilai) di celah-celah pokok rumbia.

Hobi dipupuk subur oleh ayah yang kerap membawa Abe Din memancing haruan dan keli di paya-paya. Ikan yang ditangkap akan dikurung dan dijual keesokannya.

Apabila meningkat dewasa, Abe Din telah berpindah ke Gemas, Negeri Sembilan. Abe Din sudah mula pandai memancing bersama rakan-rakan sebaya. Kadang-kadang menjala ikan di jeram batu. Semasa di Negeri Sembilan, Abe Din sudah mula berjinak-jinak dengan laut. Lokasi yang kerap dikunjugi Abe Din termasuklah Kuala Lukut, Negeri Sembilan dan Parit Jawa, Muar, Johor.

Setelah hampir 8 tahun menetap di Negeri Sembilan, Abe Din menyambung pengajian di Sarawak selama 3 tahun. Banyak juga kawasan memancing yang Abe Din lawati dari Kucing, Miri, Terusan, Lawas dan Perairan Brunei.

Tamat belajar, Abe Din ditempatkan bertugas di Kemaman. Rumah sebelah laut, Boleh kata kerap pergi ke laut memancing ikan. Di Kemaman, Abe Din mula mengutip pengalaman, mengenali lebih banyak spesies ikan, sotong, udang dan ketam. Abe Din banyak mengutip pengalaman memancing daripada rakan-rakan dan nelayan tua di sini.

Hingga kini Abe Din telah menetap di Kemaman semenjak tahun 1995. Rasanya Abe Din akan terus menetap di sini. Pelat utara dan negeri sembilan Abe Din pun sudah semakin hilang diganti loghat Terengganu. Kekadang bila rindu, rasa juga nak balik utara tengok kampung.

Sepanjang berkecimpung di dalam dunia memancing banyak perkara yang tidak dapat dilupakan termasuklah beberapa kali di pukul ribut di tengah laut. Sebaik tiba di darat, hampir taubat tak mahu turun lagi ke laut. Walau bagaimanapun, azam tersebut hanya bertahan seminggu dan hobi yang sama diteruskan semula hingga kini.

Boleh kata, ikan adalah pancingan utama sejak kecil tetapi Abe Din memilih blog pertama berkaitan sotong untuk diketengahkan kepada umum. Abe Din berpendapat, hobi mencandat sotong terutamanya di Terengganu, melibatkan pelaburan yang cukup tinggi. Ramai pencandat datang dari luar Terengganu semata-mata untuk menyertai acara tahunan mencandat sotong torak. Paling menyedihkan, pelaburan yang dibuat tidak selalunya seperti yang dijangkakan. Bermula dari itu, Abe Din berazam untuk memberi sebanyak mungkin info berkaitan sotong bagi kegunaan pemancing-pemancing yang mungkin boleh dijadikan bekal oleh mereka. Tambahan pula, tiada blog atau laman khusus di Malaysia yang membincangkan teknik mencandat sotong secara konsisten.

Sepanjang blog sotong ini berada di dunia mayanya, Abe Din banyak belajar daripada blog-blog pancing yang lain dalam meningkatkan persembahan terutamanya blog Puakajoran. Blog sotonglaut banyak membuka minda serta membantu Abe Din berhubung dengan kenalan-kenalan maya daripada Sabah, Sarawak, Singapura, Indonesia dan Brunei.

Penerbitan blog Sotonglaut ini bukan bertujuan untuk menyaingi sesiapa. Ia hanya sekadar catatan ikhlas untuk tatapan mereka yang memerlukan. Abe Din sangat berharap blog ini dapat dimanfaatkan bagi menaikkan imej pancingan sotong setaraf dengan pancingan ikan. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa casting sotong atau eging sangat popular di Jepun dan Taiwan. Pencandat di sana juga telah berjaya menempatkan teknik eging sotong pada kedudukan yang sangat baik. Bagaimana di Malaysia?

Akhir kata, selamat maju jaya untuk semua. Semoga kita semua akan dipertemukan oleh-Nya suatu masa nanti.

Ikhlas,
Dari Abe Din
colourless_orchid@yahoo.com

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing