PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

18 July 2010

Balingan Ke Tepi

Selamat berpuasa untuk semua rakan Sotong Mania yang beragama Islam.
Dalam kesibukan kita memancing dan mengilat jangan pula kita lupa kewajipan yang perlu ditunaikan pada bulan yang mulia ini.

Lama rasanya tidak mengemaskini laman Sotong Mania. Kesibukan sering menjadi pembatas pada hasrat Abe Din. Walau bagaimanapun, pada kesempatan ini Abe Din akan menerangkan teknik atau kaedah mengilat secara balingan ke tepi.

Sotong lebih suka berada di bahagian bawah
berbanding di kawasan tebing batu

Lokasi batuan terutamanya batu yang ditambak menggambarkan kedudukan susunan batu yang mencerun ke bawah. Ini bermaksud jig cepat sampai pada struktur sebaik sahaja jig dilontar. Sotong selalunya berada pada kedudukan antara batuan dan pasir. Pada ketika dan keadaan tertentu, sotong akan naik selari dengan kecerunan batuan. Pengilat perlu cuba menjangkakan kedudukan dan lokasi sotong bermain.

Balingan ke tepi boleh dilakukan dalam tiga keadaan iaitu melalui kawasan batu ke kawasan batu, kawasan pantai ke kawasan batu dan dari bot ke kawasan batu. Risiko yang paling besar jika anda menggunakan kaedah ini ialah tersangkut. Ramai pengilat sukar untuk mengagak atau menjangka bila keadaan yang sesuai untuk menarik dan menghenjut jig.

Contoh : Balingan dari tepi ke tepi

Secara umumnya, balingan ke tepi akan mendedahkan jig pengilat ke kawasan yang lebih cetek terlebih dahulu kemudian ke kawasan dalam. Jika tidak kena cara, balingan boleh tersasar ke kawasan atas batu atau kawasan pulau. Berikut diterangkan dua teknik mengilat secara balingan ke tepi :

Contoh 1-Teknik menghenjut


Teknik di atas agak sukar untuk digayakan. Selalunya hanya pengilat yang mahir sahaja dapat menggayakan teknik ini dengan jayanya. Halangan utama ialah jig tersangkut di celah-celah batu. Bagi pengilat baru, gunakan jig murah bagi menduga kedalaman dan kedudukan batu. Apabila telah pasti, anda boleh menggunakan jig yang lebih mahal. Pengilat mahir juga kerap tertipu dengan kedalaman dan kedudukan sebenar batu sebaik sahaja air bergerak surut.


Contoh 2- Teknik tarikan lurus


Teknik jenis di atas lebih mudah untuk digayakan. Walaubagaimanapun tiada jaminan bagi risiko jig tersangkut. Pergerakan air sedang surut selalu membuatkan pengilat tersalah percaturan. Sebaiknya gunakan jig yang murah bagi menduga lokasi dan kedudukan batuan. Teknik ini mengunakan tarikan lurus dan sekata tanpa menghenjut.

Halangan utama teknik pancingan ke tepi ialah tersangkut. Jig mahal yang tersangkut akan merugikan pengilat. Jika jig murah digunakan, kemungkinan risiko sotong terlepas adalah tinggi. Pengilat kerap berada di dalam keadaan dilema. Percaturan dan semangat cuba jaya perlu dijadikan sandaran oleh pengilat. Dengan kata lain, berani untuk mencuba.

Risiko kedua menggunakan teknik ini ialah ikan pemangsa. Ikan pemangsa seperti kerapu, tetanda dan siakap merah kerap menyambar jig. Ikan-ikan berkenaan selalu bersembunyi di celah-celah batu dan bersedia untuk melakukan serang hendap. Jika bernasib baik anda akan menaikkan ikan dengan hanya menggunakan jig sotong.

Abe Din sendiri telah beberapa kali menaikkan kerapu menggunakan cara ini. Apa yang perlu dilakukan jika jig disambar ikan ialah memastikan tali sentiasa tegang sambil memusing kekili. Jika drag terlalu longgar, ikan akan membawa jig lari sambil menyelinap ke bawah batu.

Sehingga berjumpa lagi. Selamat berpuasa-Abe Din

No comments:

Post a Comment

Blogger Pancing