"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

03 September 2010

Membezakan Tarikan

Salam untuk semua dan selamat berpuasa.
Pada kesempatan ini, Abe Din ingin memberikan beberapa tips bagi mengenali tarikan serta sangkutan makhluk-makluk yang terdapat di dalam laut. Bagi kaki-kaki mengilat sotong, adalah agak sukar untuk kita membezakan antara tarikan sotong dan bukan sotong. Hal ini makin rumit jika aktiviti pancingan di lakukan pada waktu malam.

Pengilat-pengilat yang telah mendapat gelaran 'otai' memang cukup mahir dengan sebarang reaksi dan gerakan yang dihasilkan oleh hujung joran mereka. Joran aksi lembut, sederhana dan kasar akan memberikan jenis respon atau isyarat yang berbeza. Pada kebiasaanya, pengilat sotong akan menggunakan joran aksi sederhana. Hanya tuan yang biasa menggunakan joran berkenaan sahaja yang mampu memberikan tafsiran bagi isyarat yang ditunjukkan oleh jorannya.

Abe Din akan memberikan tafsiran bagi isyarat joran jenis aksi sederhana dan lembut yang biasa digunakan untuk mengilat sotong mabang di kawasan pesisir pantai. Walaubagaimanapun, tafsiran ini bukanlah sesuatu yang tetap atau betul-betul berlaku seperti yang dinyatakan. Tafsiran yang diberikan hanyalah sebagai satu panduan dari pengalaman Abe Din memancing sotong. Kemungkinan apa yang diberikan boleh diguna pakai dan dimanfaatkan oleh pengilat-pengilat sotong yang baru.

1-Ikan pemangsa dasar laut

Ikan merupakan satu spesies yang kerap mengacau pengilat-pengilat sotong dengan menyambar dan melarikan jig. Ikan-ikan dari keluarga kerapu, tetanda dan siakap merah sangat galak menyambar jig ketika air mula bergerak pasang atau surut.

Ikan kerapu, tetanda dan siakap merah merupakan ikan pemangsa yang menjadikan kawasan berbatu sebagai kawasan serang hendap. Jig-jig malam yang bercahaya luminous sangat kerap disambar oleh spesies-spesies ini. Memandangkan mata kail jig tidak mempunyai duri, maka ikan yang menyambar jig kerap terlepas.

Bagi mengatasi masalah ini, pengilat perlu memastikan dahulu bahawa jig mereka di tarik oleh spesies ikan-ikan di atas. Tarikan ikan jenis ini boleh dikenalpasti dengan gaya tarikannya yang membenam ke bawah sambil menuju ke strukur batuan. Kadang-kadang tarikan dilakukan secara rawak ke kiri dan kanan. Berbeza dengan tarikan sotong yang melurus dan menaik ke atas diikuti dengan semburan air.

Jika anda pasti bahawa ikan-ikan jenis A, B dan C atau spesies-spesies yang hampir sama perangainya, anda perlu sentiasa menegangkan tali pancing sambil mengetatkan drag serta mengarau tali dengan segera. Cuba elakkan ikan berkenaan lari ke dalam struktur yang keras seperti batu atau karang.

Disebabkan pengilat sotong menggunakan joran lembut berserta tali yang halus, maka ikan-ikan yang menyambar jig kerap melepaskan diri dengan memutuskan tali. Abe Din sendiri pernah mendapat seekor kerapu dengan menggunakan jig sotong. Jig yang ditelan kerapu minyak berkenaan memasuki mulut dan terkeluar di insang menyebabkan jig berkenaan gagal diluah semula oleh ikan berkenaan. Rakan-rakan Abe Din juga pernah menaikkan kerapu dengan kaedah ini dimana saiznya melebihi 1 kilogram.


2-Ikan pemangsa permukaan dan pertengahan laut

Ikan pemangsa bagi kategori ini yang biasa menyambar jig ialah anak ikan baraccuda atau kekacang dan ikan todak. Ikan-ikan ini sangat aktif ketika air pasang dan menyerang hendap ketika air bertahan.

Setakat ini jika ikan-ikan ini beryambar jig anda, selalunya tali akan putus. Walaubagaimanapun ia bergantung kepada bahagian yang disambar ikan berkenaan. Jika ia menyambar bahagian tengah atau kepala jig, selalunya jig akan dilepaskan dengan sedikit koyakan pada kain jig. Ikan-ikan yang bersaiz besar selalunya akan menelan terus jig berkenaan dan akan memutuskan tali.

Biasanya ikan-ikan jenis ini akan melarikan jig hanya di bahagian permukaan air sebelum memutuskan tali pancing anda. Jika sambaran kuat terjadi dari kawasan bawah air, ikan yang menyambar adalah dari spesies A, B dan C. Kerapkali juga anak-anak GT melarikan jig sotong.

Abe Din pernah melihat sendiri pengalaman seorang rakan Sotong Mania yang sedang menahan asakan sotong mabang bersaiz besar. Abe Din yang kebetulan berada di situ sedang bersedia untuk mengaik sotong berkenaan. Apabila sotong yang masih kuat berada di pertegahan jalan, satu sambaran serta deburan air yang sangat kuat dari bahagian bawah air telah memegang kemas sotong berkenaan. Dalam sekelip mata sahaja kawasan berkenaan dipenuhi dakwat hitam. Nasib baik jig mahal yang digunakan tidak di bawa lari bersama sotong berkenaan. Kami membuat andaian bahawa ikan berkenaan berkemungkinan seekor anak GT yang bersaiz besar kerana sotong yang disambarnya dianggarkan melebihi berat 1 kilogram.


3-Spesies lembut

Spesies lembut yang dimaksudkan ialah dari jenis sotong dan obor-obor. Untuk pengetahuan semua, setiap spesies berkenaan akan memberikan isyarat berbeza pada joran. Abe Din sangat faham dan kenal tarikan spesies-spesies ini setelah berkecimpung dalam sukan memancing ini sekian lama. Rahsia ini juga bukan lagi sesuatu yang asing bagi pemancing-pemancing lama.

Tarikan-tarikan spesies ini boleh dikenali dengan beberapa panduan ringkas yang Abe Din senaraikan seperti di bawah :

F- Sotong mabang besar
Anda akan rasakan seperti jig anda tersangkut pada batu sedangkan kawasan berkenaan anda ketahui tidak terdapat batu. Selepas anda rasa seperti sangkut, dalam beberapa saat anda dapat rasakan satu tarikan dan benaman kuat yang melurus ke bawah. Sebaik joran ditegakkan, sotong akan naik ke atas dalam keadaan lurus. Itupun jika drag dilaraskan dengan betul. Aksi ini akan diikuti oleh semburan air yang kuat. Jika lengannya membuka seperti bunga, itu adalah tanda sotong berkenaan bersaiz besar. Sotong bersaiz lebih besar akan membawa tali keluar sehingga mencapai 50 meter sebelum keletihan. Anda juga akan merasakan henjutan joran jarak pendek yang berulang-ulang. Semua gerakan adalah dalam keadaan lurus.

G-Anak mabang
Bagi sotong kecil, anda akan rasa jig dihalang sesuatu beberapa kali. Ini disebabkan sotong kecil memegang badan jig dan melepaskannya semula. Bagi sotong saiz sederhana, anda akan rasakan henjutan melurus jarak pendek dan berulang-ulang. Sotong sederhana dan kecil akan cepat timbul ke permukaan sambil memancutkan air laut dengan bunyi yang perlahan atau sederhana.

H-Sotong torak
Sotong torak kerap menyambar umpan jig sebaik sahaja umpan jatuh ke permukaan air. Ini disebabkan sotong torak selalu berada di permukaan dan pertengahan air. Jig merah yang bercahaya malar sangat disukai oleh torak. Sotong torak akan melarikan jig dalam masa kurang seminit dan kemudian akan membuat tarikan panjang secara berulang-ulang. Tarikan akan berterusan sehingga sotong tiba ke tepi. Semburan air yang dihasilkan oleh sotong torak adalah sederhana. Tarikan berulang yang lebih lama adalah disebabkan sotong torak mempunyai tiub badan yang lebih panjang berbanding sotong mabang. Dari segi kekuatan, sotong mabang lebih kuat tarikannya berbanding sotong torak. Keluarga torak yang lebih kecil iaitu sotong jarum pula akan menarik jig lebih kuat pada peringkat permulaan dan semakin lemah selepas beberapa saat. Jarum juga membuat sambaran di bahagian atas dan sangat sukakan jig bercahaya merah.

I-Obor-obor
Obor-obor tidak menarik jig. Walaupun begitu kadang-kadang jig yang ditarik akan tersangkut pada badan obor-obor yang berada di laluan jig ditarik. Sebaik sahaja jig mengenai badan obor-obor kita akan rasakan sedikit berat dan terlucut dengan cepat. Balingan kedua dan seterusnya akan memberikan reaksi yang sama tanpa berlaku henjutan atau larian. Ramai pengilat yang tertipu kerana situasi ini hampir menyamai tarikan sotong kecil yang bermain-main dengan jig.

J-Sotong katak

Sotong katak adalah spesies sotong yang banyak menghabiskan masanya mencari makanan di bahagian dasar laut. Apabila sotong ini menyambar jig, kita akan rasakan seolah-olah jig mengenai beg plastik yang berisi air yang penuh. Tiada perlawanan dan henjutan pada peringkat permulaan. Karauan dirasakan sangat berat. Sotong katak selalu memberi reaksi henjutan sebaik sahaja ia menghampiri kawasan permukaan air. Tarikan dan semburan air memberi petanda bahawa spesies hidup telah mengenai pancing kita. Disebabkan sotong katak agak malas dan mempunyai badan yang lebih berat, anda memerlukan gaik atau sauk untuk menaikkannya. Jangan sekali-kali menaikkan sotong katak yang besar secara memegang tali.

Sekian dahulu buat kali ini. Semoga apa yang dipaparkan dapat dijadikan panduan berguna oleh semua rakan-rakan Sotong Mania. Sehingga berjumpa lagi, selamat berpuasa-Abe Din.

No comments:

Post a Comment

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing