PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

18 July 2010

Mengilat Dari Batuan

Salam dari Abe Din untuk semua.
Pada post kali ini Abe Din akan membincangkan cara-cara dan kaedah bagi mengilat sotong samada mabang, jarum, torak atau katak dari kawasan berbatu. Kawasan berbatu bermaksud satu lokasi pancingan di mana sekitarnya dipenuhi oleh batuan semulajadi atau buatan. Batuan semulajadi merujuk kepada kawasan pulau berbatu atau tebing batu di tanah besar. Batuan buatan pula merujuk kepada batuan yang ditambun atau ditambak bagi membentuk jaluran batuan yang menganjur ke arah laut atau selari dengan pantai. Batuan buatan dibina antara tujuannya ialah bagi melemahkan kekuatan ombak.

Mengilat Di Kawasan Berbatu Kadang-kala Sangat Menguji
Kemampuan Fizikal Dan Mental Individu

Pengilat sotong perlu mempunyai sedikit kemahiran dan pengetahuan sebelum cuba mengilat di lokasi ini. Bagi Abe Din, pancingan di kawasan batuan adalah merupakan pancingan yang paling mencabar dalam dunia mengilat sotong. Pengilat mudah tercedera dan tidak mustahil boleh terbunuh. Terdapat beberapa kes lokasi batuan meragut nyawa pengilat sotong dan pemancing ikan.

Pancingan di kawasan batuan memerlukan pengilat bergerak di antara batuan yang jarang, keras dan tajam. Jika tersilap langkah buruklah padahnya. Walaupun ada nyawa yang terkorban, pemancing dan pengilat masih gigih melawat lokasi-lokasi seperti ini kerana kawasan berkenaan menjadi tumpuan kawanan sotong dan ikan.

Selepas air surut atau selepas hujan, kawasan batuan menjadi sangat licin. Pengilat dinasihatkan memakai kasut bertapak getah yang tahan gelinciran. Pengilat juga dinasihatkan agar tidak membawa beban yang banyak dan berat. Bawa barang yang sangat perlu sahaja. Pancing dan cangkuk juga perlu mempunyai panjang yang sesuai.

Rakan Sotong Mania Sebelum Turun ke Lokasi
Dengan Kelengkapan Yang Sangat Simple

Rajah 1

Rajah 1 di atas menunjukkan gaya tarikan jig yang pernah Abe Din paparkan sebelum ini. Kaedah di atas hanya sekadar beberapa contoh yang sesuai diaplikasikan di kawasan berbatu.


Rajah 2

Rajah 2 menunjukkan kedudukan zon pancingan di kawasan batuan. Pengilat perlu memahami bahawa sotong berpotensi untuk berada di semua kedudukan zon pada satu-satu masa. Jika ada ancaman pada zon A seperti kehadiran manusia, cahaya lampu bergerak atau burung laut, maka sotong akan berpindah ke zon bawah atau menjauhi kawasan berbatu.

Apabila ikan pemangsa seperti todak dan kekacang berlegar di zon B, sotong akan berpindah ke zon D. Kebanyakan sotong bermain di kawasan dasar dan jika ikan menghampiri zon C, maka sotong akan menghilangkan diri di celah-celah batuan.

Semasa air laut agak tenang, kurang jernih atau bulan gelap, sotong akan mula mengubah kedudukan di zon B. Sotong juga akan mendekati dan merapati kawasan berbatu. Pada waktu ini peluang untuk mendapat tarikan sotong lebih cepat. Ada juga kes dimana sotong besar menarik jig yang sedang merapati tebing berbatu.

Pengilat sotong perlu memahami pola lokasi dan tabiat sotong ini bagi memaksimumkan tangkapan. Abe Din nasihatkan agar pengilat-pengilat sotong juga memahami faktor-faktor lain yang dihuraikan di dalam post-post sebelum ini.

Rajah 3

Rajah 3 menunjukkan gerakan yang mungkin bagi jig. Pengilat perlu menjangkakan kedudukan batu bagi mengelakkan jig daripada tersangkut. Abe Din selalunya menggunakan sistem kiraan. Sebagai contoh selepas 15 kali kayuhan kekili, Abe Din akan mengayuh kekili dengan cepat. Kayuhan cepat akan menyebabkan jig naik ke atas dan merendahkan risiko tersangkut.

Ramai pengilat tidak berapa kisah jika jignya tersangkut. Ada juga jig akan terlepas apabila ditarik beberapa kali. Perlu diingat jika jig kerap tersangkut, mata candat akan tumpul. Mata jig yang tumpul sukar untuk tertancap kemas pada tantakel sotong.


Contoh kawasan yang berpotensi tetapi agak bahaya sedikit.

Jika ingin mengilat di waktu malam, seeloknya kita pergi ke lokasi terlebh dahulu bagi meninjau kawasan berkenaan di waktu siang. Kehadiran awal kita juga boleh menjimatkan masa mencari tempat "parking" yang sesuai. Kita juga boleh mengetahui kawasan-kawasan bahaya serta kawasan risiko sangkut.

Tarikan perlahan dan berhati-hati kerap membuahkan hasil

Tinjauan kawasan batuan ketika air surut.

Pada waktu siang, sotong mudah dijumpai ketika air pasang. Pada waktu malam pula sotong-sotong bersaiz besar mudah dijerat semasa air surut. Secara umumnya sotong cukup galak ketika air bergerak surut. Panduan berkenaan hanya sesuai digunakan di kawasan berbatu sahaja. Di kawasan laut atau unjam, sotong mabang menyambar umpan hampir pada semua keadaan air laut.

Ketika post ini ditulis, sotong mabang boleh dikatakan sedang mengamuk di kawasan Abe Din. Trend ini dijangka berlarutan ketika bulan cerah dan sepanjang bulan puasa akan datang. Jangan lepaskan peluang untuk merancang trip pengenalan. Abe Din sangat berharap agar rakan-rakan sotong mania cuba memahami isi penulisan ini agar trip yang disertai tidak mengecewakan.

Selamat mencuba-Abe Din.

No comments:

Post a Comment

Blogger Pancing