"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

16 May 2010

Jenis-jenis Candat

Pelbagai Jenis Candat Untuk Menjerat Sotong Torak

Candat bagi menjerat sotong torak terdiri dari beberapa jenis antaranya candat twist, candat udang dan candat umpan. Setiap kali turun ke laut, kita memerlukan paling kurang dua kombinasi mana-mana jenis candat. Kadang-kala sotong tidak mahu memegang candat-candat tertentu.
Candat Baru (candat ultraman) Ini Cukup "Hit"

Keberkesanan candat banyak bergantung kepada kejernihan air, kekuatan arus, arah arus, suhu air laut, kemasinan air laut, keamatan cahaya lampu, warna cahaya lampu, keamatan cahaya bulan, cara henjutan candat, nafsu makan sotong dan yang paling penting ialah jumlah sotong yang berkumpul di bawah bot. Penggunaan candat berbeza memberikan peluang kepada pencandat untuk mendapatkan hasil yang lebih.

Variasi Candat Udang

Pada post yang berikutnya, saya akan cuba menerangkan cara candat-candat ini diikat dan dikombinasikan-Abe Din.
Read more >>

Pemilihan Candat

Candat merupakan satu perkara penting yang mungkin menentukan hasil yang akan diperolehi. Pemilihan candat bukan sekadar ikut-ikutan. Ramai pencandat baru membeli candat hanya berpandukan nasihat dan cadangan tokeh kedai pancing. Perlu diingat (bukan semua) selalunya tokeh kedai pancing mempunyai agenda untuk melariskan jualan sahaja. Stok lama yang tidak laku perlu dihabiskan untuk menempatkan stok baru pula. Bukan semua tokeh kedai yang menjual candat terdiri dari pencandat tegar. Mungkin mereka langsung tiada pengalaman mencandat sotong.

Sepanjang pengalaman saya memancing sotong (lebih kurang 10 tahun), inovasi pengeluaran candat sentiasa berubah dari setahun ke setahun. Perubahan paling ketara sejak 3 tahun kebelakangan ini. Selalunya candat jenis baru lebih "kick" dari versi lama. Harganya pula tentunya lebih mahal sedikit.

Jika kita berpeluang untuk membuat carian di internet, pastinya kita akan menemui candat-candat versi baru yang tidak terdapat di pasaran Malaysia. Candat-candat ini banyak dipasarkan di Singapura, Taiwan dan China. Pada masa kini candat-candat buatan China dan Jepun cukup banyak mendominasi pasaran Malaysia dan dunia.

Dalam keghairahan kita mencuba candat-candat luar negara ini, jangan pula kita lupa kepada candat-candat tradisional termasuk candat-candat yang dihasilkan di negara kita sendiri. Dari uji lapangan yang dijalankan, candat lama buatan tempatan masih berbisa walaupun buatan dan kombinasi warnanya kurang menarik . Candat tempatan ini juga lebih murah harganya.

Jika anda berpeluang ke Bali Indonesia, cuba dapatkan candat buatan tempatan yang dijual di sana. Sekali lihat, candat yang dihasilkan oleh anak tempatan di sana sememangnya kurang menarik jika hendak dibandingkan dengan candat moden tetapi keberkesanannya menjerat sotong memang tidak boleh dipertikaikan. Dengan melihat saiz candat yang besar, sukar untuk kita bayangkan saiz sotong yang bakal menyambarnya. Tentunya sangat besar.

Jangan sekali-kali kita melihat kepada kecantikan candat sahaja. Pandangan kita tidak sama dengan pandangan sotong. Cara yang terbaik, kita kena banyak bertanya kepada pencandat-pencandat yang lama. Jangan pula kita memandang rendah kepada pencandat tempatan. Jika kita perhatikan hasil yang diperolehi oleh penduduk tempatan, mungkin kita tidak percaya jenis candat yang mereka gunakan. Jangan lupa "Lain Padang, Lain Belalangnya"-Abe Din.
Read more >>

15 May 2010

Alat & Kelengkapan

Persediaan kelengkapan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu makanan, keperluan peribadi, dan peralatan mencandat.

Makanan yang perlu disediakan bergantung kepada tempoh trip. Selalunya, tekong bot memasak dan menyediakan makanan kepada penyewa. Semua ini termasuk di dalam pakej sewaan bot. Jika makanan tidak disediakan, selalunya bot berkenaan tidak menawarkan tempoh trip yang lama. Seeloknya, peserta trip menyediakan makanan yang ringkas seperti roti, biskut serta air minuman yang mencukupi.

Keperluan peribadi yang perlu dititik berat termasuklah ubat-ubatan. Adalah elok jika tekong menyediakan kotak ubat kecemasan di dalam botnya. Pada waktu malam, suasana di laut sangat sejuk. Jika ada tiupan angin, sejuknya hingga ke tulang. Pastikan anda membawa baju sejuk. Keperluan lain adalah ala kadar sahaja.

Peralatan mencandat adalah mengikut keperluan individu. Pencandat baru perlu meminta nasihat pencandat yang lama sebelum membeli peralatan mencandat. Ini akan mengelakkan mereka daripada membeli peralatan yang tidak diperlukan. Jangan bergantung 100% kepada nasihat pekedai kerana kadang-kadang peralatan berkenaan sememangnya tidak perlu. Pastikan peralatan yang dibeli mencukupi mengikut keperluan anda.

Ingat, tiada kedai di laut. Sedaikan payung sebelum hujan- Abe Din
Read more >>

Pemilihan Tekong

Tekong merupakan individu penting yang banyak memberi sumbangan kepada aktiviti mencandat sotong. Dengan bayaran yang mahal, pencandat berhak untuk mendapatkan khidmat terbaik daripada tekong.

Tekong sepatutnya mahir mencari kandang sotong atau tempat sotong bertelur. Mereka juga akan mengalih bot tanpa disuruh jika tiada henjutan sotong. Ada juga tekong yang membawa awak-awaknya yang sememangnya mahir mencandat sotong. Apa yang menarik, semua hasil candat mereka malam itu akan diberikan kepada penyewa bot.

Sekadar gambar hiasan

Tekong yang baik juga tidak lokek untuk menunjuk ajar dan memberikan bantuan yang sepatutnya kepada penyewa mereka. Saya sendiri banyak mendapat tunjuk ajar daripada tekong-tekong bot yang saya sewa. Bantuan mereka ikhlas dan tidak tertumpu kepada kaum hawa sahaja. Ada juga tekong, yang sudi meminjamkan kelengkapan dan peralatan mencandat kepada penyewanya. Makananpun mereka sediakan. Ada tekong yang mengajak peserta trip makan dirumahnya.

Walaubagaimanapun, tekong-tekong gred A ini agak sukar untuk diperolehi. Kalau adapun, mereka sangat sibuk dan jadual mereka sentiasa penuh. Bot mereka kerap ditempah untuk membawa pemancing dan pencandat sotong.

Jika kita gagal mendapatkan tekong gred A ini, kita sebagai pemancing perlulah cuba untuk beradaptasi dengan kerenah tekong. Sebaiknya jangan menimbulkan suasana hubungan yang tidak baik antara ahli trip dengan tekong. Jika anda berpuas hati dengan khidmat tekong anda, pastikan anda menempah tekong berkenaan untuk trip yang berikutnya-Abe Din.
Read more >>

Pemilihan Ahli Trip

Keseronokan sesuatu trip mencandat yang dirancang dapat diukur melalui hasil yang diperolehi. Jika hasil memberangsangkan, sudah tentu wajah kepuasan boleh dilihat pada semua ahli trip. Maka, sepanjang perjalanan pulang ke tempat masing-masing akan diisi dengan cerita berkaitan trip yang dilalui. Jika hasilnya kurang, wajah setiap ahli akan dicorakkan dengan keletihan dan kepenatan. Hendak bersembangpun malas.

Sebaik-baiknya, ada antara ahli yang pernah menyertai trip candat pada tahun-tahun sebelumnya. Beliau boleh bertindak sebagai sifu dan boleh menunjuk ajar pencandat yang tidak berpengalaman. Elakkan membawa pencandat yang mudah mabuk laut. Jika naik keretapun muntah, bagaimana nak naik bot. Seeloknya tinggal sahaja di rumah penginapan.

Jika ada peserta trip yang mabuk. Biarkan dia berehat di dalam kabin bot (itupun jika bot ada kabin, jika tidak tidur le kat tepi bot). Kebanyakkan peserta yang mabuk, selalunya hilang selera untuk mencandat. Bagaimana jika ramai yang kecundang ? Tentunya hasil tangkatan akan semakin kurang.

Jika ramai ahli yang mahir, rezeki akan lebih murah. Ada kumpulan trip yang membayar sewa bot hanya dengan menjual hasil sotong yang dicandat. Lebihan wang hasil jualan selepas ditolak sewa bot dibahagikan sama rata. Berkilo-kilo sotong yang tidak dijual disimpan untuk dibawa balik ke rumah.

Bagi memajukan lagi aktiviti mencandat ini, seelok-eloknya pemilihan ahli trip terdiri daripada gabungan muka lama dan muka baru. Apa yang penting, semua ahli trip mesti satu kepala dan tidak mementingkan diri sendiri-Abe Din
Read more >>

Pemilihan Bot

Bot merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian yang serius sebelum trip. Saiz bot, Lokasi bot, Keselesan bot dan kadar sewa perlu diteliti dan di beri perhatian yang sewajarnya.


Gambar di atas merupakan sebuah bot yang pernah diiklankan di dalam mudah.my bagi disewa oleh pencandat. Usaha tuan bot sangat dipuji kerana secara tidak langsung ia akan memberi banyak kemudahan kepada pencandat terutamanya yang datang dari luar Terengganu. Pencandat boleh menghubungi dan berunding berkaitan harga sewaan melalui telefon dengan tuan bot. Jika mempunyai masa terluang adalah lebih baik jika wakil kumpulan pencandat datang sendiri dan melihat keadaan bot yang ditawarkan.

Pemancing akan berada di dalam bot dalam tempoh yang lama dan faktor keselesaan adalah isu utama. Kenalpasti saiz bot, bilangan penumpang yang ideal serta kemudahan yang disediakan oleh tekong bot. Di pantai timur, lokasi bot bukan merupakan faktor yang boleh menyukarkan pemancing untuk sampai, cuma lokasi tersorok akan mendedahkan kenderaan kita kepada aktiviti jenayah dan akan merugikan pemancing.

Sekadar gambar hiasan

Bagi kumpulan kecil, adalah lebih baik menyewa bot fiber bersaiz lebih 20 kaki. Bot fiber lebih laju dan jauh lebih murah dari bot nelayan. Jika berlaku hujan dan ribut akibat perubahan monsun, pemancing boleh kembali ke pantai dengan lebih cepat. Bot fiber agak kurang selesa bagi kumpulan yang ramai. Kerana saiznya yang kecil, ia lebih kuat bergoyang. Pemancing yang tidak tahan, akan mudah mabuk laut dan termuntah.

Bot nelayan lebih selesa tetapi kadar sewanya lebih mahal. Pemancing-pemancing baru dinasihatkan supaya banyak bertanya kepada pemancing lama mengenai bot-bot yang sesuai untuk disewa. Pastikan bot-bot berkenaan mempunyai jaket keselamatan. Jika tiada, lebih baik pemancing membawa jaket keselamatan sendiri. Jika tiada juga, lebih baik pinjam dari kawan. Jika masih tiada juga, lebih baik jangan pergi. Perlu diingat, ramai di kalangan pemancing yang lemas adalah mereka yang mahir berenang. Malang tidak berbau.

Elok juga jika bot-bot yang dipilih mempunyai lesen membawa pemancing. Kebanyakan bot mencandat tidak mempunyai lesen bagi membawa pemancing. Agak leceh jika masa mencandat kita digunakan untuk bersoaljawab dengan penguatkuasa di tengah laut. Ada pemancing yang didatangi oleh penguatkuasa laut terpaksa mengaku bahawa mereka adalah saudara mara tekong bot bagi mengelakkan tindakan. Di Terengganu, keadaan ini hampir tidak berlaku memandangkan bot-bot mencandat berada di kawasan yang tidak jauh dari pantai. Jika pencandat berada di laut lepas, kemungkinannya tetap ada.

Jika anda mempunyai rakan atau teman-teman sepejabat dari Terengganu dan Kelantan, minta bantuan mereka untuk mencari bot. Sebelum itu pastikan rakan anda itu, menetap di kawasan berdekatan pantai bukan di kawasan Tasik Kenyir. Harga sewaan bot mungkin akan lebih murah dari biasa.-Abe Din
Read more >>

Merancang Trip

Sekadar gambar hiasan

Musim mencandat muncul lagi. Menjelang bulan April banyak trip-trip mencandat sotong telah diadakan. Kebanyakan trip tertumpu di perairan pantai timur. Terengganu merupakan destinasi pilihan.

Hampir kebanyakkan pemancing datang dari negeri-negeri di sebelah pantai barat. Ramai antaranya adalah pencandat-pencandat mahir yang datang setiap kali musim mencandat tiba. Selebihnya adalah pencandat-pencandat baru yang mula berjinak-jinak dengan aktiviti ini.

Pencandat-pencandat baru ini, telah mendengar keseronokan mencandat dari rakan-rakan mereka pada tahun-tahun sebelumnya. Ramai juga peserta trip dianggotai oleh pencandat-pencandat daripada kaum hawa.

Setelah perancangan beberapa bulan, maka trip ditetapkan. Selepas trip berakhir, keindahan yang digambarkan tidak seindah mana. Ramai anggota trip yang mabuk, cemas berhadapan ribut, hujan serta hasil yang diperolehi kurang memuaskan. Dua kemungkinan yang akan berlaku, samada pencandat berkenaan akan datang lagi atau sudah serik mencandat.

Perkara-perkara ini dapat dielakkan jika pencandat dan bakal pencandat mengambil masa untuk belajar dan membuat persediaan yang sepatutnya sebelum menyertai trip mencandat. Dari pengalaman saya mengikut trip-trip mencandat, berani saya menyatakan bahawa kebanyakkan pencandat baru tidak membuat persediaan yang secukupnya terutama dari segi ilmu mencandat sotong sebelum menyertai trip.

Ada diantaranya yang membawa joran udang dan joran tenggiri untuk mencandat sotong. Tidak kurang juga yang mula terkial-kial belajar menggunakan "serek" atau "koyan" yang sering digunakan oleh nelayan-nelayan tempatan.

Satu trip mencandat sotong 2 hari satu malam ( petang-tengahari) melibatkan kos sewaan bot hingga RM850.00-RM1500.00 Jika kumpulan trip datang dari Kuala Lumpur, kos perjalanan, penginapan, perbelanjaan makanan dan peralatan tidak mustahil mencecah sehingga RM3000.00 bagi setiap kumpulan trip mencandat. Walaubagaimanapun kos sewaan bot bergantung kepada lokasi dan tidak diseragamkan. Menjelang musim puncak, kos sewaan bot candat meningkat dengan mendadak.

Bayangkan kos dan masa yang dilaburkan tidak membuahkan hasil yang memuaskan. Sotong yang dibawa balikpun tokeh bot yang tolong candat. Aktiviti mencandat bukanlah sesuatu yang boleh dirancang dengan sambil lewa. Beberapa faktor seperti pemilihan bot, penyediaan alat dan kelengkapan, pemilihan ahli kumpulan, faktor kesediaan fizikal dan mental, serta pengetahuan mencandat perlu diberi perhatian sebelum sesuatu trip.

Post berikutnya akan membincangkan dengan lebih lanjut tentang faktor-faktor berkaitan.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing