"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

11 June 2010

Peranan Jig Cap

Jig cap sangat perlu bagi menjaga ketajaman mata kail jig

Jig cap atau penutup mata kail candat merupakan satu bahan yang digunakan bagi melindungi dan memelihara mata kail candat. Selalunya jig cap diperbuat daripada plastik yang berwarna terang. Ramai pencandat atau pengilat sotong tidak mengambil berat dalam penjagaan mata kail candat. Jig cap dicipta bagi melindungi mata kail candat semasa proses penyimpanan.

Disebabkan mata kail candat sangat tajam maka ia mudah tersangkut pada objek-objek lain seperti kusyen kereta, baju, seluar, plastik dan juga tali benang. Jika mata kail candat tersangkut semasa digunakan ia adalah lumrah tetapi jika mata kail candat tersangkut bukan pada masa kita beraksi ia sangat merugikan.

Penggunaan jig cap juga boleh mencegah tangan kita daripada terluka terkena mata kail candat. Pemancing yang tidak cermat selalu menyimpan pancingnya dalam keadaan ia mudah dicapai oleh kanak-kanak. Penggunaan jig cap dapat mengurangkan risiko berlakunya kecederaan disebabkan terkena mata kail candat.
Bagi pemancing yang tidak mempunyai jig cap seeloknya membuka dan menyimpan candat di dalam bekas berasingan jika ia tidak mahu digunakan lagi. Pemancing juga boleh membuat sendiri jig cap dengan menggunakan kotak mancis atau kotak plastik gula-gula. Tebuk lubang pada bahagian tengah di sebelah hujung bagi memasukkan leher mata kail candat.

Kumpulan jig Yamashita yang tidak mempunyai jig cap. Yamashita buntal merah putih dipadankan dengan jig cap dari jig jenis lain.

Jig cap tidak dijual secara berasingan tetapi kita boleh menempah di internet dalam jumlah yang banyak. Terdapat tiga saiz jig cap iaitu kecil, sederhana dan besar. Hanya sebilangan jenis candat dijual berserta dengan jig cap. Jika candat berkenaan telah rosak, jig cap berkenaan boleh digunakan bagi melindungi mata kail candat lain yang sama saiz. Tidak semestinya candat mahal sahaja disertakan dengan jig cap. Candat seperti Yamashita hanya dibungkus di dalam plastik berlabel tanpa jig cap. Begitu juga candat-candat berjenama yang lain yang kadang-kadang hanya diletakkan di dalam kotak sahaja.

Kebanyakan jig atau candat dijual di dalam kotak atau dibungkus dengan plastik tanpa jig cap.

Penyediaan jig cap boleh dijadikan satu opsyen apabila kita hendak membeli candat. Dalam keghairahan hendak mencandat jangan pula kita terlupa membuka cap berkenaan. Saya sendiri pernah terlupa untuk membuka cap yang menutup mata kail candat. Setelah tiga kali balingan, baru saya perasan bahawa jig cap belum dibuka. Kalau macam tu, mengilat seratus tahun sekalipun, sudah pasti sotong tidak akan dinaikkan.

Apa yang paling penting, kesedaran penggunaan jig cap perlu dipertingkat dan diperluaskan di kalangan pengilat dan pencandat sotong. Berpesanlah kepada rakan-rakan pengilat dan pencandat yang lain agar menggunakan jig cap. Ilmu yang baik jangan disembunyikan.-Abe Din
Read more >>

Pengujian Candat

Candat atau jig yang mahu digunakan perlulah sentiasa diuji dan diperhatikan aksinya. Ada empat keadaan dimana jig perlu diuji iaitu selepas dibeli dari kedai, sebelum jig di lontar ke dalam air, selepas jig tersangkut atau ditarik sotong besar dan selepas tarikan sotong atau ikan terlepas. Semakin kerap jig diperiksa semakin tinggi peluang untuk mendapatkan sotong.

Kekerapan memeriksa dan menguji jig jarang diambil berat oleh pencandat.Renangan jig yang tidak betul, kulit jig terkoyak, mata kail candat bengkok atau patah akan menyebabkan jig tidak boleh berfungsi dengan baik. Pada post kali ini, Abe Din akan cuba menerangkan beberapa pengujian mudah yang boleh dilakukan samada di rumah atau ketika aktiviti mengilat sotong.

Mata kail candat

Pada post sebelum ini ada diterangkan secara umum tentang pengujian mata kail candat. Mata kail candat dipegang menggunakan kelima-kila jari dan dikembangkan perlahan-lahan. Jika anda merasai seakan-akan melekat semasa membuka jari, itu bermakna jig anada cukup tajam. Kadang-kala mata kail jig bengkok pada hujungnya disebabkan berlangar dengan batu atau karang. Bengkokan kecil ini tidak dapat dilihat jika tidak diperhatikan dengan teliti. Jika aktiviti mengilat dilakukan pada waktu malam, memeriksa dengan menggunakan mata tentunya agak sukar.

Periksa hujung mata kail candat agar tidak tumpul

Mata kail jig juga perlu dipastikan berada dalam susunan membulat yang paling afektif. Kadang-kala susunan mata jig terbuka sedikit. Jika ini berlaku, sotong akan terlepas jika terkena pada mata kail yang berkenaan.

Susunan mata kail candat secara berselang-seli

Badan jig perlu tegak
Dalam keadaan biasa, pencandat tentunya tidak perasan tentang kadudukan badan jig. Selalunya ujian boleh dilakukan dengan meletakkan jig atau candat di dalam bekas air yang lut sinar. Badan jig yang senget ke kiri atau ke kanan menunjukan bahawa jig berkenaan tidak seimbang. Antara cara bagi membetulkan keadaan ini ialah dengan menambahkan atau mengurangkan bulu jig yang terdapat di kiri dan kanan berhampiran dengan kepala jig. Anda boleh menggunakan bulu yang terdapat pada penyapu tingkap. Dapatkan penyapu tingkap yang mempunyai bulu berwarna-warni dan pasang bulu berkenaan mengikut warna kegemaran anda.


Selepas langkah berkenaan, uji semula jig anda di dalam air. Jika jig masih senget besar kemungkinan disebabkan oleh pemberat timah yang dipasang tidak betul atau badan jig yang tidak seimbang. Selalunya jig yang mahal tidak mendatangkan masalah yang besar kerana ia telah melalui proses ujian ketat sebelum dipasarkan.

Kedudukan jig semasa diam
Ikat jig anda menggunakan tali pancing dan lepaskan jig anda di dalam bekas berisi air yang lut sinar. Perhatikan kedudukan jig anda ketika diam. Kedudukan yang paling baik ialah dengan keadaan di mana dagu jig berada di bawah manakala ekornya berada di atas dengan kedudukan sudut lebih kurang 45 darjah. Tarik jig ke atas beberapa kali menggunakan tali dan lihat ketika jig jatuh semjula ke dasar.


Kebanyakan jig murah berada dalam keadaan lateral yang selari dengan paras dasar. Kedudukan ini kurang berkenan kerana risiko jig tersangkut lebih tinggi jika henjutan dibuat oleh pengilat. Cara menyelesaikan masalah ini adalah dengan cara membuang sedikit timah pemberat agar ekor jig terangkat. Anda perlu membuat beberapa percubaan sebelum anda benar-benar mahir memotong timah jig. Jika berlaku kesilapan ketika memotong timah berkenaan jig tidak akan terangkat langsung ataupun kedudukannya menjadi senget.

Kedudkan jig A dan B adalah paling baik

Menguji penampilan warna jig
Ujian ini perlu dilakukan di rumah dalam keadaan gelap. Suluh jig anda menggunakan lampu suluh atau flash kamera. Lepaskan jig anda ke dalam bekas kaca yang mengandungi air jernih (paling baik air laut). Tutup lampu dan suluh jig dari luar menggunakan cahaya kuning (mengantikan bulan) dan cahaya putih ( siang). Cahaya kuning dan putih adalah cahaya dalam keadaan yang biasa. Cuba buat beberapa ujikaji menggunakan air yang keruh sederhana dan sangat keruh.

Jika anda ada memelihara sotong hidup di dalam akuarium air masim, cuba terus keberkesanan jig berkenaan kepada sotong belaan anda. Kaedah ini digunakan oleh pereka candat Jepun bagi menguji candat yang telah dihasilkan oleh mereka.

Selalulah menguji jig atau candat anda. Pastikan sotong yang memberi salam pada jig anda tidak terlepas dengan mudah. Sotong yang terlepas dan kesakitan akan mengambil masa untuk memegang semula candat.-Abe Din
Read more >>

05 June 2010

Pemilihan Candat 2

Pada post sebelum ini, saya cuba pengupas faktor-faktor dalaman pemilihan candat iaitu faktor-faktor yang boleh dilihat dan diperhatikan pada candat itu sendiri. Post kali ini saya akan cuba menghuraikan faktor-faktor luaran iaitu faktor-faktor sekeliling yang memberi kesan secara tidak langsung kepada candat yang digunakan oleh pengilat sotong mabang.


Faktor-faktor Luaran

Antara faktor luaran yang disenaraikan sebelum ini ialah kejernihan air, Pengaruh cahaya bulan, Harga, Kekuatan arus dan angin, Saiz sotong yang hendak dipancing, dan Lokasi pancingan.

1. Kejernihan air laut. Kejernihan dan kekeruhan air laut memainkan peranan penting dalam penampilan warna candat yang dipilih. Tidak semestinya, candat akan mempamerkan warna fizikalnya seperti yang kita lihat. Pada kebiasaanya candat berwarna oren digunakan ketika air laut keruh dan candat hijau digunakan ketika air laut jernih. Candat warna merah bersifat universal iaitu ia sesuai digunakan bagi hampir semua keadaan air.

Perbezaan warna asal (atas) dan warna yang dilihat oleh sotong (bawah)
Gambar hiasan

2. Pengaruh cahaya bulan. Cahaya bula pada kebiasaannya kelihatan kekuningan. Apabila dilapisi awan yang nipis dan tebal ia akan memantulkan cahaya yang berbeza begitu juga apabila berlaku ribut. Gabungan kepelbagaian cahaya bulan dan kejernihan air akan mempengaruhi penampilan warna pada candat anda. Saya lebih merujuk kepada cahaya bulan penuh yang terang. Dalam keadaan air yang biasa, selalunya hampir setiap warna candat akan memberikan pulangan kepada pemancing. Adalah diharapkan pencandat sendiri cuba membuat beberapa ujian bagi menguji keberkesanan candat pada situasi yang berbeza. Jangan lupa berkongsi pengalaman anda bersama rakan-rakan pencandat yang lain.

Candat baru Yamashita bercorak natural / semulajadi

3. Harga. Faktor harga selalu disebut-sebut di kalangan pencandat sebagai faktor utama memperolehi tangkapan yang baik. Sebenarnya, candat mahal tidak semestinya memberikan pulangan yang baik kepada penggunanya. Saya sendiri pernah membuat ujian lapangan menggunakan candat mahal pada bulan April yang lepas membuktikan faktor harga candat tidak memberi pengaruh yang besar. Apa yang saya perhatikan candat mahal sangat berkesan ketika keadaan air keruh dan ketika ketiadaan bulan. Beberapa kajian perlu dilakukan bagi membuktikan hipotesis ini. Jika kita lihat kepada pemancing tradisonal, rata-rata mereka tidak menggunakan candat yang mahal tetapi sotong yang yang diperolehi cukup banyak dan saiznya juga sangat mengejutkan.

4. Kekuatan arus dan angin. Jika arus terlalu kuat, jig yang lebih besar perlu digunakan. Jika pancingan dilakukan di unjam, bantuan tanduk dan batu ladung diperlukan (penggunan tanduk dan batu ladung akan dibincangkan pada post berikutnya). Jika pancingan dilakukan di pesisir pantai ketika arus deras, saiz candat perlu diubah sehingga berat 3.0 gram dan joran juga perlu disesuaikan. Di kawasan Rantau Abang Dungun, pengilat mabang di sana mengilat dengan cara mengharung air laut sehingga paras dada. Disebabkan balingannya yang agak sukar dan kawasan yang disasar lebih dalam, kebanyakan pengilat di sana menggunakan saiz candat yang lebih besar tidak kurang dari saiz 2.5 gram. Candat yang berat juga diperlukan bagi melawan tiupan angin yang kuat agar candat dapat sampai ke sasaran yang dikehendaki. Candat yang berat juga akan meminumkan masa ia sampai ke dasar. Jika mabang berada di dasar laut, penggunaan candat berat selalunya membuahkan hasil lebih cepat. Kemahiran yang ada pada pencandat boleh mengelak candat daripada tersangkut pada batu, karang laut atau unjam.

5. Saiz sotong. Pencandat perlu menjangkakan anggaran saiz sotong mabang yang menjadi sasaran mereka. Pencandat sepatutnya tahu penangan sotong mabang bersaiz besar yang cukup kuat. Jika pencandat mensasarkan sotong bersaiz di bawah satu kilogram, candat bersaiz 2.0 dan 2.5 sudah memadai. Jika sasaran pemancing ialah sotong melebihi satu kilogram, candat yang lebih besar iaitu bersaiz sekitar 2.5 hingga 3.5 diperlukan. Mata candat perlulah kuat dan panjang sedikit. Kebanyakan candat bersaiz besar menggunakan mata berbentuk 'V'. Ketika musim sotong mabang, cuba ambil peluang untuk berjalan-jalan di sekitar pasar ikan dan pasar minggu sekitar pantai Terengganu. Jika bernasib baik anda akan berpeluang melihat sotong mabang yang dijual. Saiznya cukup besar dan sukar untuk dibayangan jika sotong berkenaan memegang candat anda.

6.Lokasi pancingan. Lokasi pancingan merupakan satu petunjuk yang jelas bagi saiz candat yang hendak digunakan. Secara umum, sotong mabang di laut (kawasan unjam) lebih besar daripada sotong mabang di kawasan pesisir pantai. Saiz sotong mabang di laut boleh menjangkau berat sehingga 2 kilogram seekor. Ada juga sotong mabang bersaiz besar yang menghampiri kawasan pesisir pantai. Saya beberapa kali pernah terdengar mengenai rakan pancing yang tidak berupaya walaupun untuk mengayuh kekili apabila candatnya terkena sotong mabang bersaiz besar. Sotong menarik tali tanpa memberi peluang kepadanya sehingga tali putus. Pemancing dan pengilat hardcore sotong mabang selalunya mempunyai candat pelbagai saiz yang di bawa setiap kali turun mencandat.

Jika faktor-faktor penting diambil kira oleh pencandat,
jig akan dibaham oleh sotong bertalu-talu sehingga terkoyak.

Gambar hiasan

Semoga apa yang dibincangkan di sini akan memberi gambaran yang lebih jelas kepada anda bertapa perlu seseorang pencandat itu membuat sedikit penelitian sebelum membeli sesuatu jig atau candat bagi mengelak berlakunya kerugian atau pembaziran. Pencandat juga perlu bertanya kepada rakan-rakan lain mengenai jig yang berkesan dan sesuai digunakan di sesuatu lapangan candat.

Saya cukup menekankan perlunya satu komuniti pencandat diwujudkan bagi berkongsi pengalaman dan pengetahuan agar sukan mencandat dan mengilat sotong ini mampu berada pada status dan kedudukannya yang tersendiri. Bersandarkan kepada tujuan berkenaan saya mengambil keputusan untuk membangunkan blog sotong mania ini. Semoga ianya dapat diterima dan dimanfaatkan-Abe Din.
Read more >>

Pemilihan Candat 1

Pelbagai pilihan candat / jig. Adakah ia sesuai ?

Secara umum sotong mabang kurang memilih candat yang digunakan. Nelayan tradisional pada masa dahulu hanya menggunakan candat buatan sendiri tanpa luminous. Mereka hanya menggunakan timah dengan balutan kain atau plastik berwarna.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa sotong mabang juga boleh ditangkap menggunakan jig twist. Jig twist yang lebih berat digunakan di bahagian bawah bersama dengan jig bentuk udang di bahagian atas. Cara pancingannya lebih menyerupai pancingan sotong torak tetapi penggunaan jig selalunya terhad kepada dua jenis sahaja. Cara pancingan yang dinyatakan di atas selalu digunakan ketika mengilat sotong mabang di kawasan unjam.

Sotong mabang di kawasan unjam lebih mudah untuk ditangkap kerana ia jarang memilih umpan candat. Perlu diingat jika anda meniat untuk mencari mabang di kawasan unjam, gunakan jig yang bersaiz lebih besar iaitu 3.0 ke atas. Sotong di kawasan unjam selalunya lebih besar dan tarikannya sangat kuat. Benamannya hampir menyerupai ikan.

Post kali ini menyenaraikan beberapa tips memilih candat yang boleh dijadikan panduan oleh pengilat-pengilat sotong mabang yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti ini. Faktor-faktor pemilihan candat boleh dikelaskan kepada dua kumpulan besar iaitu faktor dalaman dan faktor luaran.

Faktor-faktor dalaman termasuklah warna candat, keupayaan menyimpan cahaya, mata candat, mata kail candat, pemilihan sirip, bentuk pemberat, ketumpatan badan candat, dan berat candat. Faktor-faktor luaran termasuklah kejernihan air, pengaruh bulan, harga, kekuatan arus, saiz sotong, dan lokasi pancingan.



Faktor-faktor Dalaman

1. Warna candat. Pada post sebelum ini, saya telah menerangkan tentang pengaruh warna candat bagi menarik perhatian sotong mabang. Selalunya sotong lebih tertarik kepada warna yang terang dan cerah. Sotong akan mudah melihat warna yang lebih terang daripada warna kelabu tetapi kenyataan ini belum dibuktikan secara saintifik. Warna candat sangat berkait rapat dengan luminous yang terdapat pada badan candat, kejernihan air dan faktor cahaya bulan. Berikut adalah ranking warna candat mengikut yang paling mendapat perhatian sotong mabang berdasarkan ujian-ujian lapangan sebelumnya. Merah - Pink - Kuning/Oren - Hijau.

2. Keupayaan menyimpan cahaya. Selalunya faktor ini dikaitkan dengan kehadiran bahan luminous yang diadunkan dengan plastik semasa pembuatan badan jig. Selalunya jig yang mampu menyimpan cahaya lebih terang dan lebih lama cepat ditarik oleh sotong. Lominous sangat diperlukan ketika mengilat sotong di waktu malam hari. Selalunya cahaya yang lebih terang akan lebih cepat mendapat perhatian sotong torak dan jarum. Cahaya yang samar akan menarik perhatian sotong mabang. Ada juga syarikat pengeluar menghasilkan jig yang mengeluarkan kerlipan cahaya berwarna merah apabila jatuh ke dalam laut. Setakat ini, keberkesanan jig berkenaan masih belum diuji sepenuhnya.

3. Mata candat. Faktor ini merujuk kepada dua mata yang diletakkan oleh pembuat jig di kiri dan kanan kepala jig bagi meniru mata udang. Terdapat dua jenis mata candat udang iaitu jenis lekatan kekal dan lekatan tidak kekal. Lekatan kekal lebih kukuh dan tidak mudah tercabut manakala jenis lekatan biasa menggunakan gam lebih mudah tertanggal apabila terkena pada batu atau lengan sotong. Terdapat mata yang dicat secara biasa, mata merah besar bersama anak mata dan luminos. Susunan terbaik ialah luminous - mata merah bersar bersama anak mata - cat biasa.

Contoh sebaris mata kail candat bentuk 'U'

4. Mata kail candat. Mata candat diperbuat dari logam yang berbentuk lurus tanpa cangkuk. Matanya agak berbeza dengan mata kail bagi memancing ikan. Terdapat pelbagai jenis dan bentuk mata candat di pasaran. Selalunya mata candat disusun membulat dalam dua lapisan. Ada juga kedapatan mata candat disusun sehingga tiga lapisan. Mata candat yang lebih keras dan panjang digunakan untuk menangkap sotong yang lebih besar. Mata candat yang tajam boleh diuji dengan cara memegang mata candat dengan perlahan menggunakan kelima-lima jari. Jika terasa lekatan apabila jari dikembangkan, itu satu tanda bahawa mata candat berkenaan cukup tajam. Bentuk susunan mata candat juga dapat mengurangkan risiko sotong terlepas. Sotong bersaiz besar memerlukan mata candat yang lebih kuat dan panjang. Mata candat disusun berbentuk bunga, bentuk 'V', dan bentuk 'U'. Bentuk 'V' lebih banyak ditemui di pasaran kerana pembuatannya lebih mudah. Susunan bentuk mata kail yang paling baik ialah bentuk 'U' diikuti oleh 'V' dan bentuk bunga. Mata bentuk 'U' boleh dilihat pada candat jenis Yamashita keluaran Jepun.

5. Pemilihan sirip. Sirip merujuk kepada bulu burung yang dicat dan dipasang pada kedua-dua belah pipi candat berdekatan dengan mata. Bulu berkenaan bertindak sebagai sirip bagi mengimbang kedudukan candat di dalam air. Bulu sirip berkenaan dipasang menghala ke bahagian kepala candat dan hampir menutupi bahagian matanya. Terdapat dua jenis bulu sirip iaitu bulu biasa dan bulu berkilat. Mengikut ujian tidak rasmi yang dilakukan, bulu berkilat adalah lebih berkesan. Selalunya bulu berkilat ini dipasang pada jig-jig mabang yang lebih mahal harganya.

6. Bentuk pemberat. Pemberat yang digunakan adalah dari jenis timah dan logam tidak berkarat. Terdapat dua bentuk pemberat iaitu bentuk segi dan bentuk separa bulat. Pemberat berfungsi bagi mengubah pusat graviti candat ke bahagian kepalanya. Semasa statik candat akan berada dengan keadaan dagunya menghala ke bawah. Hal ini akan mengurangkan risiko sangkut pada mata candat kerana matanya berada pada posisi ke atas (Bergantung kepada jenis candat). Posisi statik candat akan dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam post yang berikutnya. Dari ujian yang dijalankan pemberat bersegi lebih mudah tersangkut berbanding pemberat yang berbentuk separa bulat.

7. Ketumpatan candat. Post sebelum ini telah dinyatakan jenis bahan yang digunakan untuk membuat badan jig atau candat. Bahan yang biasa digunakan termasuklah kayu, plastik tumpat dan plastik berongga atau berudara. Dari siri ujian yang dijalankan, plastik berongga udara lebih baik daripada plastik padu dan kayu ringan. Penggunaan plastik berongga akan menyebabkan candat berada di dalam posisi yang sangat ideal.

8. Berat candat. Pemilihan berat candat merujuk kepada berat candat keseluruhannya dalam gram. Berat candat selalunya dicatatkan pada timah pemberat. Antara yang biasa dijumpai ialah 2.0 hingga 2.5 (sesuai digunakan di kawasan batuan dan pulau) dan berat 3.0 hingga 4.0 (sesuai digunakan di kawasan unjam). Berat candat yang digunakan perlulah bersesuaian dengan jenis dan panjang pancing yang digunakan. Jika anda membeli joran pancing yang dikhaskan untuk pancingan sotong selalunya tercatat berat candat yang disyorkan. Ini bermaksud bukan semua jenis pancing sesuai untuk menggayakan sesuatu candat. Pengaruh pancing dan berat candat akan dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam post yang akan datang.

Post berikutnya saya akan cuba mengupas faktor luaran yang mempengaruhi pemilihan candat. Semoga maklumat yang diberikan serba sedikit dapat membantu pencandat baru dan lama bagi menambahkan lagi pengetahuan berkaitan pancingan sotong mabang. Abe Din.
Read more >>

04 June 2010

Umpan Mabang

Atas : Kepelbagaian candat cetakan terus
Bawah : Candat yang dilapisi kain berwarna

Dapat dilihat dengan jelas perbezaan medium yang digunakan, pemilihan warna, jenis rekabentuk mata dan penggunaan mata kail yang berbeza.

Secara umumnya sotong mabang ditangkap menggunakan candat atau jig berbentuk udang. Ada juga candat-candat sotong mabang versi baru yang meniru rupabentuk ikan. Setakat ini, ramai pengilat bukan sahaja di Malaysia malahan dunia menggunakan jig mabang atau reef squid yang berbentuk udang. Penggunaan candat atau jig ini cukup efektif.

Terdapat 3 medium yang digunakan untuk membuat candat mabang iaitu plastik padu, plastik kosong yang lebih ringan dan kayu ringan. Candat yang telah siap dibentuk akan dihiasai dengan kain bercorak atau cetakan cat secara terus pada badan candat.

Pada peringkat permulaan, penggunaan candat plastik padu dan kayu yang dicat pada badannya digunakan secara meluas. Sejak akhir-akhir ini penggunaan plastik kosong dan ringan serta dibaluti kain bercorak menjadi pilihan pencandat.

Candat yang digunakan di unjam lebih besar saiznya

Pada masa kini candat versi baru mengandungi ruang udara di dalamnya. Ruang udara ini berfungsi untuk mengawal candat supaya berada pada kedudukan tertentu. Candat versi baru juga menggunakan lapisan kain berwarna dimana di bahagian dalam kain berkenaan diletakkan kepingan kertas berwarna-warni di kiri dan kanan badan yang boleh dilihat secara samar-samar dari bahagian luar. Badan candat baru juga menggunakan campuran bahan luminous yang boleh menyimpan cahaya dalam jangka masa tertentu apabila disuluh dengan menggunakan lampu.

Di kiri dan kanan candat selalunya dipasang dengan sedikit bulu burung yang telah diwarnakan yang bertindak sebagai sirip. Penggunaan bulu ini bertujuan untuk mengimbangkan kedudukan candat udang. Bulu dipasang melurus ke hadapan dan hampir menutup mata candat.

Terdapat tiga jenis mata udang yang digunakan iaitu mata yang dilukis, mata yang digam dan mata yang dilekat tidak menggunakan gam. Mata udang dipasang pada kedua-dua belah kepala di kiri dan kanan. Mata udang juga sama seperti badan candat iaitu yang tidak menyimpan cahaya dan jenis luminous yang menyimpan cahaya.

Hujung candat akan dipasang dengan dua lapisan mata kail yang disusun secara membulat. Syarikat berbeza akan menampilkan susunan dan bentuk mata kail yang berbeza. Mata candat diperbuat daripada besi tajam tanpa ceracak. Terdapat juga syarikat di Jepun yang membuat penambahan dengan meletakkan mata-mata kail berlengkuk tunggal yang ditanam di bahagian atas badan jig.

Kumpulan candat yamashita. Pemilihan mata, bentuk dan jenis mata yang hampir sama.

Terdapat beberapa warna dominan yang dihasilkan oleh syarikat pengeluar candat iaitu warna merah, oren, kuning, pink, putih dan hijau. Pada masa kini, candat dicorak mengunakan gabungan pelbagai warna bagi menambahkan lagi penampilannya.

Warna candat yang berbeza adalah sesuai pada masa dan keadaan tertentu sahaja. Jangan memilih candat kerana kecantikannya. Sotong tidak mementingkan kecantikan candat. Sotong hanya akan memegang candat apabila ia hampir menyerupai makanannya. Sebagai contoh mudah, candat berwarna hijau yang dibeli akan menghasilkan warna biru violet di dalam air yang jernih ketika waktu bulan cerah. Ketika bulan gelap tentu candat berkenaan akan menghasilkan warna yang berbeza. Bagaimana jika air laut keruh ? Boleh anda bayangkan warna sebenar yang akan dihasilkan oleh candat-candat yang lain ?

Candat baru : Masih di peringkat ujian keberkesanan

Sebagai pengilat sotong, anda perlu melakukan percubaan dan kajian bagi mengetahui candat yang sesuai pada situasi yang berbeza. Post yang berikutnya, Abe Din akan cuba mengupas cara pemilihan candat berdasarkan pengalaman yang telah diperolehi sebelum ini-Abe Din
Read more >>

Tabiat Mabang

Seni pancingan sotong mabang adalah berbeza mengikut lokasinya. Terdapat empat lokasi atau keadaan di mana sotong mabang boleh dipancing iaitu :

1-Mengilat mabang dari kawasan berbatu ke arah laut
2-Mengilat sotong mabang dari kawasan laut ke arah batu atau pulau
3-Mengilat sotong mabang dari kawasan tepi pantai
4-Mengilat sotong mabang di kawasan unjam

Mengilat menggunakan kaedah 1 dan 3 tidak memerlukan pengilat sotong menaiki bot. Kaedah 1 dan 3 lebih menjimatkan kos.

Sebelum pemancing turun untuk mengilat sotong mabang, pemancing perlu memahami serba sedikit tentang tabiat pemakanan sotong mabang. Secara umumnya sotong mabang memakan ikan-ikan kecil, anak udang dan ketam kecil (ketam angin). Ada juga sotong mabang bersaiz besar memakan sotong-sotong yang bersaiz lebih kecil.

Ketika siang hari, sotong mabang akan berada di kawasan perlindungannya seperti kawasan batuan, pulau dan unjam. Pengilat sotong akan mudah menangkap sotong mabang di kawasan berkenaan di siang hari. Apabila hari semakin gelap sotong akan mula menjauhi kawasan berlindungnya untuk mencari makanan.

Selalunya sotong mabang remaja yang sama saiz akan bergerak secara berkumpulan. Sotong mabang yang besar pula kebiasaannya bergerak secara berpasangan. Pemancing perlu memahami pola ini untuk memastikan hasil tangkapan lebih baik.

Pergerakan sotong mabang tidaklah terlalu jauh seperti sotong torak. Selalunya, ia akan berulang-alik dan kembali semula di kawasan pemancing. Selalunya tarikan sotong hanya berlaku beberapa kali sahaja kemudian berhenti. Pengilat sotong yang mahir akan membuat dua tindakan samada menunggu sotong datang semula ke kawasannya atau berpindah mengikut pergerakan sotong yang dijangkakan. Keadaan ini tidak berlaku jika ketika itu sotong mabang cukup banyak menghampiri kawasan candat.

Ada dua keadaan sotong mabang memegang candat iaitu secara usik-lepas dan pegang-erat. Jenis sotong mabang yang usik-lepas atau teragak-agak ini sukar untuk dijerat. Cara pegangannya sama seperti pegangan sotong cumit atau jarum. Walaubagaimanapun penggunaan candat mahal yang cukup tajam sangat mudah untuk menjeratnya.

Jika sotong menangkap secara pegang-erat, peluang pemancing agak cerah untuk menaikkanya. Penggunaan candat bermata pendek boleh menyebabkan sotong terlepas kerana pegang-erat ini selalunya disertai dengan henjutan dan tarikan yang kasar. Pengilat dicadang untuk menggunakan candat yang mempunyai mata yang panjang dan kukuh.

Pengilat sotong yang mahir selalunya tidak akan melepaskan peluang untuk mengilat sotong ketika bulan cerah kerana sotong mabang dan spesies sotong lain cukup aktif pada ketika ini. Ketika bulan cerah, cuba minimumkan pergerakan kerana ini akan menyebabkan sotong beredar ke tengah laut. Pengilat sotong boleh membuat jangkaan jika sotong menyambar candat dari jarak jauh, ia menunjukkan sotong telah menyedari kehadiran pemancing. Jika tangkapan berdekatan dengan kawasan pengilat ini menunjukkan sotong berada pada kedudukan paling dekat dengan pengilat.

Latar belakang pengilat, warna baju dan penggunaan lampu merupakan faktor yang perlu diambil kira semasa mengilat sotong. Semasa bulan gelap, selalunya sotong akan memegang candat berhampiran dengan pengilat. Mengilat ketika bulan cerah dan gelap juga banyak dipengaruhi oleh kejernihan air dan pasang-surut. Perlu diingat sotong mabang tidak menyukai lampu seperti sotong torak. Ramai yang tidak tahu bahawa sotong torak juga tidak menyukai cahaya lampu yang tidak statik iaitu cahaya lampu yang digerak berulang kali.

Secara umumnya sotong mabang tidak akan berada jauh dari kawasannya berlindung iaitu kawasan batuan atau unjam. Amat jarang sotong mabang ditangkap di kawasan laut terbuka. Jika sotong mabang menyedari kehadiran bahaya samada manusia atau ikan, maka ia akan menjauhi kawasan ia berlindung tetapi tidak terlalu jauh. Apabila tiada ancaman, sotong akan kembali semula bermain di kawasan batuan. Jika ramai pemancing berulang-alik dan memasang lampu di kawasan mengilat, peluang untuk mendapatkan sotong mabang bersaiz besar adalah cukup tipis.

Mata hijaunya yang bersaiz besar sedikit sebanyak mempengaruhi tabiat dan cara hidup sotong mabang-Abe Din
Read more >>

02 June 2010

Mengenali Mabang

Sotong Mabang juga dikenali sebagai "sotong ngabang". Di pantai barat ia lebih dikenali sebagai "sotong harimau" mungkin kerana bentuk coraknya berbelang seperti harimau.

Corak yang terdapat pada badan sotong mabang

Sotong mabang mudah dijumpai di perairan air masin di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Ia agak berbeza dengan sotong torak yang banyak dijumpai di pantai timur semenanjung. Masa mencandat sotong mabang hampir sama dengan sotong torak iaitu pada bulan April hingga Oktober. Bagi tahun 2010 ini, kehadiran sotong mabang di pantai timur semenanjung agak lewat. Hingga kini bilangan mabang yang berjaya dipancing di kawasan pantai agak kurang. Walaupun begitu, mabang masih mudah dipancing di kawasan unjam.

Ketika musim mabang, adalah mudah untuk mengilatnya di kawasan berdekatan pantai. Sotong mabang yang ditangkap di kawasn unjam lebih besar daripada mabang yang berjaya ditangkap di kawasan pantai. Sotong mabang di unjam boleh mencapai berat purata diantara satu hingga dua kilogram.

Selain kawasan unjam, sotong mabang juga banyak dijumpai di kawasan berbatu dan pulau. Bagi pemburu hardcore sotong mabang, mereka lebih suka mengilat mabang pada waktu malam ketika bulan terang. Ada pencandat yang berjaya menaikan antara enam hingga tujuh kilogram sotong mabang semalaman. Sotong mabang juga boleh dipancing pada waktu siang, tetapi hasilnya agak kurang memuaskan. Pancingan di kawasan unjam pula lebih sesuai dilakukan di siang hari (pagi dan petang adalah waktu paling baik).

Bandingan saiz mabang yang berjaya ditangkap dengan sebatang pen

Semasa mengilat sotong mabang, sotong-sotong lain seperti jarum, ketupat dan torak juga kadang-kadang akan tumpang sekaki. Jika jumlah sotong torok dan jarum terlau banyak, sotong mabang akan berkurang. Sebaik sahaja sotong torak menjauhi kawasan pantai. Mabang akan mula mendominasi kawasan-kawasan tertentu di pantai.

Sotong mabang mempunyai lengan-lengan yang kuat bersama sepasang tantakel. Tantakel sotong mabang lebih panjang dari lengannya. Semasa berenang, sotong mabang selalunya akan menyembunyikan tantakelnya di sebalik lengan. Tantakelnya berfungsi seperti tali di dalam siri kartun spiderman. Apabila mabang hendak menangkap mangsanya, ia terlebih dahulu akan melancarkan sepasang tantakelnya dan dibantu oleh lengan yang lain. Nasibnya akan malang jika yang disumpitnya ialah candat.

Warna mabang yang baru dipancing lebih gelap
gambar hiasan

Di pantai timur, sotong mabang dianggap sebagai sotong yang cepat marah dan ganas (panggilan tempatan : bekeng). Jika sepuluh ekor sotong menghampiri kawasan mengilat, sudah tentu kesemuanya akan ditangkap pengilat sotong. Pemancing akan membawa naik sotong hingga habis. Mata sotong mabang yang besar dan berwarna kehijauan menyebabkan ia lebih mudah mengesan pergerakan candat.

Sotong mabang biasanya akan membuat pecutan laju dan teragak-agak ketika mengejar candat dan apabila tiba keadaan yang sesuai ia akan memegang candat berkenaan. Semasa menyejar candat, badannya berbentu larus dan sebaik sahaja ia berjaya memegang candat, kesemua lengannya akan dibuka bagi tujuan membrek. Berenang laju dan membrek secara tiba-tiba adalah bertujuan untuk menghalang candat yang disangka makanannya dari melarikan diri.

Jika mabang bersaiz besar, pemancing akan merasakan seolah-olah candat mereka tersangkut pada batu. Sebaik merasa sakit, mabang akan cuba melepaskan candat dari peganganya. Apabila gagal, sotong mabang selalunya akan membenam dan mengundur ke belakang dalam pergerakan lurus. Disebabkan sotong menggunakan bantuan jet air dan pancutan dakwat, ia akan sentiasa bergerak ke atas setiap kali air dipancut ke luar. Dalam beberapa minit sotong mabang akan berada di permukaan air.

Bunyi semburannya mula memecah kesunyian malam. Bunyi semburan air akan diserikan lagi dengan bunyi kekili. Semakin kuat semburan dan semakin kerap kekili berbunyi maka semakin besarlah sotong yang mengena. Gabungan irama ini sudah cukup untuk membuatkan rakan-rakan pancing lain yang berdekatan berasa cemburu dengan syarat sotong berkenaan tidak terlepas. Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing