"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

18 July 2010

Mengilat Di Unjam


Salam untuk semua.
Pada post kali ini, Abe Din akan menerangkan kaedah memancing sotong mabang di kawasan unjam. Secara umumnya, unjam merupakan satu struktur buatan manusia yang berfungsi sebagai kawasan ikan dan sotong berkumpul. Unjam dibina sebagai perlindungan sementara bagi ikan-ikan dan hidupan laut bersaiz kecil. Setelah unjam berjaya menarik ikan-ikan kecil berlindung, maka ikan-ikan bersaiz besar akan mula berlegar di sekelilingnya. Unjam juga merupakan kawasan terbaik bagi sotong mabang melindungi diri dari musuh-musuhnya.

Di Terengganu, unjam dibina menggunakan daun-daun pokok ru, daun nipah, daun buluh, daun kelapa dan batang buluh. Daun dan dahan-dahan pokok berkenaan dipotong dan diikat menggunakan tali kemudian ditenggelamkan dengan menggunakan pemberat. Pemberat unjam dibuat menggunakan guni gula yang diletakkan pasir pantai. Ada juga unjam ditambah dengan tayar-tayar buruk dan tong-tong ikan terpakai. Bahagian atas unjam diikat menggunakan pelampung-pelampung polisterin atau tong-tong air terpakai.

Pelampung polisterin diletak agar unjam sentiasa berada
dalam kedudukan menegak

Unjam adalah kawasan yang menjadi tumpuan utama pemiliknya mencari rezeki. Antara tangkapan utama mengikut musim termasuklah ikan kembong, tamban, selar, cencaru dan tongkol serta sotong mabang. Ikan-ikan di atas dipancing menggunakan bulu yang diikat pada matakail dan tali perambut. Ada juga ikan-ikan besar yang dipancing seperti kerapu, talang, tenggiri, kekacang, haruan tasik dan ikan-ikan bernilai tinggi yang lain.

Terdapat dua jenis unjam iaitu unjam laut dan unjam darat. Kedua-dua unjam ini dibina menggunakan bahan yang sama. Apa yang membezakannya ialah kedudukan unjam dilabuhkan. Unjam darat diletakkan di kawasan pelantar laut yang mana kita masih boleh melihat kawasan daratan atau pantai manakala unjam laut dilabuhkan di kawasan laut lepas yang tidak kelihatan kawasan daratannya jika dilihat dari unjam.

Unjam buluh : Buluh akan menegak ke atas jika air laut pasang

Unjam yang dilabuh mengambil masa beberapa minggu bagi menarik perhatian ikan. Apabila unjam benar-benar telah masam, ikan dan sotong akan mula menghuni di sekitarnya. Secara umumnya, unjam laut menjadi kawasan perlindungan ikan-ikan dan sotong-sotong bersaiz lebih besar daripada unjam darat. Pemancing dan pengilat perlu berhati-hati menjalankan operasi sekitar unjam kerana risiko untuk tersangkut cukup tinggi.

Sotong mabang yang Abe Din perolehi di kawasan unjam darat.

Cara pancingan sotong mabang di kawasan unjam telah Abe Din terangkan pada post-post sebelum ini. Umpan sotong atau jig yang digunakan di kawasan unjam lebih besar dan panjang. Dari ujian lapangan yang dijalankan, jig merah yang besar sangat efektif di kawasan unjam. Ketika memancing di unjam, pemancing perlu menyediakan jig lebih daripada satu yang bertindak sebagai bantuan jika jig tersangkut. Perlu diingat di laut tiada kedai pancing.

Kumpulan jig yang pernah digunakan oleh Abe Din

Jig putih dan twist juga laku di kawasan unjam

Pancingan di unjam memerlukan pemancing memasang jig bersama tanduk bagi mengelakkan tali anak tersangkut pada tali utama. Sila rujuk tulisan Abe Din dalam post sebelumnya. Penggunaan pemberat atau ladung perlu disesuaikan dengan kekuatan arus laut.

Ilustrasi unjam buatan

Ketika memancing di unjam, kita perlu mengambil kira dua faktor utama iaitu angin dan arus. Ada masa dan ketikanya angin dan arus menjadi songsang. Di Terengganu ia dikenali sebagai arus gila dimana arah arus laut berubah-ubah dengan cepat. Jika arus kuat, pemancing perlu melabuhkan bot jauh dari unjam agar unjam berada di bahagian hadapan. Pemancing di bahagian hadapan perlu menggunakan pemberat yang lebih ringan manakala pemancing di bahagian belakang haruslah menggunakan ladung yang lebih berat bagi mengelakkan pancing berbelit. Jika arus lemah atau tiada arus, pemancing perlu berada di atas unjam iaitu dengan melabuhkan bot secara mengikat tali pada pelampung unjam.

Hulurkan tali pancing secara berhati-hati sehingga ke dasar kemudian tarik perlahan-lahan atau buat henjutan ringan sehingga pertengahan air dan lepaskan semula. Elakkan henjutan seperti pancingan sotong torak kerana sotong berada dicelah-celah daun unjam atau struktur bawah. Henjutan lembut akan memudahkan sotong mengesan kehadiran candat. Henjutan secara laju akan menarik perhatian ikan seperti kekacang dan tenggiri. Jika dua spesies ini menggigit umpan alamatnya anda kena ikat candat yang baru. Kadang kala spesies ini akan menyambar batu ladung yang berkilat.

Apabila sotong mabang menghulurkan tangan bersalam dengan jig, anda akan rasakan satu benaman yang cukup kuat. Hulurkan tali jika anda menggunakan serek sambil menahan tali di bahagian tepi bot. Jika anda menggunakan joran, jangan sekali-kali mengetatkan drag. Drag yang terlalu longgar juga akan menyebabkan sotong mudah untuk terlepas. Laras drag mengikut kesesuaian saiz sotong.

Mabang sedang bersantai di kawasannya

Mulalah bermain tarik tali dengan sotong. Apabila sotong semakin lemah, tarik ia perlahan-lahan ke atas. Semasa tarikan dibuat anda akan rasa seperti menarik beg plastik besar yang penuh berisi air. Apabila sotong besar mula menghampiri permukaan air, ia akan memecut sebaik sahaja melihat manusia. Teruskan bertahan. Ada dua kaedah yang biasa digunakan iaitu terus bermain dengan sotong sehingga ia benar-benar letih dan dakwatnya habis dilepaskan atau terus mencangkuk ke atas bot. Berhati-hati kerana sotong selalunya menyimpan dakwat tambahan untuk mengajar musuhnya agar lebih bersopan-santun.

Kadang-kala sotong besar yang terkena pancing akan diikuti oleh pasangannya. Abe Din pernah bertemu dengan dua ekor sotong lain yang mengikut rakannya yang sudah terkena candat. Apa yang perlu dibuat jika situasi ini berlaku ? Pertama : jangan buat banyak pergerakan kerana ia akan menakutkan sotong yang mengikut. Kedua : minta rakan agar membaling jig ke arah sotong berkenaan. Percayalah jig itu akan dipeluk dengan cukup erat. Jangan risau jika sotong sempat lari ke bawah, jatuhkan sahaja jig pada kedalaman separuh air, tarik ke atas dan kena...

Tarikan mabang memang ganas

Sebaiknya sotong terus dimasukkan ke dalam bekas bagi mengelakkan dakwat terpancut merata-rata. Selepas sotong disimpan, jangan buang masa untuk melihat rakan lain menarik sotong. Terus lepaskan jig ke dasar untuk mendapatkan sotong yang berikutnya. Selamat mencuba-Abe Din.

2 comments:

  1. Assalam Tuan. Blog yg sangat menarik dan informatif. Boleh saya bertanya. Di mana boleh saya membeli Pelampung polisterin spt gambar diatas?

    Terima Kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam. Di Terengganu, pelampung tu banyak dijual di kedai-kedai pancing di kawasan tepi pantai.

      Delete

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing