PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

17 November 2010

Amaran Tengkujuh


"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapatnya tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) : "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka".
(Ali Imran : 190-191)




Salam untuk semua peminat Sotong Mania.
Sudah lama rasanya Abe Din tidak update. Kesibukan membataskan usaha meneruskan penyampaian maklumat kepada semua.

Alhamdulillah, kali ini Abe Din ingin menyelitkan sedikit panduan dan pesanan kepada semua pemancing dan pengilat sotong. Selepas post terakhir, sudah beberapa kali aktiviti mengilat dilakukan di lokasi-lokasi yang kerap dikunjungi Abe Din.

Hasil sepanjang bulan Oktober agak kurang. Keadaan ini disebabkan kehadiran hujan yang kerap pada sebelah malam dan membataskan pergerakan pengilat-pengilat sotong. Hujan yang kerap menyebabkan keadaan air kawasan pesisir pantai menjadi sedikit keruh. Kualiti air menyebabkan kehadiran sotong ke kawasan pesisir sedikit merosot.

Bahaya : Situasi Biasa Musim Tengkujuh

Kekurangan tangkapan juga dipengaruhi oleh keadaaan air laut yang mula bergelora kesan daripada ribut yang melanda Filipina dan Taiwan. Kehadiran ombak besar menyukarkan pemancing untuk menghampiri kawasan batuan dan pantai. Pada penghujung Oktober, hanya sedikit sotong dapat dijerat.

Pemandangan Biasa Di Laut

Bagi mereka yang tinggal di kawasan pantai, mungkin biasa melihat burung camar yang terbang dalam bentuk "V" menghala ke kawasan daratan. Itu merupakan satu petanda semulajadi kehadiran angin dan laut bergelora. Burung camar biasanya berhenti rehat pada pelampung-pelampung unjam di laut. Kehadiran ombak dan angin menyebabkan kedudukan pelampung tidak stabil. Keadaan ekstrim menyebabkan burung camar berpindah ke kawasan daratan. Burung camar selalunya lebih dahulu menyedari kehadiran ombak dan gelombang. Jika anda melihat kumpulan burung camar menuju ke daratan ia adalah tanda bahawa angin, ombak dan gelombang akan tiba tidak lama lagi.

Memasuki bulan November, adalah masa yang paling tidak sesuai untuk aktiviti pancingan sotong. Bot nelayan dan bot pelancongan juga banyak yang tidak ke laut serta mengantung operasi buat seketika. Kehadiran ombak yang tinggi dalam anggaran 4.5 meter di Kelantan dan Terengganu sememangnya boleh membahayakan penumpang bot. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga bulan Mac 2012. Sotong pula dijangka akan hadir semula di kawasan pesisir pantai menjelang bulan April 2012.

Bagi pengilat-pengilat hardcore sotong mabang, diberikan beberapa panduan jika anda masih berhajat untuk meneruskan aktiviti pancingan sotong mabang. Pertama sekali anda perlu tahu bahawa pada musim tengkujuh kehadiran sotong sangat merosot. Kehadiran ombak besar menyebabkan sotong-sotong akan mati terutama jika kualiti air menjadi keruh dalam masa yang lama. Antara sotong-sotong yang mudah mati termasuklah sotong katak yang lebih bersifat pasif dan lambat bergerak. Tulang-tulang sotong katak akan mudah dijumpai di kawasan pesisir pantai apabila ombak semakin reda.

Mengiurkan : Suasana Sesuai Bagi Pancingan Pesisir

Sotong Torak pula akan berpindah ke kawasan tengah laut dan berada di kawasan dalam berlurah yang sedikit aman daripada hentaman gelombang. Umum mengetahui sotong torak hanya menghampiri kawasan beting pasir pesisir pantai bagi tujuan bertelur.

Sotong jarum dan mabang pula berpindah ke kawasan-kawasan pulau yang terlindung dan terdapat batu karang yang banyak. Kawasan yang sesuai adalah kawasan pulau berbatu karang dan berteluk. Pada musim tengkujuh, mudah untuk menjerat sotong di kawasan begini.

Kawasan Peranginan Yang Terlindung

Jika rajin anda juga boleh mencuba nasib dengan meninjau kawasan yang biasa anda mengilat sotong. Abe Din syorkan lawatan dilakukan pada waktu pagi kerana pada waktu begini selalunya ombak akan teduh seketika sehingga waktu tengahari. Itupun kalau anda bernasib baik dan tiada ombak besar yang menghempas pantai.

Kerana minat semua boleh jadi, tetapi Abe Din nasihatkan kepada semua pengilat sotong agar berehat seketika sehingga April tahun hadapan. Sebagai gantinya, cuba cari rezeki di kawasan sungai dan kuala-kuala yang sedikit tenang. Pada ketika ini, ikan siakap putih dan merah ganas melarikan umpan. Udang galah juga galak memakan umpan dan kadang kala ia hanyut sehingga ke kuala.

Jangan biarkan minat memudaratkan kita. Rezeki ada di mana-mana. Keikhlasan adalah kunci kepada keberkatan dan kerahmatan. Selamat memancing-Abe Din
(Paparan adalah berdasarkan pengalaman semata-mata. Harap maklum)

No comments:

Post a Comment

Blogger Pancing