"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

04 June 2014

Menjerat Katak

Salam pertemuan kepada semua pengunjung dan pencandat tegar. Pada siri kali ini, ambe ingin berkongsi beberapa tips untuk menjerat sotong katak. Seperti yang ambe pernah katakan sebelum ini... sotong katak bukanlah sotong buruan utama kaki candat. 

Selalunya katak ditangkap secara tidak sengaja ketika pencandat memburu sotong mabang dan amat sukar ditangkap oleh pencandat-pencandat sotong torak. Ini disebabkan pencandat torak kerap mengunjun jig pada paras pertengahan air. Sotong katak selalunya ditangkap dalam jumlah yang banyak oleh nelayan-nelayan menggunakan bubu. Saiz tangkapan selalunya saiz yang hampir sebaya.


Gambar salah satu spesies sotong katak

Sebelum kita belajar tentang teknik menjerat sotong katak... terlebih dahulu kita perlu tahu tabiat sotong ini. Pengetahuan tentang tabiat katak akan memudahkan proses kita menjeratnya. Sotong katak merupakan sotong yang mencari makan di bahagian dasar. Jarang sekali sotong ini naik ke permukaan atas air kecuali di kawasan cetek. Sotong katak boleh dikategorikan dalam kumpulan sotong yang pemalu. Pergerakannya untuk melarikan diri juga agak lambat berbanding sotong-sotong lain. 

Sotong katak menangkap makanannya secara memeluk dan menekup. Ini kerana sotong katak tidak mempunyai dua tantakel seperti sotong lain yang memburu secara menyumpit dan memegang dengan laju. Disebabkan semua tantakelnya hampir sama panjang... setiap tantakel berpotensi untuk terkena mata candat. Selalunya candat udang akan dipeluk kemas di dalam semua tantakelnya.


Telur sotong katak yang hampir matang


Kat atas tu adalah gamabar telur sotong katak. Dulu ambe dah post gambar telur katak ni semasa ambe membincangkan isu belangkas. Cari gambar telur katak tak jumpa... terpaksa le amik kat google. Katak biasa bertelur di celah karang dan kerap juga dijumpai pada tali-tali bubu dan unjam laut. Telurnya berangkai-rangkai dan telur yang matang berwarna lebih gelap. Sebiji telur akan menetaskan seekor anak sotong katak.

Kat bawah tu pula... gambar tulang sotong katak. Ambe kerap post gambar tulang ni sebab ambe selalu cari untuk bagi makan burung kesayangan ambe.


Tulang sotong katak

Teknik Pancingan Sotong Katak

1- Warna candat yang digunakan tidak kisah.
Ambe pernah dapat sotong katak menggunakan warna jig hijau dan merah. Saiz di kawasan pantai 2.0 dan 2.5
2-Tarik candat secara perlahan atau kenjutan lembut
Jangan tarik terlalu laju. Badan sotong katak lebih berat menyebabkan ia gagal mengejar candat yang ditarik laju. Kalau boleh... tarik candat secara mengheret dan berhenti-henti.

3-Lokasi memainkan candat-hampir dengan dasar.
Agak sukar menjerat katak jika candat dimainkan di tengah atau permukaan air kecuali di kawasan cetek. Peratus tarikan di kawasan dasar adalah paling tinggi. Adakalanya tarikan berlaku ketika candat hampir hendak dinaikkan ke atas.


Melayan Sotong Katak
Sotong katak yang terkena candat sukar terlepas jika saiz candat sesuai dan mata candat tajam. Keadaan ini berlaku kerana lengan yang terkena candat lebih besar dan tusukan mata candat akan lebih kukuh. Jangan tarik terlalu kuat. Sotong katak tidak kuat melawan kecuali sotong bersaiz besar. Ketika ditarik, rasanya sangat berat seperti menarik plastik berisi air. Selalunya sotong katak mengikut sahaja tarikan pencandat dan membalas dengan tarikan lembut. Sotong katak selalunya akan lebih kuat ketika di tarik menghampiri permukaan air. Perlu juga diketahui, sotong katak mempunyai dakwat yang cukup banyak dan lebih hitam. Ada juga pencandat yang melengah-lengah untuk mendaratkan sotong katak sehingga dakwatnya habis dilepaskan di dalam air.

Perlu ambe ingatkan juga, sotong katak bukan sotong yang sedap di makan. Dagingnya lebih keras dan liat. Jika tidak kena cara masakannya memang tak best langsung. Jika anda bukan peminat sotong katak... ambe syorkan sotong yang berjaya dicandat dilepaskan semula ke habitatnya agar ia dapat memberikan pertarungan di lain kali.

Semoga apa yang ambe tulis dapat menjadi panduan kepada semua. Maaf jika ada maklumat yang terlepas pandang dan tidak tertulis di sini. Jika ada maklumat terkini... akan ambe  diupdatekan. Hingga berjumpa lagi, selamat mencandat-Abe Din

2 comments:

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing