Seperti biasa pada malam 1 julai 2010, Abe Din bersama seorang rakan sotong mania telah mula memasuki kawasan mencandat di Petronas lebih kurang pukul 9.00 malam. Ketika tiba di lokasi, seorang lagi rakan sotong mania yang telah mula mengilat sejak petang hanya memperolehi beberapa ekor sotong sahaja. Rakan berkenaan pulang lebih awal iaitu kira-kira pukul 10.00 malam.
Di lokasi Abe Din dan rakan mengambil kedudukan yang dinamakan batu condong berhampiran kawasan pantai. Keadaan air pada malam berkenaan agak tenang dan cukup jernih. Setelah mengilat hampir 40 minit, rakan Abe Din telah berjaya menaikkan 3 ekor mabang saiz kecil (kurang sejengkal) dengan beberapa henjutan kasar yang terlepas. Semua tangkapan ditangkap dari arah laut.
Abe Din yang masih belum menaikkan sebarang tangkapan mula beralih ke hujung batu arah utara. Boleh dikatakan hampir kesemua candat-candat killer telah dicuba tetapi masih tidak mampu menggoda sotong. Beberapa minit kemudian, rakan Abe Din datang ke kawasan mengilat dan berjaya menaikkan 2 ekor lagi sotong saiz kecil.
Abe Din yang semakin cemburu mula bertanya jenis candat yang digunakan. Rupa-rupanya beliau menggunakan jig lama yang dinamakan cougar. Jig berkenaan diperbuat daripada plastik berudara lut sinar yang dicat. Harga jig caugar agak murah iaitu RM4 bagi setiap jig. Jig cougar dibungkus menggunakan plastik lut sinar yang tidak begitu berkualiti. Mungkin disebabkan harganya yang begitu murah maka jig ini kurang mendapat kepercayaan pengilat sotong mabang termasuklah Abe Din sendiri.
Tanpa berlegah, kotak jig diselongkar. Mujur ada seekor jig couger baru berwarna pink yang masih belum digunakan. Selepas diklip kemas, jig dibaling ke sasaran malangnya tiada sambaran. Balingan kali kedua mendapat tarikan yang cukup kuat hinggakan Abe Din terpaksa menarik tali keluar dengan tangan kerana kekili dilaraskan terlalu ketat. Rakan Abe Din berjaya mencangkuk naik sotong berkenaan yang merupakan sotong terbesar trip 1 Julai. Balingan kali ketiga juga mendapat tarikan keras dan seekor lagi mabang berjaya dicangkuk naik tetapi saiznya kecil sedikit dari sotong pertama.
Pada malam berkenaan Abe Din dan rakan berpesta menarik sotong. Ada juga pengilat yang datang mengapit di kiri dan kanan tetapi tidak berjaya menaikkan sotong. Akhirnya mereka berpindah tempat. Sehingga pukul 1.00 pagi semua pengilat telah pulang. Abe Din dan rakan masih menaikkan sotong sehingga pukul 7.00 pagi. Sekali-sekala kami berhenti mengilat untuk minum, sembahyang dan berehat.
Ade Din memperolehi tangkapan sebanyak 21 ekor dengan anggaran berat sekitar 6 kilogram. Lebih kurang pukul 9 pagi, rakan Abe Din telefon memaklumkan bahawa dia juga mendapat tangkapan sebanyak 21 ekor dengan berat timbangan melebihi 2 kilo kerana saiz sotongnya yang lebih kecil. Jumlah tangkapan kami malam itu dianggarkan antara 8 hingga 9 kilogram. Tangkapan 1 Julai boleh dianggap sebagai rekod peribadi kami kerana agak sukar untuk mengilat sotong sebanyak itu di kawasan pesisir pantai.
Informasi Tentang Cougar
Cougar merupakan jig buatan negara matahari terbit, Jepun. Pernah dikesan penggunaannya kira-kira 5 hingga 6 tahun lepas. Di kalangan pengilat sotong ia tidak begitu popular dan jarang terlihat kedai pancing yang menjualnya. Badannya diperbuat daripada plastik lutsinar tanpa luminous (tidak menyimpan cahaya apabila disuluh). Bahagian atas badannya dicat dengan warna pink atau coklat. Bahagian bawahnya tidak dicat. Mata jenis lekatan kuat dengan bola mata bergerak. Pemberat bentuk lama iaitu empat segi dengan berat 2.5 gram.
Setakat ini, caugar dikesan mempunyai dua warna iaitu coklat dan pink. Mata kail candatnya berbentuk "U" pendek. Tidak banyak maklumat tentang caugar EGI Sutte diketahui. Badannya lebih berat sedikit dan sesuai beraksi pada bahagian dasar. Harganya hanya RM4 bagi tiap jig. Kehadiran jig-jig baru yang lebih ringan dan bercahaya menyebabkan populariti cougar semakin menghilang dan dilupakan.
Analisis Teknik Tangkapan
Terdapat dua faktor utama yang mempengaruhi hasil tangkapan 1 Julai iaitu faktor persekitaran (kejernihan air) dan faktor dalaman (berat jig).
Pada malam berkenaan keadaan air sangat jenih. Kehadiran bulan juga mempengaruhi suasana persekitaran. Kedalaman air mati lebih kurang 1.4 hingga 1.7 meter dan surut pada kedalaman 0.5 meter pada pukul 4.20 pagi. Kejernihan air menyebabkan banyak ikan berkeliaran di permukaan air terutamanya todak dan kekacang. Kehadiran ikan di Zon B menyebabkan sotong tidak timbul di permukaan. Kebanyakan tangkapan sotong diperolehi di kawasan Zon D. Ini bermaksud sotong berada di dasar laut. Pengilat yang menggunakan jig-jig baru yang lebih ringan akan beraksi pada Zon C yang menghasilkan sambaran yang kurang.
Jig cougar merupakan jenis jig yang berat dan cepat tenggelam ke dasar. Jika anda membiarkan jig selepas dibaling ke lokasi, ia akan mudah sampai ke dasar. Gunakan teknik karauan pelahan dan henjutan yang jarang. Ia akan lebih mudah dilihat oleh sotong kerana jig berkenaan berada berdekatan dengan kawasannya bermain.
Risiko utama penggunaan jig cougar dan teknik yang dinyatakan adalah tersangkut. Jig cougar mudah tersangkut pada batuan dan karang di dasar. Walaupun begitu hasilnya memuaskan. Antara kelemahan lain cougar ialah terlepas. Cougar lebih mudah melepaskan sotong-sotong yang kecil dan bersaiz terlalu besar. Sotong kecil sukar tersangkut pada mata kail cougar. Sotong bersaiz besar pula mudah terlepas kerana cougar mempunyai mata kail yang pendek. Tusukan yang cetek adalah tidak kuat.
Jalan penyelesaian bagi permasalahan ini ialah modifikasi. Candat cougar perlu diubahsuai agar pengilat tidak menggigit jari. Nantikan post Abe Din yang akan menyusul mengenai cara mengubahsuai candat murah yang dibeli. Abe Din bersyukur dengan hasil 1 Julai walaupun demam pada hari berikutnya. semoga pengalaman ini mampu meningkatkan lagi kemahiran anda mengilat sotong mabang-Abe Din
No comments:
Post a Comment