"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

03 January 2016

Modifikasi Jig 1

Salam kunjungan untuk semua pengunjung dan hardcore eging sotong. Bulan Januari sotong masih belum datang ke Pantai Timur Semenanjung. Sementara menunggu sotong datang... ambe khaskan bulan Januari ini untuk membincangkan tentang modifikasi Jig. Terdapat 8 post yang akan di publish di blog sotonglaut khas untuk membincangkan teknik dan budaya modifikasi jig yang menjadi trend terkini pencandat-pencandat Jepun. Semua bahan yang digunakan semasa membincangkan tajuk modifikasi jig diperolehi daripada rakan-rakan facebook dari negara matahari terbit.


Memandangkan harga jig semakin mahal dan sotong pula semakin sukar ditipu... pencandat perlu lebih kreatif dalam mempelbagaikan gaya dan menampilan jig. Ambe sangat berharap apa yang ambe kongsikan di sini akan menjadi penjana idea untuk dikembangkan di kalangan pencandat di negara kita. Kongsi bersama idea-idea baru dan jangan kedekut kerana ia jelas menonjolkan sifat tamak di dalam diri anda.


Pen khas yang digunakan pencandat Jepun
 untuk mencorak jig.


Jig-jig yang dibuat solekan
menggunakan pen khas

 Satu contoh ubahsuai yang telah dibuat
Keseluruhan badan jig telah diwarnakan semula


Tujuan jig diubahsuai adalah untuk menambah keberkesanan jig menipu sotong. Jika anda kreatif.. jig murah juga mampu menandingi kemampuan jig yang mahal. Terdapat pelbagai kaedah dan cara yang digunakan oleh pencandat Jepun... sesetengahnya telah ambe publish dalam post-post terdahulu.

Asas utama ubahsuai jig adalah meniru dan cuba jaya. Meniru mengikut anggapan dan pengalaman serta mencuba keberkesanannya di lapangan. Mungkin keberkesanan jig yang diubahsuai berbeza mengikut tempat, cuaca, keadaan air dan jenis sotong. Jika anda berjaya menjumpai jig yang berkesan... berkongsi dengan pencandat lain. Dengan cara ini... hobi eging sotong akan lebih subur dan maju di negara kita.


Contoh ubahsuai menggunakan cat luminous


Kesan dari corak yang dibuat oleh cat luminous


Bahan yang terdapat di pasaran Jepun


Kerapkali ambe nyatakan bahawa keberkesanan sesuatu jig tidak terletak pada kecantikannya di mata manusia... tetapi pada naluri seekor sotong. Post pertama ini adalah bagi membuka minda anda untuk memahami bahawa pencandat tidak sepatutnya bertindak hanya sebagai  seorang penggunna sahaja tetapi boleh melangkah lebih jauh iaitu sebagai pengguna dan pengeluar yang kreatif.  Hasil kreativiti boleh dikongsi bersama pencandat-pencandat lain di luar sana. 

Salah satu sebab jig Jepun masih mampu bertahan sehingga kini adalah faktor inovasi dan R&D. Kreativiti pemancing Jepun sangat mengagumkan. Jig dari china pula berada pada kedudukan yang bertahan kerana keupayaan mereka hanya meniru dan bukannya mencari penemuan baru. Di Malaysia, terdapat nelayan-nelayan tradisional yang membuat sendiri jig bagi menangkap sotong. Sejak kebanjiran jig dari China dan Jepun... jig-jig tradisional semakin dilupakan. Mengapa perkara ini berlaku.. jawapan yang mudah, jig Jepun lebih cepat berevolusi berbanding jig kita. Kunci utama adalah kreativiti yang tiada penghujungnya.

Sesi pengenalan ini akan disusuli dengan post lain yang akan memberi idea kepada anda semua. Jangan ketinggalan untuk mengikuti. Sehingga berjumpa lagi-Abe Din
Read more >>

02 January 2016

Siput Sedut Masak Lemak Keladi

Salam kunjungan untuk semua pengunjung ke blog sotonglaut. Selamat Tahun baru... semoga tahun 2016 ini lebih banyak kejayaan akan muncul di dalam kehidupan kita. Diharap juga azam tahun 2015 telah dapat dicapai dengan jayanya.

Post awal tahun baru ini dibuka dengan satu resipi istimewa iaitu Siput Sedut Masak Lemak Keladi. Kebetulan ambe memang penggemar siput sedut.... Hello siput sedut yer bukan siput b---. Sejak kecil memang suka makan siput ni. Apabila dah berkeluarga... satu family tak makan siput maka terpaksalah berpuasa makan siput. Kalau makan pun di kedai je... tapi segan makan kat kedai ni...orang semua pandang pelik je. Baru-baru ini kebetulan balik kampung di Negeri Sembilan, terjumpa siput sedut dijual di Pasar Tani Bandar Baru Serting dan tanpa berfikir panjang terus beli sekilo... mahal juga.


Rupa siput yang sudah dibersihkan


Ramas bersama daun serai
Dah siap buang daun tu... jangan korang masak


Bawa balik rumah minta mak tolong masak. Nampaknya merasalah makan siput sedut. Ambe memang berada di dapur sambil memerhati emak masak siput sedut.. di sini ambe ingin berkongsi teknik dan cara siput sedut dimasak.

Kebiasaanya siput sedut banyak dijumpai di kawasan paya bakau yang berselut. Saiz siput semakin kecil jika hendak dibandingkan saiz pada masa dahulu. Mungkin disebabkan pencemaran air laut yang memberi kesan kepada tumbesaran siput ini. Selalunya siput ini dijual dalam keadaan hidup. Mudah untuk mengenal pasti siput hidup dengan melihat kepala dan sesungutnya yang berwarna kuning kemerahan sentiasa menjulur keluar. Jika hendak beli siput sedut lebih baik korang beli siput yang masih hidup. Ambe nasihat le... kalau korang nak beli yang mati jugak... lantak korang lah. Siput korang bukan siput aku.


Kelapa parut untuk diambil santan
Hampas boleh guna bersihkan kulit siput
Caranya gaul dan ramas bersama siput
Setelah selesai... buang hampas tu.


Siput yang memikat hati penggemarnya


Siput yang dibawa balik hendaklah dibersihkan terlebih dahulu. Emak di kampung biasa menggunakan daun serai. Daun serai dipotong dan diramas bersama siput sedut. Kulit siput yang kotor dan berlumpur akan menjadi bersih selepas diramas bersama daun serai. Siput kemudiannya dibasuh dengan air bersih. 

Seterusnya, siput hendaklah dipotong di bahagian hujung menggunakan parang. Kalau korang tak potong ekor dia... jangan harap korang boleh makan isinya. Tujuan ekor dipotong adalah untuk memudahkan proses menyedut isi siput ini. (Mungkin disebabkan siput ini dimakan dengan cara menyedut... maka nama siput ini dinamakan siput sedut). Selepas semua hujung siput dipotong, bersihkan siput sekali lagi. Boleh juga korang gaulkan dengan hampas kelapa bagi membersihkan sisa-sisa yang masih tinggal pada kulit siput.


Siput yang sedia untuk dimasak
mengikut citarasa anda


Rupa paras siput yang selesai disunatkan


Ready untuk proses memasak
Campurkan bahan kisar bersama siput


Kupas bawang putih, bawang merah, kunyit dan cili api. Tumbuk atau kisar semua bahan seperti gambar di atas. Potong batang keladi dan bersihkan. Masukan siput, bahan kisar dan santan.... Kaedah memasak seperti memasak, masak lemak cili padi. Selepas masakan mula berasap masukkan batang keladi dan garam secukup rasa. Masak sehingga mendidih dan angkat untuk dihidangkan.

Biasanya ia dimakan bersama dengan nasi putih. Cara memakan siput sedut adalan dengan menyedut di bahagian hadapan siput bukan bahagian yang dipotong. Sedut beberapa kali sehingga isinya keluar. Isi di bahagian depan biasanya terdapat satu kepingan seakan-akan plastik bulat berwarna coklat kehitaman. Jangan makan pula... kalau termakan pun tidak memudaratkan. Kulit siput jangan makan dengan nasi pula... buang jer.


Nampak biasa jer batang keladi ni
Rasanya... fuhhh.. sedap giler


Sedap sangat makan lupa nak amik gambar
Tinggal separuh baru teringat ... hehe


Keistimewaan resipi ini bagi ambe ialah rasa siput yang asli bersama batang keladi yang lembut. Makan tengahari di kampung memang menyelerakan. Siput yang tak  habis... terus packing dan bawa balik ke Terengganu. Sampai di Terengganu... panas sekali lagi untuk hidangan makan malam. Walaupun ambe seorang sahaja yang makan makanan eksotik ni... ianya cukup menyelerakan. Kalau ada ayam dengan daging... memang tolak tepi. Siput sedut tetap menjadi pilihan. Bagi yang belum mencuba... bila lagi nak test. Restoran-restoran di Perak dan Kedah banyak jual siput sedut ni. Oppss... siput ni halal yer.


Selamat dimakan... setakat ni tak pernah lagi sakit perut
Buncit perut ada ler. Sedapppp...


Kalau dah gila kat siput ni nanti... korang boleh cari sendiri. Siput sedut biasa dijumpai di batang dan akar pokok bakau. Memang mudah nak jumpa. Kalau di tepi tempat orang ramai, jangan harap nak jumpa... sure kena kebas kat orang dulu. Nak yang besar, kena naik sampan menyusuri paya bakau. Kalau jumpa yang kecil tu.. jangan ambil...biar dia besar dulu. Hati-hati... Risiko utama mencari siput ini ialah sang ular. Spesies ni memang tak makan saman. Jangan dok asyik kutip siput tak sedar ular ada atas kepala. Kalau korang ni jenis penakut dan tak reti berenang lebih baik beli je... mahal pun bayar jer... jangan merungut. Sehingga berjumpa lagi. Selamat menyedut siput sedut. Bye-Abe Din.

Read more >>

29 December 2015

Kenapa Jig Udang?

Salam kunjungan untuk semua... pada post kali ini, ambe hendak membincangkan tentang penggunaan meluas jig udang bagi menipu sotong mengabang dan beberapa spesies sotong yang lain. Persoalan yang mungkin jarang orang fikirkan kenapa jig udang menjadi pilihan... kenapa rekabentuk lain tidak begitu efektif?

Pada post terdahulu pernah ambe kupas berkaitan penciptaan awal jig udang di negara Jepun yang menggunakan kayu, api, bulu dan mata jig handmade. Penciptaan dahulu mula berevolusi dan menjadi asas ikutan jig-jig zaman moden. Jig-jig yang terkini ditambah pelbagai komponen tambahan seperti kaki udang, kain, pemberat dan kepelbagaian corak. 

Penggunaan kain mula berevolusi daripada kain biasa, plastik berkilat, UV dan yang terkini warm jacket. Bahan bagi membuat badan jig bermula dari kayu, hard plastic, hollow plastic, PVC dan plastik yang ringan. 


Jig yang meniru corak ikan Nemo "Clown Fish"

Jig yang berkesan adalah jig yang mampu menipu paling hampir dengan diet sotong seperti udang dan ikan. Semasa kita memilih jig yang hendak digunakan... kecantikan bukan ukuran utama kerana kecantikan jig bagi pandangan kita adalah berbeza dengan pandangan seekor sotong. Corak dan warna pelbagai dicipta bagi disesuaikan dengan keadaan persekitaran habitat sotong pada masa-masa yang berlainan. Ini dilakukan selepas beberapa kali ujian dan kajian lapangan oleh pencipta dan pereka jig.


Jig yang mempunyai lapisan berbeza

Kadang-kadang jig mempunyai beberapa lapisan dimulai dengan kain di bahagian luar sekali, lapisan plastik berwarna, cat lumonius atau cat UV dan warna plastik badan jig itu sendiri yang berperanan memantul warna tertentu keluar dari badan jig menembusi kain bahagian luar. Warna-warna maya ini boleh dikesan dengan baik oleh sotong dan ikan dan sukar dilihat oleh mata kasar manusia. Keberkesanan jig boleh diuji di lapangan atau kawasan yang ada sotong. 

Cara renangan jig dan kadar tenggelam adalah faktor tambahan yang menjadikan sesuatu jig itu berkesan atau tidak. Ada pencandat yang menyatakan bahawa kadar jatuhan jig lebih penting daripada warna jig itu. Mungkin ada benarnya, kerana sotong tidak boleh mengejar jig yang jatuh atau ditarik dengan cepat kerana sotong mempunyai otot yang mengembang dan mengecut secara beritma. Contoh mudah adalah seperti seekor cicik rumah yang tidak mampu berlari berterusan tetapi kerap berhenti sebelum sampai ke destinasinya. Sotong juga bergerak dan kerap berhenti... oleh sebab itu jig perlu dimainkan secara henjutan bagi melambatkan jig sampai ke dasar. Jig yang mampu berada lama di kawasan pertengahan air ke bawah akan mendapat sambaran sotong yang lebih kerap berbanding jig yang cepat tenggelam ke dasar-Abe Din

Read more >>

Senjata Dari Sabah

Salam kunjungan untuk semua. Semoga semua sentiasa di dalam rahmat dari-Nya. Selamat menyambut perayaan hari Natal kepada semua sahabat beragama Kristian. Ketika post ini sedang diupdate.. hujan sudah mula berhenti di Terengganu tetapi kadang-kadang ada juga hujan renyai sekejap-sekejap. Igauan banjir besar masih belum nampak bayang. Semoga banjir tahun ini tidak menjadi. Nak memancing di pantai...laut semakin keruh dan bergelombang.. duduk rumah sahaja le jawabnya sambil membelek-belek senjata 2016.

Pada post kali ini ambe ingin berkongsi senjata bagi menawan sotong mengabang yang digunakan oleh Ikhwan semasa aktiviti eging di Sabah. Mungkin kita boleh berkongsi serba sedikit ilmu baru. Bagi pemancing di Sabah... nampak gayanya bolehlah mula mengikut jejak langkah Ikhwan untuk mencuba eging sotong memandangkan Sabah mempunyai banyak kawasan berpotensi untuk aktiviti ini. Diharap juga akan lahir lebih ramai lagi peminat eging di Sabah. Kalau ada sebarang pertanyaan boleh tanya Ikhwan. Boleh hantar E-mail kepada sotonglaut untuk dipanjangkan kepada Ikhwan. Kata orang... malu bertanya sesat jalan....dan bila dah tak sesat jangan kedekut ilmu sudah lah...




Jig Asuka, Yamashita dan Surecatch 
menjadi pilihan orang Sabah



Rod Expert Graphite 12-25lb



Reel: Shimano Stradic FJ 2500



Jig Asuka, Yamashita, Surecatch



Nampaknya di Sabah, jig-jig biasa sangat mendapat sambutan si lembut berbanding sotong di Pantai Timur Semenanjung yang begitu memilih. Dari apa yang dikongsikan oleh Ikhwan, kawasan pantai negeri Sabah memang sangat berpotensi untuk eging sotong mengabang. Rugi sekali jika warga Sabah tidak menggunakan peluang keemasan ini untuk menduga sang lembut di sana. Sotong bersaiz sederhana begitu mudah untuk ditangkap di kawasan tepi pantai sahaja. Jika kena teknik dan kaedah yang betul, hasil tangkapan tentu dapat ditingkatkan. Semuanya bermula dengan ilmu dan pengalaman. Belajar dari mereka yang berpengalaman dan sebarkan ilmu walaupun sedikit agar ia boleh memberi manfaat untuk semua. Diharap selepas ini akan ada lagi orang Sabah dan juga pencandat dari negeri lain yang menonjolkan diri dan tidak kedekut untuk berkongsi pengalaman di laman maya ini. Semoga berjumpa lagi-Abe Din
Read more >>

23 December 2015

Bingkisan Tamu: Sabah

Salam kunjungan untuk semua sahabat. Semoga anda sentiasa mendapat rahmat dari-Nya. Pada post kali ini... akan diperkenalkan seorang lagi personaliti hardcore sotong berasal dari Sabah, Negeri Di Bawah Bayu. Diberi nama Ikhwan bertugas dan tinggal di Johor. Ambe sangat berbesar hati kerana Ikhwan sudi berkongsi dan tidak kedekut ilmu dan pengalamannya mencandat si lembut di Sabah.  Beliau sempat menghantar beberapa gambar trip pendek di Sabah pada 6 dan 11 November 2015. Nampaknya... sotong masih banyak di Sabah walaupun sotong di Pantai Timur sudah bergerak menjauhi pantai disebabkan musim tengkujuh yang telah tiba. 

Lokasi trip ialah di Dataran Bengkoka, Teluk Marudu, Daerah Pitas, Sabah. Nampak macam boleh tahan juga saiz sotong yang ditangkap. Teringin juga nak pergi ke Sabah dan mencuba layanan sotong di sana... mungkin suatu hari nanti.




Saiz boleh tahan ditangkap Ikhwan



Lokasi trip di Sabah pada 6 dan 11 November



 
Lokasi yang indah dan menarik



Laut yang tenang dan sotong yang cantik




Saiz Yang Cukup Sesuai Untuk Lauk


Pada post akan datang ambe akan berkongsi peralatan dan jig yang digunakan oleh Ikhwan untuk menawan sotong-sotong Sabah. Ambe mengucapkan setinggi terima kasih kepada Ikhwan kerana sudi berkongsi dengan pengunjung Maya Sotonglaut. Semoga ramai lagi yang akan berkongsi dengan kita selepas ini.... Masih ramai lagi diluar sana yang hanya menyimpan mengalaman untuk diri sendiri dan enggan berkongsi dengan orang lain. Harap-harap kita akan ada wakil di setiap negeri untuk kita berkongsi info berkaitan eging sotong, keadaan air laut, cuaca dan umpan setempat. Semoga setiap perkongsian akan memberi manfaat kepada semua. Hingga berjumpa lagi-Abe Din.
Read more >>

Sotong Penamat 2015

Salam kunjungan untuk semua sahabat-sahabat sotonglaut. Petang ni baru balik dari bermesyuarat di Kuala Terengganu. Letih juga... lama dah gatal tangan nak update blog tetapi masih tak berkesempatan. Sibuk dengan kerja yang ntah bila nak habis... siap satu, datang yang baru. Malam ni baru rasa lega dan ada mood nak menaip.

Kali ini ambe nak paparkan beberapa keping gambar sotong terakhir yang ambe dapat sebelum musim tengkujuh. Mungkin sotong ni... tak sempat balik ke laut. Baru nak bersiap dah kena tangkap. Masa tangkapan pada malam 10 November 2015 iaitu pada malam sambutan perayaan hari Deepavali. Selepas malam tu... kunjungan demi kunjungan tidak langsung bersambut... balik tangan kosong je.


Kecil Si Hitam Manis


Jig Coklat Yang Masih Berbisa

Di Pantai Barat seperti di Terengganu, Kelantan dan Pahang bila tiba musim tengkujuh setiap hujung tahun, ombak besar mula datang dan untuk mendapatkan sotong pada ketika ini hampir mustahil kecuali di laut lepas atau di kawasan unjam. Jika ada kawasan terlindung dari ombak seperti pulau... kemungkinan untuk mendapatkan sotong secara landbase masih terbuka luas. Nampak gayanya terpaksalah kumpulan hardcore sotong berehat panjang atau menukar profesion kepada pemburuan ikan. 


Tahun Hadapan Berjumpa Lagi


Walaupun rasa gembira dapat sotong terakhir tetapi ada juga dukanya... candat coklat yang Cikgu Faisal bagi selamat bersemadi di dasar laut... candat killer yang semakin sukar untuk diperolehi di Pantai Timur. Tahun hadapan perancangan perlu lebih kemas dan tersusun. Sotong dijangka akan mula berkunjung ke Pesisir Pantai Timur menjelang bulan Mac atau April.

Buat masa ini... masa terluang digunakan sepenuhnya untuk membuat persiapan bagi menanti kunjungan sotong pada 2016. Hingga berjumpa lagi-Abe Din
Read more >>

20 October 2015

Sotong Goreng KFC

Selamat datang ke blog sotonglaut. Semoga semua sihat hendaknya. Baru-baru ini sempat ambe berjalan-jalan di sebuah pasar tani di bandar Chukai, Kemaman. Sambil meninjau-ninjau barang-barang yang dijual, mata terpandang kepada sebuah gerai yang menjual sotong goreng ala-ala ayam KFC.

Ambe dan rakan datang lebih dekat ke gerai berkenaan untuk melihat teknik masakannya. Apa yang ambe perhatikan, cara penyediaannya hampir menyerupai dengan cara ayam digoreng. Selepas beberapa minit, try tanya harga, RM8 seekor. Terus minta...

Ada dua perasa spicy dan biasa. Nampak memang sedap dan menyelerakan. Saing ambe tak sempat sampai rumah terus ngap. Kalau korang berpeluang ke Kemaman, jangan lupa singgah di sini... di Pasar Tani Chukai setiap Jumaat dan satu lagi lokasi di Pasar Malam Binjai. Memang sedap jika hendak dibandingkan dengan sotong goreng biasa yang mudah ditemui di Pantai Dungun dan Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu. Bagi ambe sotong yang digoreng di sini lebih power.


Tak sempat-sempat sampai rumah


Label yang tertera pada gerai


Pandangan pertama sudah menyelerakan


Minyak disejat dahulu sebelum dibungkus


Perasa biasa dan spicy


Teknik goreng menggunakan minyak yang banyak


Mari-mari, cuba rasa sekali..


Kalau korang datang kemaman, cuba-cubalah cari sotong goreng di pasar tani. Kalau tak jumpa juga, boleh cari ambe...hehe. Ambe belanja terus. kukui... Hingga jumpa lagi-Abe Din

Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing