"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.
Showing posts with label Ikatan. Show all posts
Showing posts with label Ikatan. Show all posts

26 August 2013

Ikatan Candat Torak

Selamat datang kepada semua pengunjung sotonglaut. Pada post kali ini aku nak tunjuk cara-cara mengikat perambut bagi aktiviti mencandat sotong torak. Sotong torak biasanya dicandat di laut lepas. Sotong torak boleh dicandat menggunakan pancing atau "serek" yang begitu popular bagi nelayan-nelayan di pantai Timur.

Bagi mencandat sotong torak, korang boleh menggunakan umpan tunggal atau umpan pelbagai. Perbincangan kali ini akan menjurus kepada ikatan perambut jenis "multi bait" atau umpan campuran. Cara ikatannya hampir sama dengan ikatan pancing apollo. Pengguaan multi bait lebih kerap mendapat tarikan sotong torak berbanding penggunaan umpan tunggal.


Sebelum ikatan dibuat, sediakan satu tali utama yang selalunya lebih kasar dan satu lagi tali yang lebih kecil diameternya berbanding tali utama. Letak dalam keadaan selari dan buat gelung ikatan menggunakan surgeon's knot seperti yang aku tunjukkan di dalam rajah kat atas tu. Korang boleh membuat beberapa gelungan yang korang suka... tetapi jangan terlalu banyak. Aku rasa 3 hingga 5 gelungan sudah memadai.

Kemudian korang potong hujung tali kecil berdekatan dengan simpul seperti yang ditunjukkan oleh anak panah. Selepas tali di potong, tegakkan tali ke atas dan perhatikan keadaan tali yang di potong tadi. Jika kedudukannya mengembang seperti potongan A.... tahniah korang berjaya. Jika potongan seperti B.... salah le tu.. buat semula sampai jadi.

 Torak mempunyai tenaga yang kuat diperingkat awal.

Selepas tali berjaya dipotong dan kedudukan tali sekunder seperti yang dikehendaki. Ikat candat dalam jarak lebih kurang sejengkal dari tali utama. Pastikan candat di atas tidak bersentuhan dengan candat di bahagian bawah. Candat "twist" mesti diletak di bahagian bawah sekali kerana ia akan berfungsi sebagai pemberat.


Gambar di atas menunjukkan kepelbagaian candat yang di pasang pada set perambut sotong torak. Kadang-kadang sotong torak sedikit mengada-ngada dalam memilih umpan. Penggunaan multi bait dapat membuka selera sotong torak untuk menyambar candat.

Bagi korang yang baru nak cuba-cuba mencandat sotong torak... aku nak bagitau, si sotong torak ni memang kuat melawan pada peringkat awal dan mula lemah kemudiannya. Ketika tarikannya semakin lemah, tarik tali perlahan-lahan ke atas bot. Jangan tarik macam tarik ikan. Apabila sotong sampai ke permukaan selalunya ia akan membuat satu pancutan air atau dakwat... hehe, berhati-hati sebelum terkena. Cara nak elak pancutan sotong torak ni... aku dah terangkan pada post aku yang dulu-dulu tu.. pandai-pandai le korang cari dalam blog ni.

Selalunya pancutan air yang tinggi melambangkan panjang sotong berkenaan. Tapi tak semestinya betul. Memancing torak menggunakan serek lebih menyeronokkan kerana kekuatan tarikannya akan diserap oleh tenaga manusia yang original tanpa bantuan mesin pancing. Bagi mereka yang bercadang untuk ke laut mencari torak aku ucapkan selamat mencandat dan jaga keselamatan ketika berada di laut. Hingga berjumpa lagi. Sekian..
Abe Din
Read more >>

24 April 2011

Candat Torak

Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung laman sotonglaut. blogspot.com/

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat yang sudi melawat blog kecil ini. Pada post kali ini, Abe Din akan memberikan sedikit panduan kepada semua yang akan melawat Terengganu sepanjang April hingga Jun 2011.


Seperti yang diketahui umum, sotong torak (gambar sebelah yang dijumpai di internet) telah mula menyerang perairan Terengganu sejak akhir Mac lagi. Maka, kaki-kaki sotong bertaraf otai, baru atau tak pernah langsung mencandat sebelum ini mula berkira-kira merancang trip untuk ke Terengganu. Tujuan mereka tentunya mencandat sotong torak. Ada juga yang secara sambilan memancing ikan.


Cuba tengok gambar di atas. Siapa yang tidak terliur bila terbayangkan sotong bakar. Saiz sotong pula... wuiii.. semangat gila. Jika kena lubuk.. sotong yang dinaikan panjang-panjang belaka. Jika sudah rezeki, siap boleh jual sotong yang ditangkap. Tolak kos bot.. untung pula.

Bagi memberi panduan kepada semua pencandat baru, Abe Din akan menumpukan post-post yang berkisar kepada teknik tangkapan sotong torak. Jika ada kemusykilan.. tanya tau... jangan malu-malu.

Gambar di atas merupakan set yang biasa digunakan bagi memancing sotong torak. Berikut adalah petunjuk bagi rajah di atas:
A-Klip logam (cili)
B-Candat mayat merah putih jenis luminous
C-Candat timah atau batu ladung.

Abe Din syorkan anda menggunakan candat kepala merah berbadan putih jenis luminous. Candat jenis ini memang nampak tidak menarik tetapi sebenarnya power. Jenis biasa tanpa luminous lebih murah tetapi kurang ganas. Candat ini dijual dalam set-set tertentu dan mudah dijumpai di kedai-kedai pancing di Terengganu.

Candat kepala merah yang power

Cara mengikat candat di atas ke tali perambut sama seperti mengikat mata kail apollo. Kalau tak tahu.. minta tolong mereka yang mahir. Anda boleh memasang seberapa banyak candat yang anda mahu jika anda mampu mengendalikan tali kusut dengan baik. Untuk junior, Abe Din cadangkan anda memasang di antara 3 hingga 5 candat.

Jangan pasang candat terlalu dekat antara satu sama lain. Dibimbangi candat bawah dan atas akan tersangkut bersama. Disebabkan sotong torak mempunyai badan yang panjang, perlu diambil kira panjang berkenaan dalam menganggar jarang antara candat. Jika teknik ini tidak dipatuhi, sotong yang terkena candat akan tersangkut pula pada mata candat di bahagian ekornya dan peluang pemancing untuk mendapatkan lebih sotong dalam satu masa akan terjejas.

Candat timah

Candat di atas diletak di bahagian paling bawah tali perambut. Tujuannya untuk memastikan tali perambut sentiasa berada di dalam keadaan tegak, melurus ke bawah. Jika candat di atas tiada, anda boleh gantikan dengan batu ladung yang bersesuaian saiznya. Jika batu ladung digunakan.. tentunya tiada sotong yang sudi menyambar batu ladung berkenaan.  Setakat ini, candat timah berwarna merah merupakan candat yang paling berjaya menambat hati sotong.

Ketika anda menurunkan candat, pastikan anda menurunkan candat timah terlebih dahulu. Turunkan secara perlahan-lahan. Tindakan tergesa-gesa akan menyebabkan tali anda  berpintal. Proses meleraikannya memang menyiksakan batin kerana orang lain sedang sibuk menaikan sotong sambil memprovokasi emosi anda.

Jika sotong memegang candat anda, layan seperti biasa dengan drag kekili dilaras mengikut berat sotong. Jika anda menggunakan serek, rapatkan tali pada tepi bot dan lepas tali secara terkawal jika henjutannya semakin keras dan kuat. Bila tiada tarikan... anda perlu tarik tali  perlahan-lahan. Jangan tarik sotong seperti menarik ikan ... jika bernasib baik anda akan dapat double atau triple..

Selepas sotong pertama dinaikkan. Jangan membuang masa... turunkan candat dengan segera. Sotong torak makan mengikut pergerakan arus. Jika kumpulannya berada di bawah bot anda, semua pemancing akan merasa tarikan sotong. Untuk menaikkan semangat anda, bayangkan sotong berkenaan akan menjadi sotong bakar yang enak apabila anda tiba di daratan nanti..

Jangan terkejut jika sotong jenis lain juga dinaikan. Sotong yang biasa bermain bersama sotong torak termasuklah sotong ketupat dan sotong jarum. Sotong mabang sangat jarang dan hampir tiada kerana sotong ini suka bermain di kawasan berstruktur.

Jika anda pergi mencandat nanti, jangan lupa mengambil gambar yang cantik-cantik dan e-mail kepada Abe Din. Nanti Abe Din post dalam blog.. Beri info sikit..tentu glamour. Akhir kata, selamat memancing.. dan jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

17 June 2010

Cara Ikatan

Pada post kali ini saya akan menerangkan secara umum bagaimana untuk mengikat perambut bagi pancingan sotong mabang. Untuk pengetahuan semua, hanya pancingan di unjam sahaja yang memerlukan ikatan perambut khas. Bagi pancingan di kawasan pesisir pantai, jig atau candat diikat terus kepada tali utama.

Saya mempelajari cara ikatan ini daripada nelayan tradisional di Terengganu. Cara ikatan ini juga digunakan untuk memancing ikan. Perbezaan ketara antara pancingan ikan dan sotong adalah dari segi kekuatan tali utama dan kekuatan perambut. Panjang perambut juga berbeza di antara jenis-jenis ikan dan sotong.

Antara alat utama yang digunakan ialah batu pemberat atau lebih dikenali sebagai 'batu ranggon' oleh nelayan tempatan. Batu pemberat diperbuat daripada timah berbentuk seperti telur sotong. Memandangkan harga batu pemberat timah semakin mahal, nelayan tradisional telah beralih kepada penggunan besi padu yang dikerat serta dipateri. Pemberat buatan sendiri ini lebih murah dan tahan lama berbanding pemberat timah.

Rupa timah pemberat yang berbeza dari timah berlubang yang lebih kecil

Di samping pemberat, sejenis alat yang juga penting ialah tanduk. Pada masa dahulu tanduk diperbuat daripada tanduk kerbau yang diraut dan dilentur menggunakan api agar membengkok kemudian diikat dan dianyam menggunakan tali tangsi. Pada masa kini, tanduk plastik lebih mudah ditemui di kedai-kedai pancing.

Perbezaan antara tanduk kerbau dan tanduk plastik

Tujuan utama penggunaan tanduk dan pemberat adalah bagi mengelakkan tali perambut daripada terlilit pada tali utama. Penggunaan tanduk akan menyebabkan tali perambut menjauhi tali utama. Walaubagaimanapun jika tiada arus, tali utama dan tali perambut kadang-kadang boleh juga terlilit dan berpintal.

Timah pemberat yang siap dipasang pada tanduk

Di bawah ditunjukkan illustrasi ikatan perambut yang telah siap disambung kepada tali utama. Tali utama boleh dipasang pada kekili pancing ataupun serek. Perbezaan ketara antara perambut bagi pancing dan serek adalah pada kekuatan tali utama dan kekuatan perambutnya.

Penerangan Rajah
1-Tali utama
2-Tanduk
3-Tali perambut
A-Swivel. Boleh juga dipasang pada hujung tanduk dan hujung perambut.
B-Batu Pemberat ( batu raggon)
C-Candat udang atau jig
X-Jarak antara tanduk dan jig lebih kurang 1 hingga 2 depa


Peringatan
1-Pastikan tali perambut lebih kecil daripada tali utama
2-Penggunaan perambut terlalu panjang akan memudahkan ia tersangkut pada unjam.
3-Ketika menarik sotong, pastikan tanduk dan pemberat diletakkan pada kedudukan mudah untuk dilepaskan semula ke laut jika terjadi henjutan akhir yang kuat.

Penggunaan perambut pendek adalah bagi mengelakkan jig tersangkut pada unjam. Jangan turunkan jig secara tergesa-gesa kerana perambut pendek mudah tersangkut pada tanduk. Jika tiada arus, jig mesti diturunkan secara perlahan-lahan bagi mengelakkan perambut terbelit.

Anda boleh menambah panjang perambut jika bot anda dilabuhkan berjauhan daripada unjam. Anda juga boleh menggunakan teknik seperti pancingan torak iaitu meletakkan jig udang ditengah dan candat twist di bahagian paling bawah untuk menjadi pemberat. Jika anda menggunakan teknik ini, penggunaan tanduk dan timah pemberat tidak diperlukan-Abe Din.
Read more >>

16 May 2010

Cara Ikatan Candat

Ketika mula mencandat sotong torak, saya cuba meniru dari jauh apa yang dilakukan oleh tekong. Dari memasang umpan sehinggalah cara henjutannya. Apa yang pelik, tiada sotong yang sudi menarik candat, sebaliknya tekong menaikkan sotong seekor demi seekor. Bahu macam nak tercabut manakala jari telunjuk semakin lama semakin pedih. Sotong di bawah bot memang banyak tetapi buat tak tahu je.

Setelah sekian lama mencandat, semakin banyak pengalaman dikutip dari "sifu-sifu" sotong. Rupa-rupanya cara ikatan memainkan peranan yang cukup penting bagi menarik perhatian sotong. Candat mahal dan cantik bukan sandaran untuk mendapatkan sotong. Kali ini saya akan menerangkan secara ringkas bagaimana untuk mengikat candat. Walaubagaimanapun cara ini bukanlah satu-satunya cara yang berkesan.

1-Tali utama-Serek memerlukan kekuatan tali lebih kurang 100-150 paun. Joran 50 paun.
2-Tali Perambut-20-25 paun, tali perambut joran lebih kecil
A-Penyambung logam
B-Candat udang atau candat moden yang ringan. Candat pertama jangan terlalu dekat dengan A.
C-Candat Twist atau "candat mayat" yang dibuat dari timah
X-Jarak antara candat. Lebih kurang sejengkal

Penggunaan tali serek yang kasar mampu menggurangkan tekanan pada tangan ketika membuat henjutan atau ketika menarik sotong. Perambut yang lebih kecil mampu menjadikan tarian candat lebih real. Pada masa kini ramai pencandat menggunakan perambut jenis invisible atau lebih dikenali sebagai "perambut hantu".

Cara Membuat Perambut
Ambil Tali perambut yang sesuai dan tali kedua yang lebih kecil. Letakkan bersama dan buat satu gelung dengan dua pusingan ke dalam dan ditarik dengan ketat. Potong satu hujung tali yang kecil. Jika ia melengkung ke bawah, ia sesuai untuk diikat candat. Jika ia lurus ke bawah, itu menunjukkan anda tersalah potong. Ulang langkah berkenaan jika hendak menambah candat udang yang seterusnya. Paling kurang dua candat jenis B. Candat yang paling bawah (Twist) terus diikat pada tali perambut utama. Ia bertindak sebagai pemberat untuk menjatuhkan candat ke dasar laut serta berfungsi untuk meluruskan tali.

Candat umpan dipasang dengan mencucuk ikan dari ekor hingga ke mulut. Panyambung logam A dicucuk pada mulut ikan dan disambung ke hujung candat. Ada juga ikan yang dicucuk terbalik dari mulut ke ekor. Kedua-dua kaedah ini mampu menjerat sotong torak. Walaubagaimanapun cara seperti rajah di atas adalah lebih praktikal kerana apabila tali ditarik, ikan dilihat seolah-olah melarikan diri ke atas. Keadaan ini mampu meningkatkan nafsu makan sotong torak. Ikan yang biasa digunakan sebagai umpan termasuklah ikan tamban, kembong, kunyit, selayang dan anak ikan alu-alu.

Candat umpan tidak perlu dihenjut. Lepaskan sahaja candat berkenaan ke dasar laut dan cuba periksa sekali-sekala. Tarikan yang berat menunjukkan sotong telah terkena candat. Jika terasa ringan, rendam semula candat di dasar laut. Jika masih tiada tarikan sotong, tarik candat ke atas dan periksa tanda-tanda gigitan sotong pada badan ikan.

Candat umpan digunakan secara tunggal. Jika arus terlalu kuat, bantuan tanduk dan batu ladung diperlukan bagi menurunkan candat ke dasar laut.

Pencandat profesional, menggunakan lebih dari satu tali pancing dalam satu-satu masa. Sebagai contoh satu tali candat pelbagai dan dua tali candat umpan digunakan. Candat umpan tidak perlu dihenjut dan hanya diperiksa sekali-sekala. Hanya tali yang mempunyai candat pelbagai sahaja yang sentiasa berada di tangan pencandat untuk dihenjut.

Jika pancingan dilakukan dalam kumpulan yang ramai, penggunaan tali lebih dari satu bagi setiap pemancing adalah tidak praktikal. Tali yang terlalu banyak akan menyebabkan berlaku penyilangan dengan tali-tali rakan pancing yang lain. Jika ini berlaku, banyak masa akan terbuang bagi merungkai kekusutan tali berkenaan.

Cara yang terbaik dan teknik yang betul boleh membantu pencandat untuk memperolehi hasil yang lebih lumayan-Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing