"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

05 March 2011

Resepi Pelik 1

Salam untuk semua pengikut dan pembaca blog sotonglaut.blogspot.com/
Tidak sabar rasanya menunggu masa dan ketika sotong menyerang kawasan pesisir pantai Terengganu. Dari tinjauan di beberapa kawasan pasar ikan, nampaknya sudah ada tanda-tanda kehadiran sotong mabang dan sotong katak di perairan Pantai Timur. Peralatan telah tersedia, hanya masa yang sesuai sahaja belum muncul.

Dalam kesibukan seharian, sempat juga Abe Din membuat sedikit carian internet dan berjumpa dengan beberapa artikel berkaitan tabiat makan sotong yang agak pelik di luar negara. Tabiat yang Abe Din maksudkan ialah memakan sotong kurita secara hidup-hidup. Mungkin agak asing di Malaysia tetapi di luar negara terutamanya negara Korea, ia cukup popular. Makanan ini juga dikenali sebagai "Korean Sushi". Kita juga boleh melihat trend makan sotong kurita hidup ini sudah mula dipopularkan di Jepun, China dan Taiwan.

Dua dua cara bagaimana sotong kurita disediakan sebagai makanan. Sotong Kurita bersaiz kecil akan dihidang di dalam bekas atau mangkuk secara hidup. Sotong bersaiz besar akan dipotong-potong dan disusun bersama sayuran. Apa yang pasti, sotong berkenaan dipotong ketika masih hidup. Jejari sotong berkenaan masih dilihat bergerak-gerak.


Sotong hidup atau potongan sotong yang masih bergerak akan diambil menggunakan penyepit, diputar dan dipusing seterusnya dicelup ke dalam sos khas. Sotong berkenaan akan disuap ke dalam mulut dan dikunyah hidup-hidup.



Ada ketikanya sotong yang masih hidup tadi cuba melawan untuk melepaskan diri. Ketika ini tangan akan digunakan bagi memegang sotong tanpa penyepit. Bagi orang-orang Korea mungkin makan cara begini sangat menyeronokkan.

Di Malaysia, cara makan sotong segar agak berlainan. Sotong yang digunakan adalah sotong yang baru mati. Sotong dibersihkan, dibuang kulit, dipotong dengan pisau tajam dan dimakan dengan menggunakan sos khas. Penggemarnya memakan sotong tanpa dimasak terlebih dahulu. Walaupun begitu, sotong berkenaan dibasuh sehingga bersih.

Bak kata orang, lain padang lain belalangnya. Apakah ada kemungkinan cara makan warga Korea ini akan ditiru oleh rakyat Malaysia? Sudikah anda menjadi orang yang pertama mencubanya? Hanya masa dan ketika yang akan menentukan.

Semoga berjumpa lagi.
Abe Din.
Read more >>

01 March 2011

Kaedah Sembelih

Salam untuk semua peminat Sotonglaut.
Pada post kali ini, Abe Din akan menunjukkan beberapa gambar bagaimana proses "penyembelihan" sotong dilakukan.

Di dalam post sebelum ini, ada dinyatakan beberapa alatan yang boleh digunakan bagi melakukan proses "penyembelihan" sotong. Kita semua mengetahui bahawa, bahagian otak haiwan adalah bahagian penting yang mengawal aktiviti makhluk hidup. Apabila jaringan kawalan ini diputuskan maka aktiviti hidup haiwan akan lumpuh atau terhenti.

Dalam proses penyembelihan yang sebenarnya, memotong urat yang membawa mesej ke otak akan mengurangkan penderitaan dan kesakitan kepada haiwan yang disembelih. Bagi haiwan sotong, proses memutuskan jaringan saraf ini cukup hanya sekadar membuat beberapa tusukan ke bahagian yang berdekatan dengan otaknya. Pemilihan alatan yang tajam akan memudahkan proses ini dan ia juga tidak menyiksa haiwan berkenaan.

Gambar 1-Pisau atau alatan tajam yang digunakan diletakkan 
dalam sudut 45 darjah menghala ke leher sotong.

 Rajah 2 dan 3- Menunjukkan sebahagian badan sotong bertukar 
kepada putih. Keadaan ini menunjukkan pelaku telah berjaya 
melumpuhkan aktiviti saraf pada separuh badan sotong.

Rajah 4- Tusukan kali kedua di bahagian badan sebelah lagi 
menyebabkan semua badan sotong bertukar kepada putih. 

Rajah 5-Tusukan di bahagian tengah kepala di antara 
kedua belah mata bertujuan untuk melumpuhkan 
saraf di bahagian kepala.

 Rajah 6-Menunjukkan keseluruhan badan sotong telah 
bertukar kepada warna putih. Ini adalah petunjuk bahawa
sotong berkenaan telah mati.

Bagi pemancing baru, sedikit latihan diperlukan bagi memahirkan kaedah "penyembelihan" ini. Pemancing yang mahir boleh mematikan sotong hanya dengan sekali tusukan sahaja. Walau apa yang kita lakukan, mestilah bermula dengan niat yang baik. Jangan sesekali kita menganiayai haiwan berkenaan kerana ia juga makhluk ciptaan yang Maha Esa.

Semoga anda semua mendapat sesuatu yang berguna. Sehingga berjumpa lagi pada post yang berikutnya. Salam bahagia-Abe Din
Read more >>

Alatan Sembelih

Salam untuk semua.
Pada post kali ini, Abe Din akan menunjukkan alatan yang digunakan untuk "menyembelih sotong". Sebelum anda memilih alat yang sesuai, anda perlu mengetahui serba sedikit tentang struktur badan sotong. Bahagian utama yang terlibat di dalam proses "penyembelihan" ini ialah kawasan otak (brain).

Proses "penyembelihan" tidak menggunakan pisau seperti cara yang biasa dilakukan. Konsepnya sama seperti sembelihan yang difahami umum iaitu memutuskan fungsi otak haiwan. Apabila fungsi otak terhenti, kawalan ke atas tingkahlaku juga akan terhenti. Kaedah sembelihan juga akan mengurangkan kesakitan dan penderitaan sotong.

Carian dari internet, didapati ada sesetengah pemancing "menyembelih" dengan cara menetak menggunakan tangan merintangi bahagian leher sotong. Sotong akan mati serta merta dan kaedah ini dilihat agak kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Rajah di atas menunjukkan dua jenis alat yang digunakan oleh pemancing-pemancing Jepun bagi "menyembelih" atau mematikan sotong dengan cepat. Cara penggunaannya adalah dengan menusuk bahagian bawah yang lebih tajam dengan sudut 45 darjah ke arah otak sotong. Selepas tusukan dilakukan, buat sedikit gerakan ke kiri atau ke kanan. Kebiasaannya sotong akan mati serta merta.

Anda juga boleh menggunakan pisau bagi menggantikan alatan di atas. Pastikan alatan "sembelih" benar-benar tajam agar ia tidak menyiksa sotong yang "disembelih".  Apa yang dilakukan diharap tidak bertujuan menganiaya atau menyiksa sotong yang "disembelih".

Pada post yang akan datang, Abe Din akan menunjukkan gambar kaedah-kaedah "menyembelih" sotong yang betul. Semoga berjumpa lagi.
Read more >>

28 February 2011

Menyembelih Sotong

Salam untuk semua peminat pancingan sotong.
Semoga anda semua dirahmati oleh Nya.
Mungkin ramai yang terkejut jika dikatakan sotong boleh disembelih. Sebenarnya, sembelih yang dimaksudkan bukanlah seperti menyembelih haiwan berkaki dua atau kaki empat yang diwajibkan ke atas orang-orang Islam. Sembelih yang dimaksudkan oleh Abe Din ialah satu proses mematikan sotong dengan lebih cepat. Umum tahu bahawa sotong bukan haiwan yang wajib disembelih.

Kebiasaanya jika sesekor sotong itu ditangkap, ia akan dibiarkan mati dengan sendirinya. Proses semulajadi ini mungkin akan memakan masa sehingga 5 minit. Sotong yang telah mati boleh dikenali dengan warna badannya yang bertukar kepada warna putih sepenuhnya. Masa yang lama ini mungkin akan menimbulkan suasana yang tidak diingini kepada pemancing.

Sotong yang ditangkap selalunya akan dibiarkan di lantai bot, atas batu, atau di dalam bekas ikan. Selagi sotong itu hidup ia akan memancutkan dakwat hitam di sekitar lokasi ia diletakkan. Keadaan ini lebih ketara jika terdapat sedikit air yang mengenai badan sotong. Nelayan selalunya tidak mencampurkan sotong yang baru ditangkap dengan ikan di dalam satu bekas kerana ia akan mengotorkan badan ikan dan menurunkan harga serta mutu ikan yang hendak dijual.

Dakwat yang dilepaskan oleh sotong di kawasan batu dan lantai bot boleh menyebabkan keadaan licin serta membahayakan pemancing. Sebagai jalan mudah, pemancing meletakkan sotong yang ditangkap di dalam bekas berisi ais. Kaedah ini akan menyebabkan dakwat yang disembur akan terkena air sejuk dan melambatkan ia disebarkan ke kawasan lain di dalam bekas. Sotong yang disimpan di dalam ais juga kurang aktif dan cepat mati.

Pada post yang berikutnya, Abe Din akan menunjukkan beberapa peralatan biasa yang digunakan untuk "menyembelih sotong". Sekian untuk kali ini.
Read more >>

15 February 2011

Zon Gaik Sotong

Salam untuk semua.
Pada post kali ini, Abe Din ingin menerangkan serba sedikit tentang zon-zon gaik yang terdapat pada badan sotong mabang.

Terdapat beberapa jenis sotong yang ditangkap oleh pamancing dan nelayan. Jika sotong itu bersaiz kecil seperti sotong jarum, gaik tidak diperlukan sama sekali. Sotong torak juga tidak memerlukan gaik ketika dinaikkan disebabkan bentuk badannya yang panjang. Torak mudah dipegang dengan tangan pada pertengahan badannya.


Sotong katak dan mabang sangat memerlukan gaik untuk dinaikkan terutamanya jika saiz sotong berkenaan adalah besar dan berat. Gambar di atas menunjukkan zon-zon yang ditanda pada badan sotong mabang. Zon berkenaan juga sesuai diaplikasikan kepada sotong katak.

Lokasi gaik yang baik ialah pada zon A dan zon B. Walaupun begitu, penghujung ekor sotong adalah lokasi terbaik. Apabila kawasan ini terkena gaik, sotong akan berada pada posisi kepala ke bawah. Dengan yang demikian, pemancing boleh merendam sotong lebih lama di dalam air agar dakwat hitam tidak tumpah ke dalam bot atau di atas batu.

Jika sotong terkena gaik di zon C dan Zon D, posisi sotong akan senget ke kiri atau ke kanan. Dakwat semburan sotong boleh mengenai bahagian kaki pemancing ataupun terkena pemancing bersebelahan.

Kawasan gaik yang paling tidak sesuai ialah di zon E iaitu kawasan kepala sotong. Jika gaik terkena kawasan ini, muka pemancing akan menjadi sasaran utama semburan dakwat sotong.

Kulit sotong sangat lembut dan cukup mudah melekat pada mata gaik. Sotong yang terkena gaik akan menjadi lemah dan lebih mudah untuk dinaikkan. Jika memancing di waktu malam, proses mengaik sotong di dalam gelap adalah sesuatu yang cukup mencabar. Dibimbangi gaik tidak mengenai kawasan sasaran pada badan sotong.

Sesetengah pemancing lebih suka menggunakan mata gaik jenis bunga daripada mata tunggal kerana mudah untuk mengaik sotong. Jika anda menggunakan mata tunggal dan digunakan pada waktu malam, Abe Din nasihatkan anda meletakkan sedikit warna luminous selari dengan kedudukan mata gaik. Dengan adanya warna berkilau pada waktu malam, anda tidak perlu tercari-cari kedudukan mata gaik yang betul untuk mengaik sotong. Anda juga boleh menggunakan plastik pemantul cahaya ataupun cat putih sebagai penanda kedudukan mata gaik.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi pada post yang akan datang.
Abe Din.
Read more >>

Membuat Gait Sotong

Salam sejahtera untuk semua.
Pada post kali ini, Abe Din ingin menunjukkan cara-cara membuat gaik atau cangkuk sotong mabang. Ketika ini, rasanya elok pemancing-pemancing tegar sotong membuat persediaan sebelum sotong menyerang kawasan pantai pada April nanti. Kata orang sediakan payung sebelum hujan.

Setakat ini, gaik adalah peralatan bantuan yang paling afektif bagi menaikkan sotong semasa pancingan di kawasan batuan dan pantai. Walaupun begitu, gaik juga boleh digunakan ketika memancing di lautan. Memandangkan aras air laut hampir dengan paras bot, penggunaan gaik tidak begitu mendesak. Pemancing sotong mahir, boleh menaikkan sotong menggunakan tangan atau angkatan bebas sahaja. Bagi pemancing yang baru, Abe Din syorkan agar anda menggunakan gaik terutamanya ketika menaikkan sotong bersaiz besar.


Antara perlatan membuat gaik ialah mata candat seperti di atas (saiz mata bergantung kepada saiz sotong yang hendak dinaikkan), sebatang kayu, rotan, batang sauk terpakai atau pemegang yang bersesuaian, Gam UHU, atau gam air yang kuat, serta tali tangsi.

Jika anda tidak berminat dengan mata candat jenis berbunga, anda boleh menggunakan mata cangkuk tunggal. Mata cangkuk tunggal dibuat dengan menggunakan mata kail bersaiz besar yang tajam. Perlu diingat, jika anda menggunakan mata kail tunggal ada perlu membuang ceracaknya dengan menggunakan kikir besi. Jika cangkuk anda mempunyai cecarak, ia akan menyukarkan anda ketika hendak menanggalkan sotong daripada cangkuk.


Rajah di bawah menunjukkan, cangkuk tunggal yang dibuat sendiri oleh Abe Din. Abe Din menggunakan joran pancing murah yang boleh dilaras ke dalam dan ke luar. Anda juga boleh menggunakan batang payung terpakai. Semua cincin joran ditanggalkan dan diikat mata kail tunggal di penghujung joran dengan menggunakan tali tangsi. Gam disapu sekeliling tangsi sehingga perlekatan menjadi kuat.

Bagi menambahkan ciri-ciri keselamatan pada gaik anda, gunakan getah pemegang agar mata gaik tidak terkeluar ketika anda membawanya. Gunakan juga saluran getah akuarium bagi menutup mata yang tajam.

Selalunya, Abe Din membawa beg galas ringan di belakang ketika menggewang sotong dan gaik diletak di dalam beg galas berkenaan. Apabila ada mangsa yang terkena pancing, gaik boleh dicapai dan dibuka dengan mudah.

Pemancing Jepun menggunakan gaik jenis bunga yang boleh dibuka dan ditutup seperti payung. Walau apa jenis gaik yang anda ingin gunakan pastikan ia mudah untuk dibawa dan digunakan. Ketika merekabentuk gaik, kreativiti individu sangat penting. Kecantikkan bukanlah sesuatu yang perlu tetapi faktor fungsi, kecekapan dan keselamatan alat itu yang perlu diutamakan.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi pada post yang akan datang.
Sekian,
Abe Din.
Read more >>

13 February 2011

Memegang Si Lembut

Salam untuk semua,
Pada post kali ini, Abe Din akan menerangkan serba sedikit cara-cara untuk memegang sotong hidup yang baru dinaikkan. Tentunya selepas mengharungi saat-saat "suspen" menarik si lembut, anda mungkin teruja untuk merakamkan saat-saat manis kerana berjaya menjerat si lembut.

Si lembut tentunya hendak dipegang dengan tangan semasa sesi bergambar. Cara yang betul perlu dipraktikan bagi memperolehi gambar yang cantik.

Sebelum itu kita perlu mengetahui serba sedikit, bentuk badan si lembut. Rata-rata badan si lembut terbina daripada otot daging. Badannya semasa hidup, sedikit keras apabila dipegang dan sedikit lembut apabila mati.

Bahagian kepala yang dipenuhi tentakel, tidak sesuai digegang semasa hidup oleh mereka yang geli. Bahagian ini tidak bahaya. Jangan sesekali memegang sotong hidup dari arah depan kepala, kerana gigitan sotong boleh menyebabkan luka dan pendarahan.

Bahagian bernombor 6, adalah bahagian yang berfungsi menyemburkan air dan dakwat. Sotong hidup, sangat agresif menyembur air dan dakwat apabila ia berasa terancam. Sesetengah sotong mempunyai bekalan dakwat yang banyak dan mampu menyembur dakwat berulang-ulang kali.

Gambar di atas menunjukkan cara pegangan sotong hidup yang tidak sesuai. Bahagian nombor 6 tidak terlindung. Ini akan menyebabkan semburan sotong terpancut ke bahagian atas. Pancutan dakwat sotong sangat berkuasa dan boleh naik beberapa kaki ke udara. Jika cara di atas digunakan, kemungkinan dakwat akan mengenai muka pemancing atau rakan-rakan di sebelah.

Cara pegangan di atas pula tidak begitu sesuai digunakan di dalam bot kerana bahagian pancutan dakwat menghala ke bawah dan boleh mengotorkan lantai bot. Pada kawasan berbatu, ia akan menyebabkan kawasan berbatu menjadi licin dan membahayakan pemancing.

Gambar di atas menunjukkan cara yang lebih selamat. Walaupun, bahagian 6 mengahala ke bawah, pemancing menggunakan tangan kedua untuk menutup bahagian 6 dan kesan kekotoran dapat dikurangkan.

Gambar di atas adalah cara pegangan yang sesuai di mana pemancing memegang kuat bahagian leher sotong yang akan mengurangkan peluangnya memancutkan dakwat hitam. Jika pancutan berlaku, dakwat akan tersangkut pada tangan kerana bahagian 6 sudah ditutup.

Rajah di atas menunjukkan, teknik yang lebih baik apabila muka sotong dihalakan ke laut. bagi mengelakkan pancutan dakwat ke dalam bot.

Semua teknik memegang si lembut mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, pemancing perlu melayan sotong lebih lama di air agar sotong keletihan dan memancutkan semua dakwat hitamnya ketika di dalam air. Jika sotong yang dinaikkan benar-benar letih, keupayaannya untuk memancutkan dakwat di kawasan daratan adalah terhad dan lemah.

Selamat memancing.
Abe Din

Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN