"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.
Showing posts with label Teknik tangkap. Show all posts
Showing posts with label Teknik tangkap. Show all posts

17 December 2011

Teknik PELUK

Bertemu lagi di ruang lembut, sotonglaut.blogspot.
Di kesempatan ini, aku hendak bercerita tentang satu lagi teknik memancing sotong yang aku namakan sebagai teknik PELUK. Hujan-hujan macam ni... tajuk pun pelik-pelik. Korang jangan pikir bukan-bukan dah le...aku bukan nak ajar korang cara-cara nak berpeluk... aku pun tak berapa reti....aku nak share teknik candat sotong je. 

Sume teknik yang aku bagi kat blog ini akan berguna pada kaki-kaki candat sebaik sahaja musim sotong tiba tahun depan. Bagi korang yang tidak minat mancing... jangan risau, anggaplah apa yang korang baca di sini sebagai santapan minda yang santai. Mungkin korang dah ikut post-post aku sebelum ini... telah banyak kali aku bagi clue tentang teknik ini. Aku selalu sebut sebagai teknik TARIK-LEPAS-TARIK atau mudah sebut Teknik PELUK candat. Cara mencandat lebih kurang sama... cuma pencandat perlu lebih peka dan berhati-hati.

Dulu aku pernah bagitau kat sini... sotong kadang-kadang tidak begitu berminat untuk mengejar dan memegang candat. Kadang-kadang.. sotong akan mengejar, sentuh sikit dan terus lari. Tentunya perangai tak senonoh ini akan merugikan pencandat yang baik hati. 

Ada sesetengah sotong (aku tengok sendiri masa air laut jernih) langsung tak peduli candat. Buat tak tau je... masa aku baling candat lalu depan dia, buat muka selamber je... abih-abih dia berganjak sedikit dan buat muka bodo semula. Rasa macam nak turun selam, tangkap dengan tangan dan sekeh sekali. Geram jugak aku... Haa, kalau korang jumpa gang sotong perangai jahat macam ni...jangan aplikasi teknik yang aku ajar ni... sah dok berkesan.



Korang tengok gambar kat atas tu... satu je tangan kena. Kalau pencandat atau sotong itu sendiri terbersin... memang terlepas le jawabnya. Mudah citer... teknik yang aku nak kabo kat korang ini sangat sesuai digunakan jika sotong berperangai macam kat atas tu. Sotong yang suka cuit-cuit juga boleh diajar menggunakan teknik ini. Paling best jika mata jig korang jenis yang tajam giler.... kalau tak tajam, korang asah le. Nak suruh aku ajar juga ke...sekeh kang. Bukan korang... sotong tu.. kih..



Intai pula gambar kat atas nu. Cukup rakus sotong memuluk kemas jig yang dihulurkan..itulah teknik PELUK. Nak bagi jadi camni... korang kena aplikasikan proses TARIK-LEPAS-TARIK. Teknik ni aku belajar dari pengalaman...kadang-kadang 100% berkesan tetapi bukan pada semua keadaan. Jika tak berkesan jangan marah aku... korang cuba teknik lain pula. Banyak teknik yang boleh dicuba. Ini hanya satu jer..

Untuk menggunakan teknik ini, korang perlu tarik jig atau karau pancing dengan lembut dan berhati-hati. Tujuannya hanya satu iaitu untuk mengesan sebarang tarikan yang berlaku. Pencandat profesional boleh menganggar saiz sotong hanya dengan merasa salam pertama sotong ini. Kemahiran ini mudah dikuasai jika peralatan, tali, dan jig yang digunakan adalah sesuai.



Cer tengok gambar kat atas... asyiknya sotong memeluk jig hingga tinggal separuh. Kalau jadi macam ini, peluang untuk sotong melepaskan diri adalah tersangat-sangat tipis kecuali kalau korang sesaje lepaskan beliau. kih.. Kalau dah kecik sangat lepas le... sian dia. Nanti bila dah besar, korang candat le balik.

Aku nak sambung citer tentang teknik tadi... Sebaik sahaja korang rasa jig korang dipegang sotong, terus korang tarik sekali dan lepas semula dalam beberapa saat (jangan terlalu lama) lebih kurang dalam kiraan tiga. Cara terbaik untuk korang melepaskan candat ialah dengan mengendurkan joran ke bawah dan tarikan kedua adalah bertujuan menaikkan sotong ke atas.

Secara kebiasaanya apabila sotong mula memegang jig, pencandat akan menahan joran dan mengarau pancing tanpa berlaku pengenduran tali utama. Pencandat juga tidak pasti bahagian mana yang terkena mata candat samada jejari primer atau sekunder. Pencandat hanya mengetahui apabila sotong sudah berada di permukaan air. Ini akan menimbulkan rasa cemas dan bimbang sotong terlepas. 

KETERANGAN TEKNIK:
Sebaik sahaja sotong memegang candat. Henjut jig sekali. Jika joran keras buat henjutan sederhana. Henjutan keras boleh dilakukan jika joran anda jenis lembut. Tujuan henjutan adalah untuk memastikan mata jig tersangkut pada jejari primer sotong kerana sotong memulakan tangkapan menggunakan jari utamanya.

Merendahkan jorang bertujuan agar sotong menarik jig merapati jejari sekunder dan bahagian mulut. Perubahan jig dari jejari primer ke sekunder mengambil masa beberapa saat sahaja. Tarikan kedua adalah dengan andaian mata jig sudah berada di kawasan jejari sekunder yang lebih banyak atau di kawasan pangkalnya iaitu mulut. Selalunyanya pada peringkat ini semua jejari sotong sedang memeluk kemas jig udang. Tarikan kali kedua akan menyebabkan lebih banyak jejari sotong yang akan mengenai mata jig udang. Ini bermaksud risiko untuk sotong melepaskan diri adalah sangat rendah. 

Sekali lagi aku nak kabo.. teknik ini tidak semestinya berkesan di dalam semua keadaan. Jika sotong dalam keadaaan menggila atau 'galak' tentunya tiada masalah kerana hampir kesemua sotong cukup rakus menerpa dan memeluk erat jig. Perlu diingat kita perlu banyak bersabor ketika belajar dan mengaplikasi sesuatu teknik. Niat perlu baik agar rezeki yang kita perolehi akan berkat. Seperti biasa, jangan lupa kongsi dengan orang lain samada teknik atau rezeki... jangan kedekut.
Jumpa lagi.. si lembut.
Read more >>

04 December 2011

Memegang Candat

Salam untuk semua. Bertemu lagi di laman maya ini. 
Aku nak sambung citer berkaitan dengan gaya makan sotong. Pada kali ini, citer aku akan lebih menjurus kepada gaya sotong menangkap atau memegang jig udang. Gaya dan stail tangkapan sotong sangat mempengaruhi kejayaan menaikkan sotong. Maklumlah sotong ni.. spesies yang yang jarinya lembut sikit (aku tak kata kat saper-saper... jangan perasan ye)

Kalau ganas-ganas jari dia bleh putus.. kalau putus, memang sotong tu payah nak makan semula.. walaupun ada sekor dua yang memang degil giler. Tangan tak cukup masih lagi berselera mengejar dan memegang jig. Terlepas tiga empat kali... masih tak serik-serik.

 

Cuba korang lihat gambar kat atas tu... itulah gayanya sotong yang sudah keletihan. Mata candat tersangkut pada bahagian B (rujuk post sebelumnya). Bahagian B mempunyai pangkal tantakel yang lebih besar dan kuat. Walaupun begitu, korang masih perlu menaikkan sotong berkenaan dengan sabar dan berhati-hati.

Peratus sotong terlepas pada situasi ini (kedudukan sotong di permukaan air) adalah paling tinggi. Pecutan akhirnya adalah paling kuat dan laju. Jika tidak berhati-hati, korang akan berputih mata. Pada ketika ini, sotong yang kepenatan menyembunyikan dakwat terakhirnya dan sedia melancarkan pada bila-bila masa sahaja yang sesuai. Kalau timing tak kena... alamat hitam lah muka korang. Korang perlu bersedia dengan tindakan luar jangka spesies ini.



Dua gambar kecil sebelah kanan anda menunjukkan sotong memegang candat menggunakan tantakel yang paling panjang. Situasi ini selalu terjadi jika keadaan air laju atau jika anda menarik candat dengan cepat. Sotong yang tidak sempat mengejar candat selalunya melancarkan tantakel utamanya untuk memegang candat dan menariknya ke tantekal sekunder dan terus ke mulut. Jika sotong merasa sakit, ia akan memejut ke belakang dengan segera menyebabkan candat tidak sempat untuk dibawa ke bahagaian B.

Gambar utama dan sebelah kiri menunjukkan mata candat yang tertancap kukuh di bahagian B. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan jig ditarik dengan sangat perlahan dan memberi peluang sotong berkenaan mendapat jig tersebut dengat kemas. Peratus untuk menaikkan sotong dalam situasi ini sangat tinggi.



Lihat gambar sotong di tengah, bagaimana ia memeluk candat dengan lebih daripada satu tantakel. Dari pemerhatian aku, jika semakin banyak tantakel sotong yang mengenai mata candat maka semakin kurang peratus untuk sotong terlepas. Pernah beberapa kali, aku menaikkan sotong remaja yang memeluk kemas jig menggunakan kesemua tantakelnya. Paling mengejutkan, tiada satupun tantakel yang mengenai mata candat. Itulah kalau sudah rezeki.

Perlu diketahui bahawa aktiviti mencandat sotong ini adalah satu seni memancing yang lemah-lembut dan berhati-hati. Jangan tarik sotong macam tarik ikan paus. Tangan sotong sangat lembut. Kalau ada pemancing ikan tegar yang nak test pancingan sotong ini... aku nasihatkan korang buang dulu sifat agresif korang tu. Aku takut nanti takde orang nak mencandat bersama korang kerana jika sotong banyak terlepas, peluang untuk orang lain mencari rezeki juga semakin sempit.

Bak kata orang.. tak tahu tanya. Malu tanya sesat jalan.. kalau dah sesat jalan, macam mana korang nak gi mancing sotong.. kahkahkah..memang sah tak dapat sotong. Ok...nak gi wat keja lain plak. Jumpa lagi.
Abe Din.
Read more >>

02 December 2011

Gaya Makan Sotong


Salam untuk semua pelawat, rakan pancing dan rakan blogger semua. Semoga anda semua happy selalu walau di manapun ada berada.

Pada post kali ini, ambo akan berceloteh tentang gaya atau teknik sotong menangkap mangsa. Sotong, sama seperti spesies haiwan lain yang memerlukan makanan untuk terus hidup di lautan. Gaya dan teknik tangkapan sotong ini sangat perlu difahami oleh manusia yang bergelar pencandat sotong agar tangkapan paling maksima diperolehi.

Anda juga perlu tahu bahawa sotong adalah antara spesies haiwan yang bijak dengan keupayaan ingin tahu dan tahap kecurigaannya yang tinggi. Ini bermaksud pencandat perlu lebih cerdik dari spesies ini jika ingin menangkapnya.

Bagi memudahkan pemahaman anda, ambo cuba bahagikan sotong kepada 3 bahagian mengikut struktur badan. Bahagian A di kawasan dua tantakelnya yang paling panjang, Bahagian C, tentakel yang lebih pendek dan tebal manakala bahagian C adalah bahagian badan bersama struktur renang.


Stuktur Sotong Mabang

Satu maklumat yang perlu anda ketahui dan fahami ialah, gaya dan teknik makan sotong sangat dipengaruhi oleh mood sotong berkenaan. Mood sotong pula dipengaruhi oleh keadaan persekitaran dan luaran (rujuk post ambo... hok dulu-dulu). 

Selalunya sotong menghambat mangsa atau jig sambil melancarkan tantakel bahagian A. Mangsa atau jig akan di bawa ke bahagian mulut B untuk dimakan. Jika sotong terasa ancaman, maka mangsa atau jig akan segera dilepaskan. Ketika sotong gila... (orang Ganu kata tengoh galak), sotong akan memecut laju ke arah mangsa atau jig, melancarkan tantakel utama dan menghantar mangsa ke B dengan cepat. Ada juga kekadang pecutan laju berkemungkinan menyebabkan sotong tidak sempat brek dan jig atau mangsa terus ke bahagian B.

Jika dibuat analisis, sangkutan jig pada bahagian B adalah lebih kuat dan peratus untuk mendapat sotong adalah lebih tinggi. Jika sangkutan mata jig berlaku di A, peluangnya masih ada jika pencandat berlembut dan berhati-hati menaikkan sotong keluar dari air. Sangkutan bahagian C agak jarang berlaku kecuali jika kawanan sotong terlalu banyak seperti sotong jarum hingga terjadinya peristiwa perebutan jig. Ambo pernah tengok, sotong mabang dinaikan dengan cara ini tetapi peratusnya agak kecil. Pernah juga sotong mabang dinaikkan secara tidak sengaja menggunakan appolo ikan kembung dan yang paling menariknya mata kail apollo berkenaan tersangkut pada mata sotong.

Kesimpulannya, sangkutan jig pada bahagian B adalah yang terbaik. Bagaimana jika sangkutan berlaku di A? Anda sebenarnya masih berpeluang untuk memastikan jig anda tercangkuk kemas di B dengan menggunakan teknik TARIK-LEPAS-TARIK. Teknik ini akan ambo bincangkan pada post berikutnya. Bukan tak mahu taip banyak-banyak... dah rata jari-jari ambo niih.., otak pun dah letih mikir nak bagi yang terbaek untuk korang...Bagi ambo rehat dulu... bila-bila ambo sambung semula..

Thanks reader
Jumpa lagi
Read more >>

28 August 2011

Kuasa Cougar

Selamat datang kepada semua pelawat, rakan-rakan blogger dan pencandat-pencandat tegar. Belum lewat lagi aku nak ucapkan selamat berpuasa dan selamat menyambut hari raya aidil fitri. Kalau ada salah dan silap aku kat korang... aku mintak maaf bebanyak. 

Lepas raye nanti, boleh lah aktif balik mencandat sotong ni. Masa bulan puasa ni masa dan tenaga agak terhad sikit. Post kali ini nak bagi sedikit tips mencandat sotong di kawasan daratan untuk pencandat-pencandat baru. Kalau korang nak belajor mencandat, rajin-rajin lah korang baca post-post aku yang lepas. Kalau rajin,  cuba korang praktik kat lapangan. Mana tau nanti korang boleh jadi pro? Niat kena ikhlas beb... baru dapat pahala. Cuba korang perhati gambar kat bawah tu..

Member Abe Din.. Cikgu Lan sedang 
menahan asakan sotong mabang

Masa korang tarik-tarik jig, kalau ada tarikan keras dan kasar sambil membenam... haa. tahniah sotong dah bersalam raye dengan jig korang. Apa nak buat? Fisrt sekali jangan panik, jangan jerit-jerit pulak. Tengok abang kat atas tu.. releks je. Angkat joran korang tinggi-tinggi. Kalau boleh hingga 90 darjah. Kalau lebih... dah melampau le tu.. nak kena sekeh ke... nanti sotong terlepas. Satu lagi jangan ketatkan drag kekili korang. Aku selalu longgarkan drag dengan tegangan yang sesuai. Terlalu longgar pun boleh terlepas juga.

Korang kena tau... semakin kuat sotong menarik jig, maka semakin kukuhlah mata candat korang masuk dalam tantakelnya sotong. Kalau korang berani aplikasikan teknik PELUK JIG. Oppss.. aku belum ajar teknik ni. Nanti aku ajar lepas raye... Teknik PELUK JIG... sure sotong tak lepas.

Tahan joran dalam sudut 90 dan biarkan sotong tarik sorang-sorang sampai dia letih. Bila korang rase dia tak berapa nak melawan.. baru korang kayuh perlahan-lahan. Kalau dia lawan... korang bertahan. Jangan gopoh.. nanti terlepas. Sampai tepi ada beberapa cara untuk mengangkat sotong iaitu mengheret ke tepi, memegang bahagian leher, mencangkuk dengan gaik atau angkat terus macam member aku kat bawah tu. Haa... cara angkat terus tidak begitu digalakkan... hanya profesional saje leh wat macam tu. Kalau jig cougar leh wat cam ni... memang hebat.

Angkat stail profesional... dilarang tiru... 
risiko tanggung sendiri. Cougar.. beb..

Cuba korang lihat kawasan yang dibulatkan 
Tantakel sotong melekat pada jig caugar

Jika korang perhati betul-betul imej dalam bulatan, ia menunjukkan bahagian yang terkena candat. Ada beberapa bahagian tantakel sotong yang selalu terlekat pada mata candat. Gambar di atas menunjukkan cara sotong memegang candat TAHAP 2. Nanti aku cerita lepas raye.. TAHAP 2 menggambarkan peratus kekuatan benaman mata candat pada tantakel sotong.... nanti aku cite ye..

Masa korang hendak angkat sotong kena hati-hati sikit... kerana sotong selalunya simpan sedikit ink power dia untuk ditanda pada korang. Kalau kena baju, muka, kaki atau kat mana-mana je nanti bini korang masam muka lak. Sendiri tanggung tau.. Paling kurang sotong akan tembak sekali semasa kat atas darat.

Rasenya cukuplah kali ni... nak gi cari buluh lemang dengan daun ketupat plak. Raye dah dekat ni. Di kesempatan ini... aku menyusun sepuluh jari jika ada wat salah kat korang sume. Mungkin tulisan aku tak best.. atau terkata korang atau apa je yang korang tak puas hati... mintak maaf bebanyak. Aku juga nak ucap Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri Maaf  Zahir & Batin. Moga-moga raye tahun ni lebih bermakna buat semua.
Berhati-hati semasa memandu... happy always.

Jumpe lagi...
Abe Din
Read more >>

04 February 2011

Hasil depan mata

Salam untuk semua,
Sotong mempunyai kekuatan renangan dan pecutan sekatanya tersendiri, jika pemancing tidak berhati-hati, risiko terlepas dan berputih mata sangat tinggi. Di samping itu, sotong terutamanya sotong mabang mempunyai bentuk fizikal yang memberikan kelebihan kepadanya untuk melepaskan diri hanya dengan sekali semburan air bercampur dakwat.

Fizikal badan yang bertiup membantunya untuk menyimpan kandungan air yang berfungsi seakan-akan kuasa jet. Selalunya jika tidak terlepaspun, pemancing paling kurang akan bermandi dakwat hitam. Mungkin itu sudah cukup berbaloi untuk memberikan ingatan bermakna kepada pemancing yang menipunya.

Sotong mempunyai fizikal yang memberi kelebihan
kepadanya melepaskan diri

Pemancing "hardcore" sotong tentunya cukup mahir dengan kerenah sotong ini, Bagi pemancing baru tentunya sedikit pahit kerana terpaksa mandi dakwat sebelum jadi pandai.

Setelah lenguh tangan membaling dan menarik gewang, tiba-tiba candat udang anda ditarik dengan kuat. Bersama sokongan dan galakan rakan sebelah, makhluk air semakin menghampiri tebing dan seekor sotong cukup gigih untuk cuba melepaskan diri. Apa tindakan anda?

Apa tindakan anda ?

Terdapat beberapa tindakan yang kemungkinan dilakukan oleh pemancing sotong baru dan lama antaranya ialah :
1-Mengangkat secara bebas
2-Menggunakan sauk
3-Memegang dengan tangan

Mengangkat dengan bebas mempunyai kekuatan dan kelemahanya yang tersendiri. Sotong akan dapat dinaikkan jika saiznya lebih kecil. Apabila terkena lantai ia akan memancutkan dakwat serta mengotorkan persekitaran. Pancutan akhirnya juga boleh membantunya melepaskan diri jika kawasan sekitarnya licin seperti batu. Paling tidak sedap jika sambil meraikan kejayaannya melepaskan diri, ia juga meraikan kejayaannya mengenakan kita.

Angkatan bebas

Penggunaan sauk adalah kurang praktikal dan lama masa diperlukan untuk menyauk sotong. Ini kerana kedudukan sauk dari arah depan manakala sotong memecut ke arak belakang. Candat juga mudah tersangkut pada sauk dan banyak masa terbuang hanya untuk melepaskan candat berkenaan. Selain kurang praktikal, ia juga sukar untuk dibawa jika memancing di tempat yang tidak rata seperti kawasan batuan.

Menggunakan sauk

Memegang dengan tangan adalah teknik yang paling mudah dan murah. Cara memegang sotong yang betul adalah seperti rajah di bawah. Jangan sesekali menggalakan muka sotong ke arah badan, muka atau orang lain. Pegangan kuat pada leher akan menyebabkan sotong sukar untuk menyemburkan dakwatnya. Jika semburan berlaku, hanya kawasan tangan yang akan terkena. Tidak semua orang boleh menggunakan teknik ini kerana janggut sotong selalunya tidak tahu duduk diam. Bagi mereka yang geli, tindakan sotong menggeletek tangan anda boleh menyebabkan anda melepaskan sotong berkenaan.

Menggunakan tangan sesuai digunakan bagi menaikkan sotong bersaiz besar. Perlu diingat sotong yang hendak dinaikkan perlu benar-benar lebih dan kepenatan untuk melawan. Pemancing perlu mengawal pancing untuk meletihkan sotong dan ia mengambil masa yang lebih sebelum sotong benar-benar keletihan.

Menggunakan tangan

Diharapkan catatan ini serba sedikit akan memberi info serta maklumat kepada pemancing-pemancing sotong yang baru dan lama. Pada post akan datang, Abe Din akan terangkan cara membuat cangkuk yang setakat ini dilihat sangat praktikal dan berkesan.
Salam dari Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing