"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

15 February 2011

Membuat Gait Sotong

Salam sejahtera untuk semua.
Pada post kali ini, Abe Din ingin menunjukkan cara-cara membuat gaik atau cangkuk sotong mabang. Ketika ini, rasanya elok pemancing-pemancing tegar sotong membuat persediaan sebelum sotong menyerang kawasan pantai pada April nanti. Kata orang sediakan payung sebelum hujan.

Setakat ini, gaik adalah peralatan bantuan yang paling afektif bagi menaikkan sotong semasa pancingan di kawasan batuan dan pantai. Walaupun begitu, gaik juga boleh digunakan ketika memancing di lautan. Memandangkan aras air laut hampir dengan paras bot, penggunaan gaik tidak begitu mendesak. Pemancing sotong mahir, boleh menaikkan sotong menggunakan tangan atau angkatan bebas sahaja. Bagi pemancing yang baru, Abe Din syorkan agar anda menggunakan gaik terutamanya ketika menaikkan sotong bersaiz besar.


Antara perlatan membuat gaik ialah mata candat seperti di atas (saiz mata bergantung kepada saiz sotong yang hendak dinaikkan), sebatang kayu, rotan, batang sauk terpakai atau pemegang yang bersesuaian, Gam UHU, atau gam air yang kuat, serta tali tangsi.

Jika anda tidak berminat dengan mata candat jenis berbunga, anda boleh menggunakan mata cangkuk tunggal. Mata cangkuk tunggal dibuat dengan menggunakan mata kail bersaiz besar yang tajam. Perlu diingat, jika anda menggunakan mata kail tunggal ada perlu membuang ceracaknya dengan menggunakan kikir besi. Jika cangkuk anda mempunyai cecarak, ia akan menyukarkan anda ketika hendak menanggalkan sotong daripada cangkuk.


Rajah di bawah menunjukkan, cangkuk tunggal yang dibuat sendiri oleh Abe Din. Abe Din menggunakan joran pancing murah yang boleh dilaras ke dalam dan ke luar. Anda juga boleh menggunakan batang payung terpakai. Semua cincin joran ditanggalkan dan diikat mata kail tunggal di penghujung joran dengan menggunakan tali tangsi. Gam disapu sekeliling tangsi sehingga perlekatan menjadi kuat.

Bagi menambahkan ciri-ciri keselamatan pada gaik anda, gunakan getah pemegang agar mata gaik tidak terkeluar ketika anda membawanya. Gunakan juga saluran getah akuarium bagi menutup mata yang tajam.

Selalunya, Abe Din membawa beg galas ringan di belakang ketika menggewang sotong dan gaik diletak di dalam beg galas berkenaan. Apabila ada mangsa yang terkena pancing, gaik boleh dicapai dan dibuka dengan mudah.

Pemancing Jepun menggunakan gaik jenis bunga yang boleh dibuka dan ditutup seperti payung. Walau apa jenis gaik yang anda ingin gunakan pastikan ia mudah untuk dibawa dan digunakan. Ketika merekabentuk gaik, kreativiti individu sangat penting. Kecantikkan bukanlah sesuatu yang perlu tetapi faktor fungsi, kecekapan dan keselamatan alat itu yang perlu diutamakan.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi pada post yang akan datang.
Sekian,
Abe Din.
Read more >>

13 February 2011

Memegang Si Lembut

Salam untuk semua,
Pada post kali ini, Abe Din akan menerangkan serba sedikit cara-cara untuk memegang sotong hidup yang baru dinaikkan. Tentunya selepas mengharungi saat-saat "suspen" menarik si lembut, anda mungkin teruja untuk merakamkan saat-saat manis kerana berjaya menjerat si lembut.

Si lembut tentunya hendak dipegang dengan tangan semasa sesi bergambar. Cara yang betul perlu dipraktikan bagi memperolehi gambar yang cantik.

Sebelum itu kita perlu mengetahui serba sedikit, bentuk badan si lembut. Rata-rata badan si lembut terbina daripada otot daging. Badannya semasa hidup, sedikit keras apabila dipegang dan sedikit lembut apabila mati.

Bahagian kepala yang dipenuhi tentakel, tidak sesuai digegang semasa hidup oleh mereka yang geli. Bahagian ini tidak bahaya. Jangan sesekali memegang sotong hidup dari arah depan kepala, kerana gigitan sotong boleh menyebabkan luka dan pendarahan.

Bahagian bernombor 6, adalah bahagian yang berfungsi menyemburkan air dan dakwat. Sotong hidup, sangat agresif menyembur air dan dakwat apabila ia berasa terancam. Sesetengah sotong mempunyai bekalan dakwat yang banyak dan mampu menyembur dakwat berulang-ulang kali.

Gambar di atas menunjukkan cara pegangan sotong hidup yang tidak sesuai. Bahagian nombor 6 tidak terlindung. Ini akan menyebabkan semburan sotong terpancut ke bahagian atas. Pancutan dakwat sotong sangat berkuasa dan boleh naik beberapa kaki ke udara. Jika cara di atas digunakan, kemungkinan dakwat akan mengenai muka pemancing atau rakan-rakan di sebelah.

Cara pegangan di atas pula tidak begitu sesuai digunakan di dalam bot kerana bahagian pancutan dakwat menghala ke bawah dan boleh mengotorkan lantai bot. Pada kawasan berbatu, ia akan menyebabkan kawasan berbatu menjadi licin dan membahayakan pemancing.

Gambar di atas menunjukkan cara yang lebih selamat. Walaupun, bahagian 6 mengahala ke bawah, pemancing menggunakan tangan kedua untuk menutup bahagian 6 dan kesan kekotoran dapat dikurangkan.

Gambar di atas adalah cara pegangan yang sesuai di mana pemancing memegang kuat bahagian leher sotong yang akan mengurangkan peluangnya memancutkan dakwat hitam. Jika pancutan berlaku, dakwat akan tersangkut pada tangan kerana bahagian 6 sudah ditutup.

Rajah di atas menunjukkan, teknik yang lebih baik apabila muka sotong dihalakan ke laut. bagi mengelakkan pancutan dakwat ke dalam bot.

Semua teknik memegang si lembut mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, pemancing perlu melayan sotong lebih lama di air agar sotong keletihan dan memancutkan semua dakwat hitamnya ketika di dalam air. Jika sotong yang dinaikkan benar-benar letih, keupayaannya untuk memancutkan dakwat di kawasan daratan adalah terhad dan lemah.

Selamat memancing.
Abe Din

Read more >>

04 February 2011

Hasil depan mata

Salam untuk semua,
Sotong mempunyai kekuatan renangan dan pecutan sekatanya tersendiri, jika pemancing tidak berhati-hati, risiko terlepas dan berputih mata sangat tinggi. Di samping itu, sotong terutamanya sotong mabang mempunyai bentuk fizikal yang memberikan kelebihan kepadanya untuk melepaskan diri hanya dengan sekali semburan air bercampur dakwat.

Fizikal badan yang bertiup membantunya untuk menyimpan kandungan air yang berfungsi seakan-akan kuasa jet. Selalunya jika tidak terlepaspun, pemancing paling kurang akan bermandi dakwat hitam. Mungkin itu sudah cukup berbaloi untuk memberikan ingatan bermakna kepada pemancing yang menipunya.

Sotong mempunyai fizikal yang memberi kelebihan
kepadanya melepaskan diri

Pemancing "hardcore" sotong tentunya cukup mahir dengan kerenah sotong ini, Bagi pemancing baru tentunya sedikit pahit kerana terpaksa mandi dakwat sebelum jadi pandai.

Setelah lenguh tangan membaling dan menarik gewang, tiba-tiba candat udang anda ditarik dengan kuat. Bersama sokongan dan galakan rakan sebelah, makhluk air semakin menghampiri tebing dan seekor sotong cukup gigih untuk cuba melepaskan diri. Apa tindakan anda?

Apa tindakan anda ?

Terdapat beberapa tindakan yang kemungkinan dilakukan oleh pemancing sotong baru dan lama antaranya ialah :
1-Mengangkat secara bebas
2-Menggunakan sauk
3-Memegang dengan tangan

Mengangkat dengan bebas mempunyai kekuatan dan kelemahanya yang tersendiri. Sotong akan dapat dinaikkan jika saiznya lebih kecil. Apabila terkena lantai ia akan memancutkan dakwat serta mengotorkan persekitaran. Pancutan akhirnya juga boleh membantunya melepaskan diri jika kawasan sekitarnya licin seperti batu. Paling tidak sedap jika sambil meraikan kejayaannya melepaskan diri, ia juga meraikan kejayaannya mengenakan kita.

Angkatan bebas

Penggunaan sauk adalah kurang praktikal dan lama masa diperlukan untuk menyauk sotong. Ini kerana kedudukan sauk dari arah depan manakala sotong memecut ke arak belakang. Candat juga mudah tersangkut pada sauk dan banyak masa terbuang hanya untuk melepaskan candat berkenaan. Selain kurang praktikal, ia juga sukar untuk dibawa jika memancing di tempat yang tidak rata seperti kawasan batuan.

Menggunakan sauk

Memegang dengan tangan adalah teknik yang paling mudah dan murah. Cara memegang sotong yang betul adalah seperti rajah di bawah. Jangan sesekali menggalakan muka sotong ke arah badan, muka atau orang lain. Pegangan kuat pada leher akan menyebabkan sotong sukar untuk menyemburkan dakwatnya. Jika semburan berlaku, hanya kawasan tangan yang akan terkena. Tidak semua orang boleh menggunakan teknik ini kerana janggut sotong selalunya tidak tahu duduk diam. Bagi mereka yang geli, tindakan sotong menggeletek tangan anda boleh menyebabkan anda melepaskan sotong berkenaan.

Menggunakan tangan sesuai digunakan bagi menaikkan sotong bersaiz besar. Perlu diingat sotong yang hendak dinaikkan perlu benar-benar lebih dan kepenatan untuk melawan. Pemancing perlu mengawal pancing untuk meletihkan sotong dan ia mengambil masa yang lebih sebelum sotong benar-benar keletihan.

Menggunakan tangan

Diharapkan catatan ini serba sedikit akan memberi info serta maklumat kepada pemancing-pemancing sotong yang baru dan lama. Pada post akan datang, Abe Din akan terangkan cara membuat cangkuk yang setakat ini dilihat sangat praktikal dan berkesan.
Salam dari Abe Din.
Read more >>

Selamat Datang 2011

Salam dari Abe Din 2011


Mungkin 2011 menjanjikan debaran yang berlainan


Beridadah, beribadah sambil mencari rezeki halal

Salam untuk semua pengikut blog sotonglaut. Lama rasanya menyepi dan tanganpun dah semakin gatal hendak menyambut kehadiran sotong 2011. InsyaAllah seawal bulan April, sotong akan mula mengamuk di Terengganu.

Rasanya belum terlambat untuk Abe Din ucapkan selamat tahun baru kepada semua. Bagaimana azam 2010 sudah tertunai atau belum? Semoga tahun 2011 akan diberikan rahmat kesihatan, rezeki dan yang paling penting iman yang kekal utuh.

Pada awal tahun baru ini rasanya elok Abe Din "refresh" balik kaki-kaki pancing sotong yang mungkin dah lupa macamana nak buat balingan, ikat umpan, pilih umpan. Mungkin ada alat serta alatan dah nak berkarat dan ada juga yang hilang entah ke mana.

Sebagai kaki sotong, lebih elok jika kita mula mengemaskini peralatan dan kelengkapan lebih awal. Kerana kemungkinan sotong hadir seawal bulan Mac. Bagi otai-otai sotong tentunya kehadiran spesies ini tidak begitu dihebohkan. Sebaik sahaja ia menjadi perbualan umum, selalunya kumpulan perintis yang terdiri dari otai-otai sotong telah menaikkan sotong berbelas-belas kilo.

Dalam masa yang sama kaki-kaki lain masih sibuk dengan tarikan ikan siakap, gelama dan udang hinggakan tidak begitu peka dengan kehadiran spesies lembut ini.

Persediaan pencingan yang agak mudah dan "simple" mungkin menjadi satu sebab kenapa pancingan sotong ini boleh disertai oleh semua peringkat umur dan lapisan masyarakat. Umpan ringkas, efektif dan tidak mengotorkan tangan juga dapat digunakan berulang-ulang kali sehingga koyak dan tercabut.

Tingkahlaku dan fizikal udang ditiru manusia
bagi menarik minat sotong


Siapa kita pada laut ?

Abe Din harapkan tahun 2011 akan lebih menceriakan aktiviti pancingan sotong terutamanya di Terengganu. Sesuatu yang penting sebagai ingatan kepada kaki-kaki pancing ialah keinginan serta kesungguhan untuk sentiasa menambah ilmu pengetahuan tentang pancingan sotong. Perlu juga diingatkan, bahawa setiap ilmu yag diperolehi itu perlu dikembangkan serta disebarluas dengan ikhlas tanpa terlalu mengikut garis panduan komersial.

Semoga usaha yang baik ini akan mendapat rahmat dan bantuan dariNya.
Abe Din.
Read more >>

17 November 2010

Amaran Tengkujuh


"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapatnya tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) : "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka".
(Ali Imran : 190-191)




Salam untuk semua peminat Sotong Mania.
Sudah lama rasanya Abe Din tidak update. Kesibukan membataskan usaha meneruskan penyampaian maklumat kepada semua.

Alhamdulillah, kali ini Abe Din ingin menyelitkan sedikit panduan dan pesanan kepada semua pemancing dan pengilat sotong. Selepas post terakhir, sudah beberapa kali aktiviti mengilat dilakukan di lokasi-lokasi yang kerap dikunjungi Abe Din.

Hasil sepanjang bulan Oktober agak kurang. Keadaan ini disebabkan kehadiran hujan yang kerap pada sebelah malam dan membataskan pergerakan pengilat-pengilat sotong. Hujan yang kerap menyebabkan keadaan air kawasan pesisir pantai menjadi sedikit keruh. Kualiti air menyebabkan kehadiran sotong ke kawasan pesisir sedikit merosot.

Bahaya : Situasi Biasa Musim Tengkujuh

Kekurangan tangkapan juga dipengaruhi oleh keadaaan air laut yang mula bergelora kesan daripada ribut yang melanda Filipina dan Taiwan. Kehadiran ombak besar menyukarkan pemancing untuk menghampiri kawasan batuan dan pantai. Pada penghujung Oktober, hanya sedikit sotong dapat dijerat.

Pemandangan Biasa Di Laut

Bagi mereka yang tinggal di kawasan pantai, mungkin biasa melihat burung camar yang terbang dalam bentuk "V" menghala ke kawasan daratan. Itu merupakan satu petanda semulajadi kehadiran angin dan laut bergelora. Burung camar biasanya berhenti rehat pada pelampung-pelampung unjam di laut. Kehadiran ombak dan angin menyebabkan kedudukan pelampung tidak stabil. Keadaan ekstrim menyebabkan burung camar berpindah ke kawasan daratan. Burung camar selalunya lebih dahulu menyedari kehadiran ombak dan gelombang. Jika anda melihat kumpulan burung camar menuju ke daratan ia adalah tanda bahawa angin, ombak dan gelombang akan tiba tidak lama lagi.

Memasuki bulan November, adalah masa yang paling tidak sesuai untuk aktiviti pancingan sotong. Bot nelayan dan bot pelancongan juga banyak yang tidak ke laut serta mengantung operasi buat seketika. Kehadiran ombak yang tinggi dalam anggaran 4.5 meter di Kelantan dan Terengganu sememangnya boleh membahayakan penumpang bot. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga bulan Mac 2012. Sotong pula dijangka akan hadir semula di kawasan pesisir pantai menjelang bulan April 2012.

Bagi pengilat-pengilat hardcore sotong mabang, diberikan beberapa panduan jika anda masih berhajat untuk meneruskan aktiviti pancingan sotong mabang. Pertama sekali anda perlu tahu bahawa pada musim tengkujuh kehadiran sotong sangat merosot. Kehadiran ombak besar menyebabkan sotong-sotong akan mati terutama jika kualiti air menjadi keruh dalam masa yang lama. Antara sotong-sotong yang mudah mati termasuklah sotong katak yang lebih bersifat pasif dan lambat bergerak. Tulang-tulang sotong katak akan mudah dijumpai di kawasan pesisir pantai apabila ombak semakin reda.

Mengiurkan : Suasana Sesuai Bagi Pancingan Pesisir

Sotong Torak pula akan berpindah ke kawasan tengah laut dan berada di kawasan dalam berlurah yang sedikit aman daripada hentaman gelombang. Umum mengetahui sotong torak hanya menghampiri kawasan beting pasir pesisir pantai bagi tujuan bertelur.

Sotong jarum dan mabang pula berpindah ke kawasan-kawasan pulau yang terlindung dan terdapat batu karang yang banyak. Kawasan yang sesuai adalah kawasan pulau berbatu karang dan berteluk. Pada musim tengkujuh, mudah untuk menjerat sotong di kawasan begini.

Kawasan Peranginan Yang Terlindung

Jika rajin anda juga boleh mencuba nasib dengan meninjau kawasan yang biasa anda mengilat sotong. Abe Din syorkan lawatan dilakukan pada waktu pagi kerana pada waktu begini selalunya ombak akan teduh seketika sehingga waktu tengahari. Itupun kalau anda bernasib baik dan tiada ombak besar yang menghempas pantai.

Kerana minat semua boleh jadi, tetapi Abe Din nasihatkan kepada semua pengilat sotong agar berehat seketika sehingga April tahun hadapan. Sebagai gantinya, cuba cari rezeki di kawasan sungai dan kuala-kuala yang sedikit tenang. Pada ketika ini, ikan siakap putih dan merah ganas melarikan umpan. Udang galah juga galak memakan umpan dan kadang kala ia hanyut sehingga ke kuala.

Jangan biarkan minat memudaratkan kita. Rezeki ada di mana-mana. Keikhlasan adalah kunci kepada keberkatan dan kerahmatan. Selamat memancing-Abe Din
(Paparan adalah berdasarkan pengalaman semata-mata. Harap maklum)
Read more >>

26 September 2010

Koleksi Sotong Syawal

Koleksi Sotong Syawal 2010
Post kali ini adalah koleksi gambar-gambar sotong yang dirakamkan sepanjang Trip Selepas Raya 2010.

Abe Din.
Read more >>

Trip Selepas Raya 4

Salam sejahtera untuk semua.

Abe Din tiba di jeti bot lebih kurang pada pukul 2.00 petang. Kami bernasib baik kerana hari berkenaan tidak begitu panas. Maklumlah bot otai yang kami tumpang tiada bumbung. Kami membalut kepala dengan menggunakan tuala yang dibasah menggunakan air mineral bagi mengurangkan kesan kepanasan matahari.

Keadaan air laut yang jernih menyebabkan hasil tangkapan kami tidak begitu memberangsangkan. Walaupun begitu kami tetap bersyukur dengan apa yang diperolehi.

Seekor mabang bersaiz sederhana


Tangkapan sampingan kami


Ikan selayang, kembong dan selar


Antara mabang yang berjaya ditangkap

Seribu kemaafan kerana Abe Din terpaksa memasang topeng bagi menutup muka rakan Abe Din yang pemalu. Bukan apa, dia bimbang jadi lebih glamour daripada tuan blog. Bagi kami, ilmu, pengetahuan dan pengalaman yang disampaikan lebih penting daripada identiti individu. Bak kata bijak pandai, "Siapa yang bercakap tidak penting, apa yang lebih penting ialah apa yang dicakapkan".

Abe Din sangat-sangat berharap agar blog tunggal Sotong Mania ini akan selalu menjadi rujukan bagi pengilat sotong yang lama atau yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti ini. Pesanan untuk pengilat sotong semua diharapkan anda sudi memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk bagi tujuan perkongsian ilmu atau pengalaman untuk manfaat semua.

Anda boleh menghantar melalui alamat E-mail Sotong Mania. Semoga kemurahan hati anda dapat membantu dan membimbing pengilat-pengilat sotong lain yang sedang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Hanya yang Maha Esa sahaja dapat membalas budi baik dan keikhlasan anda. Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing