"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

30 July 2014

Trip 16/2014-Daratan

Selamat datang dan salam syawal untuk semua...Hari ni, dah raya ketiga. Emmm... puasa sunat baru dapat buat sehari. Petang nanti plan nak balik rumah mak di Setiu. Pagi tadi sempat pergi eging di tempat biasa. Ingat nak bawa balik sotong untuk mak... tu pun jika ada rezeki. Kejap tadi mula mencandat lebih kurang pukul 8 pagi. Fuhhh.. lewat sungguh. Sampai je air surut. Dalam hati... ada ke sotong. Dah datang... baling juga candat. Takde orang lain  kat situ... sunyi juga. Mungkin diorang sibuk beraya kot.

Masa tengah update blog ni... sebenarnya ambe sedang mengemas nak balik kampung. Tak leh le nak citer banyak. Busy le katakan. Emmm... korang tengok le sendiri kat bawah tu apa yang ambe dapat. Ok lah.. selamat hari raya untuk korang semua. Semoga ceria selalu. Jumpa lagi-Abe Din


 



Sotong baru naik... warna comel dan terang

 Total: 8 Ekor dengan saiz yang memuaskan.
Ini lah rezeki mak ambe dan family kat kampung.
Read more >>

Ucapan Maya

Seni eging amalan setua,
Bermula sedikit kini melata;
Jauh dekat tidak bersua,
Setulus hati maaf dipinta.


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pengunjung. Di awal syawal ini... ambe menyusun sepuluh jari ingin memohon maaf kepada semua pelawat blog sotonglaut. Mungkin sepanjang penulisan ambe di dunia maya ini ada yang tidak berkenan di hati atau tidak disenangi. Kiranya ambe yang lemah ini telah melakukan kesilapan walau sekecil mana.... mohon ampun dan maaf jua dipinta.

Di kesempatan ini juga ambe berdoa semoga korang semua sentiasa gembira dan dilimpahi rahmat oleh yang Maha Esa. Budayakan kunjung mengunjung sambil menyambung silaturrahim sesama insan dan jangan dilupa kepada insan yang kurang berada. Selagi kita bernama manusia tentunya tiada yang sempurna.  Akhir kata Selamat Menyambut Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin dari ambe yang jauh di mata-Abe Din.
Read more >>

25 July 2014

Tetamu Ramadhan

Salam datang kepada semua dan selamat berpuasa kepada semua pengunjung yang beragama Islam. Kali ni... ambe nak share satu pengalaman yang menarik yang berlaku di pertengahan bulan ramadhan baru-baru ini. 

Pada suatu pagi selepas subuh, ambe bergerak ke lokasi mencandat di Kemasik untuk meninjau kehadiran sotong di sana. Hari masih gelap... selepas selesai sembahyang subuh. Ambe pergi sorang diri je... beranikan ambe. Haa... jangan dok mengumpat. Memang ambe gi sorang diri ye... Sampai di parking hari masih gelap. Manusia memang takde lagi kat situ. Ketika sibuk berkemas apa yang patut... datang seekor kucing sambil mengiau di dalam gelap. Ambe dok peduli pun. Ambe tak ambil kisah sangat... kucing jenis apa, warna apa, besar mana... langsung tak terfikir masa tu.

Siap berkemas alatan yang hendak di bawa ke lokasi... ambe kunci pintu kereta. Kucing masih ada lagi... ambe dok peduli jugak. Terus jalan dalam 20 meter.. rupa-rupanya kucing tu masih ikut ambe. Ambe pun panggil kucing tu sebab jauh sangat dia ikut. Biasa le orang panggil kucing...chot, chot... ahhh payah nak eja. Rupanya dia faham... terus ikut ambe. Beberapa kali terlanggar kaki ambe masa berjalan.

Tetamu Misteri, Satu Pagi Di Bulan Ramadhan

Sambil berjalan dalam gelap tu... ambe berkata pada kucing tu, kalau dapat sotong nanti ambe akan bagi pada dia. Entahlah dia faham ke dok. hehe. Sampai hujung batu, kucing berkenaan berhenti, dia tak mahu ikut lagi tetapi masih mengiau seakan-akan meminta makanan. Dari pengalaman ambe membela kucing... memang kucing tu lapar. Ambe tak boleh tolong sebab tak bawa apa-apa makanan. Bulan puasa katakan. Kihkih.. kucing mana puasa.

Ambe biarkan kucing di hujung batu tambak. Ambe tinggal kucing berkenaan dalam gelap dan mula mencandat. Jarak kucing dengan ambe lebih kurang 20 meter. Makin jauh... suara kucing diganti dengan deruan ombak. Tak dengar bunyi kucing... dalam hati mungkin kucing tu pergi tempat lain... sebab ambe tak bagi makanan untuk dia. Ambe terus mencandat... dalam hati jika ada sotong... ambe akan bagi kucing tu jika dia ada lagi di lokasi tadi.

Bila hari hampir siang... tali ditarik kuat oleh seekor sotong yang sangat ganas. Ambe jangkakan berat sotong tu lebih daripada sekilogram. Malangnya terlepas. Dalam dok sibuk memujuk sang sotong untuk makan semula.... tali pulak kusut. Sakit tayar sungguh... hari mula cerah tiada sotong yang sudi menjamah jig. Hingga seorang kawan datang mencandat dan berjaya menjerat seekor sotong saiz 3 jari. Ambe minta dan berikan pada kucing berkenaan. Hati ambe sungguh tersentuh kerana kucing berkenaan masih menunggu ambe di hujung batu. Hari dah cerah... baru nampak.

Apabila ambe bawa sotong.... barulah kucing berkenaan datang ke tengah batu tambak. Habis sotong berkenaan dimakan. Hari tu memang takde rezeki ambe... kosong terus. Selepas makan... kucing berkenaan tunggu beberapa ketika sambil berehat di tepi bag ambe... kemudian terus bergerak ke pantai dan hilang entah ke mana.

Seekor sotong tunggal menjadi rezekinya

Ambe terfikir... kadang-kadang tuhan tidak menghantar orang untuk meminta simpati. Haiwan juga mahkluk tuhan yang perlu kita berbuat baik . Zaman sekarang orang tidak peduli tentang perkara seperti ini. Kucing salah satu haiwan yang tahu di mana kawasan yang ada rezeki. Jika diperhalusi betul-betul... bukan semua tempat ada kucing. Kalau di deretan kedai makan... hanya kedai-kedai tertentu sahaja banyak kucing berkeliaran di kawasannya. Begitu juga di kawasan perumahan....hanya rumah tertentu sahaja dituju oleh kucing untuk meminta makanan. Ambe rasa... mungkin haiwan seperti kucing dapat melihat lokasi-lokasi yang dilimpahi rahmat tuhan.

Berkongsilah rezeki anugerah tuhan 

Ambe harap-harap selepas ini... tuan-tuan kedai, tuan-tuan rumah.. jangan pula halau haiwan seperti kucing yang datang meminta sedekah bagi meneruskan hidup. Berbuat baiklah kepada makhluk ini... semoga tuhan akan menambah rezeki kita semua. Berbuat baik jugalah kepada haiwan lain seperti burung-burung dan sebagainya. Jika kita tidak mahu berkongsi rezeki yang tuhan anugerah kepada kita... sekurang-kurangnya makhluk berkenaan tidak diseksa dan diperlakukan dengan kejam. Ingatlah pesan ambe ni.... peminta sedekah tidak semestinya datang dalam bentuk manusia yang berkaki dua tetapi tuhan yang maha kaya boleh menghantar pelbagai jenis makhluknya bagi menguji keimanan manusia. Semoga korang boleh memahami mesej yang ingin ambe sampaikan. Selamat berpuasa dan berjumpa lagi di lain masa-Abe Din.
Read more >>

Trip 15/2014-Daratan

Selamat datang dan selamat berpuasa kepada pengunjung semua. Terima kasih kerana masih sudi lagi menjengah ke halaman maya sotonglaut. Trip terkini ambe diadakan di Kijal, Kemaman. Peserta 3 orang termasuk seorang peserta baru.

Malam berkenaan adalah malam perintis bagi menguji jig-jig Yamashita yang baru di beli. Pada siang harinya.. ambe dan seorang rakan berkunjung ke Kuantan bersama seorang guider... Zulkifly. Tujuannya hanya satu mencari jig killer Yamashita. Kalau tiada aral melintang nanti ambe akan perkenalkan jig berkenaan kepada korang semua. Kebetulan pula jig jenis yang ambe cari sudah kehabisan stock di Kemaman dan Dungun. Nasib baik Zul bagitau ada sebuah lagi kedai di Kuantan yang masih menyimpan stock berkenaan. Apa lagi.... terus ke kuantan dan borong habis dalam 12 ekor semuanya. Harga seekor jig RM18... oleh sebab borong semua... dapat le sikit diskaun. Kira ok juga.

Sebahagian daripada 18 ekor sotong yang berjaya dijerat

Ketika mula sampai... air sedang surut. Jig killer sudah siap terpasang pada joran masing-masing. Balingan demi balingan disambut penghuni air yang lembut tetapi ganas giler.. drag ambe kerapkali menjerit memecah kesunyian di malam hari. Pada malam berkenaan ambe berjaya menjerat lebih kurang 14 ekor sotong mabang pelbagai saiz dan seorang lagi rakan baru berjaya mengumpul 4 ekor yang mana salah satunya bersaiz bapak. Seekor sotong mega tidak berjaya ditarik naik kerana terlalu besar dan ganas melawan. Dua kali tali ditarik berselang 20 minit tetapi masih gagal menjerat mangsa. Mungkin saiz jig 2.0 tidak mampu menawan sotong berkenaan. Jika datang lagi, kami akan cuba saiz jig 2.5 sebagai taruhan untuk memerangkap sang sotong yang cukup ganas dalam laut.

Sotong fresh yang dibawa pulang 

Biasa le... kalu mencandat dari kawasan pantai, kadang-kadang sotong besar datang menyapa secara tiba-tiba. Saiz jig yang kecil memang tidak mampu memerangkapnya. Kalau di laut selalunya kita sudah bersedia dengan jig saiz besar paling kurang 2.5 sebab di laut selalunya sotong yang menyambar adalah bersaiz mega tidak kurang dari sekilo berat setiap seekor.

Bagi korang yang sedang aktif mencandat... selamat mencandat. Bagi yang belum, bila lagi? Ambe merasakan saat kemuncak kehadiran sotong mabang sudah semakin dekat. Jangkaan ambe selepas raya nanti.  Sotong yang ditemui selalunya bersaiz mega, besar dan ganas. Jadi bersedialah dengan saiz jig yang lebih besar dengan mata jig yang lebih kukuh. Hingga berjumpa lagi... selamat berpuasa-Abe Din.
Read more >>

24 July 2014

Sotong Bakar Paka

Salam ramadahan kepada semua pengunjung beragama Islam dan selamat sejahtera serta selamat datang kepada semua yang sudi bertandang ke sini. Moga deme semua sihat-sihat belako. Dah sampai penghujung ramadhan ni, aktiviti mencandat sotong terpaksa dikurangkan... maklumlah hari raya dah dekat.  

Masa banyak dihabiskan untuk membuat persediaan menyambut 1 syawal yang bakal menjelang.Persiapan tahun ni ala kadar sahaja...kuih raya beli kat kedai. Orang kata jangan takde langsung. Nanti saing-saing datang berkunjung minum air je... malu boh.

Baru-baru ni ambe berjalan-jalan di pasar ramadhan sambil membeli juadah untuk berbuka puasa. Lokasi pilihan ambe ialah di pasar ramadhan Paka dalam daerah Dungun. Boleh tahan juga pasar ni... besar le juga. Orang ramai... pening kepala nak berjalan di tengah-tengah lautan manusia. Kalau tak biasa... boleh pengsan.

Menyelerakan sungguh...

Ketika ambe tengah asyik memilih juadah untuk dibeli... ambe terpandang satu gerai menjual sotong bakar. Sotong yang dijual bersaiz besar dari spesies sotong torak. Bila tanya harga seekor... RM18. Fuhhh.. semangat. Mintak kurang .... dia bagi RM16. Ambe tak beli pun... tanya je. Ambe hanya order ikan bakar jenis ikan ketuka. Saiz lebih kurang besar tapak tangan.... harga RM5. Nak makan, beli juga. Masa berbuka tadi... rasa memang sedap. Power juga.... kalau beli sotong tadi mesti sedap. Makanan yang disediakan cara dibakar ni... kesedapannya banyak bergantung kepada rasa rempah. Kalau rempah best... tentu makanan yang dibakar juga best.

3 sekawan yang sedang dibakar... macam best je

Ambe memang tabik dengan brader yang dok tengah bakar ikan dan sotong tu. Pada jangkaan ambe, diorang ni mula bakar ikan mungkin dalam pukul 3 atau 4 petang. tengok pada muka sorang-sorang dah nak hitam.... badan pula nampak dah macam nak habis peluh dah.  Apa pun teruskan mencari rezeki halal di bulan yang mulia ni. 

Kalau korang berkesempatan datang ke sini... jangan lupa cari sotong bakar ni. Memang laku gerai ni... ada tiga ekor sotong yang sedang dibakar tadi.. semuanya telah ditempah dan tuan-tuannya sedang sabar menunggu tempahan masing-masing siap. Kalau lambat datang, memang tak merasa le sotong bakar tu. Oklah selamat berpuasa untuk semua dan jumpa lagi. Abang Din.
Read more >>

19 July 2014

Trip 14/2014-Daratan

Salam ramadhan untuk semua pelawat beragama Islam dan semoga gembira selalu kepada  semua yang sudi melawat blog buruk ambe ni. Seperti biasa selepas solat tarawikh lebih kurang pukul 10.30 malam... ambe akan masuk ke lokasi biasa untuk mencari rezeki barang sekilo dua.

Mungkin betul kata orang, rezeki di bulan ramadhan murah sungguh dan dipermudahkan-Nya. Beberapa trip yang ambe sertai di bulan puasa ni jarang menghampakan. Seingat ambe hanya satu trip yang balik kumpau disebabkan oleh keadaaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Ketika mula masuk ke lokasi kami berselisih dengan dua pemuda yang baru keluar dari mencandat. Mereka menjawab sapaan dengan sedikit hampa kerana tidak memperolehi sebarang tangkapan. Kami bertiga dah rasa tak begitu gembira tambahan pula melihatkan keadaan air laut yang cukup bergelora. Patut le diorang tak dapat apa-apa.


Sebahagian sotong yang dibawa pulang 

Disebabkan kami datang jauh... ambe syorkan kami masuk juga ke lokasi yang jika berjalan kaki mengambil masa lebih kurang 4-5 minit. Bila tiba di kawasan mencandat... rasa makin hampa. Air sangat bergelora menghempas batuan tepi pantai. Malam tu, ambe basah sampai ke pinggang walaupun berada agak jauh dari pelantar batu yang biasa ambe berdiri untuk melontar candat.

Jangan marah... camera murohhh je... kihkih

Alhamdulliah...balingan pertama dan seterusnya bersambut. Walaupun air bergelora, hujan renyai-renyai dan angin yang sekali-sekala bertiup agak kuat. Candat yang dibaling kerap kali dihanyutkan air yang kuat dan kerap tersasar ketika balingan dibuat. Malam itu... ambe berjaya menjerat 15 ekor sotong saiz boleh tahan. Seorang lagi saing berjaya mendapat 4 ekor. Seorang lagi tak dapat langsung.... hehe. Candat dia asyik tersangkut dan putus je.. last sekali.... tido. Sebab tu sekor pun tak dapat.

Tinggal ambe berdua yang gigih mencandat... sehinggalah hujan mula turun dan kami bergegas balik ke kereta. Malam tu memang bertuah... drag kekili kerap kali menjerit berselang seli dengan hempasan ombak. Nak kata best... memang best sungguh. Walaupun basah kuyup. Sure member ambe membebel sakan. Dah le dia tak dapat sekor pun sotong. Kete dia basah lagi. Kira ok le tu... masa balik kami belanja dia roti canai sardin dengan kopi. Fuhh... cerah mata.

Sampai rumah, semua sotong ambe... bagi ke saing yang tak buleh tadi. Suruh dia bagi dua dengan seorang lagi kawan di tempat kerja. Ambe pesan... balik ambik gambar dulu. Haa.. dua keping gambar tu guna camera dia le. Camera murah... soh beli telefon baru tak nak... gambar pun blur je. Hampeh sungguh. Opps... tak baik ngate orang bulan puasa ni. Ok... Jumpa lagi bila senang-Abe Din.
Read more >>

Jerat Rumpai Laut

Selamat datang dan selamat berkunjung ke blog sotonglaut. Apa khabar korang semua... selamat berpuasa bagi pengunjung beragama Islam. Bagaimana dengan aktiviti mencandat korang ? Ambe ucapkan selamat mencandat dan jangan pula lupa ibadat di bulan yang mulia ini. Ambil peluang yang ada untuk menambahkan saham akhirat masing-masing.


Pada catatan kali ini, ambe ingin berkongsi mengenai satu jenis tumbuhan laut yang tumbuh meliar di sepanjang pesisir laut Pantai Timur. Sekarang ini adalah musim di mana spesies lumut ini mula mati dan tercabut daripada dasar laut. Lumut ini tumbuh di kawasan pesisir yang tidak begitu dalam bagi memudahkannya mendapatkan cahaya matahari.. Ketika tempoh kematian, daun-daun lumut berkenaan akan terdampar di bawa ombak ke tepi pantai

Masih ada lagi lumut yang masih kukuh tertanam pada permukaan batu dan karang laut, kawasan pesisir pantai. Ambe tidak pula tahu sebab kematiannya. Mungkin kerana perubahan kemasinan air laut  yang disebabkan oleh hujan yang lebat. Boleh jadi juga disebabkan keadaan cuaca yang terlalu panas pada ketika ini. Segala kemungkinan yang menyebabkan kematian lumut ini boleh disahkan oleh pakar yang berkaitan.

 Sekali pandang.... kehadiran lumut ini tidak begitu mengancam persekitaran kerana ia akan kering dan mereput apabila terjemur lama di kawasan pantai sebaik sahaja dihanyutkan ombak. Sebenarnya lumut ini cukup merimaskan pencandat sotong mabang di kawasan pesisir pantai. Kehadiran lumut yang banyak boleh menyebabkan candat yang ditarik mudah tersangkut. Jika korang menggunakan tali berdiameter kecil... tali pancing akan mudah putus.... yang bermaksud, candat mahal korang juga akan terkubur di dasar laut. Jika candat murah yang tersangkut, boleh tahan lagi.... jika harga candat lebih daripada RM20... frust juga rasanya.

Jika mata candat atau jig tersangkut pada daunya... peluang untuk melepaskan candat adalah lebih mudah. Jika mata candat tersangkut pada akarnya... agak sukar untuk mendapat semula candat yang tersangkut. Oleh yang demikian korang dinasihatkan agar menggunakan tali tangsi yang berdiameter lebih besar. Disyorkan tali dengan diameter lebih daripada 0.20 dan pastikan tali berkenaan kuat serta tidak mudah putus. 

Jika anda jangkakan candat tersangkut pada lumut ini... tegangkan tali, rendahkan joran dan tarik ke atas beberapa kali dengan cepat. Candat akan tercabut. Sebelum candat dibaling semula... pastikan daun atau akar lumut dibuang terlebih dahulu. Pastikan juga agar mata candat tidak bengkok. Betulkan dulu mata candat yang bengkok sebelum candat dibaling semula ke dalam laut. Ok... ambe nak belah dah ni... nak gi pasar ramadhan beli juadah apa yang patut. Lambat gi habislah lauk best. Hingga berjumpa lagi. Selamat berpuasa dan berbahagia selalu. Bye-Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing