"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

09 August 2010

Mengilat Di Pantai III

Salam untuk semua dan selamat menjalani ibadah puasa bagi yang beragama Islam. Semoga mendapat keredhaan dan keberkatan dari-Nya.

Pada kesempatan ini, Abe Din akan menyambung perbincangan tentang ilmu mengilat sotong mabang di kawasan pantai. Untuk pengetahuan semua, aktiviti mengilat di waktu siang dan malam mempunyai cara dan kaedah yang berbeza. Ada diantara pengilat sotong mabang lebih cenderung mengilat di waktu siang. Mengilat di waktu siang ada kelebihannya yang tersendiri termasuklah peluang memilih tempat yang paling baik, dapat melihat kehadiran sotong dan mengelak candat daripada tersangkut.

Mengilat pada waktu malam pula lebih mencabar di mana pengilat sotong perlu bergantung sepenuhnya kepada naluri dan pengalaman. Umum mengetahui bahawa mengilat di waktu malam di kawasan pesisir pantai selalu membuahkan hasil jika keadaan air dan cuaca sesuai. Sotong lebih mudah diperolehi di waktu malam dan saiznya lebih besar.

Anda perlu membezakan aktiviti mengilat di kawasan pantai dan unjam. Mengilat di kawasan unjam tidak banyak dipengaruhi oleh waktu siang atau malam kerana kawasan berkenaan merupakan rumah tumpangan sotong mabang di laut terbuka. Ini bermaksud sotong pelbagai saiz mudah ditangkap di kawasan unjam dan tentunya saiznya lebih besar dari kawasan pantai.

Perbincangan kali ini akan lebih tertumpu kepada pancingan malam dan cara-cara mengesan kehadiran sotong mabang di kawasan persisir pantai. Ramai pengilat sotong pulang hampa kerana gagal mengesan beberapa petunjuk semulajadi tentang kehadiran sotong. Dengan pemahaman kepada petunjuk tersebut, Abe Din yakin hasil tangkapan dapat ditingkatkan.

1-Kewujudan Tulang Sotong Katak
Tulang sotong katak terdiri dari kepingan kalsium yang agak tebal dan rapuh. Selepas ombak besar semakin teduh dan air agak surut, kita mudah untuk melihat tulang sotong ini berselerak di kawasan pesisir pantai. Fenomena ini hanya boleh dilihat pada bulan dan musim tertentu sahaja. Kehadiran tulang sotong menunjukkan jumlah sotong yang mati dan dihanyutkan ke kawasan pantai. Kewujudan tulang sotong ini juga bermaksud bahawa sotong-sotong katak telah menghampiri kawasan pesisir pantai terutamanya kawasan pantai berbatu. Pada ketika ini peluang untuk mendapatkan sotong katak agak cerah.

Tulang sotong katak berwarna putih mudah dilihat jika disuluh

2-Jejak Kaki Pengilat
Jika kawasan berkenaan sering menjadi tumpuan pengilat sotong, petunjuk ini dapat membantu pengilat mengesan kedudukan sotong. Sotong selalu berkumpul di kawasan-kawasan tertentu bagi tujuan mengawan, bertelur, mencari makanan dan perlindungan. Kadang-kadang kita boleh melihat pengilat yang baru sampai terus mengilat di sesuatu kawasan tertentu. Ini bermaksud, pengilat berkenaan biasa memperolehi sotong di kawasan berkenaan. Jika anda sampai lewat, kesan kewujudan tapak kaki di sepanjang pantai kawasan mengilat. Cuba buat balingan di kawasan yang paling banyak menunjukkan kesan tapak kaki.

3-Kehadiran Dakwat Sotong
Dakwat sotong yang tertinggal di kawasan pantai bercorak memanjang. Ini kerana sotong yang ditarik ke pantai akan memancutkan dakwatnya sebaik sahaja badannya mengenai pasir yang tiada air. Dakwat sotong di kawasan batuan pula akan menunjukkan pola setempat dan membulat. Situasi ini terjadi demikian kerana, pengilat di kawasan batuan akan mengangkat dan meletakkan sotong yang ditangkap pada tempat tertentu di atas batu manakala di pantai pengilat lebih cenderung menarik sambil mengheret sotong berkenaan. Saiz sotong yang berjaya dinaikkan boleh diagak dengan melihat kepada panjang dan saiz dakwat manakala jumlah sotong yang dinaikkan boleh diagak dengan melihat jumlah jaluran dakwat.

4-Kehadiran Ketam Angin
Ada masa dan ketikanya ketam angin hadir dalam jumlah yang banyak ketika ombak semakin teduh dan air laut perlahan. Ketam ini boleh dilihat bermain dan berkejaran di kawasan pantai dan kerap berlari masuk ke kawasan air laut. Kekerapan ketam masuk ke laut dan berlari semula ke kawasan pasir memberi petunjuk kehadiran sotong bersaiz besar. Ketam angin merupakan salah satu makanan sotong mabang. Sotong selalunya akan berada di kawasan gigi air sambil menyamar dan bersedia menyerang hendap ketam yang berlari masuk ke air. Pengilat di nasihatkan pembaling jig dengan tarikan perlahan dalam keadaan duduk. Jangan bermain-main dengan cahaya lampu suluh kerana ia akan menakutkan sotong.

Kehadiran ketam angin akan menarik perhatian
sotong bersaiz besar



Kedua-dua gambar di atas menunjukkan hasil seni ketam angin
ketika mencari makanan yang terdapat di dalam pasir pantai.


5-Kehadiran Ikan-ikan bersaiz Kecil
Ikan-ikan bersaiz kecil selalu bermain di kawasan tepi pantai ketika waktu malam. Kita boleh mengesan kehadiran kumpulan ikan ini dengan cara membuat suluhan rawak menggunakan lampu suluh sebelum aktiviti mengilat dilakukan. Jika terdapat kumpulan ikan, beberapa lompatan dan larian di kawasan atas air boleh dilihat. Pada ketika itu, padamkan lampu dan buat balingan jig merentasi kumpulan ikan berkenaan dan tarik secara perlahan. Kita juga boleh membaling jig di kawasan tepi kumpulan ikan berkenaan. Kehadiran kumpulan ikan kecil akan menarik sotong bagi membuat serang hendap. Jika bernasib baik, jig kita akan melalui kawasan sotong yang sedang dalam keadaan sedia. Sifat sotong yang garang menyebabkan jig disambar dalam masa yang cukup singkat.

6-Kehadiran Ikan Besar
Kehadiran ikan bersaiz besar seperti todak dan kekacang juga boleh dikesan menggunakan teknik suluhan rawak. Kadangkala ikan berkenaan melompat dan menyambar ikan kecil dan sotong di kawasan permukaan air. Jika anda dapat mengesan petunjuk ini, Abe Din nasihatkan agar anda berpindah tempat. Kehadiran ikan akan menyebabkan sotong turun ke dasar dan menjauhi pantai serta menyorok di struktur dalam laut seperti batu dan karang. Peluang untuk mendapatkan sotong pada ketika ini cukup tipis.

Jika anda tidak berhasrat untuk berpindah, anda perlu menghalau ikan-ikan berkenaan terlebih dahulu dengan cara menyuluh rawak berterusan. Anda juga perlu berhati-hati kerana ikan seperti todak yang takut dan terkejut akan melompat ke udara serta berenang menegak sambil menuju ke arah cahaya lampu.

7-Kehadiran Cahaya Dalam Air
Pada masa-masa tertentu, kita akan melihat kehadiran beberapa cahaya seakan-akan biru muda dan putih. Cahaya ini akan menyala 2 atau 3 kali kemudian berhenti. Beberapa minit kemudian ia akan menyala lagi di tempat lain. Cahaya berkenaan adalah cahaya yang dihasilkan dari tubuh sotong mabang. Cahaya berkenaan selalunya akan terhasil ketika ritual mengawan.

Saiz cahaya mengambarkan saiz sotong berkenaan. Cahaya yang lebih terang menunjukkan kedudukan sotong dipermukaan manakala cahaya samar menunjukkan sotong berada jauh ke dasar pantai.

Seorang rakan Sotong Mania memberitahu bahawa sotong tidak akan menyambar jig ketika bercahaya berkemungkinan kerana sibuk menarik perhatian pasangan atau bertelur. Kadangkala kita dapat melihat cahaya perbagai saiz di merata-rata tempat. Jika ini terjadi kepada anda, baling jig merentasi kumpulan cahaya berkenaan dan tarik secara perlahan dalam posisi duduk. Sotong yang tidak bercahaya selalunya akan menarik jig.

Jika cahaya bersaiz besar yang anda lihat menyala setempat dan peredarannya agak lambat, maka cahaya berkenaan dikeluarkan oleh obor-obor. Pengalaman akan mengajar anda untuk membezakan antara cahaya sotong mabang dan cahaya dari obor-obor.

Penutup
Semua petua di atas adalah dari pengalaman Abe Din yang hanya menjadi tajuk perbualan di antara rakan terdekat sahaja. Semoga post kali ini akan memberi manfaat kepada peminat-peminat Blog Sotong Mania. Abe Din juga sangat berharap agar petua ini dapat disebarluaskan kepada semua rakan-rakan pengilat lain agar aktiviti mengilat sotong mampu berada sebaris dengan aktiviti-aktiviti pancingan yang lain-Abe Din.

No comments:

Post a Comment

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing