"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

12 July 2014

Bahaya Tu Boh!

Salam Ramadhan untuk semua pengunjung beragama Islam. Selamat datang kepada semua pelawat. Baru-baru ini ambe mendapat kiriman gambar WhatsApp dari Zulkifly... sabahat tegar sotonglaut di Dungun. Gambar tentang aktiviti mencandat di Tanjung Jara, Dungun. 

Gambar dihantar berkaitan satu kaedah mencandat yang semakin popular iaitu mencandat secara mengharung atau mencandat dalam air. Terima kasih kepada sahabat kita yang sudi berkongsi maklumat yang boleh ambe paparkan di sini untuk dikongsi dan diambil pengajaran. Memang tujuan utama pembinaan blog sotonglaut adalah untuk memberi pendidikan dan pengetahuan kepada semua pencandat baru dan lama mengenai kaedah pancingan sotong yang selamat dan berkesan. Ambe tidak akan berhenti daripada terus berkongsi ilmu dan pengetahuan sehingga seni pancingan sotong berjaya diangkat pada kedudukan yang baik di negara kita.



Kaedah Mencandat Dalam Air

Sebenarnya... kaedah mencandat secara mengharung ini telah lama dipraktik oleh pencandat di kawasan Pantai Timur. Suatu ketika dahulu ambe pernah melakukan kaedah ini dengan mengharung air laut sehingga ke paras dada untuk mencandat. Mengikut anggapan ketika itu... sotong besar paling banyak berada jauh ke tengah laut. Bari yang tiada bot untuk ke lokasi berkenaan, mereka memilih kaedah ini untuk mendapatkan hasil lebih lumayan.

Sebenarnya kaedah ini sangat bahaya kepada pencandat. Risiko lemas cukup tinggi. Jika ombak datang secara tiba-tiba, peluang untuk menyelamatkan diri sangat rendah. Mesin dan peralatan memancing juga lebih mudah terkena air masin dan cepat rosak. Jika pencandat tidak memakai kasut yang sesuai... risiko untuk disengat ikan depu yang beracun sangat tinggi. Duri ikan seperti ikan pari dan belangkas juga boleh menjadi ancaman kepada pencandat.

Malang tidak berbau, Baik beringat sebelum kena

Kebiasaannya, pencandat akan meletakkan sotong yang dipancing di dalam jaring atau bekas yang kemudiannya digantung pada pinggang. Sotong selalunya akan melepaskan dakwat hitam walaupun sudah mati. Dakwat ini selalu menarik perhatian ikan-ikan pemangsa seperti ikan jerung. Jerung yang kelaparan boleh bertindak secara agresif jika ia mengesan kehadiran makanan.

Semasa sotong cuba untuk dinaikkan, pancutan dakwatnya boleh mengenai mata pencandat. Peratus terkena dakwat di muka lebih tinggi disebabkan aras kedudukan muka pencandat hampir menyamai paras kedudukan sotong. Dakwat yang terkena mata boleh menyebabkan mata menjadi kabur dalam beberapa minit. Jika berlaku kecemasan ketika ini... tentu sukar untuk pencandat menyelamatkan diri.

Penggunaan lampu suluh untuk menyuluh umpan dan hasil tangkapan di tengah laut juga boleh mendedahkan tubuh pencandat kepada serangan mengejut ikan todak. Ikan todak yang terkejut boleh melukakan pencandat dan boleh juga membawa maut.

Ketika air jernih dan musim obor-obor, pencandat juga akan mudah terkena bisa dan disengat. Walaupun ada yang berkata sudah biasa dengan sengatan obor-obor, pencandat baru mungkin tidak biasa.... dan tentu akan menderita jika terkena. Jika candat pemancing terkena obor-obor dalam jarak yang dekat dan ketika cuba melepaskan obor-obor itu... percikan tubuhnya boleh mengenai mata pencandat. Bahaya sungguh... cakap boleh le. Kalau kena... silap-silap bersara terus.

Mencandat dari atas batu juga perlu berhati-hati

Mudah cerita... ambe nak nasihatkan pada semua pencandat yang masih mengamalkan kaedah ini.... berhentilah. Kaedah ini memang bahaya. Ingat sebelum kena.... jangan ingat kita sorang je kat dunia ni. Kita ada ibubapa, keluarga, anak-anak, saudara mara, rakan-rakan yang tentunya akan bersedih jika perkara yang tidak diingini berlaku kepada kita. Mencandatlah dengan selamat. Agama kita pun melarang menggunakan kaedah yang bahaya untuk mencari rezeki sedangkan ada kaedah lain yang lebih baik dan selamat. 

Berhentilah, sudah-sudah... cukuplah... tolong bagitau saing-saing lain yang masih sombong dan merasai dirinya cukup gagah dan kuat hinggakan tidak mahu mendengar nasihat orang lain. Beringatlah sebelum terkena. Terima kasih kepada En. Zul yang sudi menghantar gambar berkenaan bagi membantu Abe Din menulis untuk membantu sahabat-sahabat yang lain. Hingga berjumpa lagi. Selamat berpuasa-Abe Din


No comments:

Post a Comment

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing