"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

17 July 2010

Apa salah Paul ?

Salam untuk semua. Rasa gatal tangan hendak update blog tetapi kesibukan kerja kadang kala membataskan hasrat berkenaan. Sepanjang kehangatan piala dunia ini banyak trip mengilat sotong terpaksa ditunda kerana dua orang lagi rakan Sotong Mania Abe Din memang kaki bola. Abe Din bukan kaki bola tetapi kadang-kadang sempat juga cari masa untuk tengok siaran langsung beberapa perlawanan di televisyen.

Walaupun musim kemuncak bola piala dunia sudah melabuhkan tirai, rasanya belum terlambat untuk Abe Din membicarakan tentang acara popular berkenaan. Pada kali ini, Abe Din ingin berkongsi sedikit pandangan berkaitan isu yang hangat diperkatakan di kalangan peminat-peminat bola iaitu berkenaan ramalan seekor sotong kurita yang dinamakan Paul.

Dari carian internet, Abe Din mendapat maklumat bahawa Paul yang berumur 2 tahun telah mula membuat enam ramalan melibatkan Jerman pada Piala Eropah 2008. Empat daripada ramalan berkenaan adalah tepat manakala dua lagi meleset. Pada perlawanan Piala Dunia baru-baru ini pula Paul berjaya meramal dengan tepat kesemua perlawanan. Ramalan Paul telah menimbulkan kemarahan kepada pasukan yang kalah dan pelbagai ancaman telah dikeluarkan.

Sebenarnya apa yang berlaku boleh dihuraikan secara lebih saintifik jika pihak-pihak berautoriti dan mempunyai pengiktirafan sejagat memberikan pendapat dan panduan. Ahli agama sendiri telah memberikan hukum-hukum berkaitan ramalan sotong dan burung nuri walaupun isu ramalan itu juga perlu dilihat dengan lebih meluas dari konteks rakyat Malaysia itu sendiri. Abe Din berpendapat jika tindakan awal diambil tentunya kekecohan berkaitan ramalan Paul tidak terlalu disensasikan.

Kadang-kadang Abe Din terfikir, salahkah jika Paul hendak mengambil makanan di dalam bekas di hadapannya? Banyak pandangan negatif dan positif nampaknya lebih menjurus kepada Paul tetapi individu atau kumpulan yang memanipulasi Paul bebas tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Memandangkan blog ini menjurus kepada dunia sotong, Abe Din rasa sedikit tanggungjawab untuk mengulas berkaitan isu ini. Jika rakan-rakan Sotong Mania mengikuti penulisan sebelum ini bertajuk pemilihan candat I dan II, Abe Din ada menerangkan faktor-faktor dalaman dan luaran yang boleh menarik perhatian sotong menarik umpan. Salah satu faktor utama ialah warna. Bagi kes Paul, bekas lutsinar yang diisi makanan diletak bendera berwarna sebagai latar. Memang secara semulajadinya, sotong tertarik kepada jig berwarna mengikut ranking iaitu merah-Pink-Kuning/oren-Hijau dan baru-baru ini candat putih juga telah mula dipopularkan.

Jika kita peka, candat dan jig-jig sotong yang terdapat di pasaran, diwarnakan dengan warna yang dinyatakan seperti di atas. Adalah ganjil jika jig dan candat dihasilkan dengan warna yang lain dari yang telah dinyatakan. Kajian warna jig juga telah dilakukan terhadap sotong sebelum ia dikeluarkan secara komersial. Jenama terkenal seperti Yamashita juga mengaplikasikan warna kegemaran sotong pada produk mereka.

Pendapat yang menyatakan bahawa Paul memilih makanan mengikut warna latar bendera yang diletakkan adalah cukup kuat. Sepatutnya untuk lebih adil, bendera pasukan perlu dicetak atau ditulis nama pasukan dengan menggunakan dakwat hitam sahaja. Gambar di bawah adalah sekadar beberapa contoh situasi yang dialami oleh Paul.

Cuba lihat warna bendera pilihan Paul, warna dominannya ialah
merah dan kuning manakala bendera kedua mempunyai
warna biru yang tidak diminati oleh sotong.


Gambar di atas juga menunjukkan bendera kedua tidak
mempunyai
warna dominan kegemaran sotong

Gambar di atas menunjukkan bendera bukan pilihan mempunyai
sedikit warna merah
manakala bendera pilihan mempunyai
warna merah dan kuning yang lebih luas.


Kesimpulan dari situasi di atas boleh dinyatakan bahawa pemilihan Paul adalah bergantung kepada situasi-situasi berikut.
1-Warna pilihan mengikut ranking
2-Keluasan warna
3-Kecerahan warna

Abe Din beranggapan bahawa pemilihan Paul juga sangat bergantung kepada faktor-faktor lain yang diketahui oleh mereka yang pakar tetapi tidak didedahkan kepada umum. Abe Din cukup yakin bahawa sotong Paul tidak mempunyai sebarang magik dan sotong-sotong lain juga mampu melakukan aksi berkenaan.

Kebodohan manusia mempercayai ramalan sotong berkenaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Abe Din percaya, ada haiwan yang dianugerahkan Allah deria yang boleh mengesan sesuatu seperti yang berlaku semasa tsunami dan peristiwa ayam di atas kubur tetapi mempercayai bahawa ia boleh membuat ramalan adalah sesuatu yang keterlaluan.

Jika dahulu orang Arab jahiliah meramal dengan menggunakan anak panah, dukun, bomoh, pawang dan sekarang manusia menggunakan haiwan pula. Menurut wakil ketua MUI Pamekasan, 'Percaya ramalan binatang murtad, agar kembali ke Islam, harus baca kalimah syahadat, jika tidak, murtad seumur hidup'. Mufti Johor pula menegaskan bahawa ramalan, tekaan atau tilik menilik yang dilakukan manusia adalah satu pembohongan. Maka, jika manusia meramalpun dipanggil pembohong, apatah lagi jika haiwan yang meramal.

Bukan tujuan Abe Din untuk mengajar tetapi sebagai peminat sotong, Abe Din tidak begitu senang jika makhluk tuhan yang comel ini dipergunakan untuk menipu. Peringatkanlah kepada mereka yang lupa. Salam dari Abe Din.

No comments:

Post a Comment

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing