"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.
Showing posts with label Sotong Torak. Show all posts
Showing posts with label Sotong Torak. Show all posts

25 April 2017

Torak Laut Kuantan

Salam Kunjungan semua ahli PEN dan warga maya sotonglaut. Laporan dari Otai Kuantan, saudara Zul. Trip beliau diadakan pada 15 April 2017, di sekitar laut Gebeng, Kuantan. Bertolak dari jeti pada pukul 12.15 tengahari dan tiba di unjam darat pertama pada 3.30 petang. Jenis bot yang digunakan: Bot kelas B lesen A berkelajuan 6-7 knot.

Sotong torak dilaporkan galak menyambar umpan sehingga waktu maghrib. Berubah tempat sebanyak 3 hingga 5 kali bagi mencari kedudukan kandang sotong yang sesuai. Hasil memang memuaskan. Sebanyak 2 tong minyak hitam lori dipenuhi dengan sang torak. Peserta bertolak pulang pada pukul 4.30 pagi dan tiba pukul 7 pagi di jeti.



Menunggu sotong menarik jig



Saiz kecil yang mengujakan


Sotong bermain di bawah cahaya lampu


Laluan bot yang mendamaikan


Sepanjang trip, peserta disambut dengan tiupan angin timur laut dengan bacaan gelombang level 1-2. Angin timur berhenti pada pukul 9 malam dan laut menjadi linang pada pukul 11.30 malam.





Hasil yang boleh tahan dan berbaloi



Senjata perang yang digunakan



 Peluru rahsia yang sangat menarik sotong



Candat killer selain candat umpan ialah candat mayat kepala merah berbadan putih. Yamashita egi calamari 1.5 corak ikan juga membuka selera sotong pada ketika itu. Bacaan air, ombak dan angin yang tepat memang mampu melonjak jumlah tangkapan. Persediaan rapi sebelum trip adalah salah satu faktor yang perlu diberi keutamaan selain ilmu.

Semasa artikel ini ditulis, sotong torak sudah mula menghampiri perairan Kemaman. Sotong torak dikesan ditangkap pada skala besar berhampiran Hotel Strawberry, Kijal. Kehadiran torak di perairan Kemaman memberi satu petunjuk yang jelas bagi kehadiran mabang di pantai. Lepas ini, masing-masing perlulah rajin-rajin meninjau pesisir berdekatan-Abe Din
Read more >>

13 September 2016

Morfologi Sotong

Salam kunjungan untuk semua. Pada kali ini... aku nak share rajah morfologi tiga jenis spesies sotong iaitu sotong katak, kurita dan mengabang. Semua rajah yang dipaparkan disini diperolehi daripada Facebook rakan sotonglaut. Mengikut carian internet, morfologi merujuk kepada ilmu tentang bentuk organisma terutama haiwan dan tumbuhan yang merangkumi bahagian-bahagiannya.


Speses sotong katak
Cuttlefish (sekitar 120 spesies)



Spesies Sotong Kurita
Octopus (sekitar 300 spesies)



Spesies Sotong Mengabang dan Kumpulannya
Squid (sekitar 300 spesies)


-Abe Din-



Read more >>

06 June 2016

Torak Kuantan

Salam kunjungan untuk semua. 

Tarikh trip : 29 April 2016 (6.30 petang-9 malam). Jenis bot: Kelas B. Kelajuan : 7 knot. Masa Perjalanan : 2 Jam. Lokasi bertolak : Benteng Esplanade Tanjung Api, Kuantan. Jenis Candat : Yo Zuri buntal, candat mayat dan candat siam.

Gewang buntal Yo Zuri menjadi tarikan sotong

Sotong torak yang berjaya dinaikkan

Tangkapan yang diperolehi

Tangkapan yang diperolehi

Sumber : Mohd Zulkifly-Kuantan, Pahang
Read more >>

24 July 2014

Sotong Bakar Paka

Salam ramadahan kepada semua pengunjung beragama Islam dan selamat sejahtera serta selamat datang kepada semua yang sudi bertandang ke sini. Moga deme semua sihat-sihat belako. Dah sampai penghujung ramadhan ni, aktiviti mencandat sotong terpaksa dikurangkan... maklumlah hari raya dah dekat.  

Masa banyak dihabiskan untuk membuat persediaan menyambut 1 syawal yang bakal menjelang.Persiapan tahun ni ala kadar sahaja...kuih raya beli kat kedai. Orang kata jangan takde langsung. Nanti saing-saing datang berkunjung minum air je... malu boh.

Baru-baru ni ambe berjalan-jalan di pasar ramadhan sambil membeli juadah untuk berbuka puasa. Lokasi pilihan ambe ialah di pasar ramadhan Paka dalam daerah Dungun. Boleh tahan juga pasar ni... besar le juga. Orang ramai... pening kepala nak berjalan di tengah-tengah lautan manusia. Kalau tak biasa... boleh pengsan.

Menyelerakan sungguh...

Ketika ambe tengah asyik memilih juadah untuk dibeli... ambe terpandang satu gerai menjual sotong bakar. Sotong yang dijual bersaiz besar dari spesies sotong torak. Bila tanya harga seekor... RM18. Fuhhh.. semangat. Mintak kurang .... dia bagi RM16. Ambe tak beli pun... tanya je. Ambe hanya order ikan bakar jenis ikan ketuka. Saiz lebih kurang besar tapak tangan.... harga RM5. Nak makan, beli juga. Masa berbuka tadi... rasa memang sedap. Power juga.... kalau beli sotong tadi mesti sedap. Makanan yang disediakan cara dibakar ni... kesedapannya banyak bergantung kepada rasa rempah. Kalau rempah best... tentu makanan yang dibakar juga best.

3 sekawan yang sedang dibakar... macam best je

Ambe memang tabik dengan brader yang dok tengah bakar ikan dan sotong tu. Pada jangkaan ambe, diorang ni mula bakar ikan mungkin dalam pukul 3 atau 4 petang. tengok pada muka sorang-sorang dah nak hitam.... badan pula nampak dah macam nak habis peluh dah.  Apa pun teruskan mencari rezeki halal di bulan yang mulia ni. 

Kalau korang berkesempatan datang ke sini... jangan lupa cari sotong bakar ni. Memang laku gerai ni... ada tiga ekor sotong yang sedang dibakar tadi.. semuanya telah ditempah dan tuan-tuannya sedang sabar menunggu tempahan masing-masing siap. Kalau lambat datang, memang tak merasa le sotong bakar tu. Oklah selamat berpuasa untuk semua dan jumpa lagi. Abang Din.
Read more >>

16 April 2014

Torak Vs Mabang

Selamat datang kepada semua pengunjung sotonglaut. Pada post kali ini ambe ingin menghuraikan tentang dua jenis spesies sotong yang cukup popular di Malaysia. Ramai lagi yang tidak begitu faham tentang spesies-spesies sotong ni... tahu makan je.. kihkih. Sotong yang ambe maksudkan ialah sotong torak dan sotong mabang. Semoga apa yang ambe kongsikan di sini akan menjadi maklumat berguna kepada korang semua.

Sotong yang selalu sangat diheboh-hebohkan di media massa ketika festival dan musim mencandat ialah sotong torak mengikut nama tempatan. Sotong ini berfizikal bulat dan panjang ... kadang-kadang boleh mencapai lebih daripada 30cm. Ketika tiba musim sotong... sotong inilah yang selalu diwar-warkan untuk diburu. Bagi mereka yang baru di dalam lapangan mencandat sotong ini.... mereka hanya mengenali sotong jenis ini. Kadang-kadang ketika mengikut trip-trip mencandat mereka hanya mencandat sotong-sotong yang bukan spesies torak sebaliknya hanya sotong daripada spesies jarum, cumi-cumi dan ketupat yang saiznya jauh lebih kecil daripada sotong torak.
 




Gambar sotong torak

Mencandat sotong torak lebih mencabar stamina dan emosi seseorang pencandat. Mereka terpaksa menaiki bot berjam-jam lamanya untuk tiba dilokasi mencandat. Mengharung ombak besar dan angin yang kuat. Ramai juga yang muntah dan mabuk. Kos bot bukannya murah... boleh mencecah seribu lebih bagi satu trip. Akibatnya ramai yang pulang dengan hampa dan  penuh kefrustan. Ada juga yang bertaubat untuk ikut lagi... Pengalaman-pengalaman seperti ini akan meninggalkan kesan negatif di dalam diri pencandat-pencandat baru dan tentunya ia akan merugikan masa depan industri mencandat sotong.
 

Sotong mabang lebih gemuk dan gempal

Ada satu lagi spesies sotong yang bagi ambe cukup berpotensi bagi diperkenalkan kepada pencandat baru iaitu sotong mabang. Sotong spesies ini boleh dicandat di kawasan pantai dan tebing berbatu atau pulau. Ia juga boleh dicandat di kawasan unjam darat yang tidak begitu jauh dari pantai. Di Terengganu... sotong ini sebenarnya cukup popular bagi pencandat. Ambe jangkakan ia lebih popular dari sotong torak dan bilangan peminat atau pencandatnya juga lebih besar. 
 
 
 Sotong mabang mempunyai peminat rahsianya sendiri
 
Dari pemerhatian dan soaljawab tidak rasmi yang ambe pernah buat... ambe boleh simpulkan antara faktor sotong mabang menjadi pilihan pencandat ialah kerana faktor kemudahan dan kos. Untuk menjerat sotong spesies ini sangat mudah. Bagi pencandat yang tinggal berhampiran pantai, boleh menjerat sotong ini di belakang rumah sahaja, tepi resort, tepi batu tambak atau pulau. Cuma kita kena belajar dan tahu lokasi-lokasi kegemaran spesies ini... maka mudah untuk kita menjeratnya. Kos tidak terlalu tinggi... naik kereta atau motosikal buruk untuk ke lokasi sudah memadai. Berbekalkan beberapa ketul candat atau jig dengan air mineral penghilang dahaga... kita sudah boleh melepaskan gian mencandat sotong. Kalau bernasib baik... lokasi yang ambe sebutkan tadi akan dihuni juga oleh sotong jarum, katak dan torak. Heheh... memang best, releks dan santai. Amacam... nak cuba?

Tengoklah.... nanti kalau ada masa, ambe akan membuat analisis perbandingan antara dua spesies sotong ini secara ringkas bagi memudahkan pemahaman korang semua. Semoga berjumpa lagi. Bye... Abe Din.

Read more >>

Tahniah Terengganu.

Selamat datang kepada semua pengunjung sotonglaut.blogspot.com/ Semoga korang semua sihat dan sentiasa berada di dalam rahmatNya. Pada post kali ini... ambe ingin berkongsi dengan korang tentang satu karnival Candat Sotong yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Terengganu. Karnival ini juga dikenali sebagai Terenggani International Squid Jigging Festival 2014. Karnival berkenaan diadakan pada 11 hingga 17 April 2014. Lokasi yang menjadi pilihan mencandat pada tahun ini ialah di sekitar Pulau Chepu, Setiu, dan Pulau Kapas, Marang.

Sebenarnya karnival ini bertujuan untuk memperkenal kepada dunia kaedah jingging sotong tradisional yang diamalkan masyarakat tempatan yang lebih dikenali sebagai "mencandat Sotong". Ambe perhatikan langkah yang diambil oleh kerajaan Terengganu ini amat menarik dan bijak. Festival ini boleh juga boleh dikatakan sebagai satu langkah serampang dua mata dalam usaha memperkenalkan lagi Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang menjadi pilihan pelancong seluruh dunia.



Kerajaan negeri dilihat mengambil peluang keemasan sempena musim sotong bermula April hingga Ogos bagi mempromosi negeri yang juga dikenali sebagai "negeri cantik, budaya menarik". Setakat mana festival ini dapat memberi pulangan pada kerajaan negeri tidak ambe ketahui tetapi langkah yang diambil oleh kerajaan negeri sangat baik dalam usaha memprosmosi negeri Terengganu. Tahniah kepada semua yang terlibat mencetus idea dan menjayakan festival sebegini. Ambe harap tahun-tahun hadapan, festival seperti ini dapat dianjurkan lagi dengan promosi yang lebih agresif dan berkesan.

 Banner Festival dipasang di merata tempat di Negeri Terengganu


Sebenarnya pada pengamatan ambe... negeri Terengganu mempunyai potensi cukup besar untuk mempromosi aktiviti mencandat sotong seperti ini. Kawasan pantainya yang luas dan menganjur dari Pahang hingga Kelantan sangat sesuai bagi penganjuran festival sotong dalam situasi yang pelbagai. Mungkin korang tidak begitu faham tentang spesies sotong yang diburu dalam setiap festival tahunan yang dianjurkan di Terengganu. Sotong yang diburu dan dipromosi setakat tahun ini ialah sotong dari spesies sotong torak. Sotong jenis ini biasanya dicandat di laut. Risikonya juga tinggi dan mencabar.

Mungkin terlepas pandang... ada satu lagi spesies sotong yang juga popular di Terengganu dan Semenanjung Malanysia tetapi tidak dipromosi secara meluas di Terengganu. Sotong yang ambe maksudkan ialah sotong mabang. Sotong ini mudah dicandat dari daratan dan tebing berbatu. Risikonya lebih rendah dan menyeronokkan. Kumpulan sasarnya lebih besar berbanding sotong torak. Peminat sotong mabang pada perkiraan ambe... mungkin lebih ramai dari peminat sotong torak... mungkin kerana kos untuk menjerat sotong jenis ini lebih murah. Sotong mabang juga boleh dijerat di sekitar unjam darat yang tidak begitu jauh ke tengah laut.

Mungkin di tahun hadapan sotong mabang akan menjadi satu lagi agenda baru kerajaan negeri. Siapa tahu..? Apapun... ambe sangat terharu dengan langkah murni yang diambil dan sungguh tidak disangka ada juga kerajaan negeri yang melihat aktiviti mencandat ini dari sudut yang berbeza dan secara tidak langsung dapat mengguntungkan rakyat dan negeri itu sendiri. Semoga festival seperti ini akan diteruskan pada tahun-tahun yang berikutnya. Hingga berjumpa lagi...Abe Din.
Read more >>

26 August 2013

Ikatan Candat Torak

Selamat datang kepada semua pengunjung sotonglaut. Pada post kali ini aku nak tunjuk cara-cara mengikat perambut bagi aktiviti mencandat sotong torak. Sotong torak biasanya dicandat di laut lepas. Sotong torak boleh dicandat menggunakan pancing atau "serek" yang begitu popular bagi nelayan-nelayan di pantai Timur.

Bagi mencandat sotong torak, korang boleh menggunakan umpan tunggal atau umpan pelbagai. Perbincangan kali ini akan menjurus kepada ikatan perambut jenis "multi bait" atau umpan campuran. Cara ikatannya hampir sama dengan ikatan pancing apollo. Pengguaan multi bait lebih kerap mendapat tarikan sotong torak berbanding penggunaan umpan tunggal.


Sebelum ikatan dibuat, sediakan satu tali utama yang selalunya lebih kasar dan satu lagi tali yang lebih kecil diameternya berbanding tali utama. Letak dalam keadaan selari dan buat gelung ikatan menggunakan surgeon's knot seperti yang aku tunjukkan di dalam rajah kat atas tu. Korang boleh membuat beberapa gelungan yang korang suka... tetapi jangan terlalu banyak. Aku rasa 3 hingga 5 gelungan sudah memadai.

Kemudian korang potong hujung tali kecil berdekatan dengan simpul seperti yang ditunjukkan oleh anak panah. Selepas tali di potong, tegakkan tali ke atas dan perhatikan keadaan tali yang di potong tadi. Jika kedudukannya mengembang seperti potongan A.... tahniah korang berjaya. Jika potongan seperti B.... salah le tu.. buat semula sampai jadi.

 Torak mempunyai tenaga yang kuat diperingkat awal.

Selepas tali berjaya dipotong dan kedudukan tali sekunder seperti yang dikehendaki. Ikat candat dalam jarak lebih kurang sejengkal dari tali utama. Pastikan candat di atas tidak bersentuhan dengan candat di bahagian bawah. Candat "twist" mesti diletak di bahagian bawah sekali kerana ia akan berfungsi sebagai pemberat.


Gambar di atas menunjukkan kepelbagaian candat yang di pasang pada set perambut sotong torak. Kadang-kadang sotong torak sedikit mengada-ngada dalam memilih umpan. Penggunaan multi bait dapat membuka selera sotong torak untuk menyambar candat.

Bagi korang yang baru nak cuba-cuba mencandat sotong torak... aku nak bagitau, si sotong torak ni memang kuat melawan pada peringkat awal dan mula lemah kemudiannya. Ketika tarikannya semakin lemah, tarik tali perlahan-lahan ke atas bot. Jangan tarik macam tarik ikan. Apabila sotong sampai ke permukaan selalunya ia akan membuat satu pancutan air atau dakwat... hehe, berhati-hati sebelum terkena. Cara nak elak pancutan sotong torak ni... aku dah terangkan pada post aku yang dulu-dulu tu.. pandai-pandai le korang cari dalam blog ni.

Selalunya pancutan air yang tinggi melambangkan panjang sotong berkenaan. Tapi tak semestinya betul. Memancing torak menggunakan serek lebih menyeronokkan kerana kekuatan tarikannya akan diserap oleh tenaga manusia yang original tanpa bantuan mesin pancing. Bagi mereka yang bercadang untuk ke laut mencari torak aku ucapkan selamat mencandat dan jaga keselamatan ketika berada di laut. Hingga berjumpa lagi. Sekian..
Abe Din
Read more >>

29 May 2013

Sotong Torak 2013

Salam untuk semua. Petang Selasa tadi... sempat jalan-jalan di pasar malam di Kerteh. Sambil meninjau-ninjau suasana pasar... ntah aku pun keliru dan tak faham... aku pun tak tau.. apa yang aku tengah cari. Jalan-jalan... beli CD ceramah je sekeping.

Sampai di lokasi jual ikan... nampak sotong macam kat bawah tu. Tanya harga RM16 sekilo. Sotong nampak segar lagi. Ada orang kata mahal. Bagi aku ok je... bukan aku banyak duit... cuma aku terbayangkan betapa susahnya nak dapat sotong banyak cam tu. Sakit tangan pegang tali kail... lenguh bahu-bahu menghenjut tali.

Bagi sesiapa yang pernah pergi mencandat... diorang ni memang faham. Susah woo nak dapat banyak macam tu. Bila nelayan jual RM16... mahal. Pegi tangkap sendiri le... kihkih. Aku takut sotong tak dapat... mabuk je dapat.

Sotong torak yang baru dinaikkan

Harga pasaran setakat ini RM16/Kilo
Harga di Terengganu sahaja

Dari risik-risik orang-orang nelayan... aku dapat tahu, sotong sudah datang ke perairan Terengganu. Dengor kabo... kawasan Chukai dan Marang. Kat Kerteh takde lagi. Sekarang ni memang tengah hangat diperkatakan tentang trip-trip mencandat torok. Ramai yang dah pegi... ada yang berjaya dan ada yang berduka. Petang tadi baca paper... beberapa pemancing hilang semasa mencandat dah ditemui. Lega rase...

Aku nak bagi nasihat sikit.. dalam keghairahan korang nak gi mencandat ni jangan le nak seronok je... sebelum pegi tambah le sebiji dua ilmu mencandat di laut. Aspek keselamatan pun korang kena ambil tahu juga. Sekarang ni musim ribut dan kilat.. kalau tak kena gaya muntah hijau.

Korang jangan dengor sangat kata tekong. Ombak tinggi sampai kepala pun tak mabuk... diorang dah biase. Korang yang datang dari KL dan bandar tu aku cukup kesian. Dengor citer orang kata best... korang pakat nak pegi. Mentang-mentang le korang banyak duit nak sewa bot. Perancangan bagai nak gila... pijak kaki dalam bot.. terus mabuk. Kesian pulak...

Sebab tu aku nasihatkan korang tanya orang yang sebetulnya memang nak tolong korang. Jangan sampai keseronokan korang bertukar jadi tragedi hitam dalam hidup. Aku bukan nak halang korang mencari pengalaman... aku memang cukup galakkan korang jika korang ada minat... tapi adalah lebih baik korang belajar dulu sikit-sikit sebelum turun ke laut. Semoga pengalaman korang akan lebih menarik. Banyak-banyak berdoa sebelum turun ke laut. Semoga korang sume akan terus success.. Jumpa lagi.
Abe Din.
Read more >>

Variasi Candat 2013

Salam kunjungan... setinggi penghargaan kepada semua yang masih sudi melawat blog yang tidak seberapa ini. Pada post kali ini, ambe akan berkongsi sedikit maklumat tentang beberapa jenis candat variasi baru. Gaya penampilan yang nampak canggih walaupun harga pasaran semasa boleh dikatakan agak murah. Mungkin rakan-rakan sotonglaut berminat untuk mencuba candat-candat terbaru ini di lokasi masing-masing.

Harga yang tertera pada kotak candat adalah di bawah RM10. Jenama candat termasuklah ProAnglersIssue, T. Blade dan Amses. Candat-candat ini sudahpun berada di pasaran semenjak penghujung tahun lepas. Gaya batu pemberatnya diperbuat daripada logam yang menggunakan acuan khas. Buatan kulit dan bentuknya nampak kemas dan meyakinkan.


Variasi 2013

Candat Yamashita RM38... memang mahal
Kalau tersangkut... adussh..


ProAnglers Issue yang nampak kemas
Harga pasaran RM7.50
Terdapat pelbagai warna untuk dipilih.


Lebih garang dengan warna hitam berbintik pink

Warna yang agak asing dalam bidang ini tetapi...
perlu dicuba keberkesanannya terlebih dahulu.

Bagi pencandat baru.. sewajarnya anda bermula dengan candat yang lebih murah dan canggih ini. Risiko tersangkut dan tali putus memang selalu menghantui pencandat. Jika candat yang tersangkut itu harganya mahal.... emmm... menyesal tak sudah. 

Bagi pencandat profesional... tidak salah anda mencuba candat sebegini. Mana tahu ia mampu membuka selera sotong-sotong di laut. Setakat info ini ditulis... ambe masih belum sempat mencuba candat berkenaan. Jika berpeluang... memang ambe akan cuba. Bagi yang telah mencuba... share lah dengan rakan-rakan yang lain.
Hingga berjumpa lagi.
Abe Din.



Read more >>

14 July 2011

Mahalnya Sotong..

Salam untuk semua.. berjumpa lagi di sini... Rasa macam lama je tak update blog sotong ni.. Hari ni baru buka kononnya hendak post entri baru.. terkejut sakan bila tengok perubahan pada blogspot. Pening lalat sekejap.. camana nak taip, upload dan macam-macam lagi... kejap je pening... dah ok pun.

Hari ini nak cerita tentang harga sotong yang melambung di Kemaman. Nampaknya pada tahun ini musim sotong torak tidak begitu menjadi di Kemaman. Nelayan-nelayan tempatan yang mencandat torak pulang dengan hasil yang tidak seberapa. Banyak juga trip-trip mencandat yang kecundang. Walaupun begitu, ada juga kedengaran beberapa kumpulan pencandat dan nelayan yang bernasib baik.

Pada penghujung bulan Jun baru-baru ini, Abe Din sempat merayau-rayau di pasar tani di Kerteh. Kononnya singgah mencari umpan untuk memancing ikan. Sampai di gerai ikan, ternampak gerai menjual sotong mabang yang masih segar. Cuba tanya harga... RM18 sekilo. Macam tak percaya rasanya... menurut tuan gerai berkenaan, sotong agar sukar diperolehi pada tahun ini menyebabkan harganya agak mahal sedikit.

Sekilo lebih kurang 2 atau 3 ekor


Perut buncit... mesti ada telur


Sotong jarum dan ketupat berkualiti rendah. 
Ada kulit yang telah tertanggal. 
Tantakel nampak sedikit lembik dan tidak segar.


Cuba lihat bandingan saiz sotong dan jari Abe Din


Satu-satunya gerai yang menjual sotong


Kalau macam ini... payah le sikit nak makan sotong. Esoknya Abe Din bercerita dengan rakan sekerja tentang harga sotong berkenaan. Sedikit terkejut apabila rakan Abe Din mengatakan harga berkenaan lebih murah dari sotong yang dibelinya beberapa hari sebelum itu di bandar Chukai iaitu RM20 sekilo.

Kenapa sotong semakin kurang? Mungkin banyak yang perlu diperhalusi dan dikaji. Adakah kehadiran sotong di perairan Terengganu ini akan mengikut jejak langkah penyu yang semakin berkurangan setiap tahun? Mungkin juga ada cara untuk menyelesaikan kemelut ini, cuma belum dijumpai atau ianya tidak begitu penting untuk diselesaikan. Siapa sebenarnya mangsa? nelayan atau pengguna? Susah juga ye.....

Jumpa lagi..
Abe Din
Read more >>

11 June 2011

Balik Kampung

Salam kepada semua pengunjung.
Sempena musim bercuti, Abe Din sekeluarga mengambil peluang untuk pulang beberapa hari ke kampung. Lama rasanya tidak  balik kampung.

Balik kali ini cadang nak bawa sotong mabang. Berhari-hari pergi mencandat, hanya beberapa ekor sahaja yang dapat.. setakat buat lauk kat rumah je.

Pagi hari sebelum bertolak pulang, Abe Din pergi mengintai sotong torak yang dijual di kuala sungai. Cadang nak beli dua tiga kilo sebagai buah tangan untuk orang kampung.


Semua gerai yang ditinjau tidak menjual sotong mabang. Penjual hanya berkata, "sotong payah sekarang ni". Hanya sebuah gerai menjual lebih kurang 10 kilo sotong mabang. Bila ditanya harganya... RM18/kilo... Huuhh mahalnya. Kebetulan rakan Abe Din yang berniaga.. dapat le RM14/ kilo. Bila ingatkan mak abah kat kampung beli juga le.. 3 kilo sotong torak dengan seekor ikan "aya" atau tongkol. Harga semua RM54... kawan Abe Din bagi diskaun lagi jadi RM50 semuanya.

Siap diletak dalam bekas polisterin lagi.

Letak ais... nak jalan jauh le katakan.

Mengikut rakan Abe Din, sotong agak kurang tahun ini. Jika ke laut mencandat, dia hanya mampu memperolehi 4 hingga 6 kilo sahaja. Hanya sekali sekala melebihi 10 kilo. Mungkin itulah sebab sotong menjadi mahal. Tapi kira ok jugak... nak murah.. gi le tangkap sendiri. kih..kih.



Sampai kampung.. buka kotak.. letak dalam bekas..Hiss... macam sikit je. Sambil membelek-belek sotong yang dibawa... mula terfikir.. nak suruh mak masak apa ye.. Mmmmm... kalau mak masak memang sedap.
Tak sabar rasanya..

Jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

25 April 2011

Sotong Di Laut


      Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung laman sotonglaut. blogspot.com/

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat yang sudi melawat blog kecil ini. Pada post kali ini, Abe Din akan menyambung semula penerangan berkaitan teknik-teknik mencandat  sotong torak. 

Sebelum itu, Abe Din ingin membuat sedikit pengumuman kepada siapa sahaja yang bercadang untuk menyertai fiesta mencandat sotong anjuran kerajaan negeri Terengganu bersama sebuah akhbar harian. Sila pastikan anda mendaftar segera kerana tarikh tutup semakin hampir. Abe Din bukan nak promosi... takde kena mengena pun, cuma Abe Din sangat menggalakkan pencandat baru agar menyertai trip mencandat sebegini yang lebih terjamin soal keselamatannya.

Kepada mereka yang sudah mendaftar, sekalung tahniah Abe Din ucapkan. Buatlah persediaan yang sewajarnya sebelum anda bertolak ke laut lepas. Persediaan yang dimaksudkan termasuklah dari segi keperluan material, fizikal dan mental termasuk juga keperluan ilmu mencandat itu sendiri.

Jangan cari Abe Din di sana pula kerana Abe Din tidak menyertai fiesta berkenaan. Abe Din dah kerap sangat ke laut. Tanpa fiesta pun Abe Din tetap mencari masa untuk melepaskan rindu pada laut.

Kembali semula kepada isu penting hari ini iaitu teknik mencandat sotong torak. Abe Din akan menerangkan teknik pancingan di atas bot yang disertai oleh ramai pencandat. Dalam kawasan yang terhad di tengah laut, kita perlu saling bertolak ansur dan bertimbang rasa. Jangan sesekali mementingkan diri kerana apabila ditimpa kesusahan rakan-rakan  yang berada di dalam bot berkenaan merupakan orang pertama yang akan datang membantu kita.

Semua pencandat perlu mengamalkan etika yang baik. Semua peserta berhak untuk mencandat dengan selesa kecuali kalau sudah mabuk laut. Jika ada pertandingan sekalipun, jalankan dengan sihat tanpa perasaan hasad dan dengki. Kena ingat sekali lagi... kita berada di tengah laut... Jangan seronok lebih-lebih sangat.. control le sikit.

Bot kecil lebih murah tetapi kurang selesa

Sebelum candat diturunkan ke laut, kenalpasti arah arus laut terlebih dahulu. Pencandat perlu sentiasa peka dengan perubahan arus laut kerana ia kerap berubah-ubah. Jangan beranggapan bahawa arus laut itu sama dengan arah angin.

Apabila arus dikenalpasti, pencandat perlu sedar kedudukan mereka di dalam bot. Pencandat yang pertama perlu menggunakan saiz candat bawah atau batu ladung yang lebih besar dan berat. Begitu juga pencandat kedua dan seterusnya, berat batu ladung sepatutnya semakin berkurang. Paling ideal, pastikan setiap pencandat menggunakan berat batu ladung, saiz tali dan kombinasi ikatan yang sama.

Kita mungkin tidak nampak dan tidak sedar kedudukan candat dan tali kita semasa di dalam laut. Di sini kita perlu belajar untuk menekan sifat keegoan dan kita perlu lebih bertimbang rasa. Situasi di bawah menunjukkan susunan tali pancing yang secara logiknya cukup baik. Apabila semua pencandat sedar akan keperluan ini maka proses mencandat akan menjadi lebih seronok dan menarik.
Situasi kedua pula menunjukkan keadaan di mana candat akhir atau batu ladung tidak dikombinasi dengan baik. Jika perkara seperti ini berlaku, banyak masa terbuang bagi merungkai kekusutan tali di antara pencandat. Sepatutnya masa berkenaan digunakan sebaiknya untuk menaikkan sotong sebanyak mungkin.. Bukan tamak tetapi kita perlu tahu bahawa sotong tidak sentiasa menyambar candat walaupun kadang-kadang kita melihat sotong cukup banyak merempit di bawah bot.

 
Bagi pancandat yang biasa mencandat atau sekurang-kurangnya biasa memancing ikan di laut, tentunya mereka faham apa yang Abe Din ingin sampaikan. Abe Din sangat berharap, agar sifu-sifu yang berada di atas bot tidak berputus asa menurunkan ilmu kepada ahli yang lain terutamanya yang baru hendak mengenali hobi ini.

Setiap tahun, aktiviti mencandat sotong semakin dikenali dan kini telah merentasi aspek-aspek bangsa dan budaya. Sekarang sudah terdapat pencandat-pencandat hardcore dari kalangan wanita... jangan tak caya. Pelancong asing juga kerap mengikut trip mencandat di Terengganu. Jika dilihat dari sudut bangsa pula.. sudah tercapai sasaran 1 Malaysia. Nak beritahu, aktiviti mencandat sotong telahpun memasuki "global market". Jadi kita sebagai rakyat Malaysia.. bila lagi nak cuba?(bagi mereka yang belum le..)

Sekian dahulu, sehingga berjumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

29 May 2010

Trip Malam 28 Mei

Sotong Torok Lebih Sedap Daripada Sotong Mabang
Sekadar Gambar hiasan

Pada malam 28 Mei 2010, lebih kurang pukul 8.30 pm, saya mula ke port sotong di Petronas. Setelah sampai lebih kurang 5 minit seorang lagi rakan Sotong Mania tiba ke lokasi pada ketika itu saya telah berjaya mencandat 2 ekor sotong mabang saiz remaja.

Ramai pemancing telah berada sejak petang di kawasan batu tambak berkenaan. Ada yang memancing ikan dan mengilat sotong. Lebih kurang pukul 11.00 malam semua pemancing telah pulang kerana hasil kurang memberangsangkan. Ketika itu saya yang menduduki lokasi hujung batu tambak arah utara sudah berjaya menaikkan sotong sebanyak 6 ekor termasuk jarum dan seekor torak.

Saya dan rakan terus mengilat sehingga pukul 3.00 pagi. Awan hitam dan kilat dari sebelah selatan menyebabkan kami mengambil keputusan untuk kembali ke kawasan pantai. Ketika itu saya telahpun menaikkan sebanyak 14 ekor sotong termasuk 3 ekor sotong torak lebih kurang 2.5 jengkal.Memandangkan awan dan kilat semakin menjauh, kami mengambil keputusan untuk cuba mengilat di kawasan pantai arah selatan. Rakan saya berjaya menaikkan seekor sotong mabang saiz remaja. Tidak lama kemudian pancing saya dihenjut dan dibenam keras dalam jarak lebih kurang 15 meter. Saya terus berdiri sambil menahan joran yang semakin melendut dan tali ditarik keluar dari kekili. Sotong masih mampu menarik dan menghenjut sehingga ke pesisir pantai. Kami agak terkejut kerana sotong yang memegang candat ialah sotong torak sepanjang 3.5 jengkal.

Siapa Sangka Torak Menyerang Hingga ke Pesisir Pantai
Sekadar Gambar Hiasan

Beberapa balingan berikutnya sekali lagi mendapat tarikan keras berdekatan dengan tepi pantai. Saya beranggapan candat tersangkut batu. Dengan sekali henjutan, seekor lagi sotong torak bersaiz lebih daripada 2 jengkal terdampar di pantai. Kami agak pelik kerana sotong torak selalunya dipancing di laut lepas. Malam itu saya mendapat 17 ekor sotong (5 mabang, 7 jejarum dan 5 torak). Rakan saya memperolehi 7 ekor sotong. Jumlah keseluruhan lebih kurang 24 ekor. Kami pulang menjelang pukul 5 pagi.

Peristiwa sotong torak membedal jig candat di pesisir pantai adalah sesuatu yang jarang berlaku. Berdasarkan pengalaman saya, torak yang menghampiri kawasan pantai atau batu untuk mencari makanan selalunya berpasangan. Apabila jig saya ditarik dalam jarak 15 meter, sotong kedua mengikut rakannya hingga ke kawasan pantai. Sebaik balingan berikutnya dilakukan, kemungkinan sotong yang sedang keliru mencari rakannya yang hilang secara tiba-tiba akan terus menangkap jig yang melalui kawasannya.

Bagi pemancing yang mahir, mereka tidak akan membuat banyak pergerakan apabila menaikkan sotong bersaiz besar samada torak atau mabang. Pergerakan yang minima akan memudahkan proses menjerat sotong kedua. Jika pemancing bangun dan banyak bergerak, sotong kedua yang mengikut sotong pertama akan melarikan diri ke kawasan tengah laut. Jika keadaan ini berlaku, peluang untuk mendapatkan sotong kedua adalah tipis.

Jig Keramat-Klon Yamashita

Sesuatu yang menarik pada trip berkenaan ialah penggunaan jig murah yang kami namakan jig klon yamashita. Hasil daripada jig ini mengatasi hasil jig yang mahal seperti golden bait (yamashita). Saya hanya memperolehi 2 ekor sotong mabang menggunakan golden bait berharga RM32. Jig klon yang digunakan hanya berharga RM11 bagi 3 jig. Apa yang penting di sini, pemancing dan pencandat perlu membuat beberapa percubaan bagi menguji sesutu jig yang sesuai dengan anda. Dalam post berikutnya, saya akan menerangkan bagaimana untuk melakukan beberapa pengubahsuaian pada jig murah untuk menambahkan lagi nafsu makan sotong-Abe Din
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing