"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

07 June 2011

Ranking Ke-3

Selamat bertemu semua sahabat maya yang sudi berkunjung ke blog buruk sotonglaut ni. Empat hari berada di kampung.. sungguh resah gelisah. Bukan tak suka balik kampung, cuma internet kat sana cukup slow. Nak tengok blog sendiri pun berjam-jam loading. Dah le tu keluar separuh je.. kejap putus-putus.

Malam ni baru sampai rumah. Bertolak dari kampung tercinta lebih kurang dalam pukul 2 petang... sampai rumah lebih kurang pukul 7.30. Fuhh.. letih gila. Semalam kawan pula call ajak cari sotong. Malam ni... apa lagi mesti gi punya. Gatal dah tangan ni nak pegang sotong.

Sebelum pergi mencandat, Abe Din update sikit berkaitan jig yang menduduki ranking ke-3 pada tahun 2010. Kalau korang nak cuba... boleh gi cari kat kedai pancing. Nama glamour... Couger. Nama penuh dia Couger 2.5 EGI Squid. Dikeluarkan dalam dua warna pink dan coklat. Saiz yang dijumpai di pasaran setakat ini hanya seberat 2.5 sahaja.


Kalau cerita tentang harga, di pasaran Terengganu lebih kurang RM6. Kalau dah biasa dengan tuan kedai dapat le RM4. Kalau kat Kepong Tackle lebih kurang RM2.20. Bukan semua kedai menjual jig ini kerana jig ini sudah pun mendapat status dinasour. Orang lama le katakan... tetapi masih berbisa menipu sotong. kih...kih.. Oppss.. lupa nak beritahu... jig ini dibuat di Jepun.



Berikut disenaraikan beberapa kelebihan jig:
1-Badan dari plastik: tahan lasak
2-Berat: Selaman dalam ke dasar
3-Jig cepat sampai ke dasar
4-Berkesan jika bulan mengambang
5-Harga murah
6-Mampu menarik perhatian sotong

Kelemahan jig yang dikesan:
1-Mudah tersangkut
2-Mata jig mudah tercabut
3-Mata kail jig mudah tercabut
4-Mata kail jig pendek
5-Mata kail jig kurang tajam
6-Mata kail jig mudah bengkok
7-Kurang berkesan semasa bulan gelap
8-Sotong mudah terlepas
9-Tidak menyimpan cahaya 

Kelebihan jig ini yang paling menarik perhatian Abe Din ialah ia dapat membuat renangan dasar dengan cukup baik. Selain hensem, tugas menangkap sotong kerapkali menghasilkan kejayaan. Rugi le kalau korang tak cuba. Pergi le cari cepat kat kedai sebelum kehabisan. Lepas artikel ni keluar.. mesti kaki sotong serbu kedai cari jig ni... jangan nyesal kalau abisss..


Jig ini paling sesuai dimainkan di kawasan pesisir pantai yang tiada atau kurang batu sebabnya jig ni cukup suka memeluk batu... tersangkut le tu. Cukup berkesan jika ada Sang bulan... bukan ikan bulan. Bulan akan memberi sedikit pantulan cahaya pada badan Couger.

Kenapa dia berada di ranking ke-3. Jawapannya senang je... kerana semasa diuji dia lebih banyak memerangkap sotong berbanding jig di ranking ke-4 dan tangkapannya kurang  sedikit dari jig yang berada di ranking ke-2... kui..kui..jangan tak caya lak. 


Moh gi cari dan test jig Couger ni. Semoga dapat sotong besar... tetapi awas...Kalau di tarik bapak sotong... korang jangan lawan macam tarik ikan.. slow sikit kerana mata Couger pendek.. sotong mudah terlepas. Caranya...korang lawan perlahan-lahan dan kurangkan sedikit tegangan tali. Bila dia letih... baru tarik perlahan-lahan. Lepas tu.. korang boleh buat apa yang korang nak dengan sotong berkenaan. Nak makan, goreng, jual, bagi jiran... jangan aniaya dia sudah.


Selamat mencandat.
Abe Din
Read more >>

03 June 2011

Ranking ke-4

Salam kepada semua pelawat dan blogger.

Esok, Abe Din bercadang hendak balik bercuti ke rumah family di Negeri Sembilan. Dah dua hari berulang-alik ke port mencandat mencari kalau-kalau ada sotong mabang barang sekilo dua sebagai buah tangan untuk dibawa balik ke kampung. Sememangnya rezeki ditangan-Nya. Setakat ini nampaknya sotong ada, cuma tidak begitu galak makan umpan. Bukan Abe Din seorang sahaja yang pulang hampa... semua pencandat di lokasi berkenaan juga menerimat nasib yang sama.

Sambil menulis entri baru ini, sambil Abe Din sempat menghantar SMS kepada Bahari ajak meninjau sotong pukul 9.30 malam nanti. Kalau ada rezeki.. boleh bawa balik kampung.. kalau tak dapat juga, beli le jawabnya. Maklumlah kampung Abe Din jauh dari laut.

Topik sebenar yang akan dibincangkan pada kali ini ialah berkenaan jig yang telah menduduki ranking ke-4 pada tahun 2010. Jig tersebut menggunakan label Seawood, CANDAK. Model :2.5NDX. Gambar jig tersebut adalah seperti di bawah.


Jig ini diimport oleh syarikat OCEANTAC SDN. BHD, Penang. Setakat ini hanya berat 2.5 sahaja yang Abe Din jumpa di pasaran. Hanya jig merah dengan perut putih sahaja yang dijual. Harga di Terengganu pada tahun lepas ialah di antara RM4-6. Setakat tarikh ini, Abe Din belum lagi menjumpai ia dijual di pasaran. Mungkin stok baru masih belum tiba di sini.

Di kalangan rakan-rakan Abe Din, kami lebih mengenali jig ini dengan panggilan klon Yamashita. Sebenarnya ia tidak ada kena mengena dengan jenama terkenal Yamashita. Nama klon Yamashita kami berikan kerana ia hampir menyerupai bentuk candat berkenaan dan mampu menyimpan cahaya dalam tempoh yang lama. Dari beberapa siri ujian pada tahun lepas, jig ini pernah mengatasi rekod tangkapan yang pernah dibuat oleh jig Yamashita.

Berikut disenaraikan beberapa kelebihan jig:
1-Bentuk yang seakan jig terkenal Yamashita
2-Mampu menyimpan cahaya dalam tempoh lama
3-Renangan yang stabil
4-Sesuai bagi aras pertengan dan atas air
5-Harga lebih murah
6-Boleh menarik perhatian sotong

Kelemahan jig yang dikesan:
1-Kain mudah terkoyak
2-Lambat tenggelam
3-Mata jig mudah tercabut
4-Mata kail jig mudah tercabut
5-Mata kail jig pendek
6-Mata kail jig kurang tajam
7-Mata kail jig mudah bengkok
8-Buatan sedikit kasar
9-Sotong mudah terlepas

Mungkin terdapat lagi beberapa kelemahan dan kekuatan jig klon berkenaan yang tidak dinyatakan di sini. Abe Din telah cuba memperbaiki ciri-ciri kelemahan yang terdapat pada jig ini. Hasil yang diperolehi cukup memuaskan dan jig ini mampu bersaing dengan jig-jig mahal yang lain. Jika umur panjang, cara pengubahsuaian jig ini akan Abe Din bongkar pada post-post yang akan datang.

Jig ini selalu Abe Din bawa bersama ketika mencandat dan akan digunakan jika jig-jig utama kurang menarik perhatian sotong. Kadang-kadang, Abe Din gunakan jig murah ini sebagai "regu" Yamashita yang betindak "memanggil" sotong. Sebaik sahaja Abe Din mengetahui kehadiran sotong ataupun ada sotong bersaiz besar berdekatan kawasan mencandat, jig klon ini akan ditukarkan dengan Yamashita sebenar. Dengan cara ini, kejayaan tangkapan dapat ditingkatkan.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi..
Abe Din
Read more >>

02 June 2011

Ranking Jig 2010

Salam kepada semua pengunjung sotonglaut.blogspot.com/
Pada kesempatan ini, tuan blog sekali lagi ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pelawat dan juga para follower yang sudi bertandang ke sini. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua yang sudi mengirimkan komen-komen yang membina.

Pada kali ini, Abe Din ingin memberikan panduan kepada semua pencandat baru dan lama dalam memilih jig atau candat yang sesuai bagi mencandat sotong mabang. Sandaran cadangan yang diberikan adalah berdasarkan jig-jig yang telah diguna dan diuji sepanjang tahun 2010 di kawasan pesisir pantai Terengganu.

Kemungkinan juga cadangan ini tidak sesuai diaplikasi di tempat lain kerana pemilihan candat itu sendiri dipengaruhi oleh banyak faktor-faktor dalaman dan luaran yang telah diulas oleh Abe Din di dalam post sebelum ini. Semoga apa yang dipaparkan kali ini dapat dimanfaatkan seadanya.

Pada post-post yang akan datang, Abe Din akan menyenaraikan beberapa jig utama yang pernah diuji dan digunakan untuk mencandat sotong mabang mengikut ranking. Ranking yang dimaksudkan ialah keberkesanannya menipu dan menjerat sotong mabang.

Jig Yamashita Sedia Untuk Bertarung

Nasib Jig.. Koyak Dibaham Sotong

Cuba anda bayangkan tahap keganasan sotong mabang. Terkoyak kain jig dikerjakannya. Ganas... ganas... Ada seorang rakan Abe Din, luka dan berdarah jari kerana terpegang mulut sotong yang masih hidup. Memang dasat gila..

Koleksi Jig Untuk 2011

Gambar di atas adalah beberapa koleksi Abe Din yang akan dipertaruhkan bagi mencandat mabang sepanjang 2011. Jika tiada jig yang tercabut, tersangkut, koyak, kena sambar ikan, kena curi, terjatuh, hilang... nampaknya boleh le tahan setahun. 

Harga pasaran jig semakin naik setiap tahun. Permintaan di Terengganu sangat tinggi terutama ketika menjelangnya musim sotong mabang. Walaupun begitu harga jig-jig di kawasan pantai barat, Selangor dan Kuala lumpur masih murah.

Koleksi Jig Yamashita Yang Baru Dibeli

Cuba anda teka berapakah harga 6 jig yamashita seperti gambar di atas. 4 jig bersaiz 2.0, manakala 2 lagi bersaiz 2.5. Harga bagi jig 2.0 ialah RM 20/ekor= RM80. Harga jig 2.5 ialah RM 22/ekor=RM44. Harga semua RM 124.00.. Wuhhh mahalnya.. Bagi individu yang terlalu berkira... jangan ceburi bidang ini, baik cari hobi lain je. Kalau orang pompuan... sah fikir 18 kali nak beli..

Oppsss, untuk pengetahuan semua harga berkenaan adalah harga lama atau harga tahun lepas. Harga sekarang bagi jig 2.0 sahaja mencecah RM23/ ekor dan jig 2.5 pula RM 25/ekor. Tahun depan, macamana? Nasib baik harga di pantai barat rendah sedikit. Bila dikira minyak dan tambang nak gi beli di KL... fikir..fikir.. baik beli kat Terengganu aje lah. Bior le mahal sikit pun. Adusss...

Peminat sotong mabang tetap ada dan semakin ramai. Jig pula semakin mahal. Ada seorang kawan Abe Din pergi mencandat dengan pelbagai candat mahal... pulang kosong kerana candatnya habis semua tersangkut pada batu. Rugi besar dia malam tu..

Bagi mengurangkan risiko kerugian, faktor ilmu adalah sangat penting. Carilah ilmu itu secara halal dan banyak bertanya agar kita tidak rugi. Jangan lupa lihat ranking candat 2010 yang akan dikeluarkan pada post akan datang. Mungkin ranking berkenaan masih releven untuk 2011. Siapa tahu..?

Sekian, jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

28 May 2011

Ribut Laut

Salam untuk semua pelawat dan pengunjung.
Dua hari lepas, Abe Din mengetengahkan isu berkaitan sotong dan pencemaran. Antara isi utama yang diulas ialah tentang kurangnya sotong yang ditangkap di beberapa kawasan di Terengganu, khususnya Kemaman.

Pagi tadi kawan baik Abe Din, Mat menelefon dan memberitahu dia baru pulang dari mencandat di perairan Kerteh. Misi dengan dua buah bot bersama belasan pencandat telah mengharung perairan Kerteh semalaman bagi mencandat sotong torak. Abe Din diberitahu, sotong torak cukup banyak bermain cahaya lampu di bawah bot mereka. Teruja sekejap... ini petanda baik, sotong sudah datang.

Apa yang menyedihkan, menurut rakan Abe Din... sotong tidak galak menyambar candat. Mereka hanya memperolehi beberapa kilogram sahaja. Apabila Abe Din bertanyakan tentang arus... Mat memberitahu tiada arus atau arus mati. Patutlah sotong tidak galak.. sotong torak memang kurang menyambar jig jika tiada arus, walaupun kita lihat beribu-ribu sotong bermain di bawah bot.


Lebih menyedihkan lagi, kumpulan berkenaan terpaksa berhadapan dengan ribut yang melanda. Bagi mereka yang belum ada pengalaman dilanda ribut laut... tentunya tidak begitu faham dengan saat getir yang dilalui. Abe Din sudah beberapa kali berhadapan dengan ribut. Bot dilambung ombak sehingga berkedudukan menegak dalam 45 hingga 50 darjah sebelum bot dihempas keras ke bawah.

Tong ikan dan kotak-kotak pancing bergerak ke hadapan dan ke belakang silih berganti. Habis semua doa dibaca hinggakan semua pencandat tertidur. Terjaga sahaja hari dah siang dan ribut sudah teduh. Beberapa tudung tong ikan hilang... peralatan lainnya berselerak ke sana sini. Semasa ribut.. kami peluk tiang bot kuat-kuat, ada juga yang memeluk tong air, tong ikan bersedia jika terjadi sesuatu yang tidak diingini.

Itulah asam garam yang perlu ditempuhi oleh pencandat dan nelayan-nelayan saban tahun. Pada musim begini, cuaca agak sukar untuk diramalkan. Jika ribut datang dari arah lautan, peluang untuk melarikan diri sedikit cerah. Itupun kalau bot yang dinaiki boleh bergerak laju. Jika ribut datang dari arah daratan seperti yang kerap berlaku pada musim ini, peluang untuk lari sedikit tipis.

Para nelayan tempatan memang sudah biasa berhadapan dengan ribut laut tetapi bagi pencandat biasa, saat berhadapan dengan ribut sebegini samalah seperti saat penentuan antara hidup dan mati. Sebab itulah ramai pencandat baru yang menghadapi situasi ini terus bersara sebaik sahaja naik ke daratan.



Apa yang akan anda lakukan jika anda berhadapan dengan ribut ketika mencandat atau memancing di tengah laut? Mungkin beberapa tips di bawah boleh membantu anda:

1-Bawa baju hujan
Jika ribut melanda, hujan boleh masuk sehingga ke dalam bot. Hujan di laut sangat sejuk hinggakan mereka yang gemukpun boleh menggigil.

2-Gunakan jaket keselamatan
Pastikan anda membawa dan paling penting memakai jaket keselamatan. Bimbang jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

3-Kemaskan peralatan
Pastikan tali, bekas pancing dan joran disusun dengan kemas dan tidak berselerak. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa tali pancing itu sendiri boleh membunuh

4-Tetapkan kedudukan
Duduk di tempat yang mudah untuk berpaut dan tidak terlalu berdekatan dengan bahagian tepi bot. Jangan berdiri dan menggunakan telefon bimbit jika ribut disertai dengan kilat dan guruh.

5-Dapatkan nasihat tekong bot
Tekong selalunya selamba je. kalau di Terengganu... rata-rata mereka sudah biasa berhadapan dengan ribut luar jangka ini.

6-Saling membantu
Mungkin ada di antara rakan anda baru pertama kali keluar mencandat... mereka mungkin  mabuk, kesejukan dan bermacam kerenah lagi. Jangan pentingkan diri.. hulurkan bantuan anda bagi meredakan kebimbangan mereka.


7-Berdoa
Berdoa adalah jalan terbaik memohon pertolonganNya dan menenangkan perasaan. Jika ribut nampak pelik sikit... salah seorang laungkan azan dengan kuat.

Sekian untuk kali ini. Selamat memancing dan mencandat. Utamakan keselamatan anda.
Abe Din
Read more >>

Petua Masakan

Salam untuk semua pengunjung sotonglaut.
Pada post kali ini, Abe Din akan bercerita sedikit tentang petua-petua masakan berasaskan sotong.

Memang tidak dinafikan sotong sudah menjadi salah satu makanan yang sangat digemari. Keadaan ini mungkin kerana sotong itu sendiri boleh dimasak dengan pelbagai cara dan gaya masakan yang merentasi budaya dan bangsa.

Mungkin anda tidak tahu, ada diantara peminat sotong suka memasak sotong bersama dengan kulitnya sekali. Ada juga yang gemar membuang kulit sotong terlebih dahulu sebelum dimasak. Kerja ini agak rumit sedikit jika tidak kena caranya. 

Ada beberapa petua yang digunakan untuk membuang kulit sotong. Sotong yang hendak dibuang kulitnya hendaklah direndam ke dalam air beras selama beberapa minit. Selepas itu, kulit sotong akan mudah ditanggalkan. Ada juga sotong yang direndam dan diramas bersama suratkhabar bagi mempercepatkan kulit sotong tertanggal. walaupun begitu, sotong baru lebih sukar untuk ditanggalkan kulitnya berbanding sotong lama.

Satu cara bagi melembutkan sotong yang liat seperti sotong mabang ialah dengan merendam sotong berkenaan di dalam abu hasil pembakaran. Kaedah ini juga selalu digunakan bagi melembutkan sotong kering selain daripada menggunakan air panas. Cara lain bagi melembutkan sotong mabang ada diterangkan di dalam post Abe Din sebelum ini.

Bagi menonjolkan kesegeran sotong yang dimasak, sotong boleh direndam beberapa minit ke dalam cuka makan. Sotong yang direndam ke dalam cuka akan kelihatan lebih segar dan cantik selepas dimasak.

Dengan menggunakan petua-petua yang biasa diamalkan oleh orang-orang tua dahulu, kerja memasak anda akan menjadi lebih mudah. Pelbagai jenis masakan juga boleh dibuat dari sotong yang telah siap dibersihkan.

Sotong masak pedas

Bagi surirumah, anda boleh mencuba masakan sotong pedas dan kari sotong yang Abe Din kutip dari internet ini. Berikut adalah link yang menerangkan cara-cara membuat masakan berkenaan:
http://priyasoshy.blogspot.com/2009/07/squidkanava-fry.html
http://www.salkkaaram.com/2009/03/koonthal-ularthu-squid-cooked-in.html

Semoga bahan yang dipaparkan pada kali ini sedikit sebanyak dapat membantu anda.
Selamat mencuba dan jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

27 May 2011

Sotong & Pencemaran

Salam kepada semua pengunjung yang bertandang ke blog sotonglaut.
Baru-baru ini, aktiviti mencandat sotong dihangatkan kembali dengan beberapa penganjuran antara kerajaan negeri dan pihak-pihak swasta. Antara yang paling hangat diperkatakan ialah Karnival Candat Sotong Harian Metro (HM) 2011.

Majlis pelancaran Bulan Candat Sotong Terengganu dan penyampaian hadiah Karnival Candat Sotong telah diadakan di Pulau Warisan, Kuala Terengganu. Penganjuran kali ini memang tidak sia-sia. Aktiviti mencandat sotong secara tidak langsung telah berjaya mempromosi Terengganu bukan sahaja di dalam Malaysia bahkan di luar negara.

Ada di antara kumpulan peserta menaikkan sotong sehingga 65.2 kilogram dan sotong terpanjang yang berjaya ditangkap ialah sepanjang 39.5 cm. Bagi mereka yang biasa melalui jalan pantai Dungun-Kuala Terengganu, suasana di laut nampak meriah dengan deretan lampu-lampu bot pencandat sotong. Sekali lihat seakan-akan pesta di laut.

Walaupun begitu, suasana begini tidak berlaku di semua tempat di Terengganu, contohnya di Kemaman. Tangkapan sotong di sini tidak menentu. Boleh dikatakan sedikit merosot. Abe Din yang kerap berada di kawasan pantai, agak kurang terlihat bot-bot candat menjalankan aktivitinya. Dari cerita mulut ke mulut nelayan tempatan menyatakan memang sotong tahun ini agak kurang.



Mungkin apa yang diperkatakan itu ada benarnya apabila dilihat sotong torak yang dijual di pasar juga agak kurang berbanding tahun-tahun lepas. Bukan sahaja sotong torak, sotong mabang juga sangat sedikit di tangkap di kawasan pesisir pantai. Masa yang sama tahun lepas adalah masa sotong mengamuk. Tangkapan cukup memuaskan. Tahun lepas, sotong jarum ditangkap di pantai Dungun dan Batu Rakit hanya dengan menggunakan tangan sahaja. Abe Din pula mencandat sotong torak besar hanya dari kawasan tepi pantai sahaja.

 

Fenomena kekurangan sotong seperti ini memang jarang berlaku. Apabila isu ini diutarakan kepada seorang rakan pencandat, dengan selamba beliau menjawab mungkin ia kesan tsunami di Jepun baru-baru ini.

Maklumat yang diperolehi di internet menyatakan bahawa saintis telah lama menggunakan sotong sebagai satu petunjuk bagi mengesan pencemaran dan perubahan dari segi suhu dan suaca di laut. Sotong dikatakan cukup sensitif terhadap sebarang perubahan sekitarnya. Jika terdapat perubahan mendadak, sotong akan berhijrah ke tempat lain. Dengan melihat kehadiran sotong di sesuatu tempat, saintis boleh meramalkan tentang keadaan persekitaran lokasi berkenaan.

Adakah dengan kurangnya kehadiran sotong di sesuatu kawasan itu memberi tanda bahawa kawasan berkenaan telah berlakunya pencemaran? Mungkinkah kawasan berkenaan tidak selamat lagi untuk aktiviti mencandat sotong? Bolehkah kita membuat ramalan liar mengaitkan kekurangan sotong dengan bencana yang bakal menimpa?

Sotong masih ada tetapi bilangan yang berjaya dicandat sedikit merosot. Diharapkan sotong akan mula menunjukkan diri pada bulan-bulan yang mendatang. Sama-samalah kita memanjatkan doa kepada Yang Maha Kuasa.

Hingga berjumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

22 May 2011

Trip Mabang 3-2011

Malam ni... rasa macam nak pergi mencandat sotong. Terus sms ajak Mat. Lama juga tunggu tiada balasan. ...mungkin Mat bertugas luar kawasan.

Puas tunggu... akhirnya nekad pergi sorang. Sampai ke lokasi pukul 10.30 malam. Hampir tempat parking... brother jaga penyu bagi signal.. minta tutup lampu kereta.  Katanya penyu naik dalam pukul 9 malam tadi. Belum turun lagi. Waa.. best. Malam ni leh tengok penyu telur. Telefon Samsung baru, ada kamera.. ishh .. tak sambar rasanya tengok penyu telur.

Lama lagi ke? Naik batu dulu cari sotong. Sampai di lokasi, ada seorang mamat sedang gewang sotong. Khabarnya dah dapat seekor sotong jarum dan baru terlepas seekor mabang besar. Ada peluang ni... Abe Din dan mamat tadi terus membaling candat memujuk si sotong agar makan sekali lagi.

Puas candat... sekor pun tak dapat.. letih ada le.. tiba-tiba, nampak brother-brother  jaga penyu sedang kutip telur. Wahhh... dah bertelur le tu.. Apa lagi.. Abe Din letak pancing.. terus pergi tempat penyu telur... letih wooo... 3 minit juga berlari.
  



Sampai di lokasi... nampak sekor "ibu penyu" telah selesai bertelur. Penyu berkenaan terperangkap dalam lubang yang digalinya di tepi tebing. Rasa macam nak angkat ke laut... jangan harap le... berat hampir satu tan. Mengikut kata brother jaga penyu.. penyu berkenaan adalah dari spesies penyu agar.

Telur penyu berkenaan dikumpul di dalam bekas dan dibawa ke pusat penetasan tidak jauh dari kawasan tersebut. Telur penyu akan ditetaskan dan anaknya akan dilepaskan semula ke laut. Mulia sungguh kerja diorang ni... kalau diorang tak ada... memang telur ni kena curi dek penyamun.

Kata brother jaga penyu lagi.. malam ni hanya seekor sahaja yang baru naik.  Mereka ni memang tak tidur. Sekejap-sekejap mereka ronda sepanjang pantai mencari kalau-kalau ada penyu yang mendarat. Ketika mencandat...Abe Din selalu melihat mereka meronda. Bukan semua orang sanggup buat kerja macam ni. Setakat Abe Din mencandat di sini... sudah beberapa jaga bertugas di sini silih berganti. Bagi yang tidak tahan... mesti berhenti kerja.


Selepas bertelur.... penyu akan mandi pasir seketika dan kemudian turun semula ke laut. Penyu sangat sensitif terhadap cahaya lampu. Penyu akan berpatah balik ke laut jika ia terlihat cahaya lampu atau ia rasa terganggu.

Gambar atas : Lubang yang digali oleh penyu
Gambar bawah : Kesan laluan penyu.. macam tayar lori

Papan tanda dipasang di simpang utama ke kawasan pantai bagi memberitahu pengunjung agar memadamkan lampu kenderaan supaya tidak menakutkan penyu yang hendak naik bertelur. Bagi pemancing yang kerap berkunjung ke sini.. sememangnya sudah arif dengan situasi berkenaan. Pungunjung baru perlu peka dan berhati-hati.. tambahan pula memandu dalam gelap sejauh 100 meter dari kawasan parking memang membahayakan. Tetapi kalau dah biasa.. ok je...

Selepas penyu kembali ke laut... Abe Din terus berkemas pulang. Ketika itu seorang lagi pencandat masuk ke batu tambak untuk mencandat. Bulan pula tengah mula mengambang. Rasa macam nak sambung mencandat... bila memikirkan esok kena bangun awal pergi kerja...niat dibatalkan. 

Tarikh trip mabang : 21-22 Mei 2011
Masa : 10.30pm-12.00am
Lokasi : Batu Tambak Kerteh.
Umpan : Klon Yamashita, Couger
Keadaan persekitaran : Bulan agak lewat, air bertahan
Bil pencandat : seorang diri
Hasil tangkapan : -Tiada-
Abe Din keluar dari lokasi mencandat lebih kurang pukul 12. Singgah kedai minum air kejap.. dahaga sangat. Sampai rumah pukul 1.30 pagi. Mandi... dan jeng..jeng.. terus update blog sotong ni.

Lepas siap ni... tido le apa lagi.. Esok nak pergi kerja.
Jumpa lagi.
Abe Din

Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing