"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

26 September 2010

Trip Selepas Raya 3

Salam sejahtera untuk semua. Pada trip baru-baru ini, Abe Din sempat juga mengambil beberapa keping gambar ketika otai sotong sedang menarik sotong. Demi untuk mengambil gambar-gambar berkenaan, Abe Din terpaksa mengambil "pencen pilihan" sementara ketika sotong sedang galak menyambar jig udang.

Untuk pengetahuan semua, kaedah memancing di laut sedikit berbeza berbanding di kawasan persisir. Tambahan pula, joran tidak digunakan dan diganti dengan serek.

Di pesisir pantai dengan bantuan joran, pemancing perlu mengangkat dan menegakkan joran jika pancing terkena sotong. Berbeza ketika di laut, dimana pemancing kerapkali menahan tali di bahagian tepi bot bagi menahan tarikan kuat dari sotong besar.

Sotong yang ditarik menggunakan serek agak cepat letih jika saiznya kecil atau sederhana. Sotong yang ditarik dengan cepat akan berpusing-pusing dan boleh dilihat bahagian perutnya yang putih jika keadaan air laut jernih. Sotong kerap melawan ketika mula-mula terkena pancing dan akan melawan semula ketika ia ditarik mendekati bot.

Sotong besar akan melawan dari mula hingga akhir. Pengalaman Abe Din yang sukar untuk dilupakan ialah ketika otai meletakkan umpan jig di dalam air dengan batu ladung serta tanduk diletak di atas bot. Ketika otai sedang membetulkan kedudukan bot bagi mencari lokasi yang bersesuaian dengan arus laut, satu tarikan ganas berlaku sehingga batu ladung dan tanduk tercampak.

Tarikan kuat dan pantas menyebabkan sotong berjaya melepaskan diri ke arah unjam. Kami hanya mampu menyaksikan sotong berkenaan melarikan diri secara mengundur. Berani sungguh sotong besar berkenaan naik ke permukaan menyambar umpan udang merah bersaiz 3.5 berkenaan. Situasi berkenaan membuatkan kami semakin tidak sabar untuk menangkap sotong berkenaan.

Setelah sekian lama mencandat, sotong berkenaan masih tidak muncul. Kemungkinan tantakelnya sakit. Apapun, kami tetap berpuas hati dengan tangkapan hampir 30 ekor sotong mabang pelbagai saiz.

Sotong sedang ditarik dari jauh


Sotong yang berpusing-pusing ketika ditarik


Sesekali sotong melakukan pecutan ke belakang


Sotong yang menghampiri tepi bot

Ketika sotong semakin menghampiri bot, selalunya sotong besar akan membuat larian laju ke belakang sebaik sahaja terlihat manusia. Anda dinasihatkan berhati-hati dan tidak mematikan tali serek. Jika anda gunakan joran, pastikan drag dilaraskan dengan betul agar sotong tidak terlepas apabila pecutan dilakukan.

Sotong bersaiz besar sukar untuk dipegang dengan tangan. Anda dinasihatkan agar menggunakan cangkuk. Penggunaan sauk kurang digalakkan kerana ia akan memudahkan jig tersangkut pada jaring sauk berkenaan. Keadaan ini akan menyusahkan, lebih-lebih lagi jika sotong sedang galak menyambar jig.


Sotong yang berjaya dinaikkan secara manual

Sekali lagi pemancing perlu berhati-hati kerana ketika ini sotong selalunya sedang menunggu peluang untuk menyembur dakwat hitam ke muka pemangsanya. Jika semburan dakwat tidak berlaku, sotong selalunya akan menyembur dakwat sebaik sahaja ia diletakkan di lantai. Dakwatnya boleh mengotorkan lantai bot atau paling kurang menyebabkan isteri rakan anda marah jika tembakan akhir berkenaan tepat mengenai baju suaminya. Seeloknya sotong yang berjaya ditangkap dimasukkan terus ke dalam baldi atau bekas khas dan jangan sekali-kali meninjau ke dalam bekas berkenaan ketika sotong dimasukkan.

Bersambung ...

No comments:

Post a Comment

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing