"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

15 February 2011

Zon Gaik Sotong

Salam untuk semua.
Pada post kali ini, Abe Din ingin menerangkan serba sedikit tentang zon-zon gaik yang terdapat pada badan sotong mabang.

Terdapat beberapa jenis sotong yang ditangkap oleh pamancing dan nelayan. Jika sotong itu bersaiz kecil seperti sotong jarum, gaik tidak diperlukan sama sekali. Sotong torak juga tidak memerlukan gaik ketika dinaikkan disebabkan bentuk badannya yang panjang. Torak mudah dipegang dengan tangan pada pertengahan badannya.


Sotong katak dan mabang sangat memerlukan gaik untuk dinaikkan terutamanya jika saiz sotong berkenaan adalah besar dan berat. Gambar di atas menunjukkan zon-zon yang ditanda pada badan sotong mabang. Zon berkenaan juga sesuai diaplikasikan kepada sotong katak.

Lokasi gaik yang baik ialah pada zon A dan zon B. Walaupun begitu, penghujung ekor sotong adalah lokasi terbaik. Apabila kawasan ini terkena gaik, sotong akan berada pada posisi kepala ke bawah. Dengan yang demikian, pemancing boleh merendam sotong lebih lama di dalam air agar dakwat hitam tidak tumpah ke dalam bot atau di atas batu.

Jika sotong terkena gaik di zon C dan Zon D, posisi sotong akan senget ke kiri atau ke kanan. Dakwat semburan sotong boleh mengenai bahagian kaki pemancing ataupun terkena pemancing bersebelahan.

Kawasan gaik yang paling tidak sesuai ialah di zon E iaitu kawasan kepala sotong. Jika gaik terkena kawasan ini, muka pemancing akan menjadi sasaran utama semburan dakwat sotong.

Kulit sotong sangat lembut dan cukup mudah melekat pada mata gaik. Sotong yang terkena gaik akan menjadi lemah dan lebih mudah untuk dinaikkan. Jika memancing di waktu malam, proses mengaik sotong di dalam gelap adalah sesuatu yang cukup mencabar. Dibimbangi gaik tidak mengenai kawasan sasaran pada badan sotong.

Sesetengah pemancing lebih suka menggunakan mata gaik jenis bunga daripada mata tunggal kerana mudah untuk mengaik sotong. Jika anda menggunakan mata tunggal dan digunakan pada waktu malam, Abe Din nasihatkan anda meletakkan sedikit warna luminous selari dengan kedudukan mata gaik. Dengan adanya warna berkilau pada waktu malam, anda tidak perlu tercari-cari kedudukan mata gaik yang betul untuk mengaik sotong. Anda juga boleh menggunakan plastik pemantul cahaya ataupun cat putih sebagai penanda kedudukan mata gaik.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi pada post yang akan datang.
Abe Din.

No comments:

Post a Comment

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing