"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

11 June 2010

Peranan Jig Cap

Jig cap sangat perlu bagi menjaga ketajaman mata kail jig

Jig cap atau penutup mata kail candat merupakan satu bahan yang digunakan bagi melindungi dan memelihara mata kail candat. Selalunya jig cap diperbuat daripada plastik yang berwarna terang. Ramai pencandat atau pengilat sotong tidak mengambil berat dalam penjagaan mata kail candat. Jig cap dicipta bagi melindungi mata kail candat semasa proses penyimpanan.

Disebabkan mata kail candat sangat tajam maka ia mudah tersangkut pada objek-objek lain seperti kusyen kereta, baju, seluar, plastik dan juga tali benang. Jika mata kail candat tersangkut semasa digunakan ia adalah lumrah tetapi jika mata kail candat tersangkut bukan pada masa kita beraksi ia sangat merugikan.

Penggunaan jig cap juga boleh mencegah tangan kita daripada terluka terkena mata kail candat. Pemancing yang tidak cermat selalu menyimpan pancingnya dalam keadaan ia mudah dicapai oleh kanak-kanak. Penggunaan jig cap dapat mengurangkan risiko berlakunya kecederaan disebabkan terkena mata kail candat.
Bagi pemancing yang tidak mempunyai jig cap seeloknya membuka dan menyimpan candat di dalam bekas berasingan jika ia tidak mahu digunakan lagi. Pemancing juga boleh membuat sendiri jig cap dengan menggunakan kotak mancis atau kotak plastik gula-gula. Tebuk lubang pada bahagian tengah di sebelah hujung bagi memasukkan leher mata kail candat.

Kumpulan jig Yamashita yang tidak mempunyai jig cap. Yamashita buntal merah putih dipadankan dengan jig cap dari jig jenis lain.

Jig cap tidak dijual secara berasingan tetapi kita boleh menempah di internet dalam jumlah yang banyak. Terdapat tiga saiz jig cap iaitu kecil, sederhana dan besar. Hanya sebilangan jenis candat dijual berserta dengan jig cap. Jika candat berkenaan telah rosak, jig cap berkenaan boleh digunakan bagi melindungi mata kail candat lain yang sama saiz. Tidak semestinya candat mahal sahaja disertakan dengan jig cap. Candat seperti Yamashita hanya dibungkus di dalam plastik berlabel tanpa jig cap. Begitu juga candat-candat berjenama yang lain yang kadang-kadang hanya diletakkan di dalam kotak sahaja.

Kebanyakan jig atau candat dijual di dalam kotak atau dibungkus dengan plastik tanpa jig cap.

Penyediaan jig cap boleh dijadikan satu opsyen apabila kita hendak membeli candat. Dalam keghairahan hendak mencandat jangan pula kita terlupa membuka cap berkenaan. Saya sendiri pernah terlupa untuk membuka cap yang menutup mata kail candat. Setelah tiga kali balingan, baru saya perasan bahawa jig cap belum dibuka. Kalau macam tu, mengilat seratus tahun sekalipun, sudah pasti sotong tidak akan dinaikkan.

Apa yang paling penting, kesedaran penggunaan jig cap perlu dipertingkat dan diperluaskan di kalangan pengilat dan pencandat sotong. Berpesanlah kepada rakan-rakan pengilat dan pencandat yang lain agar menggunakan jig cap. Ilmu yang baik jangan disembunyikan.-Abe Din

No comments:

Post a Comment

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing