"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

14 April 2015

Trip-2 :2015-Daratan

Salam kunjungan untuk semua. Sotong yang ambe tunjuk kat bawah tu adalah hasil trip mencandat ke-2 ambe di Kijal. Alhamdulillah... dapat le 6 ekor semuanya. Lepas buat lauk minggu ini. Sotong memang sudah sampai ke perairan Terengganu. Jika kena cuaca dan keadaan air hasil tangkapan mungkin akan meningkat.

Pada lawatan kali ini... sotong tidak begitu galak menyambar jig. Kehadiran bulan yang terang menyebabkan sambaran berlaku pada kedudukan yang jauh dari tepi. Pada keadaan dan ketika ini... balingan jarak jauh sangat membantu. Joran paling sesuai digunakan adalah joran dengan panjang antara 7 hinga 9 kaki.


Hasil yang boleh tahan

Harap-harap trip selepas ini akan membuahkan hasil yang lebih baik. Sehingga berjumpa lagi di masa akan datang...bye-Abe Din
Read more >>

Jig Pertama 2015

Salam kunjungan untuk semua pengunjung. Pada kali ini ambe ingin share satu jenis jig sotong yang ambe beli di Kuantan, Pahang. Apa yang menariknya jig berkenaan dilengkapi guli kecil yang dipasang di dalam badan jig. Apabila jig ditarik.. bunyi akan dihasilkan akibat daripada pelanggaran guli berkenaan. Bunyi yang dihasilkan dikatakan mampu untuk menarik perhatian sotong.

Goncangan yang menghasilkan bunyi

Untuk pengetahuan semua, jig ini dijual dengan harga RM4 bagi setiap unit. Harga yang lebih murah jika hendak dibandingkan dengan jig echo yang lain.  Kebiasaannya jig yang boleh menghasilkan bunyi sangat mahal. Harganya diantara RM30-RM50 bagi setiap unit.

Harga memang murah
 
Dua jenis sahaja warna yang dijumpai
Saiz 2.0

Setakat ini, keberkesanan jig ini masih diperingkat ujian. Paling malang ketika ambe melakukan ujian di lapangan salah seekor jig ini telah ditelan batu karang...batu belah, batu bertangkup. Tak sempat dan dapat sotong. Ketika percubaan, ambe dapat rasakan jig ini adalah jenis yang mempunyai kadar selaman yang sederhana laju. Purata berat jig tertumpu pada bahagian tengah menyebabkan kedudukannya ketika di dasar dan semasa menyelam menjadi sedikit mendatar. 

Pada post yang akan datang... ambe akan cuba paparkan keputusan ujian selaman jig ini... insyaallah. Sehingga berjumpa lagi-Abe Din
Read more >>

Jalan-jalan 2015

Salam kunjungan untuk semua pelawat. Pada awal Februari baru-baru ini, ambe sempat berjalan-jalan dan ronda-ronda sepanjang laluan pantai di Terengganu. Singgah di sebuah kawasan di dalam daerah Dungun. Nama tempat tak ingat...hehe. Kawasannya cantik. Sebenarnya ambe singgah sembahyang di sebuah masjid yang kebetulan berhampiran dengan pantai. Selesai sembahyang...ambe menyusuri laluan belakang masjid menghala ke pantai dengan niat untuk melihat keindahan alam ciptaan tuhan. Kat bawah tu.. ambe tepek sekali beberapa panorama cantik di kawasan berkenaan. Jumpa lagi-Abe Din








...................................
Read more >>

LESEN 2015

Salam pertemuan buat semua pelawat. Lama ambe tak blogging... rindu pulok. Asyik main FB jer. Bukan apa... bahan nak tulis dah tak ada. Sotong musim-musim tengkujuh memang payah nak dapat. Kalau ada pun saiz besar jari. ibu-ibu, bapak-bapak semua dah menghilang ke tengah laut.

Lama menyepi...haa, hari ini dan saat ini, ambe menjengah semula ke alam maya untuk berkongsi saat dan pengalaman menyotong di sekitar tempat ambe lebih tepat lagi di negeri Terengganu. Kalau korang tengok kat bawah tu... tu le gambar sotong pertama yang berjaya ambe jerat di tahun 2015. Kira macam renew lesen lagaknya. Sebelum tu... ambe dah pergi meninjau lesen ni kat kawasan ambe... tapi sekor pun tak dapat. Dengar kabo... dah ada orang yang dapat mencandat sotong mabang sejak dari bulan lepas lagi. Ambe je lambat dapat lesen.

Dengan kejayaan mendapat lesen ini... dengan ini ambe sahkan bahawa sotong telah mula kembali ke perairan Pantai Timut terutamanya di Terengganu. Kawan-kawan, saing-saing baru dan lama, hardcore sotong bolehlah mula mempersiapkan kelengkapan perang untuk bersama-sama kita mengharungi tahun 2015 ini dengan spesies-spesies sotong.

 
Jig biru yang jarang ambe guna

Lama sungguh tak menatap si mata hijau ni

Lebih manis lagi...lesen kali ini diperolehi bersama seorang hardcore sotong... Zul Dungun. Zul pun dapat lesen juga... tapi saiz lebih kecil lagi. Ahhh... tak kira lah janji sotong. Lesen tetap lesen. Lokasi tangkapan... Kijal, Kemaman.Nantikan info-info baru yang bakal muncul di dalam blog sotonglaut sepanjang tahun 2015 ini. 

Di kesempatan ini juga... ambe ingin menjemput semua peminat-peminat sotong seluruh Malaysia untuk bersama-sama memeriahkan lagi dua eging sotong di negara kita. Ekoran dari itu satu group whatsApp akan diwujudkan dengan ambe sebagai admin. Group yang telahpun diwujudkan itu diberi nama "Eging Club-Malaysia". Kepada yang berminat untuk bersama-sama dalam group ini bolehlah menghantar No. whatsApp kepada ambe melalui E-mail sahaja. Ambe harapkan dengan kewujudan group ini, info dan maklumat berkaitan sotong akan dapat disebar luas dengan lebih cepat dan pantas. Sekian dahulu untuk kali ini. Jumpa lagi-Abe Din
Read more >>

01 January 2015

Selamat Tinggal 2014

Salam kunjungan kepada semua pelawat. Akhir 2014 ini banyak suka-duka yang datang menjengah. Paling mengusik perasaan apabila rakyat di seluruh negara diuji dengan kehadiran musim banjir. Saudara-saudara kita terutamanya di Kelantan, Pahang, Perak dan kedah diharap sentiasa bersabar dengan ujian yang mendatang. Kepada semua penderma, sukarelawan, anggota keselamatan dan semua yang terlibat di dalam membantu mangsa banjir di seluruh negara... semoga anda semua diberkati oleh Allah Yang Maha Esa. Teruskan membantu dengan penuh keikhlasan.
Di kesempatan ini... sama-samalah kita berdoa agar negara kita yang tercinta ini selamat dari sebarang bencana dan kita dapat hidup aman, damai dan sentiasa diberi pertolongan oleh-Nya. Pada post kali ini juga Abe Din ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf jika ada tulisan di blog sotonglaut ini yang menyentuh perasaan dan mengganggu emosi semua. Lupakan yang silam... kita buka lembaran baru 2015 dengan penuh keimanan dan berserah diri kepada yang Esa. Salam dari jauh-Abe Din.
  
Selamat tinggal 2014

Read more >>

15 November 2014

Sotong Penutup 2014

Salam kunjungan kepada semua pelawat. Ketika ambe sedang update post kali ini... kat luar rumah masih lagi hujan. Sejuk sampai ke tulang. Musim tengkujuh datang lagi... kalau hujan berterusan, air laut akan menjadi tawar. Keadaan ini akan menyebabkan sotong mabang menjauhi kawasan pesisir dan mula bergerak ke tengah laut. Peluang untuk menangkap sotong pada waktu dan ketika ini memang sangat tipis. 

Nampaknya otai-otai sotong terpaksa melupakan keinginan mencandat sotong buat seketika. Terpaksa beralih ke lapangan lain nampaknya. Ada yang sudah mula mencongak untuk melepaskan geram di sungai, paya dan kolam-kolam komersial. Nak buat macamane, kalu dah hobi tu... tak boleh tunggu lama sangat. Tangan dah mula menggigil nak tarik sotong dan ikan. Musim macam ni, ambe dah mula meninjau dan merisik kehadiran udang galah di kawasan ambe. Tak sabar dah nak bertarung...


Mungkin ini yang terakhir

Pada minggu lepas... ambe dapat kiriman WA daripada En. Zulkifly di Dungun. Sempat juga dia mencandat di Tanjong Jara, Dungun pada waktu pagi. Dapat juga seekor sotong mabang saiz kanak-kanak. Nak makan pun tak sampai hati... terus lepas balik. Dalam keadaan cuaca yang masih tidak begitu baik dengan hujan sekali-sekala masih ada lagi sotong yang sudi menyambar jig udang. 

Mungkin sotong sekor ni tak sempat lagi nak balik ke laut. Kalau jumpa nasihatkan dia... cepat-cepat pergi tengah laut. Sudah le kecil... berenang tak laju. Kalu datang air tawar... mati sesaje. Sotong kecil macam ni le yang akan menjadi penghibur di tahun hadapan. Jika umur panjang... sempat balik ke laut dan mampu hidup berdikari... tahun depan, paling kurang pun dia akan pulang semula ke pantai dengan berat melebihi satu kilogram. Sotong kalu makan cukup, memang cepat besar.


Semoga cepat besar... 
kami tunggu Mac tahun depan

Mungkin sotong yang Zul tangkap merupakan sotong terakhir yang kita boleh lihat di tahun 2014. Selepas ini... hujan semakin lebat... nak dapat sotong memang mustahil. Kita tengok tahun depan pula... siapa yang pertama sekali berjaya mencandat sotong secara landbase? Siapa individu bertuah yang mula-mula mengesan kehadiran sotong di pantai Terengganu? Paling lewat mungkin dalam bulan Mac sotong akan kembali semula ke pantai. Sementara menunggu... kemaskan senjata mana yang patut.. tunggu pertarungan tahun 2015. Mungkin lebih menarik dan lebih mencabar berbanding tahun 2014. Hingga berjumpa lagi-Abe Din
Read more >>

Melembut Sotong 2014

Salam kunjungan untuk semua yang sudi bertandang ke blog Sotonglaut. Pada post kali ini ambe nak berkongsi satu lagi teknik mudah untuk melembutkan sotong. Baru-baru ini banyak pertanyaan dan komen yang menjurus kepada teknik dan cara melembut sotong. Biasanya... teknik melembut daging sotong ini merujuk kepada sotong mabang dan sotong katak kerana dua jenis spesies ini merupakan sotong paling liat di negara kita. Struktur isinya memang liat tetapi sedap dimakan.

Sebenarnya ambe telahpun membincangkan tentang teknik melembut daging sotong pada post terdahulu. Kalau korang masih ingat antara teknik yang ambe kongsi termasuklah penggunaan abu kayu, teknik mengetuk, penggunaan kapur makan, teknik memotong daging sotong dan juga cara masakan yang menyebabkan sotong menjadi liat. Disebabkan banyak pertanyaan baru yang timbul sejak akhir-akhir ini, ambe kongsikan lagi teknik yang lebih mudah yang pastinya selari dengan perkembangan teknologi semasa.


Mungkin ada yang telah mencuba iaitu memasak daging sotong menggunakan pemanggang ajaib yang sangat popular ketika ini. Sotong-sotong liat seperti sotong katak dan sotong mabang boleh dimasak menggunakan pemanggang ini. Jika digabungkan dengan teknik mengetuk dan cara hirisan... sotong yang dimasak tidak akan liat dan lebih mudah untuk dimakan. Kejayaan melembutkan struktur daging sotong akan memberi lebih kreativiti untuk mempelbagaikan lagi jenis masakan dan hidangan anda. Semoga tips ringkas ini berguna kepada yang masih belum tahu. Selamat mencuba dan bertemu lagi pada post akan datang-Abe Din
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing