"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

27 December 2012

Tengkujuh Lagi...

Salam kunjungan semua pelawat. Moga-moga korang sume sihat... musim tengkujuh tahun ini agak lewat tiba di pantai timur. Ketika post ini ditulis.. tengkujuh sudah sampai ke kemuncak keganasannya. Hujan turun tak henti-henti, angin kuat macam nak tercabut pokok kelapa.

Kalau musim gini.. selalunya aktiviti memancing dan berkelah di kawasan pantai baik dilupakan dulu. Kalau berhajat nak turun ke laut memancing... tengok saiz bot dulu..bukan tengok saiz baju sendiri. Bukan apa takut tak sempat nak balik ke pantai.

Aku macam biasa le... kalau hujung-hujung tahun ni, toksah harap nak mencandat sotong. Nampak gayanya kena cari alternatif lain sementara nak tunggu sotong datang bulan April tahun depan. Dok rumah je... memang boring le jawabnya.

 Musim tengkujuh mula datang

Anak tengkujuh... ombak belum kuat

Selalunya kalau musim tengkujuh datang... banyak le sotong mati. Selalunya sotong katak. Tu le sebabnya banyak tulang sotong kita boleh jumpa kat pantai selepas air surut. Sebab apa die mati?.. tak tau le pulak. Sotong lain pun mati jugak.. cuma diorang bertulang nipis macam plastik.. susah nak jumpa. Tulang sotong katak besar dan warna putih... jauh lagi dah nampak. 

Post akan datang aku akan hantar gambar berkaitan fenomena sotong katak mati secara "berjemaah". Kena gi ambik gambar dulu. Skarang ni ujan lagi... takut ooo... angin kuat, ombak sampai atas kepala. Satu lagi aku ni spesies tak tahan sejuk. Bila hujan dah reda sikit, aku gi ambik gambar... sabor.
 
 Kolam berbayar... pilihan musim tengkujuh

Masa lapang, kekadang aku gi layan siakap dan spesies ikan muara di kolam berbayar. Selalunya di Kemaman dan Cherating. Aku selalu gi dengan kawan. Tak best pegi sorang sebab kalau dapat ikan besar tak boleh nak berlagak. Gambar tak dapat menceritakan semuanya... kalau diorang tengok sendiri time ambe bertarung kembang sikit hidung aku ni. Kalau diorang bertarung.. aku wat tak nampak jer.. kihkih

 Sekarang udang galah sedang menggila..

Kekadang aku gi sungai... layan udang galah. Tengok gambar kat atas tu... ibu telor tu. Susah dapat. Kalau korang dapat udang bertelur macam kat atas tu... better korang lepas balik.. biar dia membiak. Kalau aku... aku akan bawak balik, korang je kena lepas. Kalau korang tak nak lepas jugak.. takde masalah. Stok udang dalam sungai sentiasa banyak. Tiap-tiap tahun orang tangkap... udang bukan kurang, semakin banyak ada le. Nape aku kata macam tu... tiap kali aku turun mengudang, aku dapat sikit je... sure banyak lagi kat bawah tu yang belum aku dapat. Tangkapan orang lain pun sama gak macam aku...sikit.

Mesej penaja: Kalau korang jumpa mangkuk yang tuba udang. Korang tangkap ramai-ramai... jangan tuba dia pulak. Anto ke balai polis. Korang jangan bagi sedas dua atau lapan ploh das sekali gus... nanti kalau Abang Polis tangkap korang, macam mana korang nak mancing udang. Dalam lokap mana ada udang. Kihkih..Sabor.

Telur udang banyak protein... bagi yang tidak alahan le. Tapi kena ingat, kalau dah kecik sangat macam udang kering jangan le bawak balik.. kalau korang degil, memang nak kena marah dengan bini le jawabnya. Ada satu lagi spesies udang sungai yang dipanggil udang "temerang". Paling besar aku rasa saiz batang pensel je. Saiz tu dah kira otai le tu atau lebih dikenali sebagai "tua bangka". Korang jangan lepas untuk tunggu besar. Memang tak besar dah... kalau korang ambik, korang boleh buat umpan mancing siakap dan sembilang. Mana nak tahu dapat rezeki XXL, baru bini tak marah.

Ehh... rasa macam ngantuk pulak. Blah dulu lah.. jumpa lagi.
Read more >>

22 November 2012

Mesej Penguasa...

Salam kepada semua pengunjung sotonglaut.Post kali ini adalah susulan daripada post sebelum ini berkaitan penutupan lokasi mencandat sotong popular di Kerteh. Dari papan tanda jelas ditulis nama lokasi Pantai Cakar Hutan. Pihak kami sangat berdukacita dengan situasi yang terjadi. Walaubagaimanapun itulah realiti yang terpaksa ditanggung oleh pencandat-pencandat di kawasan ini.

Pemberitahuan Amaran di Pintu Masuk


Tempoh memancing siang hari sahaja..

Haiwan ini Banyak Keluar Pada Waktu Malam... 

Pengunjung Perlu Keluar Sebelum Pukul 8 Malam. 
Patuhlah Pada Arahan yang Diberi Bagi 
Mengelak Sebarang Kesulitan

Pintu Masuk ke Lokasi Cakar Hutan

Ambe yang juga merupakan salah seorang yang pernah mencandat di lokasi ini sangat berduka cita di atas apa yang terjadi. Walaupun begitu kami berharap agar pencandat-pencandat hardcore di lokasi ini agar patuh kepada arahan yang telah dikeluarkan. Kami juga berharap anda yang terlibat untuk berkongsi maklumat dan lokasi baru bagi diwar-warkan kepada umum di laman ini.

Kerjasama semua adalah sangat dialu-alukan. Terima kasih kepada yang sudi berkongsi.
Hingga berjumpa lagi.

Read more >>

18 November 2012

Ronda Kawasan.

Salam untuk semua pengunjung dan rakan sotonglaut. Apa khabar semua? Pada post kali ini Abe Din ingin membawa anda ronda-ronda di satu kawasan lama yang merupakan lokasi mencandat sotong yang popular di Kerteh.

Rombongan kami sampai pada waktu petang lebih kurang pukul 6.00 petang. Masa kami tiba air laut dah mula menyonsong surut. Dalam hati dah tak sabar nak test mencandat kat sini. Sekali tengok ramai orang sedang memancing. Air sedikit keruh. Ada sorang brader tu sedang asyik mencandat sotong... bila tanya... jawapannya mudah .. takde sotong.

Sabar Menunggu...

Sekumpulan Pemancing Sedang Memancing Selar

Pasir Mula Dihakis Ke Laut

Kami pun tak mahu melepaskan peluang untuk mencandat sotong. Baling terus... dan baling lagi sampai lenguh tangan. Bayang sotong pun takde. Jumpa sorang pencandat lama. Dari perbualan... katanya sotong makin kurang kerana air keruh dan berombak. Takde rezeki le tu...

Kami juga sempat berbual-bual dengan penduduk tempatan yang memancing ikan selar kuning menggunakan bulu. Banyak juga diorang dapat. Menurut kata mereka selar kuning atau lebih dikenali sebagai "ikan kawan" oleh penduduk tempatan, hanya menyambar bulu pada waktu siang yang hari cerah. Meraka perlu memancing dengan cepat sebelum hari gelap.

Kumpulan Pemancing Ikan

Lama tak datang kat sini... rasa rindu pulak nak mencandat. Sebelum ini.. kawasan batuan ini memang kerapkali dikunjungi oleh sotong-sotong besar yang sesuai dijadikan lauk. Sotong-sotong ini mudah dicandat pada waktu malam.

Dari perbualan kami dengan pemancing tempatan... memaklumkan bahawa kawasan ini akan ditutup kepada orang awam pada waktu malam. Hanya siang hari sahaja pemancing dan pengunjung dibenarkan berana di sini. Kami agak terkejut dengan peraturan baru ini. Ini bermakna pencandat sotong tidak boleh lagi mencandat sotong pada waktu malam.

Lokasi ini telah sekian lama menjadi kawasan pemancing mencari rezeki pada waktu siang dan malam. Sejak ia dijadikan pusat penetasan dan pengumpulan telur penyu... inilah kali pertama peraturan ini diperkenalkan. Menurut sumber.. ia bagi mengelakkan pengunjung mengganggu penyu-penyu yang hendak datang bertelur di sini pada waktu malam.

Pihak sotonglaut sendiri agak terkejut dengan perkembangan ini. Kami memang menyokong pemeliharaan dan pemuliharaan penyu tetapi... adakah ini satu-satunya cara untuk berkongsi kekayaan di bumi Tuhan? Tidak adakah cara lain bagi mewujudkan situasi menang-menang diantara penguasa dan pencari rezeki iaitu pemancing pantai yang menjadikan kawasan ini sebagai punca rezeki sekian lama?


Bak kata orang ditelan mati emak, diluah mati bapa. Nampaknya bukan penyu tetapi pencandat sotong yang menangis. Semoga pencandat di kawasan ini akan menemui kawasan yang lebih baik untuk mencari rezeki.
Abe Din
Read more >>

13 November 2012

Tulang Lagi..

Salam kunjungan untuk semua..
Pada satu ketika... ambe sempat ronda-ronda dengan seorang rakan menikmati pemandangan indah di pantai Kemasik, Kemaman. Sambil jalan-jalan menikmati keindahan alam ciptaan tuhan sempat juga gang ambe mencari tulang-tulang sotong untuk burung-burung kesayangannya.

Tiba... masa air laut dah mula menyurut. Tengok keadaan air... macam takde sotong. Si lembut jarang mencari makan jika keadaan air begini. Tangan dah gatal sangat nak baling candat. Tapi apakan daya...
Kejadian Semulajadi yang Indah

Keadaan Air Laut Sedang Surut

Mencari Tulang Sotong

Ada Juga Dapat Sikit...

Untuk pengetahuan anda, pantai Kemasaik adalah salah satu pantai yang indah di Terengganu. Jika ada berpeluang ke sini... jangan lupa ambil peluang untuk singgah. Tentu ianya mampu mententeramkan jiwa anda. 
Jumpa lagi..
Read more >>

06 November 2012

Qatar: Menyotong Pertama

Salam pertemuan sekali lagi. Selamat datang kepada semua pengunjung blog sotonglaut. Semoga anda semua berada di dalam rahmat yang maha kuasa. 

Lama sungguh ambe tak update sotonglaut.. tahun ni agak sibuk sikit sampaikan nak pergi mencandat pun tak berapa nak sempat. Pada kali ni Abe Din  nak kongsi beberapa foto seorang rakan rakan maya yang berada jauh di Qatar. E-mail dari


Lokasi mencandat di Al Wakrah Port, Qatar. Jauh tu... mungkin member ni ada kena mengena dengan kerja carigali minyak kot.. ambe agak je. Menurut pengirim, beliau mula belajar mencandat dari blog buruk Abe Din.... dan first time test power di Al Wakrah... kalau salah tolong betulkan.

Ambe rasa bersyukur kerana seorang lagi telah berjaya menjadi pencandat sotong. Semuanya kena bermula dari percubaan pertama. Pemancing ikan tegar juga boleh menambah koleksi pengalaman dengan cuba mencandat sotong pula.

Abe Din juga cukup berbangga dan berterima kasih dengan pengirim kerana sudi berkongsi sedikit pengalaman walaupun hanya beberapa gambar. Di Jepun, candat di pantai telah lama berada di dalam kelas profesionalnya yang tersendiri... kat Malaysia bila le akan jadi kenyataan? Ambe berharap satu hari nanti kot....


 

 Corak sotong ni memang cantik
Saiz yang boleh tahan

Saiz sotong dalam gambar di atas adalah jenis pendek membulat. Sotong jenis ini memang berat apabila ditarik kerana rintangan terhadap air yang tinggi. Drag perlu dilaraskan dengan betul semasa bertarung dengan sotong jenis ini. Jika drag terlalu ketat sotong cukup mudah untuk terlepas. Apa yang penting kena sabar banyak dan jangan terlalu ganas semasa menarik sotong...

Sedikit maklumat dan carian tentang lokasi Al-Wakrah boleh anda diperolehi dari wikipedia. Imej satelit kawasan pelabuhannya cukup cantik dan berpotensi untuk memancing dan mencandat sotong.

Carian ambe tentang aktiviti memancing di sana agak kurang diperolehi. Mungkin orang kat sana tak pantai mencandat kot. Aktiviti memancing dan menangkap ikan banyak tertumpu bagi tujuan komersial. Mungkin juga ambe tak jumpa maklumat kat internet.




Bertuah sungguh kalau dapat melawat dan mencari pengalaman di tempat orang. Terima kasih kepada pengirim di atas perkongsian anda. Semoga ada perkongsian dari anda selepas ini.


 
 Imej satelit Al Wakrah Port, Qatar.

Sehingga berjumpa lagi. Selamat memancing.
Abe Din
Read more >>

25 June 2012

Sambal Sotong 2012

Bertemu lagi di lapangan Sotonglaut. Semoga anda semua sentiasa mendapat rahmat daripadaNya. Post kali ini... aku nak terangkan cara mudah untuk menyediakan sambal sotong. Bagi mereka yang malas memasak yang rumit-rumit, bleh cuba resepi aku ni.

Step 1: Memula.. korang pergi beli sotong jeruk di pasaraya. Kenapa guna sotong jenis ni... sebab dia bersih, lembut dan mudah disediakan. Bawa balik rumah kemudian basuh lebih kurang. Potong ikut suka korang dan sejatkan air sotong menggunakan penapis. Kalau korang malas tak payah nak sejat-sejat... lepas potong terus je masak.


Sotong Jeruk Yang Diimport


Sotong Jeruk Siap Dibersihkan


Bahagian Yang Paling Sedap: Mulut Sotong


Step 2: Korang potong bawang putih, bawang merah, cili padi kalau nak pedas... tumbuk dalam lesung... kalau rajin guna mesin pengisar. Jangan lupa letak sedikit belacan. 

Step 3: Beli petai yang sudah siap dikupas. Kenapa kena beli? Aku suruh beli sebab korang malas nak kupas. Kalau korang rasa rajin sikit jangan beli.. pi panjat pokok petai, amik sendiri.

Step 4: Beli cili boh. Kalau rajin korang kisar cili kering menggunakan mesin pengisar. Cili kering lebih ummph.. daripada cili boh.


Bahan Menumis Dan Petai 

Step 5: Panaskan kuali. Letak minyak. Bila minyak panas, tumis bahan yang korang buat dalam step 2. Bila naik bau, korang letak cili kisar. Bila nampak pecah minyak... korang campak petai dan sotong dalam kuali. Boleh juga tambah bawang besar yang dipotong bulat. Sederhanakan saiz api... letak garam..... Kalau korang tak tahan pedas letak gula sikit. Kecilkan api... rasa sikit. Kalau ok.. hidangkan. Boleh makan dengan nasi. Jangan lupa tutup api dapur.


Sambal Yang Sudah Siap

Inilah rupa sambal sotong yang dimasak dalam keadaan cukup santai sambil makan biskut empat segi. Tunggu apa lagi... cepat le pergi test. Serlahkan bakat korang. Ingatan: Resepi ini hanya untuk dicuba oleh mereka yang sudah profesional atau mereka yang sudah ada sedikit basic memasak... bagi mereka yang baru belajar atau buta kayu terus bab memasak.. "don't try this at home!". Budak-budak sangat dilarang membuat aksi berkenaan. Dapatkan bantuan ibubapa anda. Kalau korang degil gak...aku tak bertanggungjawab.

Sehingga berjumpa lagi.... Selamat memasak.
Read more >>

18 June 2012

Gajus VS Sotong


Selamat bertemu lagi di blog maya Sotonglaut. Harap anda semua yang sentiasa mengikuti blog buruk aku ni.. akan sentiasa sihat hendaknya.

Pada post kali ini, aku akan berceloteh tentang buah gajus. Di Terengganu buah ini lebih dikenali dengan panggilan "Jambu Golok". Mungkin nama berkenaan diambil sempena bentuk buahnya seperti golok atau parang. Buah ini juga dikenali dengan panggilan "Janggus", "Jambu Monyet", "Jambu Terung" dan "Bunga Kesasar". Nama saintifik gajus ialah Anacardium occidentale.


Buah Gajus Yang Masak Ranum

Pokok Gajus dikatakan berasal dari Brazil dan ditanam untuk mendapatkan bijinya. Bijinya akan dibelah dua dan dibuang kulit luarnya. Biji gajus menghasilkan getah yang sedikit gatal jika terkena kulit. Di Terengganu, penduduk tempatan memungut buah-buah gajus untuk mendapatkan bijinya. Bijinya dibelah dan digoreng sebelum dimakan. Biji gajus mempunyai rasa lemak seperti kacang.

Putik-putik Gajus

Gajus Terbiar: Masak Dan Rosak Di Pokok

Di pantai Timur, Buah gajus kurang popular untuk dijadikan sebagai makanan berbanding kawasan pantai Barat. Besar kemungkinan pokok gajus terlalu banyak di pantai timur. Jika korang berkesempatan datang ke kampung-kampung nelayan di Pantai Timur, korang akan jumpai banyak pokok-pokok gajus tumbuh samada ditanam manusia atau tumbuh meliar. Buah-buah gajus terbiar mengecut di atas pokok. Selalunya hanya haiwan seperti lembu sahaja yang berkumpul di bawah pokok gajus ketika musimnya untuk memakan buah gajus yang gugur. Rasa buah gajus sedikit masam dan kandungan air di dalam buah berkenaan cukup tinggi.


Buah Gajus Pelbagai Warna

Walaupun buah gajus tidak begitu popular berbanding bijinya, masih ada yang menjadikan gajus semagai menu masakan. Selalunya buah gajus dimasak bersama sotong, ikan atau makanan laut lain. Masakan yang biasa dijumpai di sini ialah masak lemak. Rasanya boleh tahan juga...



Pucuk Gajus Sesuai Dijadikan Ulam

Pucuk gajus muda pula dijakan ulam untuk dimakan bersama nasi. Harga secekak ulam gajus di sini ialah RM0.50. Di kawasan pantai barat pula, pucuk gajus juga cukup popular dijadikan ulam. Ia juga dijadikan sebagai ulam yang dipotong untuk dipadankan dengan laksa penang. Rasa memang sedap.


Gajus VS Sotong

Apa kaitan antara buah gajus dan sotong? Mungkin persoalan ini tidak pernah korang fikir. Kalau korang singgah di kedai-kedai makan di Terengganu pada musim gajus berbuah, tentu korang pernah terjumpa menu masakan buah gajus bersama sotong. Menu seperti ini tidak selalu ada. Ianya bermusim. Kalau pucuk gajus tu... sepanjang tahun pun ada..

Kenapa buah gajus selalu dipadankan dengan sotong dalam satu-satu menu masakan? Aku tertarik untuk menulis tentang tajuk ini apabila aku teringatkan perbualan dulu-dulu diantara aku dan seorang otai sotong. Katanya kalau pokok jambu golok dah berbunga dan berbuah itu tandanya sotong sudah boleh dicandat di laut. Sebetulnya musim pokok gajus berbuah dan musim sotong torak hadir ke perairan Terengganu adalah sama. 

Nelayan tempatan menggunakan petunjuk alam ini untuk meramalkan kehadiran sotong di perairan Terengganu. Apa yang menariknya... ia sudah diguna pakai sekian lama dan ramalan berkenaan menjadi. Itulah sebabnya, sotong dan gajus merupakan sebahagian daripada sumber asas yang banyak diperolehi ketika itu untuk dijadikan pasangan masakan. Pada zaman moden ini.. kombinasi masakan sotong boleh dipelbagaikan, maka jarang sekali dijumpai sotong dimasak bersama buah gajus.

Jika korang berhajat untuk datang mencandat sotong torak di Terengganu, pastikan juga adakah masa berkenaan pokok gajus sedang galak berbuah di Terengganu. Ini kerana musim gajus berbunga dan berbuah adalah kemuncak kehadiran sotong torak. Ini bukan bermakna musim lain tiada... cuma jumlah sotong torak ketika itu agak kurang.

Jangan lupa selepas musim kemuncak sotong torak berlalu, kemuncak kehadiran sotong mabang pula akan mengambil tempat sehingga musim tengkujuh melanda. Semoga maklumat yang aku beri kali ini berguna untuk korang yang bercadang ke Terengganu untuk mencandat sotong. Selamat mencandat.
Jumpa lagi.
Read more >>

11 June 2012

Menu: Belangkas

Salam semua. Jumpa lagi di laman Sotonglaut. Kali ini...aku akan sambung tentang cara memasak belangkas. Aku harap korang dah dapat serba sedikit info tentang belangkas di dalam post aku sebelum ini. Korang jangan takut belangkas adalah haiwan yang halal dimakan.

Orang Melayu Johor pandai memasak asam pedas dan sambal tumis belangkas. Walaupun  belangkas boleh dimakan, dikatakan belangkas mempunyai toksin atau racun yang menyebabkan mabuk...betul ke? Aku dah beberapa kali makan belangkas tak pula kena gejala seperti yang disebutkan. 

Ada dua bahagian belangkas yang biasa dimakan oleh manusia iaitu isi dan telurnya. Isi belangkas berwarna putih dan rasanya seakan-akan isi ketam. Telurnya pula berwarna merah keemasan apabila masak dan rasanya sedikit kenyal apabila digigit. Ketika telur dikunyah anda akan rasa lemak yang boleh aku katakan sedap jugak le...

Aku mula makan belangkas di Kampung Awat-awat, Lawas di Sarawak. Ketika belajar kat sana sempat berkunjung ke rumah rakan ketika cuti semester. Member aku tanya nak makan belangkas ke? dia bawa aku kat bawah rumahnya. Rumah kawan aku tu bertiang dan dibina di dalam air.... panggilan glamour kat sini, "rumah air". Aku pun tak tahu apa yang dicarinya... selepas meninjau seketika... dia menarik tali tangsi yang diikat pada tiang rumah. Rupa-rupanya belangkas besar diikat menggunakan tali di hujung kepalanya yang ditebuk. Belangkas akan bermain di dasar dalam keadaan hidup. Apabila hendak dimakan...belangkas akan ditarik naik ke atas... banyak juga belangkas kat bawah tu. Kihkih.. macam kambing jer.

Belangkas tadi di bawa ke dapur kayu yang telah dihidupkan dan belangkas berkenaan diterbalikkan di atas dapur berkenaan. Teknik memasak seolah-olah memanggang. Aku tengok belangkas mengerakkan kakinya apabila belakangnya terasa panas... hinggalah kakinya berhenti bergerak dan belangkas itu mati...kejam ke? Sob sob...nak wat camana dah makanan manusia.

Belangkas dibiarkan beberapa minit lagi. Member aku bagi isyarat dah boleh makan. Bara api dikeluarkan. Kulit dalam dibuka dengan mudah...dan kelihatan telur-telur belangkas yang berwarna kuning keemasan. Aku takut nak makan...tengok je.. bila dah separuh dikerjakan oleh gang-gang member aku...aku mula rasa nak cuba.. test sekali... best. . Apa lagi aku makan laju dari diorang. Bahagian yang paling sedap ialah isi belangkas. Rasanya lebih sedap dari rasa ketam.

Minggu lepas..aku dapat tangkap belangkas di perairan Terengganu. Aku bawa balik ke Kampung kat Negeri Sembilan... ayah aku (mantan seorang nelayan) kata nak masak. Haa... ni yang aku nak share dengan korang. Mula-mula rebus belangkas yang ditangkap. Jangan lupa terbalikan beberapa kali bagi memastikan ia cukup masak.



Belangkas Yang Sedang Direbus

Aku syorkan korang matikan dulu belangkas sebelum direbus... bukan apa untuk mengelakkan peristiwa yang agak tragis. Caranya senang je... bungkus dalam plastik, letak dalam petis ais. Jangan buang ekor kerana ia akan memudahkan korang memegang dan memusingkan belangkas ketika berada di dalam kuali yang panas.


 Proses Mengambil Isi Dan Telur

Gunakan pisau yang tajam untuk membelah bahagian dalam kepala belangkas bagi  mengeluarkan isi dan telurnya. Gunakan sudu untuk mengikis telur belangkas dan letak di dalam bekas yang bersih. Jika belangkas sudah cukup masak... korang boleh makan terus isi dan telur belangkas berkenaan.

Rupa Isi Belangkas


Isi Dan Telur Belangkas

Ada satu petua yang gang aku bagi masa kat Sarawak. Jangan sekali-kali memegang dan menggosok kepala belangkas semasa ia hidup kerana jika belangkas berkenaan ada telur... telurnya akan berbuih apabila ia di masak nanti. Penghasilan buih yang banyak di kawasan simpanan telur akan menyukarkan proses membersih dan memakan telur belangkas berkenaan.

  
Isi Dan Telur Yang Dimasak Bersama

Selepas isi dan telur belangkas dikumpul dan diasingkan, korang potong bawang, cili macam biasa. Tumiskan bawang dan masak telur dan isi belangkas bersama. Masukkan sekali serai yang telah ditumpuk dihujungnya. Jangan lupa garam secukup rasa. Anda juga boleh membuat sambal tumis menggunakan isi dan telur belangkas.

Di Johor, hanya belangkas betina ditangkap dan dijual dengan harga antara RM2 hingga RM5 seekor mengikut saiz. Orang kat sana memasak belangkas berserta dengan kulit yang dipotong-potong. Masakan kegemaran ialah asam pedas kering. Korang boleh cuba... Di restoran-restoran Cina, masakan belangkas ini cukup popular.

Belangkas merupakan haiwan laut yang boleh dimakan. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Feb 2011 telah memutuskan bahawa memakan daging, isi dan telur belangkas adalah diharuskan

Walaupun belangkas boleh dimakan... kesan dari tindakan lampau tuai boleh meletakkan spesies ini dalam senarai spesies terancam. Adalah lebih baik belangkas dilepaskan terutamanya belangkas betina bagi menjamin kemandirian spesiesnya. Bagi memenuhi permintaan belangkas sebagai makanan, kaedah ternakan dan pembiakan terkini boleh diaplikasi sebagai sember bekalan masa depan.
Jumpa lagi

Kalau korang rajin, gagah, cantik, comel, dan mancho... Cer copy, paste, send atau link maklumat dari blog buruk aku ni untuk dikongsi dengan gang-gang anda. Jangan kedekut... tak baik.
Read more >>

09 June 2012

Misi Gagal

Selamat dan terima kasih kepada semua pengunjung setia Blog Sotonglaut. Pada post kali ini, aku akan berkongsi pengalaman mengikuti satu trip memancing di perairan Kerteh pada awal Jun yang lepas. Trip yang dirancang sekian lama menggunakan bot fiber sepanjang 20 kaki.

Kami bertolak dari jeti Kerteh pada jam 7.30 pagi ketika air sedang menyonsong pasang.  Niat nak mencuba sotong mabang di unjam manakala rakan yang lain nak memancing ikan. Trip diadakan dua hari berturut-turut daripada pukul 7.30 pagi hingga pukul 1.30 tengahari. Dalam bekas peralatan aku sudah bersedia dengan pelbagai jenis candat udang yang akan dipadankan bersama sebatang joran dan serek.


Keluar Dari Tempat Bot Berlabuh
Gambar2 : Jeti LKIM Kerteh 



Kuala Kerteh Berlatarkan Bukit Labuhan


Bot Menuju Ke Lokasi Unjam


Unjam Yang Tiada Sotong

 Sebaik sampai diunjam, aku terus menghulurkan candat dan menarik perlahan-lahan bagi merasa tarikan sotong. Setiap unjam yang ditemui semua tiada tarikan sotong. Memang frust gila.. mana le diorang pergi. Pada trip kedua, kami telah dibawa menghala ke utara untuk mencandat sotong torak.

Dikhabarkan oleh nelayan tempatan bahawa sotong torak sedang galak menyambar candat. Ada nelayan yang sudah membawa balik hasil yang cukup lumayan. Hati aku mula berbunga... kalau tak dapat sotong mabang, sotong torak pun kira ok jugak..
Bot memecut laju ke lokasi lebih kurang 30 minit. Sampai dilokasi, sekumpulan bot-bot nelayan sudah lama parking dan sedang mencandat. Ada juga diantara meraka yang kelihatan menaikkan sotong torak. Apa lagi... aku terus campak candat twist dan udang yang diikat secara berpasang. Puas kami bertiga menghenjut tali pancing... sekor pun tak sudi bersalaman dengan candat. Sekali sahaja candat tekong ditarik... tapi terlepas. 

Matahari dah semakin meninggi. Bahu dah rasa nak tercabut menghenjut candat... last sekali disebabkan letih campur frust... kami berpakat untuk memancing ikan kerisi. Dapat dua tiga ekor je... kecik pulak tu. Nasib sungguh.... Apa lagi angkat pancing terus pecut ke unjam darat untuk mencari ikan. Nasib baik dapat dua ekor kerapu minyak sebesar lengan. Terubat duka.


Memancing Ikan Cencaru Besar

Pada hari pertama selepas kecewa tidak mendapat sotong kami memancing cencaru besar berumpankan ikan bilis. Boleh tahan juga... dapat enam ekor dengan berat lebih kurang 2 ekor sekilo. Lama juga lawan tarik tali. Sekali lagi tak best... huuu.. aku sekor pun tak dapat cencaru. Nasib baik member bagi dua ekor. Sedih sungguh mengenangkan nasib badan. Dah le letih... ikan pula tak dapat.

 Antara Tangkapan Yang Diperolehi

Walaupun hasil tidak memberangsangkan, sekurang-kurangnya dapat juga aku melepaskan rindu pada laut. Terubat juga gian nak pergi memancing. Panjang umur, aku akan datang lagi ke sini untuk mencandat sotong mabang.
Jumpa lagi.
Read more >>

08 June 2012

Kenali Belangkas

Salam pertemuan kepada semua pengunjung dan pelawat Blog Sotonglaut. Post kali ini, aku akan kenalkan pada korang satu spesies yang begitu istimewa iaitu belangkas. Dikenali dengan nama saintifik Limulus polyphemus. 

Belangkas banyak ditangkap di kawasan pesisir pantai dan kuala sungai berair payau. Belangkas mudah dijumpai ketika air pasang. Air laut yang bersih dan jernih sangat disukai oleh belangkas. Bentuk badannya sedikit aneh dan mempunyai duri seakan-akan pedang yang panjang. Ia juga berfungsi sebagai ekor belangkas. Apa yang aku perhatikan, haiwan ini menggunakan ekornya untuk bergerak dan membantunya jika ia terbalik. Kemungkinan juga ekornya sebagai salah satu mekanisme pertahanan bagi sang belangkas.

Orang melayu dah lama tahu tentang spesies ini...istilah "macam belangkas" merujuk kepada dua individu yang sentiasa bersama dan tidak boleh berenggang. Sebab itu lah jika korang jumpa spesies pelik ni...mesti ada dua ekor. Jika bernasib baik korang akan jumpa berpasang-pasang. Belangkas selalunya akan melekat di antara satu sama lain. Belangkas di bahagian bawah selalunya betina adalah lebih besar. Belangkas betina akan membawa belangkas jantan yang lebih kecil di atas belakangnya.... macam perangai katak.


 Belangkas Yang Unik

Belangkas boleh mencapai saiz 51 cm (20 inci). Bahagian badannya yang putus atau tercabut akan tumbuh semula macam ketam. Darah belangkas berwarna biru dikatakan berharga sehingga RM17500 (USD5000) bagi seliter. Darah belangkas yang mempunyai nilai perubatan yang tinggi ini sedikit sebanyak dapat membantu nelayan meningkatkan lagi hasil pendapatan mereka.

Belangkas tidak menggigit tetapi ekornya agak bahaya. Jika terjatuh mudah untuk tertusuk ekor belangkas kerana belangkas yang berada di atas darat sentiasa menggerak-gerakkan ekornya ke atas. Jika korang nak dapat lebih info tentang belangkas korang boleh study kat laman ni http://ms.wikipedia.org/wiki/Belangkas.

Di sini, aku sertakan sekali pengkelasan saintifik bagi rujukan korang:

Belangkas Yang Aku Tangkap Minggu Lepas

Gambar kat atas tu adalah satu dari enam ekor belangkas yang aku tangkap. Belangkas boleh dimakan oleh manusia.. post akan datang aku akan ajar korang cara nak menyiang dan memasak belangkas. Kalau korang jumpa belangkas kat pantai, ambil belangkas yang paling besar dan selalunya betina kerana ia banyak isi dan kadang-kadang ada telur yang sedap. Lepaskan belangkas jantan kerana badannya kecil, kurus dan kurang isi. 

Jangan tangkap berlebihan terutamanya belangkas betina yang ada telur. Ambil yang perlu sahaja. Lepas semula adalah lebih baik untuk kemandirian belangkas. Kalau semua orang tangkap...habis le belangkas yang terkenal dengan nilai perubatannya yang cukup tinggi. Belangkas yang bertelur boleh dilihat di bahagian bawah kepalanya, kawasan tengah kiri dan kanan. Kawasan berkenaan sedikit lembut. Nelayan yang mahir boleh mengetahui belangkas yang bertelur dengan melihat dan memicit bahagian berkenaan.

Sekian untuk kali ini. Jangan lupa ikut post aku yang berikutnya... aku akan bagi tips cara nak memasak belangkas. Jumpa lagi...
Read more >>

07 June 2012

Kenali Obor-obor

Salam untuk semua pengunjung dan pelawat Blog Sotonglaut. Pada post kali ini..ambe akan berkongsi satu penemuan baru dan obor-obor, yang juga dikenali sebagai ampai-ampai. 

Baru-baru ini...ambe sempat berkunjung ke Laut Cina Selatan untuk memancing dan memukat ikan. Semasa menarik pukat ada beberapa objek misteri terlekat pada pukat... ambe terus tanya pada Juragan bot...benda ape? kerkejut dan bertuah ambe apabila diberitahu bahawa benda tu (gambar bawah) merupakan telur sotong mabang.

Telur Sotong Mabang Yang Ditinggal Ibunya

Menurut Juragan, sotong mabang akan meninggalkan telurnya pada pukat-pukat, batu karang, unjam dan tali-tali sauh. Telurnya dibiarkan menetas dengan sendiri. Apabila ambe labuhkan candat...tiada pula tarikan dari sotong. Mungkin ibunya sudah meninggalkan kawasan ia bertelur dan menghala ke pantai untuk mencari makanan.


Obor-obor Merah

Terdapat banyak obor-obor atau ampai-ampai yang terlekat pada pukat. Obor-obor jenis ni kalau kena kat tangan atau badan..akan rasa pedih macam kena cili padi. Ambe beberapa kali terkena ekor (kawasan bisa) semasa menarik pukat...memang pedih tangan. Kalau kena mata...ishh tak boleh nak bayangkan. Heran sungguh aku...Juragan bot pegang dengan tangan jer... Dia kata kawasan ekor paling bisa...bahagian kepala tidak mempunyai bisa. Juragan sempat juga bagi petua untuk menghilangkan bisa obor-obor ialah dengan menyapu cuka makan.


Obor-obor putih

Obor-obor putih pula mempunyai bentuk badan yang lebih padat dan berisi. Ekornya pendek dan berbentuk bunga. Sekali tengok macam kobis jer... menurut Juragan, obor-obor ini tidak bahaya kerana ia tidak menghasilkan bisa.

Ada satu lagi spesies yang sempat ambe tengok... iaitu obor-obor yang berwarna biru. Obor-obor jenis ini paling bisa. Saiznya agak kecil dan bergerak dengan laju. Ambe tak sempat nak rakam kerana bilangannya tidak banyak dan disebabkan saiznya yang kecil, ia tidak tersangkaut pada pukat.

Kalau korang suka mandi-manda di pantai...jaga-jaga sikit dengan spesies ni. Kalau kena kat badan, percutian anda terus jadi tak best. Kena air laut, rasa pedih. Nak makan KFC pun jadi  tak lalu. Itu le sedikit info yang ambe boleh share dengan korang. Moga-moga percutian korang tidak diganggu dengan spesies-spesies aneh ni. Satu lagi korang kena tahu...emm, sekarang ni musim obor-obor. Berhati-hati sikit.
Jumpa lagi...Bye.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing