"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

16 March 2011

Sotong Halimunan


Salam untuk semua pengunjung sotonglaut.blogspot.com/ 
Pada kali ini, Abe Din akan menerangkan berkaitan aktiviti penyamaran yang dilakukan oleh sotong.

Penyamaran (camouflage) merupakan satu lagi kaedah haiwan menyamar, berlindung dan bersembunyi dari musuh. Pemangsa yang gopoh dan tidak teliti selalu tertipu dengan cara ini.

Cuba lihat gambar di atas. Sekali lihat seperti tiada apa-apa yang menarik. Lihat dengan lebih teliti, anda akan nampak ikan sebelah sedang menanti mangsanya .

Mata cantik sotong yang sukar ditemui.

Sotong adalah di antara spesies haiwan yang begitu cepat menyamar menggunakan latar belakang persekitarannya. Kajian yang dibuat, menunjukkan sotong yang dilepaskan di dalam akuarium yang mempunyai dasar pelbagai warna tunggal akan menyebabkan sotong menukar warna kulitnya beberapa kali apabila memasuki kawasan berlainan warna. Ini menunjukkan keupayaan sotong dalam penyamaran sangat cepat dan berkesan.

Jika di daratan, haiwan yang cepat melakukan penyamaran ialah sumpah-sumpah manakala haiwan lain seperti rama-rama dan cicak hanya menyamar di kawasan tempatnya sahaja. Jika ia bergerak ke tempat lain, ia berisiko terdedah kepada pemangsa kerana kebolehan penyamarannya terhad.

Dua ekor sotong sedang melakukan penyamaran

Sotong kurita sedang berehat.


Lihat dengan teliti. Apa anda nampak ?

Satu contoh teknik penyamaran. 
Oppss... haiwan di atas bukan sotong


Abe Din pernah menarik candat udang menggunakan joran di tepi kawasan pantai berair jernih. Selepas beberapa balingan dan tarikan, jig udang seakan-akan tersangkut berdekatan dengan gigi air. Apa yang pelik Abe Din tidak melihat kehadiran sotong di kawasan berkenaan. Kehadiran sotong berkenaan disedari sebaik sahaja jig ditarik dengan kasar dan dakwat hitam dilepaskan keluar. Buat permulan hanya pancutan dawat hitam yang kelihatan.

Kesimpulan yang boleh dibuat ialah, sotong berkenaan sudah menghampiri kawasan tepi pantai tetapi tidak dapat dilihat dengan jelas kerana ia melakukan penyamaran yang hampir menyerupai latar belakang warna pasir laut.

Sotong halimunan yang menarik jig hanya boleh dilihat dengan jelas sebaik sahaja ia berhempas pulas melepaskan jig yang tersangkut pada lengannya. Warna sotong yang terjerat bertukar daripada halimunan kepada warna gelap kehitaman atau lebih tepat lagi hitam kemerahan.

Sehingga berjumpa lagi.
Abe Din.
Read more >>

14 March 2011

Tukang Tiru

Salam untuk semua pengunjung blog sotonglaut. Pada kesempatan kali ini, Abe Din ingin berceloteh tentang satu tabiat haiwan ciptaan tuhan iaitu penyamaran meniru atau lebih dikenali sebagai kemimikan (mimic). Tentunya subjek utama yang akan dibincangkan ialah berkaitan sotong dan spesies yang dipilih kali ini ialah sotong kurita dari keluarga octopus.
Mimik ialah keserupaan rupa satu spesies dengan spesies lain yang bertujuan melindungi. Keadaan ini berlaku apabila haiwan yang dinamakan mimik berevolusi untuk meniru ciri-ciri yang terdapat pada spesies lain. Kemimikan merupakan satu jenis interaksi yang selalunya akan memberi kelebihan kepada spesies yang meniru.

Dengan bahasa yang lebih mudah mimik adalah satu proses pertahanan dan pelindungan dari musuh.  Sotong kurita meniru untuk memperdayakan musuh. Beberapa jenis mimik sotong kurita telah dikenalpasti oleh saintis antaranya ialah meniru gerak laku ikan lion fish, ular laut, buran atau sea anemones dan obor-obor. Ikan singa, ular laut, buran dan obor-obor memang terkenal dengan musibah yang dibawanya. Pemangsa memang awal-awal lagi menjauhi spesies-spesies ini.

Ada dua jenis mimik yang biasa dilakukan oleh sotong kurita iaitu "Kemimikan Bates" iaitu menyamar sebagai bahaya dan "Kemimikan Mertens",  menyerupai model tidak bahaya.

Sotong kurita mempunyai musuh yang terdiri daripada pelbagai spesies ikan. Untuk pengetahuan anda, sotong kurita selalu dijumpai bersiar-siar mencari makanan secara sendirian dan sukar untuk melihatnya secara berpasang. Kelebihan meniru yang ada padanya tentunya sedikit sebanyak membantunya membuat muka selamba di hadapan musuh.
 
Atas : Ikan sebelah
Tengah : Lion fish
bawah : Ular laut

Kerapkali juga musuhnya teragak-agak untuk membuat keputusan ke atas apa yang diperhatikan. Apa yang menariknya, sotong kurita ini tidak terlalu tergesa-gesa menjauhkan diri daripada musuhnya. Mungkin untuk mengelak rahsianya daripada terbongkar. Nak hidup le katakan..

Jika anda rajin melihat rancangan National Geografi dan video-video di internet, ada juga kedapatan pemangsa yang agak "brutal". Walaupun sotong kurita selamba melakukan mimik, selamba juga dia meluru nak makan. Sotong lari tak cukup tanah. Mungkin pemangsa tu dah tahu kot. Nasib badan le.
 

Kalau difikir-fikir, haiwan juga ada ikhtiar untuk meneruskan kehidupan. Apa yang berlaku kadang-kadang memang sukar untuk dihuraikan secara tepat tetapi sekurang-kurangnya hidup ini masih dapat diteruskan. Jumpa lagi…
Abe Din
Read more >>

12 March 2011

Fakta Sotong

Fakta Menarik Tentang Sotong


1-Ahli Biologist menganggarkan terdapat 
kira-kira 500 spesies sotong
2-Sotong betina bertelur seribu biji setiap kali di dasar laut.
3-"Giant squid" mempunyai mata sebesar bola jaring
4-Sesetengah sotong mempunyai organ bioluminescent 
menyebabkan ia bercahaya dalam gelap
5-Sesetengah sotong kehilangan tantakelnya 
pada peringkat larva


6-Sotong merupakan haiwan karnivor: makan ikan, 
krustasia dan sotong kecil
7-Sotong mempunyai 8 lengan dan hanya tantakel 
mempunyai penyedut
8-Sotong mempunyai 3 jantung
9-Sotong berenang paling pantas di antara 
haiwan-haiwan invertebrata
10-Kebiasaannya sotong hidup selama 1 hingga 2 tahun


11-Sotong terbesar yang dilaporkan sepanjang 
60 kaki dan berat 1980 lbs
12-Nama "calamari" bermaksud memasak sotong
dari bahasa greek
13-Sotong paling kecil bersaiz 0.7 inci dengan berat 0.02 oz
14-Kebanyakan sotong memancutkan dakwat bagi 
melepaskan diri daripada musuh
15-Sotong boleh menyamar mengikut persekitarannya.


 
Carian internet :
Abe Din.
Read more >>

10 March 2011

Evolusi Blog

Salam sejahtera untuk semua pengunjung sotonglaut.blogspot.com/
Pada kali ini, Abe Din akan menceritakan serba sedikit mengenai penghasilan blog sotonglaut pada peringkat awal pembinaan.

Dahulu blog sotonglaut dikenali sebagai blog SOTONG MANIA. Blog ini mula dibangunkan pada hari Sabtu, 17 April 2010. Misi utama pembinaan blog ini adalah untuk memberikan sebanyak mungkin input kepada pengunjung di Malaysia dan Nusantara berkaitan dengan pancingan sotong yang lebih dikenali sebagai "candat sotong" di Terengganu.

 Blog pertama yang dihasilkan pada April 2010

Rakan-rakan pancing terdekat agak sedikit terkejut di atas penghasilan blog sotong ini kerana mereka semua tahu bahawa Abe Din adalah kaki pancing ikan yang sudah sampai ke tahap mania. Mereka berpendapat sepatutnya blog ikan yang dihasilkan dahulu.

Ramai juga yang tidak mengetahui bahawa disamping memancing ikan, Abe Din juga telah mula melakukan pancingan sotong sejak lebih 10 tahun. Bermula dari modal kecil sehingga modal yang besar dengan menyewa bot untuk pergi memancing. Selalu juga Abe Din dipelawa oleh nelayan tempatan pergi memancing di laut. Dari situlah Abe Din mengutip dan mengumpul satu persatu pengalaman hidup orang laut.

Abe Din juga mula melihat gelagat pemancing-pemancing baru yang kecundang di laut disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan tentang pancingan sotong. Mereka mengeluarkan belanja sewaan dan perjalanan yang bukan sedikit hingga mencegah ribuan ringgit sekumpulan hanya untuk mencandat sotong. Paling menyedihkan hasilnya tidak setimpal dengan pelaburan yang dibuat. Ada juga yang mengikut trip hanya disebabkan terpengaruh dengan cerita kawan yang menyertai trip sebelumnya. Muntah, letih, lesu,  kekecewaan adalah perkara biasa yang Abe Din perhati dan lihat.


Bertitik tolak dari situ, Abe Din membulatkan tekad untuk membangunkan blog khusus tentang pancingan sotong bagi memberikan sebanyak mungkin info berguna kepada semua pemancing sotong yang lahir bagai cendawan tumbuh. Tambahan pula tiada blog atau laman web yang membincangkan teknik pancingan sotong secara terperinci dan konsisten.

Sesungguhnya penghasilan blog ini bukan untuk tujuan komersial atau mahu menyaingi sesiapa. Lebih tepat lagi ia hanyalah satu tanggungjawab sosial Abe Din kepada golongan pemancing di Malaysia dan Nusantara. Ilmu yang ada tidaklah banyak, Abe Din hanya ingin berkongsi dan membantu.

Dengan lahirnya blog ini, Abe Din telah mendapat ramai kenalan dan kawan dari merata pelusuk termasuk Singapura dan Brunei. Banyak juga soalan yang ditanya dan proses bertukar fikiran berlaku cukup baik. Abe Din tetap berharap suatu hari nanti, aktiviti pancingan sotong akan mencipta rekod dan sejarahnya yang tersendiri dalam dunia pancingan di Malaysia.

17 April 2011, blog ini genap setahun berada di alam siber. Terima kasih kepada semua pelawat. Semoga sokongan anda akan memberi semangat kepada Abe Din untuk terus bercerita dan berlipurlara tentang sotong. Doakan kejayaan sotonglaut.blogspot.com/  
-Abe Din
Read more >>

09 March 2011

Bedah Jig

Salam untuk semua pengunjung sotonglaut.blogspot.com/
Pada kesempatan ini Abe Din akan pembincangkan serba sedikit berkenaan pembuatan jig bagi mencandat sotong. Abe Din memilih jig buatan Jepun, Yamashita.

Yamashita merupakan salah satu jig yang begitu popular di Terengganu. Dihasilkan dalam pelbagai warna iaitu merah, oren, hijau, biru serta coklat. Saiz yang biasa dijual ialah 2.0, 2.5 dan 3.0. Harga jualannya di antara RM18 hingga RM25.


Jig Yamashita merupakan jig yang cukup afektif kerana ia mampu menyimpan cahaya dalam tempoh yang agak lama. Kelebihan ini membuatkan jig Yamashita mudah menarik perhatian sotong terutamanya sotong mabang. Mata jig pula cukup kuat dan tajam untuk menahan asahan sotong bersaiz besar.

Antara kelemahan jig ini ialah balutan kainnya yang mudah terkoyak apabila digigit sotong. Dakwat yang melekat pada kainnya pula agak sukar untuk dihilang sepenuhnya. Kebiasaanya, Abe Din akan menyembur cat 'clear' terlebih dahulu pada permukaan luar jig untuk mengatasi masalah ini.

Rajah di bawah menunjukkan bahagian dalam jig Yamashita yang telah dibuang pembalut kainnya. Pembuatan badannya dari plastik jenis luminous sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada jig ini ketika beraksi di dalam air.

Bahagian dalam jig yang dibuang kain dan dibelah dua


Bahagian dalam jig yang kosong memberikan daya apungan kepada jig. Kandungan udara menyebabkan ia lambat tenggelam dan sesuai digayakan di kawasan pertengahan air. 

Keluaran jig Yamashita versi baru sedikit sebanyak mengurangkan populari jig ini. Abe Din akan  memperkenalkan Jig baru Yamashita yang lebih afektif di dalam post akan datang.
Sekian dahulu untuk kali ini-Abe Din
Read more >>

08 March 2011

Jerat Jig

Salam untuk semua pengunjung sotonglaut.blogspot.com/
Dalam kesibukan tugas harian sempat juga Abe Din menyelongkar koleksi internet berkaitan pancingan sotong. Mungkin ramai di antara kita yang pernah merasai tarikan sotong yang sememangnya mempunyai daya juang yang tinggi tetapi tidak ramai yang dapat melihat perjuangannya di dalam air.

Pada kali ini, Abe Din ingin berkongsi situasi berkenaan dengan semua pengunjung sotonglaut. Rakaman video berkenaan diperolehi dari laman Youtube. Jika anda mempunyai kelapangan, banyak pengalaman memancing sotong boleh ditonton di laman ini.






Sotong memang terkenal dengan kegigihan untuk melepaskan diri. Semburan dakwat dan pecutan jet air adalah dua cara yang selalu digunakan. Pemancing mahir tidak akan mengunci drag kekili kerana ia akan menyebabkan tantekal sotong terputus seterusnya sotong akan berjaya melepaskan diri.

Sebaik sahaja sotong merasai ketajaman mata jig, ia akan mula menyembur dakwat hitam. Pada ketika ini, sotong berkenaan beranggapan jig yang disangkakan makanan adalah merupakan ancaman kepadanya. Sotong secara konsisten menyembur dakwat ke hadapan untuk menjauhkan diri daripada jig. Jika mata jig kuat dan tajam, peluang untuk sotong melepaskan diri adalh tipis.

Pemancing perlu banyak bersabar dan berhati-hati jika jig disambar sotong terutamanya jika saiz sotong berkenaan besar dan kuat.  

Semoga anda mendapat sesuatu yang baru. 
Sehingga berjumpa lagi. Abe Din
Read more >>

05 March 2011

Resepi Pelik 2

Salam untuk semua pengikut blog Sotonglaut. Apa sahaja yang anda lakukan, setinggi penghargaan dan terima kasih kerana sudi menjengah ke laman sotong ini. 

Pada kesempatan ini, Abe Din akan bercerita tentang satu lagi resepi pelik berasaskan dakwat sotong. Seperti yang kita sedia maklum, dakwat sotong merupakan salah satu mekanisme pertahanan bagi sotong. Untuk pengetahuan anda, sotong menghasilkan warna dakwat yang berbeza mengikut spesies. Kumpulan octopus menghasilkan dakwat hitam pekat, spesies squid menghasilkan dakwat berwarna biru kehitaman manakala spesies cuttlefish menghasilkan dakwat berwarna sedikit coklat. (sila rujuk spesies berkenaan dalam ruangan Rahsia Dakwat Hitam)

Antara kegunaan dakwat sotong ialah sebagai bahan rencah dalam masakan, pewarna rambut dan ada juga dijadikan dakwat untuk mencetak. Di kesempatan ini, Abe Din akan mengupas fungsi dakwat sotong di dalam proses penyediaan makanan. Antara fungsi utamanya ialah  sebagai pelembut dan perasa. Dakwat sotong juga boleh dimasak bersama nasi, pasta dan stew ikan.

 

Resepi yang Abe Din ingin perkenalkan di sini ialah "Cuttlefish Ink Pasta". Dalam resepi ini dua ekor sotong katak yang besar digunakan. Sotong diasingkan pundi dakwatnya. Bahagian badan lain dibersihkan secara lebih kurang dan dipotong kecil-kecil secara memanjang. Tulang sotong katak pula boleh digunakan sebagai bahan makanan burung nuri.

Pundi dakwat dipecahkan di dalam bekas dan dicairkan menggunakan air suam. Goreng bawang besar serta bawang putih yang telah dicincang. Tambahkan isi sotong bersama sisa dakwat yang masih tinggal kemudian masak beberapa minit. Orang Eropah akan menambahkan sedikit wine dan kemudian ditambah pati tomato. Tambah dakwat sotong yang telah diasingkan dan masak selama 15 minit lagi. Tambah air jika campuran kuah agak pekat.

Sementara menunggu kuah pasta masak. Celurkan pasta di dalam air panas dan sebaik sahaja pasta lembut tuangkan ke dalam kuah pasta yang sedang mendidih. Masak beberapa minit lagi sehingga kuah pekat.



Pasta yang telah masak dan berkuah pekat boleh diangkat dan dihidangkan di dalam pinggan. Gambar di atas menunjukkan hasil yang diperolehi. Kaedah memasak ini bukan sahaja popular di Eropah tetapi juga di Asia Tenggara. Rakyat di negara China pandai memasak dengan menggunakan dakwat sotong.

Sesiapa yang berminat untuk mencuba, boleh mendapatkan lebih info melalui halaman Youtube. Semoga resepi pelik ini akan kena dengan selera anda.

Hingga berjumpa lagi.
Salam dari Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing