Salam kunjungan untuk semua hardcore sotong. Seperti yang dijanjikan... kita teruskan berbincangan tentang modifikasi jig bagi memberi idea dan kefahaman pembuatan dan pemilihan jig yang sesuai untuk kita beraksi di lapangan.
Hampir kesemua jig yang digunakan untuk menipu sotong mengabang adalah meniru bentuk udang. Udang merupakan salah satu diet yang disukai sotong selain ikan dan ketam. Gerakan jig berbentuk udang dicipta dengan gerakan turun naik dan dapat menipu sotong dengan cukup berkesan. Bukan sahaja sotong ikan pun ada yang tertipu juga.
Udang Harimau Antara Pilihan Pereka Jig
Udang harimau mempunyai corak yang berupaya menarik perhatian sotong. Ada jig yang ditiru mengikut corak, warna, kaki, gaya renangan dan bentuk. Peniruan yang telah dibuat akan diuji di lapangan untuk diketahui keberkesanannya dan proses pembetulan. Peniruan paling banyak yang dibuat adalah dari segi corak dan gaya renangan.
Peniruan Corak Kulit Udang Harimau
Peniruan juga banyak dilakukan terhadap gaya renangan udang. Hampir kesemua jig udang dipasang bulu di kiri dan kanan bagi melambatkan kadar jatuhan... juga untuk kesimbangan jig. Apabila jig lambat jatuh... pelbagai teknik boleh digayakan. Pada masa kini kadar jatuhan jig juga boleh dikawal dengan cara membina badan jig menggunakan hollow plastic. Plastik jenis ini akan memerangkap udara di bahagian dalam dan ianya akan menjadi lebih ringan dan lambat jatuh.
Ada juga peniruan dari segi bentuk. Bentuk badan udang menjadi pilihan pereka-pereka Jepun dan China. Bentuk yang hampir menyamai badan udang lebih berkesan menipu sotong. Sejak akhir-akhir ini... jig udang juga dipasang dengan kaki yang meniru seakan-akan kaki udang. Jig jenis ini juga berkesan menipu sang lembut.
Jig udang berkaki plastik
Corak udang bukan sahaja boleh dilihat menggunakan mata kasar tetapi rekacipta kini lebih mengutamakan corak maya yang hanya boleh dilihat di dalam gelap dan ketika keamatan cahaya rendah. Secara zahirnya jig jenis ini tidak begitu cantik di mata kita tetapi sangat menarik di mata sotong.
Keadaan Jig Di Dua Keamatan Cahaya yang Berbeza
Kurang Cantik dan Kurang Menarik
Dengan kehadiran teknologi luminous dan heat jacket... jig yang direka menjadi lebih berkesan menawan sotong. Gabungan ciri udang dan penemuan terkini tentunya akan digunakan secara meluas pada tahun-tahun yang mendatang.
Jig Udang yang Lebih Brutal
Jika kita rajin meng'google imej jig sotong.... kita boleh jumpa, majoriti jig yang direka meniru bentuk udang. Ada juga yang meniru bentuk ikan tetapi tidak begitu banyak. Jig popular menjerat sotong torak berbentuk roket.... walaupun begitu, sotong torak juga suka jig berbentuk udang. Dari pengalaman ambe di lapangan, jig udang berupaya menawan sotong mengabang, torak, cumi-cumi, jejarum dan sotong katak. Reputasi sebagai seekor udang... memang berkesan menambat hati sang lembut-Abe Din
No comments:
Post a Comment