"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

07 June 2013

Peluru 2013

Salam sejahtera kepada semua pengujung... terima kasih kepada yang sudi menjadi follower blog ambe ni... Badan masih letih selepas pulang dari trip Pulau Ular. Timbul pula perasaan malas nak update blog sotonglaut.. tetapi bila memikirkan banyak perkara yang perlu dikongsi dengan pemancing di luar sana.. digagahi juga untuk menaip sekadar mampu.

Sesuatu yang ambe nak kongsi bersama anda ialah berkenaan dengan candat yang ambe gunakan sepanjang trip meninjau potensi Pulau Ular baru-baru ini. Ambe menggunakan candat Yamashita versi lama, berat 2.0, warna merah. Candat telah dimodified menjadi candat bola (rujuk post ambe sebelum ini) memang cukup berbisa.
  
Variasi klon Yamashita

Candat buatan China yang diklon dari produk Jepun ini memang sangat berkesan di Pulau Ular. Candat ini juga telah terbukti berjaya menawan spesies sotong mabang semenjak 5 tahun lepas. Sejak ia mula diubahsuai dua tahun lalu... powernya semakin menjadi-jadi.

 Struktur binaan yang ringkas tetapi kemas

Candat ini dibeli di Dungun dengan harga RM15 setiap satu. Harganya lebih murah dari candat original Jepun yang berharga RM25 seunit. Candat ini semakin sukar ditemui kerana permintaan kepada Yamashita versi baru yang semakin meningkat. Harga versi baru mencecah sehingga RM38 seunit. Walaupun mahal ia sangat berkesan menipu sotong mabang.

Tahukah anda...? sepanjang berada di Pulau Ular, ambe hanya menggunakan candat Yamashita lama yang telah diubahsuai. 18 ekor sotong mabang (merupakan rekod peribadi terbaru bagi tahun 2013) telah berjaya dicandat. Koyak-rabak candat dilanyak oleh sotong mabang Pulau Ular.

 
Klon Yamashita merah (modified) koyak diterjah sotong


 Bandingan candat normal dan candat modified

Ambe dapat merasakan, candat klon Yamashita ini mampu bertahan lebih lama di dalam industri mencandat sotong mabang di negara kita. Candat ini sangat sesuai dipadankan dengan pancing sotong dan kekili berkekuatan 2500 dengan tali berdiameter 0.18 hingga 0.20. Bagi pencandat yang masih belum mencuba boleh test power anda menggunakan candat ini.
Jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

05 June 2013

Trip Pulau Ular S1(B)

Peserta Trip Pulau Ular Siri 1
Along (baju hitam), Cikgu Asan (baju merah hati), Helmi (baju putih), 
Cikgu Amir (baju oren), dan Noh ( baju merah belang)

Seperti yang ambe nyatakan sebelum ini... tujuan utama kami ke Pulau Ular adalah untuk memancing dan meninjau kehadiran sotong mabang di pulau ini. Trip awal ini adalah perintis untuk dijadikan sebagai rujukan trip berikutnya. Pada petang kami di sini... kami dahulukan dengan memasang khemah bagi persediaan sebelum hari gelap. Ada sedikit kebimbangan kerana pada musim sekarang hujan, angin dan ribut petir kerap melanda di kawasan pesisir Pantai Timur. Petang-petang selalu hujan.

Selepas khemah siap dipasang.... masing masing mempersiapkan peralatan memancing untuk menduga penghuni pulau. Empat peserta akan menduga ikan di hadapan khemah manakala ambe dan seorang rakan menjelajah di belakang pulau. Rakan ambe mencari ikan... ambe macam biasa mencari sotong.

Setelah lama memancing... asyik tersangkut... tali kerap putus. Ambe yang asyik baling candat ke laut... sekali pun tidak merasa tarikan sotong. Lenguh bahu... dalam hati ambe... berdetik kekecewaan sambil membuat kesimpulan... memang tiada lagi sotong di sini. Rakan ambe masih mengail ikan... begitu asyik melayan tarikan ikan-ikan kecil. Sehingga hampir pukul 6 petang satu tarikan kuat sotong dirasai... seekor sotong sebesar lengan berjaya dinaikkan. Serangan mengejut telah membuatkan kami kelam kabut... gang sebelah ambe dah pasang candat dan cuba mencandat. Dalam masa yang singkat, ambe berjaya menaikkan sotong mabang saiz sama sebanyak 6 ekor. Pancing rakan ambe juga ditarik kasar sotong tetapi terlepas disebabkan drag kekilinya yang dikunci ketat. Selepas tiada tarikan sotong kami berpindah menghala ke base dengan menyusur kawasan berbatu. Sepanjang menyusur hinga ke khemah... ambe telah berjaya menaikkan sotong sebanyak12 ekor.

Berapa port pancing di pulau ini

Kumpulan yang memancing di kawasan khemah telah berjaya menaikkan beberapa ekor ikan dan seekor sotong yang menyambar umpan ikan. Ambe menjangkakan jika sotong terkena pancing ikan.... itu adalah petanda sotong di kawasan ini memang banyak. Selepas makan malam dan sembahyang.... aktiviti disambung semula pada pukul 9 malam. Sotong masih makan sehingga pukul 11 malam dan tarikannya berhenti apabila air surut.

Buat takut orang jer...

Gambar kat atas tu... adalah bekas kaki umang-umang. Ambe yang pertama kali berjumpa bekas ini pada waktu malam menjangkakan bekas laluan ular... maklumlah Pulau Ular. Laluannya pula menghala ke khemah... takut juga. Panggil semua mamber datang tengok... bila kami ikut laluan yang ditinggalkan... nampak bersimpang siur. Banyak rupanya... sehinggalah kami jumpa spesies kat atas tu... umang-umang. Lega sikit rasa.

Aktiviti seterusnya berehat dan tidur. Kami dijangka akan sambung semula aktiviti pada pukul 6 pagi ketika air penuh.... tetapi aktiviti dimulakan lebih awal, lebih kurang pukul 3 pagi ketika air menyongsong masuk. Bulan keluar pada pukul 6 pagi.. Pada ketika itu sotong cukup galak mengambar umpan udang. Beberapa sotong lagi dinaikkan sehingga pukul 8 pagi.


Aktiviti siang hari... hari ke-2

Kami mengemas semua perlatan pada pukul 10 pagi. Bot dijangka datang pada pukul 2 petang. Apalagi, sementara menunggu bot datang... kami berpakat mandi laut. Beberapa kumpulan pelancong sudah mula datang untuk melakukan aktiviti scuba diving. Kat atas tu ada gambar obor-obor merah... kalau kena... memang best. Jaga-jaga dengan spesies ini jika anda mandi di laut.


Peserta bersama hasil tangkapan.

Selepas mandi... kami membasuh kotak ikan masing-masing. Menukar ais baru, membasuh ikan dan sotong yang akan dibawa balik. Ada seorang nelayan yang datang berkelah bersama family dia memang baik hati.. bagi air batu dan 2 ekor ketam renjong kat kami. Orang rumah dia pula bagi karipap... mmm perut tengah lapar... 3 biji terus masuk dalam perut.


Kesemua hasil tangkapan sepanjang kami di sini.

Kat atas tu adalah gambar semua tangkapan yang kami perolehi. Antara ikan yang berjaya dipancing termasuklah biji nangka, tetanda, kerapu dan ikan yu. 20 ekor sotong mabang berjaya dinaikkan sepanjang kami mencandat di sini. 2 ekor Cikgu Amir punya... lagi 18 ekor ambe punya... kihkih.. teror juga ambe ni (nada angkuh...kih). Semua tangkapan di bahagi kepada peserta trip untuk di bawa balik.

Kami telefon tekong lebih awal dan keluar dari pulau pada pukul 1.15 tengahari. Ambe berkira-kira untuk datang sekali lagi ke pulau ini. Tentunya dalam masa terdekat. Sila tunggu panggilan ambe melalui blog sotonglaut. Hingga berjumpa lagi.
Abe Din.
Read more >>

Trip Pulau Ular S1(A)

Selamat datang dan terima kasih di atas kunjungan anda ke blog sotonglaut. Setelah selesai promotion Trip pulau Ular Siri 1 pada bulan lepas. Ambe telah berjaya mengumpulkan 5 orang lagi peserta ke pulau berkenaan bagi tujuan memancing dan menduga kehadiran sotong mabang.

Kami memang pertama kali menjejakkan kaki ke pulau berkenaan. Info yang diperolehi hanya dari cakap-cakap penduduk tempatan dan juga maklumat dari internet. Setelah perancangan rapi, tarikh trip ditetapkan pada 3 hingga 4 Jun. Ambe dengan seorang kenalan dari Terengganu akan berjumpa empat individu lagi di jeti Sungai Ular. Kami bertolak dari jeti Sungai Ular lebih kurang pada pukul 3 petang. Bot akan hantar dan ambil kami hari berikutnya, pada waktu yang sama.
 
Peserta trip bertolak keluar dari kuala sungai

Kuala Sungai Ular sebenarnya agak cetek. Bot memang sukar untuk keluar masuk jika air surut. Perjalanan keluar masuk menggunakan bot lebih sesuai jika air pasang. Sampai di muka kuala.. beberapa orang budak-budak sedang mandi manda... air nampak agak jernih juga. Tekong bot adalah penduduk tempatan di Sungai Ular. Dari perbualan dalam perjalanan ke pulau... ambe boleh simpulkan bahawa tekong yang membawa kami memang cukup mahir dengan keadaan di sini.

Suasana di sekitar Pular Ular 1

Pulau Ular pada mengamatan ambe yang pertama kali sampai di sini... merupakan sebuah pulau kecil dan terdapat banyak struktur batuan yang merupakan asas utama pulau. Muka bumi di bahagian tengahnya masih ditutupi oleh pokok-pokok hutan dan terdapat beberapa pohon kelapa. Semasa menjelajah pulau pada kali pertama... terasa seolah-olah berada di kawasan perkampungan nelayan.


Suasana di sekitar Pulau Ular 2

Struktur batuan di sini bersaiz besar dan agak bahaya juga untuk naik dan turun. Bagi mereka yang tidak biasa dengan keadaan ini, risiko kemalangan tetap ada. Jika anda bercadang untuk ke sini... pakaian dan peralatan yang sesuai perlu diguna ketika menyusuri kawasan berbatu di pulau ini. Anda yang tidak biasa, mungkin akan merasai cabaran yang hebat di Pulau Ular.


Suasana di sekitar Pulau Ular 3

Pada hari pertama... ambe dan rakan-rakan lain banyak melihat dan mencari kawasan-kawasan yang sesuai bagi aktiviti memancing dan mencandat sotong. Kawasan banyak ikan dan juga kawasan kerap sangkut perlu diingati agar tidak kecewa ketika memancing pada sebelah malam dan esok hari.

Air laut yang bersih dan jenih

Air laut di kawasan Pulau Ular memang sangat jernih dan bersih. Dari perbualan dengan tekong dan penduduk di sini... Pulau Ular kerap dikunjungi pelancong-pelancong luar seperti Singapura untuk melakukan aktiviti skuba di sini. Dari pemerhatian ambe... memang kawasan ini sesuai untuk aktiviti skuba. Airnya jernih... ikan-ikan kecil memang banyak di kawasan pantai dan cantik-cantik belaka.

Struktur batuan dan karang mati di sekitar pulau

Jika anda berkunjung ke pulau ini... anda boleh melihat timbunan karang-karang laut yang telah mati. Walaupun telah mati... keunikkan dan kecantikkan karang-karang di sini masih dapat dilihat dengan jelas. Bagi peminat akuarium... karang-karang di sini mungkin ada yang sesuai untuk di bawa balik bagi menghiasi akuarium anda.

Kesimpulan yang boleh ambe nyatakan di sini... pulau ular memang cantik dan sesuai untuk pelbagai aktiviti seperti scuba diving, trecking, memancing dan lain-lain. Ambe jangkakan bahawa Pulau Ular pada suatu ketika dahulu berkemungkinan bersambung dengan tanah besar memandangkan jaraknya yang begitu dekat dengan pantai. Dari segi teorinya, kemungkinan pulau ini terpisah disebabkan pembentukan alur sungai yang semakin lama semakin luas dan menyebabkan hakisan teruk dari arah daratan dan ombak laut. 

Pulau ular masih wujud kerana struktur batuannya yang keras dan tahan terhadap hakisan ombak dan angin kuat. Ambe harap semoga Pulau Ular ini terus dipelihara agar keindahannya boleh memberi manfaat kepada pelacanong dan penduduk di sini. Ketika berbual bersama penduduk kampung yang kebetulan datang berkelah di pulau ini... ambe mencadangkan agar Persatuan Nelayan Kawasan mengambil inisiatif untuk menjaga dan membina beberapa infrastruktur di sini seperti tandas dan pondok untuk berteduh. Kedatangan pelancong yang kerap ke kawasan ini sedikit sebanyak akan membantu meningkatkan lagi sosioekonomi penduduk-penduduk di sini... ( bersambung)
Read more >>

01 June 2013

Jemputan VVIP

Salam sejahtera kepada semua pengunjung dan pelawat sotonglaut.blogspot.com/. Pada post kali ini ambe ingin menjemput sesiapa sahaja untuk menjadi kenalan dalam blog buruk ambe ni... lebih kurang macam followers jugaklah tapi lain sikit.

Anda hanya perlu menghantar sekeping gambar (anto banyak pun boleh.... tp ambe pilih sekeping je)  melalui e-mail ambe.. colourless_orchid@yahoo.com. Gambar anda dengan sotong... tak kire sotong katak, torak, jarum, kurita di lokasi pancingan, pasar, rumah atau kat mana sahaja. Sotong mesti sotong betul le... mainan tak boleh. Untuk lebih adil kepada kaum hawa yang bukan semua boleh dapat pergi mencandat... masakan sotong pun boleh tapi gambar anda kena ada jugak le..

Gambar tu bior le kreatif sikit masa snap tu... Sume orang boleh hantar... kanak-kanak, bayi, orang tua, orang muda, datuk, nenek, pak cik, makcik, artis, bukan artis, yang tidak terkenal pun boleh... sotong pun boleh... kihkih.


Korang bagi sekali nama panggilan korang dan sedikit info... kalau korang bagi info yang banyak... jika sesuai ambe akan buat satu post khas untuk korang dan akan dipost dalam blog ambe. Emm... glamer lah korang nanti.

Sume gambar yang dipilih akan ambe publish di dalam ruangan kenalan seperti dalam gambar kat atas... dalam ruangan tu dah ada dua orang pemuda yang hantar e-mail pada ambo suatu ketika dulu... diorang ni macam perintis jugak le... lebih kurang.

Ambe harap... ia akan dimanfaatkan dan mencambahkan lagi idea dan kreativiti anda di dalam dunia fotografi. Opps.... sebelum ambe lupa... gambar menjolok mata dan kurang sopan...tak terima ye.. maaf bebanyok. Satu lagi gambar yang diedit secara ekstrim menggunakan software seperti fotoshop tidak digalakkan. Biar kamera murah dan tak cantik tapi original. Originality penting tau.

Selamat menge-mail gambar kat ambe
Abe Din
Read more >>

Hulurkan tangan..


Salam sejahtera kepada semua pelawat sotonglaut. Pada kali ini, ambe ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua followers dan juga blogger-blogger yang telah menyokong ambe selama ini. Sejak mula bertatih dalam dunia blogging dari 17 April 2010 hingga sekarang... ambe telah banyak belajar dari blogger otai tentang dunia blog.

Ambe melihat blog dan kecanggihan dunia siber ini boleh dimanfaatkan untuk memajukan lagi industri memancing dan rekreasi... bagi ambe tentunya dunia pancingan sotong. Ambe masih lagi konsisten dengan tema yang tidak berubah iaitu ingin melihat... pada suatu dari nanti, hobi pancingan sotong ini diangkat pada satu kedudukan yang baik di negara kita sebaris negara seperti Jepun, Taiwan dan Australia.

Adalah sangat malang apabila "dunia kita" tidak diangkat oleh "orang kita" sendiri. Mereka melihat sepi pada ilmu dan proses memberi pendidikan itu sendiri. Walaupun mereke berada pada posisi yang boleh membantu... tetapi mereka tidak membuat demikian. Ambe sendiri tidak tahu apa tujuan mereka.... nama? kedudukan? ganjaran? atau ada agenda lain yang tidak diketahui.

Dalam mengangkat dunia memancing ke tahap yang boleh dibanggakan... kita perlu ikhlas. Abe Din mengucapkan tahniah kepada blogger-blogger pancing yang tidak jemu-jemu menulis dan mencari bahan untuk didedahkan kepada pembaca baru dan lama. Sebenarnya ia adalah satu proses pendidikan dan pengalaman yang mahal.

Ambe tidak mahu melihat skop yang terlalu jauh... ambe memberi contoh pada tema sotong yang ambe perjuangkan. Berapa ramai orang di luar sana yang ada pengetahuan tentang pancingan sotong... banyak? tapi peratusanya? tentu kecil. Ramai mana yang menceburkan diri di dalam bidang ini secara suka-suka dan ikut kawan? Bagaimana pengalaman mereka mengikut trip kali pertama... yang bernasib baik akan teruskan hobi ini.. ramai orang baru yang kecewa dan terus melupakan hobi ini...  bagi mereka merugikan dan membuang masa.

Jika perkara seperti ini berlaku... sampai bila industri kita akan berkembang? Perkara yang sama juga akan berlaku pada semua hobi memancing yang lain... udang, ikan atau apa sahaja hobi yang bersangkut paut dengan hidupan air dan rezeki dalam air. Ramai yang kecewa dan semakin menjauhkan diri daripada komuniti hobi seperti ini.

Cuba bayangkan... seseorang individu yang ingin menyertai trip mencandat sebagai contoh... berapa kos yang patut dikeluarkan? Apa mereka dapat selepas menyertai trip berkenaan? Mabuk, letih tak bermaya, kecewa. Banyak kelemahan yang dapat difikir semula... peralatan tidak sesuai, masa dan cuaca tidak sesuai, umpan tidak sesuai... itu belum lagi ditipu tekong yang malas mencari port terbaik. Banyak mana wang dibazirkan di dalam industri ini? 

Sepatutnya industri seperti mencandat dan memancing di laut adalah satu aset yang penting kepada negeri atau komuniti setempat bagi meningkatkan ekonomi tempatan... jika kena cara dan gayanya. Pemancing dalam dan luar akan tetap datang silih berganti. Jika promosi bersesuaian dengan hasil yang dipromosikan.... jika tidak? Adakah kita yakin mereka akan datang lagi. Sangat rugi jika anugerah tuhan ini tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh kita.

Isu yang utama di sini adalah ilmu yang betul, pengalaman yang benar dan maklumat yang tepat. Jika semua ini berada dalam diri individu baru... tentunya kita mampu melihat pada suatu hari nanti... warisan memancing yang boleh dianggap tertua ini tidak akan dilupakan begitu sahaja oleh generasi akan datang.

Sekali lagi ambe... mengucapkan tahniah kepada semua blogger-blogger pancing yang masih terus berusaha tanpa jemu memperjuangkan hobi ini. Masih gigih menulis pengalaman dan memberi ilmu kepada mereka yang baru. Teruskan usaha murni anda. Berjuanglah dengan ikhlas. "Hulurkan tangan anda... sambutlah mereka".
 

Abe Din.
Read more >>

31 May 2013

Panggilan Trip 1-2013

TRIP PULAU ULAR SIRI 1 2013

Panggilan untuk peserta Trip Memancing ke Pulau Ular Sesi 1/2012
Diminta peserta yang terlibat agar bersedia sebelum trip dijalankan pada minggu hadapan. Beberapa persiapan awal perlu diambil perhatian agar trip berjalan lancar.

Berikut beberapa info awal untuk diambil perhatian:
Sasaran utama, teknik  & peralatan yang disyorkan :
1-Sotong Mabang : Mencandat : Joran aksi ringan
2-Sotong Torak  : Mencandat : Joran aksi ringan
3-Kerapu Karang : Pelampung @ bottom : Joran sederhana 
4-Pari : Bottom : Joran aksi berat @ Sederhana.

Umpan disyorkan :
1-Udang pasar
2-Sotong pasar
3-Ikan kunyit
~Umpan 1 dan 2 akan disediakan oleh penganjur manakala umpan 3 akan dipancing di lokasi

Keperluan lain.
1-Alatan memancing lain
2-Joran paling kurang 2 batang
3-Khemah @ Sleeping bag
4-Binocular jika ada.
5-Lampu suluh
6-Lilin dan lampu recharge
7-Kasut anti gelincir
8-Ubatan peribadi/FirstAids
9-Kotak polistren besar
10-Air batu
11-Makanan
~Kenalpasti dan bawa alatan lain yang perlu. Pastikan tidak membawa barangan terlalu banyak. Bawa yang benar-benar perlu sahaja.

Larangan :
1-Banyak menyuluh pada waktu malam
2-Menebang pokok
3-Membawa balik sesuatu yang bukan tujuan
4-Percakapan tidak sopan
5-Bergerak seorang diri.
6-Mandi pada waktu malam. 
7-Membuang sampah merata-rata.

PESERTA DISYORKAN AGAR MELAYARI LAMAN WEB DAN YOUTUBE BERKAITAN BAGI MENDAPATKAN GAMBARAN AWAL DI PERSEKITARAN PULAU.
Fasilitator : Abe Din Dan Cikgu Amir.
Read more >>

29 May 2013

Trip Penghujung Mei

Selamat datang semua. Masa aku dok sakan menaip ni... sebenarnya aku baru balik mencandat spesies kat bawah tu. Cadang balik nak terus tido. Mata tak berapa nak boleh tutup. rupe-rupenya masa singgah kedai tadi aku minum air Kopi Mahkota Dewa. Bijik mata aku bulat besar tak nak tidur. Maka aku pun buka laptop... taiplah apa yang patut untuk aku share dengan semua pelawat yang datang ke blog buruk aku nih...

Sotong mabang yang baru di gaik

Mabang yang menyambar candat

Untuk pengetahuan korang... malam tadi aku turun mencandat lebih kurang pukul 9.20 malam. Singgah kedai makan kejap dan masuk ke lokasi lebih kurang pukul 10.30 malam. Mula mencandat adelah dalam pukul 11.00 malam. Sampai, terus baling candat dengan sorang mamber.... nak tercabut bahu, sengkor pun tak dapat. Tanya kat sorang Mamat di sebelah... dia baru dapat sengkor besar tapak tangan.... dah sejam mencandat. Tak boleh jadi.... kata putus... pindah tempat.

Sambil bersembang... Mamat tu tunjuk jalan ke satu lokasi lagi... terus pergi. Lalu ikut batu-batu tinggi dan semak samun. Seksa sungguh... akhirnya... sampai jugak. Baling candat terlepas dua kali kemudian dapat dan dapat dan dapat dan dapat....

Muatan kotak polisterin putih

Muatan dalam kotak


Air mula menyurut... sotong dah tak berapa nak galak. Pindah tempat, dapat 2 ekor. Pindah lagi tak dapat. Pindah semula tempat hok mula-mula... tak dapat jugak. Kami balik... padan muka sotong. Balik ikut jalan lain. Jalan kaki ke kereta. Serik dah ikut shortcut... menyeksa dan membahayakan aku je.

3 ekor candat aku ghaib ditelan batu bertangkup dalam laut. Sampai kat kereta... terus pegi pantai basuh dakwat sotong.... cuci-cuci... amik gambar. Fuhhh... 12 ekor semua kami dapat. Lepas tu terus balik.... sebelum tu singgah kedai, minum milo ais. WhatsApp gambar tangkapan kami pada kengkawan lain.... kasi racun same diorang.

Antara sotong mabang yang diperolehi


Kesemua hasil tangkapan malam berkenaan

Sampai rumah.... simpan sotong dalam peti ais... takleh tido lak.. menaip. Besok nak gi Dungun... cari candat dan keperluan candat yang lain sebab nanti kami nak gi pulak. Sebenarnya dah cipta rekod 2013... 12 ekor. Ehh... ngantuk lak... tido dulu yer. Jumpa lagi.
Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing