PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

18 April 2010

Spesies Sotong I

Secara umumnya terdapat 6 spesies sotong yang cukup popular mendiami perairan Malaysia iaitu sotong Torak (torok), sotong ketupat, sotong jarum, sotong ngabang, sotong Katak, sotong kurita. Mungkin juga terdapat spesies sotong lain perairan negara kita yang tidak diketahui penulis.

Post kali ini akan membincangkan serba sedikit berkaitan setiap jenis sotong yang telah dinyatakan di atas.

Sotong Torak (Torok )
Sotong ini kebanyakan ditemui di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ketika musim bertelur, sotong ini akan menghampiri pantai dan unjam darat untuk bertelur. Mengikut cerita nelayan, sotong yang ditangkap di kawasan unjam laut bersaiz lebih besar dan panjang.

Bagi mencadat sotong ini, selalunya nelayan mencari kawasan ia bertelur semenjak waktu petang lagi. Kawasan sotong bertelur ini dikenali sebagai "Kandang". Jika terjumpa kandang ini, sauh bot akan dilabuhkan. Aktiviti mencandat bermula dari petang hinggalah ke waktu subuh. Lampu generator dipasang pada waktu malam kerana, sotong ini cukup aktif bermain cahaya lampu. Semakin terang cahaya lampu yang dipasang, semakin banyaklah sotong yang berkumpul di bawah bot.

Penduduk tempatan lebih selesa menggunakan "serek" bagi memancing sotong ini. Bagi orang bandar, mereka lebih suka menggunakan joran pancing kerana mereka tidak mahir menggendalikan "serek". Umpan yang digunakan termasuklah candat udang, candat timah dan candat umpan (payung).

Pancingan dilakukan dengan cara menghenjut. Bagi candat umpan cukup sekadar membiarkannya di dasar laut dan diperiksa sekali-sekala. Jika sotong terkena pancing, pancing akan terasa berat. sotong yang besar mampu untuk menarik tali keluar dari kekili atau serek.

Ketika sotong menghampiri permukaan air, ia akan memancutkan air atau dakwat hitam dalam usaha untuk melepaskan diri. Perlu diingat jangan sesekali menarik sotong secara lurus menghadap muka. Sengetkan sedikit tali bagi mengelakkan daripada terkena dakwat sotong.

Sotong Ketupat
Sotong ketupat mempunyai saiz yang sederhana. Saiznya hampir menyamai sotong jarum tetapi bentuk badannya lebih membulat manakala sotong jarum mempunyai badan yang tirus dan panjang. Warna badan sotong ketupat agak cerah berbanding sotong jarum yang lebih gelap. Selalunya sotong ketupat menyertai kumpulan sotong jarum dan sotong torak. Ramai pencandat baru tidak dapat membezakan dengan jelas antara anak sotong torak dan sotong ketupat. Selalunya sotong ketupat mempunyai bentuk perut yang agak buncit dan badannya pendek sedikit. Cara ia menyambar candat hampir menyamai cara torak menyambar umpan cuma tarikannya tidaklah sekuat sotong torak. Sotong ketupat banyak ditangkap menggunakan pukat. Jika anda turun ke laut untuk memancing sotong torak tentunya hasil tangkapan anda akan diselang seli dengan sotong ketupat. Di pantai timur khususnya Terengganu, sotong ketupat bersaiz kecil dan sederhana dimasak bersama beras pulut dan manisan. Masakan yang popular ini dikenali sebagai ketupat sotong.

Sotong Jarum ( Sotong Cumit )
Sotong Jarum lebih menyerupai Sotong Torak, cuma saiznya lebih kecil. Sotong Jarum berwarna lebih merah daripada sotong Torak. Ketika memancing Sotong Torak, kadang-kadang Sotong Jarum akan mencelah. Selalunya nelayan tidak menyukai sotong ini kerana saiznya lebih kecil dan lebih murah. Sotong selalu mengacau pemancing Sotong Torak.

Sotong Jarum juga boleh dipancing dari kawasan pantai. Bagi pemancing ikan, Sotong Jarum adalah salah satu umpan yang disukai bagi memancing Jenahak dan Kerapu. Jika Sotong Jarum banyak, lampu akan dipasang dan sotong ini boleh ditangkap hanya dengan menggunakan sauk sahaja.

Sotong ini juga berminat dengan umpan yang dihulurkan oleh pemancing. Walaupun sotong ini suka menyambar gewang, ia agak sukar untuk dinaikkan kerana saiznya yang agak kecil. Ketika waktu kurang aktifnya, kita dapat merasakan sotong ini memegang dan melepaskan semula gewang beberapa kali. Jika ini berlaku peluang untuk menaikkan Sotong Jarum sangat tipis.

Dari segi tentangan, sotong ini sesuai dipancing menggunakan joran aksi ringan. Dalam berseronok memancing jangan pula kita alpa tentang dakwatnya.

Abe Din

No comments:

Post a Comment

Blogger Pancing