"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

25 June 2010

Gaya Mengilat

Salam untuk semua..
Bila sibuk dengan tugas harian hendak update blogpun tiada masa. Sudah hampir seminggu tidak turun ke padang pancing sotong. Ramai yang bersunggut sotong di Terengganu semakin kurang. Banyak trip-trip yang gagal dan hanya bawa tangkapan ikan pulang ke pengkalan. Kalau adapun hanya beberapa kilogram sotong torak.

Mungkin sudah tiba masanya, penggila-penggila sotong ini mengubah sasaran tangkapan kepada sotong mabang pula. Pada masa kini, sotong mabang pelbagai saiz sudah mula menghampiri persisir pantai di Terengganu. Jika keadaan bulan dan air sesuai, tentu tangkapan tidak mengecewakan.

Pada post kali ini, Abe Din akan cuba menunjukkan teknik atau gaya asas mengilat sotong. Teknik-teknik ini boleh digunakan di pelbagai lokasi padang pancing iaitu kawasan persisir pantai, batuan, sekitar pulau dan unjam buatan manusia. Teknik dan gaya yang dipaparkan pada kali ini adalah gaya yang selalu Abe Din guna ketika mengilat sotong. Gaya-gaya ini lebih sesuai jika dimainkan dengan menggunakan joran. Jika anda rajin, cuba buat carian di internet bagi melihat gaya-gaya pancingan orang-orang Jepun dan Taiwan.

Sebelum kita membicarakan tentang gaya asas mengilat, cuba fahami pergerakan asas candat seperti yang ditunjukkan oleh rajah di bawah. Bagi peminat sotong yang sentiasa mengikuti penulisan Abe Din tentunya pernah melihat rajah di bawah pada post sebelumnya. Candat yang baik akan mempamerkan gerakan turun naik dengan bahagian kepala sentiasa menghala ke bawah. Jika candat yang digunakan tidak mampu membuat pergerakan seperti ditunjukkan, risiko untuk tersangkut lebih tinggi. Sotong mabang jarang melepaskan peluang bersalam dengan candat yang beraksi seperti rajah di bawah.


Rajah berikutnya menunjukkan cara-cara bagaimana umpan candat boleh dimainkan. Abe Din menyenaraikan 5 kaedah yang biasa Abe Din gunakan. Selalunya joran dipegang menggunakan tangan kanan manakala kekili dipegang menggunakan tangan kiri. Tangan kanan akan menghenjut joran manakala tangan kiri berfungsi untuk memusing kekili pada masa dan ketika tertentu. Apabila sotong menarik jig, tangan kanan perlu mengangkat joran ke atas secara tegak manakala tangan kiri memusing kekili sambil melaraskan drag. Kombinasi penggunaan tangan kanan dan kiri akan menghasilkan gerakan candat yang pelbagai. Dari pengalaman Abe Din, faktor dalaman dan luaran jig (telah dibincangkan pada post sebelum ini) sangat mempengaruhi gaya mengilat. Pengilat perlu banyak melakukan percubaan bagi mencari gaya mengilat yang sesuai dengan jig dan keadaan persekitaran padang pancing.

Kaedah 1-Jig dibaling jauh dan dibiarkan jatuh ke dasar. Jig kemudiannya ditarik secara berlahan-lahan tanpa menghenjut. Teknik ini sesuai digunakan di kawasan persisir pantai yang berpasir. Kaedah ini mensasarkan sotong mabang yang berada di kawasan dasar laut.

Kaedah 2-Jig dibaling jauh. Biarkan jig jatuh seketika mengikut anggaran kedalaman yang dikehendaki. Lakukan henjutan sekali, pusing kekili sekali, berhenti dan henjut semula. Lakukan secara berulang-ulang. Teknik ini sesuai dilakukan di kawasan persisir pantai, pulau dan kawasan berbatu.

Kaedah 3-Kaedah ini adalah kombinasi kaedah 1 dan kaedah 2. Jig dibaling jauh. Henjut jig sekali, kayuh kekili tiga kali (3) dengan perlahan dan henjut semula. Lakukan secara berulang. Teknik ini sesuai pada semua paras air di kawasan pesisir pantai, pulau dan kawasan berbatu.

Kaedah 4-Kaedah ini adalah sama seperti kaedah 3. Apa yang membezakannya ialah masa kayuhan kekili ditambah melebihi tiga kali (3) mengikut keselesaan pengilat

Kaedah 5-Jig dibaling jauh. Biarkan jig tenggelam seketika. Lakukan henjutan dua kali (2) dan pusing kekili secara perlahan mengikut bilangan yang disukai oleh pengilat.

Kaedah-kaedah yang ditunjukkan sangat afektif digunakan bagi menjerat sotong mabang. Jenis candat kepala ke bawah adalah paling sesuai untuk menggayakan kaedah yang dinyatakan di atas. Jig yang dipilih juga perlulah ringan dan tidak terlalu berat. Perlu diingat ketika kayuhan dilakukan, joran perlu direndahkan.

Berikutnya, disertakan sekali animasi gerakan candat yang Abe Din jumpa ketika membuat carian di internet. Sila perhatikan cara pengerakan jig dan cuba bayangkan juga cara tangan pengilat digayakan. (click pada imej untuk melihat animasi)


Abe Din harapkan apa yang dipaparkan kali ini akan dicuba di padang pancing sotong. Sebenarnya terdapat banyak lagi gaya yang digunakan oleh pemancing-pemancing hardcore sotong mabang yang tidak didedahkan kepada umum. Semoga pengilat-pengilat sotong tidak kedekut ilmu. Kongsilah pengetahuan yang anda ada dengan pengilat-pengilat lain agar ilmu berkenaan terus berkembang dan tidak pupus-Abe Din
Read more >>

17 June 2010

Cara Ikatan

Pada post kali ini saya akan menerangkan secara umum bagaimana untuk mengikat perambut bagi pancingan sotong mabang. Untuk pengetahuan semua, hanya pancingan di unjam sahaja yang memerlukan ikatan perambut khas. Bagi pancingan di kawasan pesisir pantai, jig atau candat diikat terus kepada tali utama.

Saya mempelajari cara ikatan ini daripada nelayan tradisional di Terengganu. Cara ikatan ini juga digunakan untuk memancing ikan. Perbezaan ketara antara pancingan ikan dan sotong adalah dari segi kekuatan tali utama dan kekuatan perambut. Panjang perambut juga berbeza di antara jenis-jenis ikan dan sotong.

Antara alat utama yang digunakan ialah batu pemberat atau lebih dikenali sebagai 'batu ranggon' oleh nelayan tempatan. Batu pemberat diperbuat daripada timah berbentuk seperti telur sotong. Memandangkan harga batu pemberat timah semakin mahal, nelayan tradisional telah beralih kepada penggunan besi padu yang dikerat serta dipateri. Pemberat buatan sendiri ini lebih murah dan tahan lama berbanding pemberat timah.

Rupa timah pemberat yang berbeza dari timah berlubang yang lebih kecil

Di samping pemberat, sejenis alat yang juga penting ialah tanduk. Pada masa dahulu tanduk diperbuat daripada tanduk kerbau yang diraut dan dilentur menggunakan api agar membengkok kemudian diikat dan dianyam menggunakan tali tangsi. Pada masa kini, tanduk plastik lebih mudah ditemui di kedai-kedai pancing.

Perbezaan antara tanduk kerbau dan tanduk plastik

Tujuan utama penggunaan tanduk dan pemberat adalah bagi mengelakkan tali perambut daripada terlilit pada tali utama. Penggunaan tanduk akan menyebabkan tali perambut menjauhi tali utama. Walaubagaimanapun jika tiada arus, tali utama dan tali perambut kadang-kadang boleh juga terlilit dan berpintal.

Timah pemberat yang siap dipasang pada tanduk

Di bawah ditunjukkan illustrasi ikatan perambut yang telah siap disambung kepada tali utama. Tali utama boleh dipasang pada kekili pancing ataupun serek. Perbezaan ketara antara perambut bagi pancing dan serek adalah pada kekuatan tali utama dan kekuatan perambutnya.

Penerangan Rajah
1-Tali utama
2-Tanduk
3-Tali perambut
A-Swivel. Boleh juga dipasang pada hujung tanduk dan hujung perambut.
B-Batu Pemberat ( batu raggon)
C-Candat udang atau jig
X-Jarak antara tanduk dan jig lebih kurang 1 hingga 2 depa


Peringatan
1-Pastikan tali perambut lebih kecil daripada tali utama
2-Penggunaan perambut terlalu panjang akan memudahkan ia tersangkut pada unjam.
3-Ketika menarik sotong, pastikan tanduk dan pemberat diletakkan pada kedudukan mudah untuk dilepaskan semula ke laut jika terjadi henjutan akhir yang kuat.

Penggunaan perambut pendek adalah bagi mengelakkan jig tersangkut pada unjam. Jangan turunkan jig secara tergesa-gesa kerana perambut pendek mudah tersangkut pada tanduk. Jika tiada arus, jig mesti diturunkan secara perlahan-lahan bagi mengelakkan perambut terbelit.

Anda boleh menambah panjang perambut jika bot anda dilabuhkan berjauhan daripada unjam. Anda juga boleh menggunakan teknik seperti pancingan torak iaitu meletakkan jig udang ditengah dan candat twist di bahagian paling bawah untuk menjadi pemberat. Jika anda menggunakan teknik ini, penggunaan tanduk dan timah pemberat tidak diperlukan-Abe Din.
Read more >>

Pemilihan Swivel

Swivel yang biasa digunakan oleh pemancing ikan dan sotong
Gambar hiasan

Swivel adalah satu alat yang digunakan untuk menyambungkan antara tali dan candat atau jig. Penduduk tempatan lebih mengenalinya jika digunakan perkataan 'cili'.

Jenis-jenis swivel yang biasa saya gunakan

Ramai di kalangan pencandat dan pemancing sotong tidak begitu mengambil berat tentang penggunaan swivel ini. Jika swivel tidak digunakan, tali akan mudah bergulung seperti spring. Tanpa penggunaan swivel, jig atau candat akan berpusing apabila diangkat ke udara. Keadaan ini juga boleh berlaku jika swivel anda rosak disebabkan karat.

Perlu diingat tali yang bergelung kerana tidak menggunakan swivel tidak akan tahan lama dan mudah kusut. Secara umumnya swivel dihasilkan dalam tiga warna utama iaitu berkilat, warna emas, dan hitam. Dari ujian lapangan yang dijalankan, warna berkilat lebih berkesan diikuti oleh warna emas dan hitam.

Apabila jig udang dihenjut dan dibiarkan jatuh, swivel juga akan mengalami pergerakan yang sama. Sekali lihat ia seolah-olah jig udang berkenaan sedang mengejar makananya iaitu swivel. Penggunaan warna yang berkilat akan memudahkan sotong memfokus kepada swivel dan secara tidak langsung kepada jig. Pengubahsuaian swivel agar lebih afektif akan diterangkan pada post yang berikutnya.

Cara swivel dibentuk
Gambar hiasan

Pemilihan swivel juga perlu melihat kepada bahan yang digunakan serta harganya. Bagi saya, soal harga dan bahan buatannya cukup diutamakan. Saya lebih suka mendapatkan swivel yang lebih keras walaupun harganya agak mahal. Elakkan dari membeli swivel murah kerana ia lebih mudah terbuka. Dari segi rekabentuknya, saya lebih menyukai swivel yang mempunyai cangkuk yang bengkok kerana ianya lebih kuat dan tertutup kemas.

Beberapa orang rakan mengilat sotong pernah menceritakan kepada saya di mana swivel mereka pernah terbuka disebabkan penangan sotong mabang. Jika swivel terbuka maka sotong akan terlepas dan jig akan hilang bersama sotong berkenaan. Bukan sahaja swivel, mata candat Yamashita yang terkenal kuat dan keras juga boleh menjadi lurus dikerjakan oleh sotong bersaiz mega. Pengalaman-pengalaman ini menyebabkan saya cukup berhati-hari ketika memilih swivel dan candat.

Antara swivel yang terdapat di pasaran
Gambar hiasan

Penggunaan swivel juga boleh memudahkan pemancing atau pengilat sotong untuk menukar dan memasang candat baru. Ketika di padang pancing, umpan jig berlu kerap ditukar bagi mengetahui selera sotong pada hari berkenaan. Jika jig diikat terus pada tali utama tentunya sukar untuk membuka dan mengikat jig yang baru. Aktiviti berkenaan akan membuang masa anda. Pilihlah swivel yang mudah untuk dibuka dan dipasang terutamanya ketika pancingan pada waktu malam.

Secara umumnya, pemilihan swivel merujuk kepada kekuatan, harga, warna dan juga kemudahan semasa ia digunakan. Setiap kali anda turun ke lokasi mengilat, pastikan tali diikat semula pada swivel. Lebih baik jika anda menggunakan swivel yang baru kerana air masin boleh melemahkan kekuatan swivel. Pastikan juga swivel ditutup kemas sebelum jig dibaling ke laut bagi mengelakkan kerugian-Abe Din
Read more >>

Pemilihan Tali

Penggunaan dan pemilihan tali pancing perlu disesuaikan dengan lokasi dan peralatan lain yang digunakan. Pancingan sotong mabang tidak memerlukan tali yang mahal atau berjenama. Bagi pemancing profesional, penggunaan tali sangat diambil berat bagi mendapatkan kepuasan memancing sebenar. Jika anda adalah pemancing atau pengilat sotong yang baru hendak mengenali aktiviti ini cukup dengan persediaan tali yang ala kadar sahaja.

Pada post kali ini, saya akan menjelaskan serba sedikit cara memilih tali bagi pancingan sotong mabang. Secara umumnya ia sangat pergantung kepada lokasi, saiz sotong dan jenis pancingan yang telah anda sediakan. Huraian saya akan lebih berkisar tentang faktor lokasi pancingan. Seperti yang diketahui sebelum ini, terdapat dua lokasi utama memancing atau mengilat sotong mabang iaitu di laut terbuka atau unjam dan kawasan persisir pantai.

Laut terbuka atau unjam
Ada dua perlatan yang biasa digunakan di kawasan ini iaitu serek dan pancing. Jika anda menggunakan joran atau pancing, tali utama perlulah berkekuatan di bawah 50-60 paun memandangkan jenis pancingan yang digunakan di kawasan ini jenis sederhana dan menyamai pancingan untuk ikan bersaiz bawah 3 kilogram. Perambut perlulah berkekuatan lebih kurang 20 hingga 30 paun. Anda boleh memilih untuk menggunakan tali tangsi atau benang sebagai tali utama dan perambut.

Tali murah cap burung helang
Gambar hiasan

Bagi pengguna serek, tali yang digunakan perlu lebih besar iaitu diantara 80 hingga 150 paun. Penggunaan tali yang mempunyai diameter besar ini adalah bagi memudahkan pemancing memegang dan menarik tali berkenaan. Perambut yang digunakan pula hendaklah berkekuatan di antara 25 hingga 50 paun. Tali benang boleh digunakan sebagai perambut sahaja. Saya selalu menggunakan tali nylon berharga murah.

Serek yang dipadankan dengan tali utama yang berharga murah sepanjang 100 hingga 200 meter
Gambar hiasan

Penggunaan tali perambut bersaiz besar adalah kerana pancingan di unjam memerlukan pemasangan tanduk dan batu ladung khas bagi mengelakkan tali daripada kusut. Bagi menampung berat batu ladung berkenaan, tali yang lebih kuat diperlukan. Kaedah dan cara ikatan perambut akan dibincangkan pada post yang berikutnya.

Kawasan persisir pantai
Kebiasaannya, pengilat dan pemancing hanya menggunakan joran pancing ketika mengilat sotong di kawasan persisir pantai. Tali yang digunakan adalah disesuaikan dengan jenis pancing dan kekili seperti yang telah dibincangkan di dalam post sebelumnya. Terdapat juga pemancing yang menggunakan serek tetapi bilangannya sangat kecil. Dalam perbincangan ini saya tidak akan menyentuh berkenaan penggunaan serek di kawasan persisir pantai.

Tali yang sesuai bagi joran pesisir pantai ialah berkekuatan di antara 8 hingga 15 paun dengan diameter tali di antara 0.20 hingga 0.25mm. Penggunaan tali berdiameter kecil akan mempercepatkan candat jatuh ke dasar. Joran pancing hanya menggunakan tali utama dan tidak memerlukan perambut kerana candat atau jig akan terus diikat kepada swivel dan tali utama.

Kekili pancingan pesisir tidak besar dan tali yang dilihat juga terhad. Selalunya saya membeli tali yang bersaiz kecil sepanjang 100m. Adalah diingatkan anda tidak melilit semua tali berkenaan ke dalam kekili anda. Memadai jika anda hanya menggunakan sepanjang 60 hingga 70 meter. Pemasangan tali yang memenuhi kekili akan menyebabkan terjadinya 'sarang burung'.

Tali yang biasa saya gunakan di kawasan pesisir pantai

Ada juga sesetengah pemancing yang menggunakan tali benang sulam yang lebih kuat. Jika anda mengambil keputusan menggunakan tali sulam, pastikan anda benar-benar mahir mengendalikannya. Dibimbangi orang lain menarik sotong, anda asyik buat 'jala'. Tali sulam mudah membelit di hujung joran jika basah. Ia juga boleh menimbulkan masalah jika tersangkut pada mata candat yang tajam. Lebih sukar lagi jika pancingan dilakukan pada waktu malam.

Tali sulam VS Tali tangsi

1-Saiznya dan diameternya kecil dan cukup kuat. Candat akan mudah diselamatkan jika tersangkut. Disebabkan tali benang lebih kuat, mata candat akan terbuka dan candat dapat diselamatkan. Jika tali tangsi yang mempunyai diameter sama digunakan, risiko putus lebih tinggi.

2-Harga tali sulam lebih mahal daripada tali tangsi

3-Tali sulam mudah terbelit dihujung cincin joran apabila basah.

4-Tali sulam lebih tahan geseran batu karang berbanding tali tangsi

5-Tali sulam sukar dileraikan jika tersimpul berbanding tali tangsi


Setiap orang mempunyai pendapat dan pandangan masing-masing. Anda tidak semestinya bersetuju dengan cadangan yang diutarakan. Sebagai pemancing anda perlu banyak bertanya dan mencuba sehingga anda bertemu sesuatu yang benar-benar sesuai dengan jiwa anda. Jika berkemampuan, anda boleh mencuba produk-produk yang lebih mahal.

Bagi saya pancingan sotong sepatutnya bukanlah sesuatu yang mahal. Semua lapisan masyarakat boleh melibatkan diri. Apabila kita menyebut tentang pancingan sotong, umum beranggapan bahawa aktiviti ini perlu pergi ke tengah laut dengan sewaan bot yang mahal dan hanya orang berkemampuan sahaja yang boleh menyertainya. Mereka juga beranggapan bahawa aktiviti ini hanya boleh disertai dalam bulan dan negeri tertentu sahaja.

Ramai yang tidak menyedari bahawa negara kita mempunyai banyak spesies sotong yang boleh dipancing dan dicandat sepanjang tahun mengikut lokasi yang berbeza. Aktiviti mencandat sotong juga boleh dilakukan di persisir pantai, pulau atau kawasan-kawasan berbatu. Jika anda boleh ke hulu ke hilir mencari ikan kenapa tidak pada sotong ?

Kepada semua pengilat dan pemancing sotong yang membaca post ini, sama-samalah kita mempromosi dan memperbetulkan yang sepatutnya agar pancingan sotong di Malaysia mampu berada pada status dan kedudukannya yang tersendiri-Abe Din.
Read more >>

13 June 2010

Pemilihan Kekili

Pada post yang lepas saya telah terangkan dengan ringkas prinsip-prinsip asas ketika memilih joran. Secara umumnya joran yang dipilih perlu sesuai mengikut lokasi dan saiz sotong yang hendak dipancing. Bagi saya yang banyak melakukan pancingan pesisir pantai, berat dan panjang joran dijadikan kriteria utama ketika memilih joran yang sesuai.

Joran yang dipilih tidak akan dapat berfungsi dengan baik jika kekili yang dipadankan tidak sesuai. Kemungkinan kekili terlalu berat atau ringan. Prinsip utama pemilihan kekili ialah berat dan kekuatannya. Kekuatan kekili boleh dilihat pada bilangan bebola kekuli yang digunakan (ball bearings). Pancingan di unjam memerlukan kekili dari jenis kekili ikan bagi menahan tarikan sotong mabang yang besar. Saiznya perlu disesuaikan dengan panjang dan berat joran. Kekili yang lebih berat daripada joran akan mengakibatkan ketidakseimbangan ketika memancing.

Kekili yang terlalu ringan dan kecil akan menghadkan panjang tali yang boleh digunakan. Selalunya kawasan unjam memerlukan tali yang lebih panjang daripada pancingan di pesisir pantai.Pancingan pesisir pantai memerlukan kekili yang sederhana dan ringan. Bagi menambah panjang tali yang boleh digunakan, dapatkan kekili yang mempunyai lurah tali kekili yang lebih dalam dan luas. Bahan yang digunakan bagi membuat kekili juga berperanan dalam menentukan berat kekili.

Anda boleh melakukan ujian ringkas sebelum membeli sesuatu kekili. Cara melakukan ujian ditunjukkan seperti di bawah.

1-Menimbang kekili menggunakan tapak tangan bagi menganggar beratnya agar bersesuaian dengan tangan anda.

2-Menggunakan jari telunjuk dan jari tengah bagi mencangkuk penyendal kekili dengan membuat beberapa henjutan bagi menentukan kesesuaiannya dengan tangan anda.

3-Masih dalam aktiviti ke-2, buat pusingan pada pengayuh ke hadapan dan belakang bagi menentukan adakah jarak pengayuh dan badan kekili sesuai dengan tangan anda.

4-Pastikan pengayuh adalah selesa dengan anda ketika membuat kayuhan.

5-Mengetat dan melongarkan drag sambil memusing hadapan kekili secara sonsang bagi mendengar bunyi drag yang terhasil. Cuba anggarkan kekuatan drag kekili berkenaan.

6-Pastikan bilangan bebola (ball bearings) yang digunakan. Bilangan ball bearings selalunya tercatat pada badan kekili. Semakin banyak bilangan ball bearings semakin mahal harga kekili berkenaan.

7-Ada kekili yang disediakan dengan bekas tali tambahan. Bekas tali tambahan ini sangat penting ketika tali kusut atau putus kerana ia boleh ditukar dengan mudah.

8-Ujian yang paling penting ialah menguji tuan kedai agar memberikan diskaun bagi kekili berkenaan.

Shimano 2500 (3 ball bearings) yang mempunyai bekas tali tambahan

Kekili yang sesuai bagi kawasan unjam adalah berkekuatan 3000 dan ke atas manakala kekili pesisir pantai berkekuatan di antara 1000 hingga 2500. Berikut adalah kekili yang pernah saya gunakan bagi aktiviti pancingan sotong di kawasan pesisir pantai dengan harga sekitar RM30 hingga RM60.

1-Trophy VS05 (5 ball bearings)
2-Tomman Taiki TK2000 (6 ball bearings)
3-Shimano 2500 (3 ball bearings)
4-Tomman Expert3000 (4 ball bearings)

Tomman Expert3000 (4 ball bearings)


Tomman Taiki TK2000 (6 ball bearings)


Trophy VS05 (5 ball bearings)

Pemancing perlu rajin membuat tinjauan di beberapa buah kedai bagi tujuan bandingan harga sebelum membeli sesuatu kekili. Jangan segan untuk tawar-menawar kerana nilai sesuatu kekili tentunya berbeza di antara kedai. Ada juga beberapa kedai mengadakan jualan mega pada pertengahan dan hujung tahun dengan diskaun yang menarik. Semuanya bergantung kepada kemampuan dan citarasa anda. Bak kata pepatah "biar alah membeli tetapi menang memakai"- Abe Din.
Read more >>

Pemilihan Joran

Pemilihan joran sangat berkait rapat dengan lokasi pancingan dan berat candat atau jig. Pemilihan joran juga perlu disesuaikan dengan kekili dan tali pancing.

Pancingan di unjam

Pemancing tempatan lebih selesa menggunakan 'serek' atau 'cetong'. Serek diperbuat daripada plastik seakan-akan roda serta mempunyai alur di bahagian tengahnya bagi tujuan melilit tali pancing. Serek boleh dibeli di kedai-kedai pancing dalam pelbagai saiz. Saiz yang berbeza akan menentukan panjang dan diameter tali yang boleh digunakan. Selalunya untuk memancing sotong mabang, serek sederhana besar sudah mencukupi dipadankan dengan tali murah. Serek tidak mempunyai brek atau penahan seperti kekili pancing. Pemancing perlu tahu bila masa yang sesuai untuk menghulur dan menarik tali. Jika tali ditahan, sotong pasti akan terlepas. Secara peribadi, saya lebih suka menggunakan serek kerana ia akan membantu kita mengetahui kekuatan sebenar sotong serta mengganggar saiz sotong yang dipancing.

Sedikit kesulitan akan timbul jika anda tidak pernah menggunakan serek

Jika anda memilih untuk menggunakan joran, pilihlah joran aksi sederhana yang lebih keras. Joran ikan juga boleh digunakan kerana pancingan sotong mabang di kawasan unjam tidak memerlukan henjutan yang kerap. Joran yang digunakan di unjam agak berbeza dengan joran yang digunakan di pesisir pantai. Anda perlu tahu bahawa sotong mabang di unjam sangat kuat tentangannya kerana saiznya besar dan gemuk. Saiz biasa sotong yang ditawan di unjam selalunya melebihi 1 kg seekor. Kadang-kadang sotong bersaiz kecil juga menyambar jig tetapi agak kurang.

Semakin jauh kedudukan unjam dari pantai, semakin besar saiz mabang yang menghuni kawasan berkenaan. Joran tidak banyak mendatangkan kesulitan ketika berlawan dengan mabang jika drag kekili dilaras dengan betul. Jika mabang memegang jig, angkat joran dalam kedudukan meninggi sambil melaras drag pada kekuatan yang bersesuaian. Disebabkan bot selalu diletakkan pada posisi atas unjam atau melawan arus laut maka panjang joran perlu bersesuaian. Jika saiz bot kecil, joran yang lebih pendek sepatutnya menjadi pilihan agar tidak mengganggu keselesaan pemancing-pemancing yang lain.
Aksi ini tidak sesuai bagi sotong mabang kerana ia lebih besar dan berat

Pancingan pesisir pantai
Pancingan pesisir pantai merangkumi pancingan berdekatan pulau, batuan dan pantai. Selalunya lokasi ini tidaklah terlalu dalam. Oleh yang demikian penggunaan serek adalah kurang praktikal. Ada juga pemancing di Kuantan yang menggunakan serek bagi memancing sotong dari tepi batu tambak. Tentunya lontaran candat agak sukar dan memerlukan kemahiran yang tinggi.

Kebiasaannya pancingan pesisir pantai menggunakan joran aksi sederhana dengan panjang diantara 6 hingga 9 kaki. Joran yang digunakan untuk pancingan di kawasan pesisir pantai perlu ringan kerana henjutan adalah sesuatu yang lumrah bagi pancingan di kawasan ini. Jika joran terlalu berat, tangan dan lengan anda akan sakit disebabkan kekerapan melakukan henjutan. Panjang joran banyak dipengaruhi oleh lokasi pancingan. Jika kawasan balingan dan air agak jauh, joran sepanjang 9 kaki adalah lebih sesuai. Balingan candat dari atas bot ke tepi sesuai menggunakan joran sepanjang 6 kaki. Panjang joran yang selalu digunakan oleh pengilat sotong pesisir pantai ialah 7 kaki.

Pengilat profesional selalunya menggunakan joran berjenama yang dikhaskan untuk pancingan sotong. Joran-joran berkenaan dilabelkan dengan berat jig dan tali yang sesuai bagi panduan pengguna. Harga joran berkenaan adalah di antara RM200 hingga RM400. Bagi pemancing biasa, cukup sekadar menggunakan joran-joran yang lebih murah dengan harga di antara RM100 hingga RM200. Saya sendiri mengunakan joran-joran biasa yang tidak pernah mengecewakan. Berikut adalah joran-joran yang biasa saya gunakan untuk pancingan sotong di kawasan pesisir pantai.

1-Lemax TIGER KING SWB 1100-60MH panjang 6 kaki
2-Relix Bass Star panjang 7 kaki
3-OHUNKO BLITZ-2188-702 panjang 7 kaki
4-Egimasa RFEM742 panjang 7 kaki

Egimasa RFEM742 panjang 7 kaki (warna merah) yang baru saya beli


Relix Bass Star panjang 7 kaki yang telah berkhidmat dengan cemerlang hampir setahun

Sebagai pemancing dan pengilat sotong anda perlu memahami tujuan anda memancing. Ada pemancing yang menjadikan aktiviti mengilat ini sebagai hobi dan rekreasi sahaja atau mencari rezeki. Anda perlu pandai menyesuaikan pemilihan joran dan tujuan anda. Secara umumnya sotong mabang tidak memilih jenis joran. Apa yang penting joran anda mempunyai daya lenturan di hujung dan drag kekili anda berfungsi dengan baik-Abe Din.
Read more >>

11 June 2010

Peranan Jig Cap

Jig cap sangat perlu bagi menjaga ketajaman mata kail jig

Jig cap atau penutup mata kail candat merupakan satu bahan yang digunakan bagi melindungi dan memelihara mata kail candat. Selalunya jig cap diperbuat daripada plastik yang berwarna terang. Ramai pencandat atau pengilat sotong tidak mengambil berat dalam penjagaan mata kail candat. Jig cap dicipta bagi melindungi mata kail candat semasa proses penyimpanan.

Disebabkan mata kail candat sangat tajam maka ia mudah tersangkut pada objek-objek lain seperti kusyen kereta, baju, seluar, plastik dan juga tali benang. Jika mata kail candat tersangkut semasa digunakan ia adalah lumrah tetapi jika mata kail candat tersangkut bukan pada masa kita beraksi ia sangat merugikan.

Penggunaan jig cap juga boleh mencegah tangan kita daripada terluka terkena mata kail candat. Pemancing yang tidak cermat selalu menyimpan pancingnya dalam keadaan ia mudah dicapai oleh kanak-kanak. Penggunaan jig cap dapat mengurangkan risiko berlakunya kecederaan disebabkan terkena mata kail candat.
Bagi pemancing yang tidak mempunyai jig cap seeloknya membuka dan menyimpan candat di dalam bekas berasingan jika ia tidak mahu digunakan lagi. Pemancing juga boleh membuat sendiri jig cap dengan menggunakan kotak mancis atau kotak plastik gula-gula. Tebuk lubang pada bahagian tengah di sebelah hujung bagi memasukkan leher mata kail candat.

Kumpulan jig Yamashita yang tidak mempunyai jig cap. Yamashita buntal merah putih dipadankan dengan jig cap dari jig jenis lain.

Jig cap tidak dijual secara berasingan tetapi kita boleh menempah di internet dalam jumlah yang banyak. Terdapat tiga saiz jig cap iaitu kecil, sederhana dan besar. Hanya sebilangan jenis candat dijual berserta dengan jig cap. Jika candat berkenaan telah rosak, jig cap berkenaan boleh digunakan bagi melindungi mata kail candat lain yang sama saiz. Tidak semestinya candat mahal sahaja disertakan dengan jig cap. Candat seperti Yamashita hanya dibungkus di dalam plastik berlabel tanpa jig cap. Begitu juga candat-candat berjenama yang lain yang kadang-kadang hanya diletakkan di dalam kotak sahaja.

Kebanyakan jig atau candat dijual di dalam kotak atau dibungkus dengan plastik tanpa jig cap.

Penyediaan jig cap boleh dijadikan satu opsyen apabila kita hendak membeli candat. Dalam keghairahan hendak mencandat jangan pula kita terlupa membuka cap berkenaan. Saya sendiri pernah terlupa untuk membuka cap yang menutup mata kail candat. Setelah tiga kali balingan, baru saya perasan bahawa jig cap belum dibuka. Kalau macam tu, mengilat seratus tahun sekalipun, sudah pasti sotong tidak akan dinaikkan.

Apa yang paling penting, kesedaran penggunaan jig cap perlu dipertingkat dan diperluaskan di kalangan pengilat dan pencandat sotong. Berpesanlah kepada rakan-rakan pengilat dan pencandat yang lain agar menggunakan jig cap. Ilmu yang baik jangan disembunyikan.-Abe Din
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing