"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

18 July 2010

Mengilat Di Pantai I

Salam untuk semua.
Pada post kali ini, Abe Din akan menerangkan cara dan kaedah mengilat sotong mabang dari kawasan tepi pantai. Untuk pengetahuan rakan-rakan sotong mania, kawasan tepi pantai yang mempunyai sotong boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu pantai berpasir, pantai separa pasir dan pantai berbatu. Pembahagian kategori pantai ini adalah berdasarkan keadaan muka bumi yang biasa dijumpai di kawasan pantai di Terengganu. Kemungkinan besar, keadaan pantai berkenaan juga biasa dijumpai di kebanyakan kawasan di Malaysia.

Pembahagian kategori jenis pantai adalah seperti berikut :
1-Pantai berpasir merujuk kepada kawasan tepi pantai dimana keseluruhan kawasannya diliputi oleh pasir pantai.
2-Pantai separa pasir pula merujuk kepada kawasan pantai yang mempunyai pasir di hadapan dan batuan di belakang atau sebaliknya atau kawasan pasir dan batuan yang bercampur dengan keluasan yang hampir sama.
3-Pantai berbatu pula merujuk kepada kawasan pantai yang majoritinya ditutupi oleh kawasan batuan di hadapan dan belakang.

Pembahagian keadaan pantai adalah seperti berikut :
Terdapat tiga keadaan pantai yang biasa dijumpai iaitu pantai curam, pantai rata curam dan pantai dalam rata. Keadaan pantai berkenan boleh dijumpai pada semua kategori jenis pantai seperti yang dinyatakan di atas.


Mengilat di kawasan pantai curam dalam memerlukan pengilat sotong menggunakan jig berat yang cepat tenggelam. Jika jig yang digunakan dari jenis yang cepat tenggelam ia akan mempercepatkan sambaran sotong sebaik sahaja jig mencapaikan pada kedalaman tertentu. Zon sambaran di atas akan berlaku apabila keadaan air bergelora atau terdapat ikan atau burung bermain pada zon atas. Jika keadaan air tenang dan bulan sedikit gelap, zon sambaran akan berubah ke zon atas dan menghampiri tebing pantai.


Bagi kawasan pantai rata curam, sotong banyak berkumpul di zon seperti di atas. Zon berkenaan adalah kawasan selamat bagi sotong. Zon sambaran juga boleh berubah di kawasan yang lebih dalam. Apabila sotong menghambat jig, ia akan kerap berhenti di kawasan bulatan di atas. Adakalanya ia akan mengejar jig sehingga ke kawasan cetek yang lebih rata. Jika tiada sambaran berlaku, sotong akan kembali berlindung pada zon sambaran bagi menanti kehadiran mangsa. Sotong jenis ini boleh ditangkap dengan mudah jika jig melalui zon sambaran bagi kali kedua atau ketiga. Semasa air tenang dan tiada ancaman, sotong bersaiz besar selalunya akan bermain di kawasan yang lebih rata dan lebih cetek.

Kawasan pantai dalam rata amat jarang dijumpai. Walaubagaimanapun kekuatan ombak yang berubah-ubah akan memungkinkan pembentukan muka bumi pantai yang pelbagai. Zon sambaran adalah meluas dan kedudukan sotong agak sukar untuk ditentukan. Balingan rawak kadang-kala akan membuahkan hasil. Walaupun pantai dilihat agak rata ia sebenarkan mempunyai susunan pasir yang tidak sekata. Susunan pasir dibentuk oleh ombak seakan-akan sisik ikan. Sotong kerap berlindung di celah-celah permukan pasir berkenaan. Salah satu cara mengesan kehadiran sotong di kawasan ini adalah dengan mengesan kawanan ikan-ikan kecil yang bermain. Balingan ke arah kumpulan ikan berkenaan kerap mendapat sambutan. Cara mengesan kehadiran sotong akan dibincang dengan lebih lanjut pada post yang berikutnya.

Secara umum, sotong amat jarang meninggalkan kawasannya yang dianggap selamat. Walaupun sotong berpindah-randah mengikut pasang surut air laut tetapi ia juga bersifat kewilayahan. Sifat kewilayahan bermaksud kawasan perlindungan sotong dari musuh. Sotong jarang menjauhi kawasan selamatnya terutama ketika musim mengawan dan bertelur. Oleh sebab itu peluang untuk mendapatkan sotong lebih tinggi jika aktiviti mengilat dilakukan di kawasan ia berlindung. Ini bermaksud jika pantai berkenaan adalah dalam kategori 2 dan 3 maka sambaran sotong lebih banyak berbanding pantai dari kategori 1.

Sotong selalu berkumpul bagi tujuan mengawan dan bertelur

Rajah di atas menunjukkan sekumpulan sotong yang sedang berkumpul. Jika ada ancaman, sotong akan bergerak ke kawasan batuan atau kawasan lebih dalam sambil mengubah warna. Jika terdesak, ia akan memancutkan dakwat hitamnya sambil melarikan diri. Pengilat-pengilat sotong di kawasan pantai dinasihatkan agar tidak berdiri atau membuat banyak pergerakan. Sotong besar selalunya cukup peka dengan perubahan persekitarannya.

Jika mengilat dilakukan pada waktu malam, elakkan dari bermain lampu. Jika anda bercadang untuk menyuluh jig luminous, gunakan tangan bagi menutup cahaya lampu atau menyuluh dengan cara berpusing ke arah daratan. Sotong kecil selalunya tertarik kepada cahaya tetapi sotong lebih besar akan menjauhi cahaya jenis rawak. Pengilat yang mahir tidak akan menggunakan lampu jika tiada keperluan yang mendesak-Abe Din.

No comments:

Post a Comment

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing