PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

27 May 2011

Sotong & Pencemaran

Salam kepada semua pengunjung yang bertandang ke blog sotonglaut.
Baru-baru ini, aktiviti mencandat sotong dihangatkan kembali dengan beberapa penganjuran antara kerajaan negeri dan pihak-pihak swasta. Antara yang paling hangat diperkatakan ialah Karnival Candat Sotong Harian Metro (HM) 2011.

Majlis pelancaran Bulan Candat Sotong Terengganu dan penyampaian hadiah Karnival Candat Sotong telah diadakan di Pulau Warisan, Kuala Terengganu. Penganjuran kali ini memang tidak sia-sia. Aktiviti mencandat sotong secara tidak langsung telah berjaya mempromosi Terengganu bukan sahaja di dalam Malaysia bahkan di luar negara.

Ada di antara kumpulan peserta menaikkan sotong sehingga 65.2 kilogram dan sotong terpanjang yang berjaya ditangkap ialah sepanjang 39.5 cm. Bagi mereka yang biasa melalui jalan pantai Dungun-Kuala Terengganu, suasana di laut nampak meriah dengan deretan lampu-lampu bot pencandat sotong. Sekali lihat seakan-akan pesta di laut.

Walaupun begitu, suasana begini tidak berlaku di semua tempat di Terengganu, contohnya di Kemaman. Tangkapan sotong di sini tidak menentu. Boleh dikatakan sedikit merosot. Abe Din yang kerap berada di kawasan pantai, agak kurang terlihat bot-bot candat menjalankan aktivitinya. Dari cerita mulut ke mulut nelayan tempatan menyatakan memang sotong tahun ini agak kurang.



Mungkin apa yang diperkatakan itu ada benarnya apabila dilihat sotong torak yang dijual di pasar juga agak kurang berbanding tahun-tahun lepas. Bukan sahaja sotong torak, sotong mabang juga sangat sedikit di tangkap di kawasan pesisir pantai. Masa yang sama tahun lepas adalah masa sotong mengamuk. Tangkapan cukup memuaskan. Tahun lepas, sotong jarum ditangkap di pantai Dungun dan Batu Rakit hanya dengan menggunakan tangan sahaja. Abe Din pula mencandat sotong torak besar hanya dari kawasan tepi pantai sahaja.

 

Fenomena kekurangan sotong seperti ini memang jarang berlaku. Apabila isu ini diutarakan kepada seorang rakan pencandat, dengan selamba beliau menjawab mungkin ia kesan tsunami di Jepun baru-baru ini.

Maklumat yang diperolehi di internet menyatakan bahawa saintis telah lama menggunakan sotong sebagai satu petunjuk bagi mengesan pencemaran dan perubahan dari segi suhu dan suaca di laut. Sotong dikatakan cukup sensitif terhadap sebarang perubahan sekitarnya. Jika terdapat perubahan mendadak, sotong akan berhijrah ke tempat lain. Dengan melihat kehadiran sotong di sesuatu tempat, saintis boleh meramalkan tentang keadaan persekitaran lokasi berkenaan.

Adakah dengan kurangnya kehadiran sotong di sesuatu kawasan itu memberi tanda bahawa kawasan berkenaan telah berlakunya pencemaran? Mungkinkah kawasan berkenaan tidak selamat lagi untuk aktiviti mencandat sotong? Bolehkah kita membuat ramalan liar mengaitkan kekurangan sotong dengan bencana yang bakal menimpa?

Sotong masih ada tetapi bilangan yang berjaya dicandat sedikit merosot. Diharapkan sotong akan mula menunjukkan diri pada bulan-bulan yang mendatang. Sama-samalah kita memanjatkan doa kepada Yang Maha Kuasa.

Hingga berjumpa lagi.
Abe Din

No comments:

Post a Comment

Blogger Pancing