"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.
Showing posts with label Teknik Mengilat. Show all posts
Showing posts with label Teknik Mengilat. Show all posts

09 August 2016

Warna Cahaya

Salam kunjungan untuk semua pelawat. Pada post kali ini, ambe ingin mengupas serba sedikit berkaitan peranan cahaya kepada sotong. Hampir semua pemburu sotong terutama yang beraksi pada waktu malam memerlukan lampu dan cahaya bagi memudahkan aktiviti eging. 

Perlu diketahui penggunaan cahaya dengan tidak betul, boleh menjauhkan sotong dari kawasan eging. Apabila keadaan ini berlaku, peluang untuk mendapatkan lebih tangkapan akan terjejas. Terdapat pelbagai salah tafsiran tentang peranan cahaya di kalangan pencandat-pencandat sotong samada baru atau lama. Mereka beranggapan teknik menangkap sotong mengabang sama seperti sotong torak. Malah yang yang beranggapan teknik yang sama perlu digunakan pada semua jenis spesies sotong.

 Murah dan Ekonomik

 Lampu Kepala yang Menggunakan Beteri AAA

Penggunaan lampu yang tidak statik seperti lampu suluh akan menakutkan kebanyakan spesies sotong. Sotong mempunyai mata yang besar dan sangat sensitif pada cahaya. Mungkin itu salah satu sebab jig-jig sotong yang dicipta oleh orang Jepun berwarna-warni.

Satu kajian oleh saintis barat telah menemukan bahawa sotong tidak begitu respond kepada cahaya merah. Kajian mengenai sotong humbolt pada peringkat awal telah menggunakan cahaya putih ketika membuat selaman. Apa yang mengejutkan Humbolt telah menjadi agresif dengan cuba memegang dan mencabut topeng penyelam dan juga tangki oksigen. Sebaik sahaja lampu penyelam ditukar kepada cahaya merah, sotong menjadi lebih tenang dan seakan-akan tidak nampak penyelam.

Kesimpulan mudah yang boleh dibuat, sotong Humbolt gagal mengesan kehadiran cahaya merah. Saya beranggapan, cahaya merah juga sesuai digunakan ketika memburu spesies sotong yang lain termasuk sotong mengabang. ujian lapangan setakat ini telah menunjukkan kesan positif di mana sotong masih mampu ditangkap walaupun cahaya mereh digunakan di kawasan eging. Walaupun teori ini perlu dibuat kajian lebih lanjut, kesannya terbukti lebih baik berbanding cahaya putih dan kuning.

Cahaya Keterlaluan Akan Menakutkan Sotong

Cahaya Bagi Memburu Torak, Jarum dan Ketupat

Sotong Humbolt yang Terkenal Dengan Agresifnya

Lampu Cahaya Merah Sebagai Altenatif Baru

Mekanisme yang mempengaruhi daya tarikan sotong terhadap cahaya masih tidak dapat difahami dengan jelas. Pengaruh cahaya terhadap organisma marin termasuklah : 1-Fototaxis positif, 2-Faktor keamatan dan kecerahan, 3-Panjang gelombang cahaya, 4-Cahaya yang merujuk kepada makanan, 5-Sifat ingin tahu, 6-Kekeliruan, dan 7-Terpukau. Walaupun begitu, masih tiada individu  yang mampu menentukan faktor yang tepat mengikut spesies tertentu.

 Lampu Dwi-Fungsi Putih dan Merah

 Ringan dan Mudah Dibawa Ketika Eging
 
 
Bagi pencandat di luar sana, saya syorkan agar anda semua menggunakan lampu merah ketika memburu sotong dan ketika mengikat tali pancing, memasang jig, menaikkan tangkapan dan sebagainya. Jangan guna lampu kuning atau putih kerana ia akan menakutkan sotong terutamanya yang bersaiz besar. Penggunaan lampu yang meluas di padang pancing awam juga boleh menyebabkan rasa tidak puas hati kepada pencandat lain. Mari berubah dan mencuba sesuatu yang baru-AbeDin

Read more >>

04 December 2011

Memegang Candat

Salam untuk semua. Bertemu lagi di laman maya ini. 
Aku nak sambung citer berkaitan dengan gaya makan sotong. Pada kali ini, citer aku akan lebih menjurus kepada gaya sotong menangkap atau memegang jig udang. Gaya dan stail tangkapan sotong sangat mempengaruhi kejayaan menaikkan sotong. Maklumlah sotong ni.. spesies yang yang jarinya lembut sikit (aku tak kata kat saper-saper... jangan perasan ye)

Kalau ganas-ganas jari dia bleh putus.. kalau putus, memang sotong tu payah nak makan semula.. walaupun ada sekor dua yang memang degil giler. Tangan tak cukup masih lagi berselera mengejar dan memegang jig. Terlepas tiga empat kali... masih tak serik-serik.

 

Cuba korang lihat gambar kat atas tu... itulah gayanya sotong yang sudah keletihan. Mata candat tersangkut pada bahagian B (rujuk post sebelumnya). Bahagian B mempunyai pangkal tantakel yang lebih besar dan kuat. Walaupun begitu, korang masih perlu menaikkan sotong berkenaan dengan sabar dan berhati-hati.

Peratus sotong terlepas pada situasi ini (kedudukan sotong di permukaan air) adalah paling tinggi. Pecutan akhirnya adalah paling kuat dan laju. Jika tidak berhati-hati, korang akan berputih mata. Pada ketika ini, sotong yang kepenatan menyembunyikan dakwat terakhirnya dan sedia melancarkan pada bila-bila masa sahaja yang sesuai. Kalau timing tak kena... alamat hitam lah muka korang. Korang perlu bersedia dengan tindakan luar jangka spesies ini.



Dua gambar kecil sebelah kanan anda menunjukkan sotong memegang candat menggunakan tantakel yang paling panjang. Situasi ini selalu terjadi jika keadaan air laju atau jika anda menarik candat dengan cepat. Sotong yang tidak sempat mengejar candat selalunya melancarkan tantakel utamanya untuk memegang candat dan menariknya ke tantekal sekunder dan terus ke mulut. Jika sotong merasa sakit, ia akan memejut ke belakang dengan segera menyebabkan candat tidak sempat untuk dibawa ke bahagaian B.

Gambar utama dan sebelah kiri menunjukkan mata candat yang tertancap kukuh di bahagian B. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan jig ditarik dengan sangat perlahan dan memberi peluang sotong berkenaan mendapat jig tersebut dengat kemas. Peratus untuk menaikkan sotong dalam situasi ini sangat tinggi.



Lihat gambar sotong di tengah, bagaimana ia memeluk candat dengan lebih daripada satu tantakel. Dari pemerhatian aku, jika semakin banyak tantakel sotong yang mengenai mata candat maka semakin kurang peratus untuk sotong terlepas. Pernah beberapa kali, aku menaikkan sotong remaja yang memeluk kemas jig menggunakan kesemua tantakelnya. Paling mengejutkan, tiada satupun tantakel yang mengenai mata candat. Itulah kalau sudah rezeki.

Perlu diketahui bahawa aktiviti mencandat sotong ini adalah satu seni memancing yang lemah-lembut dan berhati-hati. Jangan tarik sotong macam tarik ikan paus. Tangan sotong sangat lembut. Kalau ada pemancing ikan tegar yang nak test pancingan sotong ini... aku nasihatkan korang buang dulu sifat agresif korang tu. Aku takut nanti takde orang nak mencandat bersama korang kerana jika sotong banyak terlepas, peluang untuk orang lain mencari rezeki juga semakin sempit.

Bak kata orang.. tak tahu tanya. Malu tanya sesat jalan.. kalau dah sesat jalan, macam mana korang nak gi mancing sotong.. kahkahkah..memang sah tak dapat sotong. Ok...nak gi wat keja lain plak. Jumpa lagi.
Abe Din.
Read more >>

02 December 2011

Gaya Makan Sotong


Salam untuk semua pelawat, rakan pancing dan rakan blogger semua. Semoga anda semua happy selalu walau di manapun ada berada.

Pada post kali ini, ambo akan berceloteh tentang gaya atau teknik sotong menangkap mangsa. Sotong, sama seperti spesies haiwan lain yang memerlukan makanan untuk terus hidup di lautan. Gaya dan teknik tangkapan sotong ini sangat perlu difahami oleh manusia yang bergelar pencandat sotong agar tangkapan paling maksima diperolehi.

Anda juga perlu tahu bahawa sotong adalah antara spesies haiwan yang bijak dengan keupayaan ingin tahu dan tahap kecurigaannya yang tinggi. Ini bermaksud pencandat perlu lebih cerdik dari spesies ini jika ingin menangkapnya.

Bagi memudahkan pemahaman anda, ambo cuba bahagikan sotong kepada 3 bahagian mengikut struktur badan. Bahagian A di kawasan dua tantakelnya yang paling panjang, Bahagian C, tentakel yang lebih pendek dan tebal manakala bahagian C adalah bahagian badan bersama struktur renang.


Stuktur Sotong Mabang

Satu maklumat yang perlu anda ketahui dan fahami ialah, gaya dan teknik makan sotong sangat dipengaruhi oleh mood sotong berkenaan. Mood sotong pula dipengaruhi oleh keadaan persekitaran dan luaran (rujuk post ambo... hok dulu-dulu)

Selalunya sotong menghambat mangsa atau jig sambil melancarkan tantakel bahagian A. Mangsa atau jig akan di bawa ke bahagian mulut B untuk dimakan. Jika sotong terasa ancaman, maka mangsa atau jig akan segera dilepaskan. Ketika sotong gila... (orang Ganu kata tengoh galak), sotong akan memecut laju ke arah mangsa atau jig, melancarkan tantakel utama dan menghantar mangsa ke B dengan cepat. Ada juga kekadang pecutan laju berkemungkinan menyebabkan sotong tidak sempat brek dan jig atau mangsa terus ke bahagian B.

Jika dibuat analisis, sangkutan jig pada bahagian B adalah lebih kuat dan peratus untuk mendapat sotong adalah lebih tinggi. Jika sangkutan mata jig berlaku di A, peluangnya masih ada jika pencandat berlembut dan berhati-hati menaikkan sotong keluar dari air. Sangkutan bahagian C agak jarang berlaku kecuali jika kawanan sotong terlalu banyak seperti sotong jarum hingga terjadinya peristiwa perebutan jig. Ambo pernah tengok, sotong mabang dinaikan dengan cara ini tetapi peratusnya agak kecil. Pernah juga sotong mabang dinaikkan secara tidak sengaja menggunakan appolo ikan kembung dan yang paling menariknya mata kail apollo berkenaan tersangkut pada mata sotong.

Kesimpulannya, sangkutan jig pada bahagian B adalah yang terbaik. Bagaimana jika sangkutan berlaku di A? Anda sebenarnya masih berpeluang untuk memastikan jig anda tercangkuk kemas di B dengan menggunakan teknik TARIK-LEPAS-TARIK. Teknik ini akan ambo bincangkan pada post berikutnya. Bukan tak mahu taip banyak-banyak... dah rata jari-jari ambo niih.., otak pun dah letih mikir nak bagi yang terbaek untuk korang...Bagi ambo rehat dulu... bila-bila ambo sambung semula..

Thanks reader
Jumpa lagi
Read more >>

28 August 2011

Memilih Sasaran

Selamat berpuasa kepada semua pengunjung beragama Islam. Pada kali ini, nak cerita sikit cara-cara memilih arah melontar jig udang. Sebelum lontaran dibuat ada beberapa faktor yang perlu diambil kira iaitu tahap kejernihan air, tahap ketenangan air dan kewujudan struktur di bahagian tepi serta tengah.

Keupayaan anda membaca faktor-faktor ini akan akan membuatkan anda sentiasa mendapat sotong yang diidamkan dengan kata lain... ia akan menjelouskan rakan-rakan candat anda yang lain.

Lokasi mencandat mabang

Gambar di atas menunjukkan kawasan batuan yang licin dan bahaya bagi mereka yang sudah biasa... kacang je.. itupun jatuh juga dua tiga kali. Pastikan anda menggunakan kasut anti-gelincir apabila meniti batuan seperti ini.

Arah lotaran jig udang

Gambar di atas menunjukkan kawasan air yang agak tenang dan jernih. Kawasan air yang tenang selalunya menjadi lapangan sotong-sotong bersaiz mega memburu mangsa dengan syarat kawasan itu tidak terlalu jernih atau terang. Oleh itu aktiviti mencandat di kawasan ini sangat sesuai dijalankan pada waktu malam kerana walaupun airnya jernih... suasana malam yang sedikit suram dan gelap akan menarik kedatangan sotong. Cahaya bulan tidak menakutkan sotong... cuma jangan main lampu suluh sudah le... kesian kawan-kawan lain. Lampu yang tidak statik akan menakutkan sotong mabang. Ada faham....

Arah lontaran jig 2

Jika anda mencandat di kawasan berbatu jangan terlalu cepat menaikkan candat kerana kadang-kadang sotong akan menyambar candat ketika candat menghampiri kawasan tepi batu. Ada juga sotong-sotong yang mengejar candat dari kawasan laut terbuka kemudian berhenti memburu candat sebaik sahaja candat melalui kawasan struktur berbatu. Sotong berkenaan akan berada berhampiran batu berkenaan dan akan menyambar jig apabila jig melalui lagi kawasan berkenaan. Perangai sotong ni lebih kurang macam perangai ikan haruan.

Apabila air bergerak pasang, jig sesuai dilontar menghala ke kawasan daratan manakala ketika air menyonsong surut lebih sesuai jig dibaling menghala ke arah laut. Keadaan ini akan memudahkan pencandat menarik dan menggayakan jig mereka. Tindakan yang berlawan akan memudahkan jig terbelit pada tali utama. Kalau guna tali benang... nasib korang le..


Arah lontaran jig 3

Bagi kawasan di atas... airnya sedikit bergelora. Balingan yang lebih sesuai adalah berdekatan atau selari dengan kawasan batuan. Selalunya sotong suka berlindung di kawasan yang berstruktur. Jika jig anda dari jenis yang berat... peluang tersangkut adalah tinggi. Dinasihatkan jig anda tidak ditarik melalui atas struktur batuan tetapi ditarik melalui tepian struktur batuan.

PETUA DAN TIPS 

1-Pada ketika air keruh sotong kerapkali berada di permukaan dan dipertengahan air. Sotong juga lebih suka merayau dalam wilayahnya yang lebih jauh.

2-Ketika air keruh sudut dan jarak perlihatan adalah terhad. Apabila musuh sukar dilihat... sotong lebih berani keluar ke tempat terbuka. Pada ketika ini, penggunaan jig cahaya adalah sangat efektif.

3-Ketika keadaan air jernih, sotong sedikit berhati-hati. Walaupun begitu pancingan pada waktu malam tidak akan menakutkan sotong.

4-Jika anda melihat anak ikan bermain pada malam hari, baling jig anda ke tengah-tengah kawanan tersebut... kalau ada rezeki, sotong besar adalah habuan anda. Anda perlu tahu tarian jig anda lebih menarik dari tarian ikan yang lebih liar dan laju berenang.

5-Struktur seperti batuan atau unjam adalah port perlindungan sotong. Jika anda mempunyai jig ringan, tarik jig melalui port berkenaan. Jika jig anda berat, tarik jig melalui struktur berkenaan dari kawasan tepi.

6-Ramai pencandat menarik jig dengan cepat dengan hasil yang kurang. Pencandat yang cekap akan menarik jig dengan sangat perlahan seolah-olah jig ditarik di dasar laut atau pasir. Untuk pengetahuan anda, sotong paling banyak berada di kawasan paling bawah dan peratusan untuk mendapatkannya dengan cara ini cukup tinggi.

Ok... jumpe lagi..bye
Abe Din
Read more >>

27 April 2011

Jangan Tamak !

Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung laman sotonglaut. blogspot.com/

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat yang sudi melawat blog kecil ini. Pada post kali ini, Abe Din akan menyambung semula penerangan berkaitan teknik-teknik mencandat  sotong. Tumpuan Abe Din pada kali ini ialah memancing sotong mabang di kawasan batuan atau daratan.

Pada kebiasaannya, pencandat sotong mabang di kawasan daratan duduk sebelah menyebelah dan berdekatan antara satu sama lain (selalunya teman rapat le).. maka, apabila salah seorang bertarung dengan sotong maka ia mudah diketahui oleh rakan lain walaupun dalam keadaan gelap.

Kalau asyik orang yang sama sahaja yang menaikkan sotong, maka kadang-kala ia akan menimbulkan rasa iri hati di kalangan teman yang lain. Kalau naik seekor dua boleh kira lagi... tapi kalau lepas dia... dia.. kemudian dia lagi dan dia... dan dia... boleh tercabar juga kejantanan.

Maka mula le nak main jahat. Rakan sebelah dah mula keluar tanduk... dengki le tu... Mungkin rezekinya disebabkan oleh kemahirannya mencandat, jenis candat yang digunakan atau memang sotong banyak berkumpul di situ... patutlah asyik dia je yang dapat. Seperti yang diketahui, jika seekor sotong besar dinaikkan maka seekor lagi sotong yang besar akan mengekori rakannya dari belakang. Jika candat dibaling ke arah berkenaan, maka peluang untuk mendapatkan sotong kedua memang cerah.

Walaupun semua pencandat cuba untuk memikat sotong dengan pilihan jig dan gaya tarian candat yang tersendiri... belum tentu mampu memikat si sotong mabang. Sepatutnya pencandat jangan kecewa jika gagal menaikkan sotong, tetapi perbaiki teknik mencandat. Tentunya ilmu mencandat itu perlu dicari agar kita tidak kecewa di masa akan datang.

Cuba lihat situasi di bawah (situasi A). Sepatutnya pencandat mengambil posisi yang betul dengan membaling candat ke arah hadapan. Jika arus bergerak ke kiri atau ke kanan, maka semua pencandat perlu sama-sama mengikut arah yang tidak memintas tali pencandat lain.
Situasi B pula menunjukkan keadaan di mana, dua orang pencandatA dan B telah tumbuh tanduk dan naik minyak. Kemungkinan pencandat C sedang bertarung dengan sotong. Pencandat A dan B tanpa membuang masa terus membaling candat ke arah pencandat C.
Tujuannya hanya satu iaitu untuk memikat sotong kedua yang mengikuti sotong pertama. Walaupun dalam suasana yang gelap, pencandat masih boleh mendengar bunyi semburan sotong yang sedang bertarung kerana tersangkut pada candat.

Adalah dibimbangi balingan pencandat yang merentang tali pencandat C boleh menyebabkan masalah candat tersangkut pada tali pancing rakan berkenaan. Sotong pencandat C boleh terlepas jika tali tersangkut dan bersilang. Kadang-kala banyak masa terbuang hanya untuk meleraikan tali dan candat yang tersangkut.

Semasa aktiviti mencandat sotong, perlu ada sikap bertimbang rasa agar semua pencandat dapat membawa pulang hasil tangkapan tanpa perlu bermasam muka. Jangan berhasad dengki dan jangan tamak. Nilai tindakan kita.. adakah ia disenangi oleh rakan pencandat lain?

Sekian untuk kali ini... selamat mencandat
Abe Din.
Read more >>

28 August 2010

Mengilat Di Pantai IV

Sotong mabang cukup galak ketika bulan naik

Selamat berpuasa bagi rakan-rakan yang sedang berpuasa. Pada bulan puasa ini, misi sotong tetap diteruskan. Pada kebiasaannya Abe Din turun ke padang pancing lebih kurang pukul 9.00 malam. Pada bulan ini, aktiviti terpaksa dilewatkan atas beberapa sebab. Kadang-kadang Abe Din turun bersama rakan pada pukul 12.00 malam dan pulang sebelum bersahur.

Tiba di lokasi selalunya telah ramai kaki-kaki mengilat menjalankan aktiviti mengilat mabang. Sesekali rasa sedikit kebimbangan tentang hasil yang bakal diperolehi. Apabila membayangkan kegarangan sotong mabang, tidak mustahil sotong-sotong telah habis ditangkap. Tetapi apabila melihat saiz beg palstik yang dibawa mereka masih kecil, semangat mengilat kembali membara.

Ketika ini sotong mabang sedang menghampiri kawasan pantai di Terengganu. Banyak sotong dinaikkan samada di kawasan pantai atau unjam. Jika anda berpeluang ke Terengganu, cuba lawati kawasan pasar ikan. Ada akan dapat melihat banyak sotong mabang dijual. Ini merupakan petanda bahawa sotong mabang sedang mengamuk.

Pada musim mabang, lokasi-lokasi pancing akan dipenuhi oleh pengilat-pengilat tegar. Setiap tahun juga akan ada kehadiran pengilat-pengilat baru yang sedang berjinak-jinak dengan aktiviti ini. Abe Din mengalu-alukan azam dan kesungguhan mereka mencari mabang sehingga ke pagi. Jangan pula lupa hendak bersahur.

Kehadiran pengilat baru boleh dikenali dengan beberapa petunjuk fizikal seperti berikut :

1-Menggunakan pancing ikan untuk memancing sotong
2-Membawa sauk bagi tujuan menyauk sotong yang dipancing
3-Tidak memakai kasut ketika berjalan di atas kawasan berbatu
4-Membawa lampu bersaiz besar

Beberapa jenis lampu yang tidak sesuai

Lampu kepala yang semakin popular

5-Tiada bekas mengisi sotong @ bekas ditinggalkan jauh
6-Memakai baju berwarna cerah dan terang
7-Membuat bising sambil bercerita dan bergelak ketawa
8-Banyak berehat ketika pemancing lain sibuk mengilat
9-Menggunakan jig berkelip cahaya merah
10-Riuh rendah apabila dapat menangkap seekor sotong

Menyuluh ke arah air boleh mengganggu pemancing lain

11-Kerap menyuluh ke kawasan air
12-Suka mengilat secara berkumpulan dan setempat

Joran tidak sesuai, berkumpul dan membuat bising

13-Makan sambil mengilat sotong
14-Menggunakan jig bersaiz besar dengan warna tidak sesuai
15-Tali kerap kusut dan lain-lain lagi

Pemancing mahir sukakan kawasan yang sunyi dan jauh dari
gangguan
yang boleh mejauhkan sotong dari pantai.

Abe Din sangat mengalu-alukan kehadiran pemancing baru bagi memeriahkan lagi dunia pancingan sotong. Pemancing baru perlu banyak bertanya dan belajar. Padang pancing sotong adalah satu tempat awam yang perlu dikongsi bersama. Elakkan dari sikap angkuh dan terlalu mementingkan diri kerana dibimbangi akan menimbulkan situasi yang tidak diingini.

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin memberikan beberapa tips kepada pemancing baru dalam mencari pengalaman sambil menanam sikap berkongsi padang pancing. Beberpa perkara utama yang Abe Din senaraikan ini perlu dielakkan :

1-Menyuluh-yuluh dan bermain dengan cahaya lampu.
Baru-baru ini Abe Din berkesempatan melawat sebuah padang pancing sotong. Ketika sedang mengilat datang beberapa anak muda dengan riuh-rendah sambil menyuluh di merata-rata tempat tanpa memikirkan pengilat yang sedang mengilat di kawasan berkenaan. Lebih malang lagi, setiap kali mendapat sotong mereka akan menyuluh ke arah sotong dan tuannya sehinggalah sotong dinaikkan. Ada juga yang mengilat denganl membuka lampu sambil menyuluh pergerakan jig.

Apa yang perlu anda tahu ? : Sotong mabang bersaiz besar tidak menyukai kehadiran cahaya lampu rawak. Setiap kali sotong besar dinaikkan kerapkali pasangannya akan mengikut dari arah belakang.

2-Bergerak ke sana ke mari dan bermain-main air
Apa yang perlu anda tahu ? : Sotong dapat mengesan bayang pergerakan dari arah batuan atau pantai terutamanya ketika bulan terang dan air laut jernih. Sotong yang terkejut selalunya akan bergerak menjauhi rangsangan yang berlaku. Akibatnya pengilat perlu membaling jauh untuk mendapatkan sotong. Sotong kerapkali menyambar jig dalam kedudukan yang jauh. Jika ini berlaku, ia menunjukkan bahawa sotong telah mengesan kehadiran manusia.

3-Menyilang tali pengilat lain
Memancing ketika waktu malam memerlukan kemahiran yang tinggi. Dengan latihan yang konsisten, seseorang pemancing akan mahir dengan situasi pancingan malam. Pemancing perlu mengelak dari membaling jig secara rambang. Perhatikan dahulu kedudukan tali pancing pengilat bersebelahan sebelum jig dibaling.

Apa yang perlu anda tahu ? : Dua tali yang bersentuhan akan memudahkan tali bersimpul dengan mata kail jig. Keadaan akan bertambah rumit jika salah seorang pengilat menggunakan tali benang sulam. Banyak masa diperlukan bagi mengurai kekusutan berkenaan. Masalah juga akan berlaku jika salah satu pancing disambar sotong. Lebih teruk lagi jika sotong yang menyambar jig, bersaiz besar. Risiko terlepas adalah tinggi.

4-Balingan rambang
Balingan rambang dan tidak berhati-hati boleh menyebabkan kecederaan kepada pemancing bersebelahan. Jig yang tajam mudah tersangkut pada baju, beg, kulit tubuh, bahagian muka serta bahagian lain tubuh serta struktur sekeliling.

Apa yang ada perlu tahu ? : Jika kejadian tidak diingini terjadi, aktiviti pemancing akan terganggu. Ia juga akan menyusahkan pengilat-pengilat sotong yang lain.

Diharapkan tip-tip yang diberi diambil perhatian serius oleh pemancing baru. Malang tidak berbau. Jika anda perlu melakukan perkara-perkara berkenaan, cuba meminimakan kesannya kepada pemancing-pemancing di kawasan berkenaan. Mungkin selama ini, anda tidak tahu apa yang anda lakukan di padang pancing menyakitkan hati pemancing lain. Semoga pengalaman akan mematangkan anda untuk belajar memberi dan menerima. Selamat berpuasa-Abe Din
Read more >>

09 August 2010

Mengilat Di Pantai III

Salam untuk semua dan selamat menjalani ibadah puasa bagi yang beragama Islam. Semoga mendapat keredhaan dan keberkatan dari-Nya.

Pada kesempatan ini, Abe Din akan menyambung perbincangan tentang ilmu mengilat sotong mabang di kawasan pantai. Untuk pengetahuan semua, aktiviti mengilat di waktu siang dan malam mempunyai cara dan kaedah yang berbeza. Ada diantara pengilat sotong mabang lebih cenderung mengilat di waktu siang. Mengilat di waktu siang ada kelebihannya yang tersendiri termasuklah peluang memilih tempat yang paling baik, dapat melihat kehadiran sotong dan mengelak candat daripada tersangkut.

Mengilat pada waktu malam pula lebih mencabar di mana pengilat sotong perlu bergantung sepenuhnya kepada naluri dan pengalaman. Umum mengetahui bahawa mengilat di waktu malam di kawasan pesisir pantai selalu membuahkan hasil jika keadaan air dan cuaca sesuai. Sotong lebih mudah diperolehi di waktu malam dan saiznya lebih besar.

Anda perlu membezakan aktiviti mengilat di kawasan pantai dan unjam. Mengilat di kawasan unjam tidak banyak dipengaruhi oleh waktu siang atau malam kerana kawasan berkenaan merupakan rumah tumpangan sotong mabang di laut terbuka. Ini bermaksud sotong pelbagai saiz mudah ditangkap di kawasan unjam dan tentunya saiznya lebih besar dari kawasan pantai.

Perbincangan kali ini akan lebih tertumpu kepada pancingan malam dan cara-cara mengesan kehadiran sotong mabang di kawasan persisir pantai. Ramai pengilat sotong pulang hampa kerana gagal mengesan beberapa petunjuk semulajadi tentang kehadiran sotong. Dengan pemahaman kepada petunjuk tersebut, Abe Din yakin hasil tangkapan dapat ditingkatkan.

1-Kewujudan Tulang Sotong Katak
Tulang sotong katak terdiri dari kepingan kalsium yang agak tebal dan rapuh. Selepas ombak besar semakin teduh dan air agak surut, kita mudah untuk melihat tulang sotong ini berselerak di kawasan pesisir pantai. Fenomena ini hanya boleh dilihat pada bulan dan musim tertentu sahaja. Kehadiran tulang sotong menunjukkan jumlah sotong yang mati dan dihanyutkan ke kawasan pantai. Kewujudan tulang sotong ini juga bermaksud bahawa sotong-sotong katak telah menghampiri kawasan pesisir pantai terutamanya kawasan pantai berbatu. Pada ketika ini peluang untuk mendapatkan sotong katak agak cerah.

Tulang sotong katak berwarna putih mudah dilihat jika disuluh

2-Jejak Kaki Pengilat
Jika kawasan berkenaan sering menjadi tumpuan pengilat sotong, petunjuk ini dapat membantu pengilat mengesan kedudukan sotong. Sotong selalu berkumpul di kawasan-kawasan tertentu bagi tujuan mengawan, bertelur, mencari makanan dan perlindungan. Kadang-kadang kita boleh melihat pengilat yang baru sampai terus mengilat di sesuatu kawasan tertentu. Ini bermaksud, pengilat berkenaan biasa memperolehi sotong di kawasan berkenaan. Jika anda sampai lewat, kesan kewujudan tapak kaki di sepanjang pantai kawasan mengilat. Cuba buat balingan di kawasan yang paling banyak menunjukkan kesan tapak kaki.

3-Kehadiran Dakwat Sotong
Dakwat sotong yang tertinggal di kawasan pantai bercorak memanjang. Ini kerana sotong yang ditarik ke pantai akan memancutkan dakwatnya sebaik sahaja badannya mengenai pasir yang tiada air. Dakwat sotong di kawasan batuan pula akan menunjukkan pola setempat dan membulat. Situasi ini terjadi demikian kerana, pengilat di kawasan batuan akan mengangkat dan meletakkan sotong yang ditangkap pada tempat tertentu di atas batu manakala di pantai pengilat lebih cenderung menarik sambil mengheret sotong berkenaan. Saiz sotong yang berjaya dinaikkan boleh diagak dengan melihat kepada panjang dan saiz dakwat manakala jumlah sotong yang dinaikkan boleh diagak dengan melihat jumlah jaluran dakwat.

4-Kehadiran Ketam Angin
Ada masa dan ketikanya ketam angin hadir dalam jumlah yang banyak ketika ombak semakin teduh dan air laut perlahan. Ketam ini boleh dilihat bermain dan berkejaran di kawasan pantai dan kerap berlari masuk ke kawasan air laut. Kekerapan ketam masuk ke laut dan berlari semula ke kawasan pasir memberi petunjuk kehadiran sotong bersaiz besar. Ketam angin merupakan salah satu makanan sotong mabang. Sotong selalunya akan berada di kawasan gigi air sambil menyamar dan bersedia menyerang hendap ketam yang berlari masuk ke air. Pengilat di nasihatkan pembaling jig dengan tarikan perlahan dalam keadaan duduk. Jangan bermain-main dengan cahaya lampu suluh kerana ia akan menakutkan sotong.

Kehadiran ketam angin akan menarik perhatian
sotong bersaiz besar



Kedua-dua gambar di atas menunjukkan hasil seni ketam angin
ketika mencari makanan yang terdapat di dalam pasir pantai.


5-Kehadiran Ikan-ikan bersaiz Kecil
Ikan-ikan bersaiz kecil selalu bermain di kawasan tepi pantai ketika waktu malam. Kita boleh mengesan kehadiran kumpulan ikan ini dengan cara membuat suluhan rawak menggunakan lampu suluh sebelum aktiviti mengilat dilakukan. Jika terdapat kumpulan ikan, beberapa lompatan dan larian di kawasan atas air boleh dilihat. Pada ketika itu, padamkan lampu dan buat balingan jig merentasi kumpulan ikan berkenaan dan tarik secara perlahan. Kita juga boleh membaling jig di kawasan tepi kumpulan ikan berkenaan. Kehadiran kumpulan ikan kecil akan menarik sotong bagi membuat serang hendap. Jika bernasib baik, jig kita akan melalui kawasan sotong yang sedang dalam keadaan sedia. Sifat sotong yang garang menyebabkan jig disambar dalam masa yang cukup singkat.

6-Kehadiran Ikan Besar
Kehadiran ikan bersaiz besar seperti todak dan kekacang juga boleh dikesan menggunakan teknik suluhan rawak. Kadangkala ikan berkenaan melompat dan menyambar ikan kecil dan sotong di kawasan permukaan air. Jika anda dapat mengesan petunjuk ini, Abe Din nasihatkan agar anda berpindah tempat. Kehadiran ikan akan menyebabkan sotong turun ke dasar dan menjauhi pantai serta menyorok di struktur dalam laut seperti batu dan karang. Peluang untuk mendapatkan sotong pada ketika ini cukup tipis.

Jika anda tidak berhasrat untuk berpindah, anda perlu menghalau ikan-ikan berkenaan terlebih dahulu dengan cara menyuluh rawak berterusan. Anda juga perlu berhati-hati kerana ikan seperti todak yang takut dan terkejut akan melompat ke udara serta berenang menegak sambil menuju ke arah cahaya lampu.

7-Kehadiran Cahaya Dalam Air
Pada masa-masa tertentu, kita akan melihat kehadiran beberapa cahaya seakan-akan biru muda dan putih. Cahaya ini akan menyala 2 atau 3 kali kemudian berhenti. Beberapa minit kemudian ia akan menyala lagi di tempat lain. Cahaya berkenaan adalah cahaya yang dihasilkan dari tubuh sotong mabang. Cahaya berkenaan selalunya akan terhasil ketika ritual mengawan.

Saiz cahaya mengambarkan saiz sotong berkenaan. Cahaya yang lebih terang menunjukkan kedudukan sotong dipermukaan manakala cahaya samar menunjukkan sotong berada jauh ke dasar pantai.

Seorang rakan Sotong Mania memberitahu bahawa sotong tidak akan menyambar jig ketika bercahaya berkemungkinan kerana sibuk menarik perhatian pasangan atau bertelur. Kadangkala kita dapat melihat cahaya perbagai saiz di merata-rata tempat. Jika ini terjadi kepada anda, baling jig merentasi kumpulan cahaya berkenaan dan tarik secara perlahan dalam posisi duduk. Sotong yang tidak bercahaya selalunya akan menarik jig.

Jika cahaya bersaiz besar yang anda lihat menyala setempat dan peredarannya agak lambat, maka cahaya berkenaan dikeluarkan oleh obor-obor. Pengalaman akan mengajar anda untuk membezakan antara cahaya sotong mabang dan cahaya dari obor-obor.

Penutup
Semua petua di atas adalah dari pengalaman Abe Din yang hanya menjadi tajuk perbualan di antara rakan terdekat sahaja. Semoga post kali ini akan memberi manfaat kepada peminat-peminat Blog Sotong Mania. Abe Din juga sangat berharap agar petua ini dapat disebarluaskan kepada semua rakan-rakan pengilat lain agar aktiviti mengilat sotong mampu berada sebaris dengan aktiviti-aktiviti pancingan yang lain-Abe Din.
Read more >>

02 August 2010

Mengilat Di Pantai II

Salam untuk semua peminat sotong.
Pada post sebelumnya, Abe Din telah menghuraikan tentang jenis dan keadaan pantai yang biasa menjadi lokasi sotong mabang mencari makan. Pada post kali ini Abe Din akan menghuraikan dengan lebih lanjut sebagai pengetahuan tambahan cara mengilat sotong mabang di kawasan pesisir pantai.

Secara umum, sotong mabang akan bermain berdekatan dengan kawasan yang agak selamat baginya untuk melarikan diri atau menyamar. Mabang jarang dijumpai di kawasan perairan terbuka. Oleh itu pengilat yang bijak akan memilih pantai yang mempunyai struktur batuan berdekatan kawasannya mengilat. Aktiviti mengilat boleh dilakukan di kawasan pantai berbatu dengan menggunakan jig ringan atau kawasan pantai berpasir bersebelahan kawasan berbatu dengan menggunakan jig berat.

Salah satu kawasan pantai berbatu yang berpotensi

Jika mengilat dilakukan di kawasan berbatu, beberapa teknik perlu diaplikasi bagi mengelakkan jig tersangkut (telah dibincang dalam post sebelumnya). Mengilat di kawasan pantai pasir berdekatan batu adalah lebih selamat.

Perlu diingat, antara punca pengilat gagal mendapatkan sotong adalah kegagalan pengilat berlindung diri bagi mengelak kehadirannya diketahui. Antara tanda kehadiran kita diketahui ialah apabila sotong memegang jig pada kedudukan yang jauh dari pantai. Jika jig dipegang berdekatan pantai, ia menunjukkan kehadiran kita tidak disedari oleh sotong.

Pastikan kedudukan anda tidak menakutkan sotong.

Antara cara-cara mengatasi masalah berkenaan ialah dengan memakai baju serta pakaian berwarna gelap. Warna putih dan cerah tidak digalakkan. Pastikan juga matahari, bulan, lampu atau unggun api tidak berada di belakang kita. Kehadiran subjek berkenaan boleh menghasilkan kesan bayang yang akan menakutkan sotong.

Apa yang Abe Din terangkan bukanlah sesuatu yang tetap tetapi berubah-ubah mengikut keadaan. Secara biasanya sotong yang lebih besar agak culas, penakut dan cukup berhati-hati manakala sotong bersaiz kecil lebih berani dan tidak berapa kisah dengan kehadiran manusia. Satu lagi cara penyamaran ialah dengan mengilat secara duduk di atas pasir atau batu. Berdiri ketika perlu sahaja. Kaedah ini mempunyai beberapa kelebihan termasuklah pergerakan candat dapat ditarik dan dimainkan di kawasan dasar pantai.

Mengilat secara mengharung air

Teknik mengilat secara mengharung air ini banyak digunakan oleh pengilat-pengilat sotong di kawasan Dungun dan Kerteh di Terengganu. Pertama kali Abe Din melihat teknik ini ia nampak agak pelik dan bahaya. Dari perbualan dengan beberapa orang pengilat yang mengaplikasi kaedah ini menyatakan bahawa teknik ini mampu memberikan pulangan hasil yang jauh lebih lumayan. Sotong banyak bermain pada batuan yang agak jauh dari kawasan pantai. Kebiasaannya kawasan pantai ini adalah dari jenis rata dalam.

Kaedah ini memerlukan pengilat mengharung air hingga ke paras dada dan bergarak selari dengan pantai. Pengilat menggunakan jig yang lebih berat dan besar bagi mempercepatkan jig tenggelam ke dasar serta bertujuan melawan tiupan angin. Ada juga pengilat menggunakan kaedah ini pada waktu malam.

Untuk keselamatan, pengilat perlu memakai kasut dan stokin serta seluar yang lebih ringan. Baju dan stokin perlu dimasukkan ke dalam bagi mengelakkan obor-obor dan haiwan berbisa lain. Peralatan yang dibawa juga perlu ringkas seperti set pancing, sedikit alatan serta bekas mengisi sotong. Set pancing sangat kerap terkena air masin dan pengilat perlu kerap mencuci menggunakan minyak dan air tawar.

Tidak perlu membahayakan keselamatan diri
semata-mata
untuk mendapat sotong.
Ingat orang tersayang.

Pengilat dinasihatkan agar tidak menggunakan kaedah ini terutama pada waktu malam. Pada post sebelumnya Abe Din ada menyatakan bahawa pada pukul 7 pm hingga 11 pm adalah masa aktif bagi ikan jerung atau yu. Kemungkinan dakwat dari sotong yang ditangkap boleh menarik perhatian pemangsa berkenaan. Teknik ini juga tidak sesuai digunakan ketika laut bergelora.

Bagi pengilat yang sudah lama menggunakan kaedah mengilat secara mengharung ini, mereka sebenarnya cukup berani dan mahir. Pengilat baru dinasihatkan tidak mencuba kaedah ini. Apa sahaja yang anda lakukan, keselamatan perlu diberi keutamaan. Beringat sebelum kena. Sehingga berjumpa lagi-Abe Din.
Read more >>

18 July 2010

Mengilat Di Unjam


Salam untuk semua.
Pada post kali ini, Abe Din akan menerangkan kaedah memancing sotong mabang di kawasan unjam. Secara umumnya, unjam merupakan satu struktur buatan manusia yang berfungsi sebagai kawasan ikan dan sotong berkumpul. Unjam dibina sebagai perlindungan sementara bagi ikan-ikan dan hidupan laut bersaiz kecil. Setelah unjam berjaya menarik ikan-ikan kecil berlindung, maka ikan-ikan bersaiz besar akan mula berlegar di sekelilingnya. Unjam juga merupakan kawasan terbaik bagi sotong mabang melindungi diri dari musuh-musuhnya.

Di Terengganu, unjam dibina menggunakan daun-daun pokok ru, daun nipah, daun buluh, daun kelapa dan batang buluh. Daun dan dahan-dahan pokok berkenaan dipotong dan diikat menggunakan tali kemudian ditenggelamkan dengan menggunakan pemberat. Pemberat unjam dibuat menggunakan guni gula yang diletakkan pasir pantai. Ada juga unjam ditambah dengan tayar-tayar buruk dan tong-tong ikan terpakai. Bahagian atas unjam diikat menggunakan pelampung-pelampung polisterin atau tong-tong air terpakai.

Pelampung polisterin diletak agar unjam sentiasa berada
dalam kedudukan menegak

Unjam adalah kawasan yang menjadi tumpuan utama pemiliknya mencari rezeki. Antara tangkapan utama mengikut musim termasuklah ikan kembong, tamban, selar, cencaru dan tongkol serta sotong mabang. Ikan-ikan di atas dipancing menggunakan bulu yang diikat pada matakail dan tali perambut. Ada juga ikan-ikan besar yang dipancing seperti kerapu, talang, tenggiri, kekacang, haruan tasik dan ikan-ikan bernilai tinggi yang lain.

Terdapat dua jenis unjam iaitu unjam laut dan unjam darat. Kedua-dua unjam ini dibina menggunakan bahan yang sama. Apa yang membezakannya ialah kedudukan unjam dilabuhkan. Unjam darat diletakkan di kawasan pelantar laut yang mana kita masih boleh melihat kawasan daratan atau pantai manakala unjam laut dilabuhkan di kawasan laut lepas yang tidak kelihatan kawasan daratannya jika dilihat dari unjam.

Unjam buluh : Buluh akan menegak ke atas jika air laut pasang

Unjam yang dilabuh mengambil masa beberapa minggu bagi menarik perhatian ikan. Apabila unjam benar-benar telah masam, ikan dan sotong akan mula menghuni di sekitarnya. Secara umumnya, unjam laut menjadi kawasan perlindungan ikan-ikan dan sotong-sotong bersaiz lebih besar daripada unjam darat. Pemancing dan pengilat perlu berhati-hati menjalankan operasi sekitar unjam kerana risiko untuk tersangkut cukup tinggi.

Sotong mabang yang Abe Din perolehi di kawasan unjam darat.

Cara pancingan sotong mabang di kawasan unjam telah Abe Din terangkan pada post-post sebelum ini. Umpan sotong atau jig yang digunakan di kawasan unjam lebih besar dan panjang. Dari ujian lapangan yang dijalankan, jig merah yang besar sangat efektif di kawasan unjam. Ketika memancing di unjam, pemancing perlu menyediakan jig lebih daripada satu yang bertindak sebagai bantuan jika jig tersangkut. Perlu diingat di laut tiada kedai pancing.

Kumpulan jig yang pernah digunakan oleh Abe Din

Jig putih dan twist juga laku di kawasan unjam

Pancingan di unjam memerlukan pemancing memasang jig bersama tanduk bagi mengelakkan tali anak tersangkut pada tali utama. Sila rujuk tulisan Abe Din dalam post sebelumnya. Penggunaan pemberat atau ladung perlu disesuaikan dengan kekuatan arus laut.

Ilustrasi unjam buatan

Ketika memancing di unjam, kita perlu mengambil kira dua faktor utama iaitu angin dan arus. Ada masa dan ketikanya angin dan arus menjadi songsang. Di Terengganu ia dikenali sebagai arus gila dimana arah arus laut berubah-ubah dengan cepat. Jika arus kuat, pemancing perlu melabuhkan bot jauh dari unjam agar unjam berada di bahagian hadapan. Pemancing di bahagian hadapan perlu menggunakan pemberat yang lebih ringan manakala pemancing di bahagian belakang haruslah menggunakan ladung yang lebih berat bagi mengelakkan pancing berbelit. Jika arus lemah atau tiada arus, pemancing perlu berada di atas unjam iaitu dengan melabuhkan bot secara mengikat tali pada pelampung unjam.

Hulurkan tali pancing secara berhati-hati sehingga ke dasar kemudian tarik perlahan-lahan atau buat henjutan ringan sehingga pertengahan air dan lepaskan semula. Elakkan henjutan seperti pancingan sotong torak kerana sotong berada dicelah-celah daun unjam atau struktur bawah. Henjutan lembut akan memudahkan sotong mengesan kehadiran candat. Henjutan secara laju akan menarik perhatian ikan seperti kekacang dan tenggiri. Jika dua spesies ini menggigit umpan alamatnya anda kena ikat candat yang baru. Kadang kala spesies ini akan menyambar batu ladung yang berkilat.

Apabila sotong mabang menghulurkan tangan bersalam dengan jig, anda akan rasakan satu benaman yang cukup kuat. Hulurkan tali jika anda menggunakan serek sambil menahan tali di bahagian tepi bot. Jika anda menggunakan joran, jangan sekali-kali mengetatkan drag. Drag yang terlalu longgar juga akan menyebabkan sotong mudah untuk terlepas. Laras drag mengikut kesesuaian saiz sotong.

Mabang sedang bersantai di kawasannya

Mulalah bermain tarik tali dengan sotong. Apabila sotong semakin lemah, tarik ia perlahan-lahan ke atas. Semasa tarikan dibuat anda akan rasa seperti menarik beg plastik besar yang penuh berisi air. Apabila sotong besar mula menghampiri permukaan air, ia akan memecut sebaik sahaja melihat manusia. Teruskan bertahan. Ada dua kaedah yang biasa digunakan iaitu terus bermain dengan sotong sehingga ia benar-benar letih dan dakwatnya habis dilepaskan atau terus mencangkuk ke atas bot. Berhati-hati kerana sotong selalunya menyimpan dakwat tambahan untuk mengajar musuhnya agar lebih bersopan-santun.

Kadang-kala sotong besar yang terkena pancing akan diikuti oleh pasangannya. Abe Din pernah bertemu dengan dua ekor sotong lain yang mengikut rakannya yang sudah terkena candat. Apa yang perlu dibuat jika situasi ini berlaku ? Pertama : jangan buat banyak pergerakan kerana ia akan menakutkan sotong yang mengikut. Kedua : minta rakan agar membaling jig ke arah sotong berkenaan. Percayalah jig itu akan dipeluk dengan cukup erat. Jangan risau jika sotong sempat lari ke bawah, jatuhkan sahaja jig pada kedalaman separuh air, tarik ke atas dan kena...

Tarikan mabang memang ganas

Sebaiknya sotong terus dimasukkan ke dalam bekas bagi mengelakkan dakwat terpancut merata-rata. Selepas sotong disimpan, jangan buang masa untuk melihat rakan lain menarik sotong. Terus lepaskan jig ke dasar untuk mendapatkan sotong yang berikutnya. Selamat mencuba-Abe Din.
Read more >>

Mengilat Di Pantai I

Salam untuk semua.
Pada post kali ini, Abe Din akan menerangkan cara dan kaedah mengilat sotong mabang dari kawasan tepi pantai. Untuk pengetahuan rakan-rakan sotong mania, kawasan tepi pantai yang mempunyai sotong boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu pantai berpasir, pantai separa pasir dan pantai berbatu. Pembahagian kategori pantai ini adalah berdasarkan keadaan muka bumi yang biasa dijumpai di kawasan pantai di Terengganu. Kemungkinan besar, keadaan pantai berkenaan juga biasa dijumpai di kebanyakan kawasan di Malaysia.

Pembahagian kategori jenis pantai adalah seperti berikut :
1-Pantai berpasir merujuk kepada kawasan tepi pantai dimana keseluruhan kawasannya diliputi oleh pasir pantai.
2-Pantai separa pasir pula merujuk kepada kawasan pantai yang mempunyai pasir di hadapan dan batuan di belakang atau sebaliknya atau kawasan pasir dan batuan yang bercampur dengan keluasan yang hampir sama.
3-Pantai berbatu pula merujuk kepada kawasan pantai yang majoritinya ditutupi oleh kawasan batuan di hadapan dan belakang.

Pembahagian keadaan pantai adalah seperti berikut :
Terdapat tiga keadaan pantai yang biasa dijumpai iaitu pantai curam, pantai rata curam dan pantai dalam rata. Keadaan pantai berkenan boleh dijumpai pada semua kategori jenis pantai seperti yang dinyatakan di atas.


Mengilat di kawasan pantai curam dalam memerlukan pengilat sotong menggunakan jig berat yang cepat tenggelam. Jika jig yang digunakan dari jenis yang cepat tenggelam ia akan mempercepatkan sambaran sotong sebaik sahaja jig mencapaikan pada kedalaman tertentu. Zon sambaran di atas akan berlaku apabila keadaan air bergelora atau terdapat ikan atau burung bermain pada zon atas. Jika keadaan air tenang dan bulan sedikit gelap, zon sambaran akan berubah ke zon atas dan menghampiri tebing pantai.


Bagi kawasan pantai rata curam, sotong banyak berkumpul di zon seperti di atas. Zon berkenaan adalah kawasan selamat bagi sotong. Zon sambaran juga boleh berubah di kawasan yang lebih dalam. Apabila sotong menghambat jig, ia akan kerap berhenti di kawasan bulatan di atas. Adakalanya ia akan mengejar jig sehingga ke kawasan cetek yang lebih rata. Jika tiada sambaran berlaku, sotong akan kembali berlindung pada zon sambaran bagi menanti kehadiran mangsa. Sotong jenis ini boleh ditangkap dengan mudah jika jig melalui zon sambaran bagi kali kedua atau ketiga. Semasa air tenang dan tiada ancaman, sotong bersaiz besar selalunya akan bermain di kawasan yang lebih rata dan lebih cetek.

Kawasan pantai dalam rata amat jarang dijumpai. Walaubagaimanapun kekuatan ombak yang berubah-ubah akan memungkinkan pembentukan muka bumi pantai yang pelbagai. Zon sambaran adalah meluas dan kedudukan sotong agak sukar untuk ditentukan. Balingan rawak kadang-kala akan membuahkan hasil. Walaupun pantai dilihat agak rata ia sebenarkan mempunyai susunan pasir yang tidak sekata. Susunan pasir dibentuk oleh ombak seakan-akan sisik ikan. Sotong kerap berlindung di celah-celah permukan pasir berkenaan. Salah satu cara mengesan kehadiran sotong di kawasan ini adalah dengan mengesan kawanan ikan-ikan kecil yang bermain. Balingan ke arah kumpulan ikan berkenaan kerap mendapat sambutan. Cara mengesan kehadiran sotong akan dibincang dengan lebih lanjut pada post yang berikutnya.

Secara umum, sotong amat jarang meninggalkan kawasannya yang dianggap selamat. Walaupun sotong berpindah-randah mengikut pasang surut air laut tetapi ia juga bersifat kewilayahan. Sifat kewilayahan bermaksud kawasan perlindungan sotong dari musuh. Sotong jarang menjauhi kawasan selamatnya terutama ketika musim mengawan dan bertelur. Oleh sebab itu peluang untuk mendapatkan sotong lebih tinggi jika aktiviti mengilat dilakukan di kawasan ia berlindung. Ini bermaksud jika pantai berkenaan adalah dalam kategori 2 dan 3 maka sambaran sotong lebih banyak berbanding pantai dari kategori 1.

Sotong selalu berkumpul bagi tujuan mengawan dan bertelur

Rajah di atas menunjukkan sekumpulan sotong yang sedang berkumpul. Jika ada ancaman, sotong akan bergerak ke kawasan batuan atau kawasan lebih dalam sambil mengubah warna. Jika terdesak, ia akan memancutkan dakwat hitamnya sambil melarikan diri. Pengilat-pengilat sotong di kawasan pantai dinasihatkan agar tidak berdiri atau membuat banyak pergerakan. Sotong besar selalunya cukup peka dengan perubahan persekitarannya.

Jika mengilat dilakukan pada waktu malam, elakkan dari bermain lampu. Jika anda bercadang untuk menyuluh jig luminous, gunakan tangan bagi menutup cahaya lampu atau menyuluh dengan cara berpusing ke arah daratan. Sotong kecil selalunya tertarik kepada cahaya tetapi sotong lebih besar akan menjauhi cahaya jenis rawak. Pengilat yang mahir tidak akan menggunakan lampu jika tiada keperluan yang mendesak-Abe Din.

Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing