"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

11 June 2011

Balik Kampung

Salam kepada semua pengunjung.
Sempena musim bercuti, Abe Din sekeluarga mengambil peluang untuk pulang beberapa hari ke kampung. Lama rasanya tidak  balik kampung.

Balik kali ini cadang nak bawa sotong mabang. Berhari-hari pergi mencandat, hanya beberapa ekor sahaja yang dapat.. setakat buat lauk kat rumah je.

Pagi hari sebelum bertolak pulang, Abe Din pergi mengintai sotong torak yang dijual di kuala sungai. Cadang nak beli dua tiga kilo sebagai buah tangan untuk orang kampung.


Semua gerai yang ditinjau tidak menjual sotong mabang. Penjual hanya berkata, "sotong payah sekarang ni". Hanya sebuah gerai menjual lebih kurang 10 kilo sotong mabang. Bila ditanya harganya... RM18/kilo... Huuhh mahalnya. Kebetulan rakan Abe Din yang berniaga.. dapat le RM14/ kilo. Bila ingatkan mak abah kat kampung beli juga le.. 3 kilo sotong torak dengan seekor ikan "aya" atau tongkol. Harga semua RM54... kawan Abe Din bagi diskaun lagi jadi RM50 semuanya.

Siap diletak dalam bekas polisterin lagi.

Letak ais... nak jalan jauh le katakan.

Mengikut rakan Abe Din, sotong agak kurang tahun ini. Jika ke laut mencandat, dia hanya mampu memperolehi 4 hingga 6 kilo sahaja. Hanya sekali sekala melebihi 10 kilo. Mungkin itulah sebab sotong menjadi mahal. Tapi kira ok jugak... nak murah.. gi le tangkap sendiri. kih..kih.



Sampai kampung.. buka kotak.. letak dalam bekas..Hiss... macam sikit je. Sambil membelek-belek sotong yang dibawa... mula terfikir.. nak suruh mak masak apa ye.. Mmmmm... kalau mak masak memang sedap.
Tak sabar rasanya..

Jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

09 June 2011

Ranking Pertama

Salam untuk semua pengunjung dan pelawat. Apa khabar pencandat-pencandat sotong? Bagaimana hasil tangkapan anda? Semoga anda dianugerahkan rezeki yang banyak olehNya. Pastikan proses halal itu diutamakan agar rezeki yang diperolehi itu lebih berkat.

Pada kali ini, Abe Din akan menutup perbincangan siri jig-jig pilihan 2010. Semua yang dipaparkan di sini tidak semestinya berkesan untuk anda tetapi ia hanya sekadar panduan bagi pencandat-pencandat mabang memilih umpan jig yang bersesuaian dengan lokasi, cuaca, gaya mencandat dan jenis sotong yang ingin diperangkap.

Jig kali ini mula dikenali dengan meluas pada tahun lepas. Abe Din mula melihat jig ini di sebuah kedai di Dungun. Abe Din bertanya apa kelebihan jig baru ini kepada seorang penjual cina. Katanya jika kita menggunakan jig ini, nisbahnya 10:1. Maksudnyanya kita dapat sepuluh ekor, orang lain dapat seekor. Nadanya begitu serius tetapi tidak begitu tepat setelah diuji. Walaupun begitu setakat hari ini, jig ini paling berjaya menarik perhatian sotong mabang.

Jig Yamashita, Golden Bait baru


Harga jig ini sangat mahal iaitu RM27 hingga RM28 sejak ia mula diperkenalkan di Terengganu. Walaupun begitu ia masih mempunyai peminatnya yang tersendiri. Tinjauan harga di pantai barat terutamanya di Selangor menunjukkan harga jig jenis ini lebih murah iaitu RM18 hingga RM19.

Syarikat pengeluar masih menggunakan trademark, Golden bait sebagai usaha menarik perhatian pelanggan. Warna yang biasa dijumpai ialah merah, pink, hijau, putih dan oren dengan berat 2.0, 2.5, 3.0 dan 3.5. Disebabkan harganya yang mahal, Abe Din dan rakan-rakan cukup berhati-hati ketika menggunakan jig jenis ini. Orang kata, kalau tersangkut seekor.. seminggu tak lalu makan.. bukan kerana sedih tak dapat sotong tetapi sedih kerana kehilangan jig mahal. Selalunya ia digunakan di kawasan tiada atau kurang batu atau ketika sotong benar-benar sedang galak menyambar umpan


Salah satu kelebihan yang paling menarik perhatian Abe Din tentang jig ini ialah badannya disalut oleh kain yang hampir sebati dengan badan. Gam yang digunakan cukup kuat. Kelebihan ini menjadikan badan jig tidak terkoyak dan sukar dikotorkan oleh dakwat sotong.

Berikut disenaraikan beberapa kelebihan jig:
1-Bentuk yang paling menyerupai badan udang
2-Mampu menyimpan cahaya dalam tempoh paling lama
3-Renangan yang paling stabil
4-Sesuai bagi aras pertengahan dan atas air
5-Warna dan corak yang pelbagai dan menarik
6-Paling menarik perhatian sotong 
7-Mata kail panjang dan tajam 
8-Mata sukar tercabut
9-Sotong sukar terlepas
10-Ada mata jenis luminous
11-Kain digam kuat
12-Bulu tepi yang menarik
13-Mata tahan karat

Kelemahan jig yang dikesan:
1-Harga sangat mahal
2-Mata kail jig sedikit lembut
3-Mudah dikesan dan disambar oleh ikan

Sekian dahulu untuk kali ini. Jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

Ranking Ke-2

Salam untuk semua yang sudi datang ke blog buruk Abe Din..
Hari ni, Abe Din nak sambung bercerita mengenai jig yang berada di ranking ke-2 pada tahun 2010. Jig ini diberi nama Yamashita Egi Sutte. Begitu popular dengan gelaran Golden Bait yang diberi oleh pengeluarnya. Jig ini  memang cukup berpuaka.. ntah berapa banyak sotong yang berjaya diperangkapnya.. sukar untuk diramalkan.... yang pasti memang banyak sungguh.

Abe Din mula mengenali jig ini pada tahun 2008. Pada masa itu, jig ini cukup popular dan dijadikan senjata rahsia otai-otai sotong di Terengganu. Kebiasannya jig ini dijumpai dijual dengan berat 2.0, 2,5 dan 3,0. Jig bersaiz 2.0 dan 2.5 selalu digunakan di kawasan pesisir pantai. Warna yang biasa dijumpai ialah merah, pink, oren dan hijau. Pada tahun lepas Abe Din terjumpa jenis jig ini yang dijual dalam warna baru iaitu biru dan coklat.

Inilah rupa jig Yamashita merah 2.0

Pada tahun 2009, harga jig ini ialah sekitar RM 12 hingga RM15. Kini harganya telah mencecah sehingga RM25 bagi setiap jig. Jig awal yang dikeluarkan mempunyai beberapa ciri istimewa iaitu mempunyai keupayaan untuk menyimpan cahaya yang lama, bulu sisi yang dilekat dengan paku plastik dan bahagaian pinggang yang lebih besar dan melengkung.

Pada hari kini, jig ini telah dipermudahkan dengan bulu sisi yang dilekat dengan lidi buluh, pinggang yang kurus serta keupayaan menyimpan cahaya yang singkat. Terdapat jig tiruan yang hampir sama iaitu buatan China yang tidak langsung menyimpan cahaya dan dijual dengan harga yang lebih murah. Jig jenis ini kurang sesuai untuk pancingan pada malam hari.




Himpunan  jig-jig Yamashita

Kumpulan jig Yamashita ini cukup digemari dan digilai oleh pencandat-pencandat sotong mabang di Terengganu. Hinggakan kadang-kadang ia kehabisan di beberapa kedai. Beberapa jenis warna dan saiz begitu sukar untuk diperolehi. Jig ini cukup berkesan. Jika kita menggunakan jig biasa dan berada bersebelahan pencandat yang menggunakan jig Yamashita... alamat kalah teruk le jawabnya.

Kelemahan yang paling ketara pada jig ini ialah penggunaan kain penutup badan yang mudah terkoyak. Setelah beberapa ekor sotong mabang bersaiz besar menarik jig ini, pasti kainnya akan terkoyak. Ini kerana tabiat sotong yang suka menarik sambil menggigit mangsanya. Pada post berikutnya.. Abe Din akan menerangkan cara-cara mengubahsuai jig ini agar ia menjadi lebih berkesan... sabar.

Berikut disenaraikan beberapa kelebihan jig:
1-Bentuk yang hampir menyerupai badan udang
2-Mampu menyimpan cahaya dalam tempoh lama
3-Renangan yang stabil
4-Sesuai bagi aras pertenghan dan atas air
5-Warna yang pelbagai dan menarik
6-Sangat menarik perhatian sotong 
7-Mata kail jig kuat, panjang dan tajam 
8-Mata sukar tercabut
9-Sotong sukar terlepas

Kelemahan jig yang dikesan:
1-Kain mudah terkoyak
2-Lambat tenggelam
3-Harga mahal
4-Badan jig mudah kotor
5-Sukar membersihkan dakwat

Hingga berjumpa lagi.. selamat memancing.
Abe Din
Read more >>

07 June 2011

Ranking Ke-3

Selamat bertemu semua sahabat maya yang sudi berkunjung ke blog buruk sotonglaut ni. Empat hari berada di kampung.. sungguh resah gelisah. Bukan tak suka balik kampung, cuma internet kat sana cukup slow. Nak tengok blog sendiri pun berjam-jam loading. Dah le tu keluar separuh je.. kejap putus-putus.

Malam ni baru sampai rumah. Bertolak dari kampung tercinta lebih kurang dalam pukul 2 petang... sampai rumah lebih kurang pukul 7.30. Fuhh.. letih gila. Semalam kawan pula call ajak cari sotong. Malam ni... apa lagi mesti gi punya. Gatal dah tangan ni nak pegang sotong.

Sebelum pergi mencandat, Abe Din update sikit berkaitan jig yang menduduki ranking ke-3 pada tahun 2010. Kalau korang nak cuba... boleh gi cari kat kedai pancing. Nama glamour... Couger. Nama penuh dia Couger 2.5 EGI Squid. Dikeluarkan dalam dua warna pink dan coklat. Saiz yang dijumpai di pasaran setakat ini hanya seberat 2.5 sahaja.


Kalau cerita tentang harga, di pasaran Terengganu lebih kurang RM6. Kalau dah biasa dengan tuan kedai dapat le RM4. Kalau kat Kepong Tackle lebih kurang RM2.20. Bukan semua kedai menjual jig ini kerana jig ini sudah pun mendapat status dinasour. Orang lama le katakan... tetapi masih berbisa menipu sotong. kih...kih.. Oppss.. lupa nak beritahu... jig ini dibuat di Jepun.



Berikut disenaraikan beberapa kelebihan jig:
1-Badan dari plastik: tahan lasak
2-Berat: Selaman dalam ke dasar
3-Jig cepat sampai ke dasar
4-Berkesan jika bulan mengambang
5-Harga murah
6-Mampu menarik perhatian sotong

Kelemahan jig yang dikesan:
1-Mudah tersangkut
2-Mata jig mudah tercabut
3-Mata kail jig mudah tercabut
4-Mata kail jig pendek
5-Mata kail jig kurang tajam
6-Mata kail jig mudah bengkok
7-Kurang berkesan semasa bulan gelap
8-Sotong mudah terlepas
9-Tidak menyimpan cahaya 

Kelebihan jig ini yang paling menarik perhatian Abe Din ialah ia dapat membuat renangan dasar dengan cukup baik. Selain hensem, tugas menangkap sotong kerapkali menghasilkan kejayaan. Rugi le kalau korang tak cuba. Pergi le cari cepat kat kedai sebelum kehabisan. Lepas artikel ni keluar.. mesti kaki sotong serbu kedai cari jig ni... jangan nyesal kalau abisss..


Jig ini paling sesuai dimainkan di kawasan pesisir pantai yang tiada atau kurang batu sebabnya jig ni cukup suka memeluk batu... tersangkut le tu. Cukup berkesan jika ada Sang bulan... bukan ikan bulan. Bulan akan memberi sedikit pantulan cahaya pada badan Couger.

Kenapa dia berada di ranking ke-3. Jawapannya senang je... kerana semasa diuji dia lebih banyak memerangkap sotong berbanding jig di ranking ke-4 dan tangkapannya kurang  sedikit dari jig yang berada di ranking ke-2... kui..kui..jangan tak caya lak. 


Moh gi cari dan test jig Couger ni. Semoga dapat sotong besar... tetapi awas...Kalau di tarik bapak sotong... korang jangan lawan macam tarik ikan.. slow sikit kerana mata Couger pendek.. sotong mudah terlepas. Caranya...korang lawan perlahan-lahan dan kurangkan sedikit tegangan tali. Bila dia letih... baru tarik perlahan-lahan. Lepas tu.. korang boleh buat apa yang korang nak dengan sotong berkenaan. Nak makan, goreng, jual, bagi jiran... jangan aniaya dia sudah.


Selamat mencandat.
Abe Din
Read more >>

03 June 2011

Ranking ke-4

Salam kepada semua pelawat dan blogger.

Esok, Abe Din bercadang hendak balik bercuti ke rumah family di Negeri Sembilan. Dah dua hari berulang-alik ke port mencandat mencari kalau-kalau ada sotong mabang barang sekilo dua sebagai buah tangan untuk dibawa balik ke kampung. Sememangnya rezeki ditangan-Nya. Setakat ini nampaknya sotong ada, cuma tidak begitu galak makan umpan. Bukan Abe Din seorang sahaja yang pulang hampa... semua pencandat di lokasi berkenaan juga menerimat nasib yang sama.

Sambil menulis entri baru ini, sambil Abe Din sempat menghantar SMS kepada Bahari ajak meninjau sotong pukul 9.30 malam nanti. Kalau ada rezeki.. boleh bawa balik kampung.. kalau tak dapat juga, beli le jawabnya. Maklumlah kampung Abe Din jauh dari laut.

Topik sebenar yang akan dibincangkan pada kali ini ialah berkenaan jig yang telah menduduki ranking ke-4 pada tahun 2010. Jig tersebut menggunakan label Seawood, CANDAK. Model :2.5NDX. Gambar jig tersebut adalah seperti di bawah.


Jig ini diimport oleh syarikat OCEANTAC SDN. BHD, Penang. Setakat ini hanya berat 2.5 sahaja yang Abe Din jumpa di pasaran. Hanya jig merah dengan perut putih sahaja yang dijual. Harga di Terengganu pada tahun lepas ialah di antara RM4-6. Setakat tarikh ini, Abe Din belum lagi menjumpai ia dijual di pasaran. Mungkin stok baru masih belum tiba di sini.

Di kalangan rakan-rakan Abe Din, kami lebih mengenali jig ini dengan panggilan klon Yamashita. Sebenarnya ia tidak ada kena mengena dengan jenama terkenal Yamashita. Nama klon Yamashita kami berikan kerana ia hampir menyerupai bentuk candat berkenaan dan mampu menyimpan cahaya dalam tempoh yang lama. Dari beberapa siri ujian pada tahun lepas, jig ini pernah mengatasi rekod tangkapan yang pernah dibuat oleh jig Yamashita.

Berikut disenaraikan beberapa kelebihan jig:
1-Bentuk yang seakan jig terkenal Yamashita
2-Mampu menyimpan cahaya dalam tempoh lama
3-Renangan yang stabil
4-Sesuai bagi aras pertengan dan atas air
5-Harga lebih murah
6-Boleh menarik perhatian sotong

Kelemahan jig yang dikesan:
1-Kain mudah terkoyak
2-Lambat tenggelam
3-Mata jig mudah tercabut
4-Mata kail jig mudah tercabut
5-Mata kail jig pendek
6-Mata kail jig kurang tajam
7-Mata kail jig mudah bengkok
8-Buatan sedikit kasar
9-Sotong mudah terlepas

Mungkin terdapat lagi beberapa kelemahan dan kekuatan jig klon berkenaan yang tidak dinyatakan di sini. Abe Din telah cuba memperbaiki ciri-ciri kelemahan yang terdapat pada jig ini. Hasil yang diperolehi cukup memuaskan dan jig ini mampu bersaing dengan jig-jig mahal yang lain. Jika umur panjang, cara pengubahsuaian jig ini akan Abe Din bongkar pada post-post yang akan datang.

Jig ini selalu Abe Din bawa bersama ketika mencandat dan akan digunakan jika jig-jig utama kurang menarik perhatian sotong. Kadang-kadang, Abe Din gunakan jig murah ini sebagai "regu" Yamashita yang betindak "memanggil" sotong. Sebaik sahaja Abe Din mengetahui kehadiran sotong ataupun ada sotong bersaiz besar berdekatan kawasan mencandat, jig klon ini akan ditukarkan dengan Yamashita sebenar. Dengan cara ini, kejayaan tangkapan dapat ditingkatkan.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi..
Abe Din
Read more >>

02 June 2011

Ranking Jig 2010

Salam kepada semua pengunjung sotonglaut.blogspot.com/
Pada kesempatan ini, tuan blog sekali lagi ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pelawat dan juga para follower yang sudi bertandang ke sini. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua yang sudi mengirimkan komen-komen yang membina.

Pada kali ini, Abe Din ingin memberikan panduan kepada semua pencandat baru dan lama dalam memilih jig atau candat yang sesuai bagi mencandat sotong mabang. Sandaran cadangan yang diberikan adalah berdasarkan jig-jig yang telah diguna dan diuji sepanjang tahun 2010 di kawasan pesisir pantai Terengganu.

Kemungkinan juga cadangan ini tidak sesuai diaplikasi di tempat lain kerana pemilihan candat itu sendiri dipengaruhi oleh banyak faktor-faktor dalaman dan luaran yang telah diulas oleh Abe Din di dalam post sebelum ini. Semoga apa yang dipaparkan kali ini dapat dimanfaatkan seadanya.

Pada post-post yang akan datang, Abe Din akan menyenaraikan beberapa jig utama yang pernah diuji dan digunakan untuk mencandat sotong mabang mengikut ranking. Ranking yang dimaksudkan ialah keberkesanannya menipu dan menjerat sotong mabang.

Jig Yamashita Sedia Untuk Bertarung

Nasib Jig.. Koyak Dibaham Sotong

Cuba anda bayangkan tahap keganasan sotong mabang. Terkoyak kain jig dikerjakannya. Ganas... ganas... Ada seorang rakan Abe Din, luka dan berdarah jari kerana terpegang mulut sotong yang masih hidup. Memang dasat gila..

Koleksi Jig Untuk 2011

Gambar di atas adalah beberapa koleksi Abe Din yang akan dipertaruhkan bagi mencandat mabang sepanjang 2011. Jika tiada jig yang tercabut, tersangkut, koyak, kena sambar ikan, kena curi, terjatuh, hilang... nampaknya boleh le tahan setahun. 

Harga pasaran jig semakin naik setiap tahun. Permintaan di Terengganu sangat tinggi terutama ketika menjelangnya musim sotong mabang. Walaupun begitu harga jig-jig di kawasan pantai barat, Selangor dan Kuala lumpur masih murah.

Koleksi Jig Yamashita Yang Baru Dibeli

Cuba anda teka berapakah harga 6 jig yamashita seperti gambar di atas. 4 jig bersaiz 2.0, manakala 2 lagi bersaiz 2.5. Harga bagi jig 2.0 ialah RM 20/ekor= RM80. Harga jig 2.5 ialah RM 22/ekor=RM44. Harga semua RM 124.00.. Wuhhh mahalnya.. Bagi individu yang terlalu berkira... jangan ceburi bidang ini, baik cari hobi lain je. Kalau orang pompuan... sah fikir 18 kali nak beli..

Oppsss, untuk pengetahuan semua harga berkenaan adalah harga lama atau harga tahun lepas. Harga sekarang bagi jig 2.0 sahaja mencecah RM23/ ekor dan jig 2.5 pula RM 25/ekor. Tahun depan, macamana? Nasib baik harga di pantai barat rendah sedikit. Bila dikira minyak dan tambang nak gi beli di KL... fikir..fikir.. baik beli kat Terengganu aje lah. Bior le mahal sikit pun. Adusss...

Peminat sotong mabang tetap ada dan semakin ramai. Jig pula semakin mahal. Ada seorang kawan Abe Din pergi mencandat dengan pelbagai candat mahal... pulang kosong kerana candatnya habis semua tersangkut pada batu. Rugi besar dia malam tu..

Bagi mengurangkan risiko kerugian, faktor ilmu adalah sangat penting. Carilah ilmu itu secara halal dan banyak bertanya agar kita tidak rugi. Jangan lupa lihat ranking candat 2010 yang akan dikeluarkan pada post akan datang. Mungkin ranking berkenaan masih releven untuk 2011. Siapa tahu..?

Sekian, jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

28 May 2011

Ribut Laut

Salam untuk semua pelawat dan pengunjung.
Dua hari lepas, Abe Din mengetengahkan isu berkaitan sotong dan pencemaran. Antara isi utama yang diulas ialah tentang kurangnya sotong yang ditangkap di beberapa kawasan di Terengganu, khususnya Kemaman.

Pagi tadi kawan baik Abe Din, Mat menelefon dan memberitahu dia baru pulang dari mencandat di perairan Kerteh. Misi dengan dua buah bot bersama belasan pencandat telah mengharung perairan Kerteh semalaman bagi mencandat sotong torak. Abe Din diberitahu, sotong torak cukup banyak bermain cahaya lampu di bawah bot mereka. Teruja sekejap... ini petanda baik, sotong sudah datang.

Apa yang menyedihkan, menurut rakan Abe Din... sotong tidak galak menyambar candat. Mereka hanya memperolehi beberapa kilogram sahaja. Apabila Abe Din bertanyakan tentang arus... Mat memberitahu tiada arus atau arus mati. Patutlah sotong tidak galak.. sotong torak memang kurang menyambar jig jika tiada arus, walaupun kita lihat beribu-ribu sotong bermain di bawah bot.


Lebih menyedihkan lagi, kumpulan berkenaan terpaksa berhadapan dengan ribut yang melanda. Bagi mereka yang belum ada pengalaman dilanda ribut laut... tentunya tidak begitu faham dengan saat getir yang dilalui. Abe Din sudah beberapa kali berhadapan dengan ribut. Bot dilambung ombak sehingga berkedudukan menegak dalam 45 hingga 50 darjah sebelum bot dihempas keras ke bawah.

Tong ikan dan kotak-kotak pancing bergerak ke hadapan dan ke belakang silih berganti. Habis semua doa dibaca hinggakan semua pencandat tertidur. Terjaga sahaja hari dah siang dan ribut sudah teduh. Beberapa tudung tong ikan hilang... peralatan lainnya berselerak ke sana sini. Semasa ribut.. kami peluk tiang bot kuat-kuat, ada juga yang memeluk tong air, tong ikan bersedia jika terjadi sesuatu yang tidak diingini.

Itulah asam garam yang perlu ditempuhi oleh pencandat dan nelayan-nelayan saban tahun. Pada musim begini, cuaca agak sukar untuk diramalkan. Jika ribut datang dari arah lautan, peluang untuk melarikan diri sedikit cerah. Itupun kalau bot yang dinaiki boleh bergerak laju. Jika ribut datang dari arah daratan seperti yang kerap berlaku pada musim ini, peluang untuk lari sedikit tipis.

Para nelayan tempatan memang sudah biasa berhadapan dengan ribut laut tetapi bagi pencandat biasa, saat berhadapan dengan ribut sebegini samalah seperti saat penentuan antara hidup dan mati. Sebab itulah ramai pencandat baru yang menghadapi situasi ini terus bersara sebaik sahaja naik ke daratan.



Apa yang akan anda lakukan jika anda berhadapan dengan ribut ketika mencandat atau memancing di tengah laut? Mungkin beberapa tips di bawah boleh membantu anda:

1-Bawa baju hujan
Jika ribut melanda, hujan boleh masuk sehingga ke dalam bot. Hujan di laut sangat sejuk hinggakan mereka yang gemukpun boleh menggigil.

2-Gunakan jaket keselamatan
Pastikan anda membawa dan paling penting memakai jaket keselamatan. Bimbang jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

3-Kemaskan peralatan
Pastikan tali, bekas pancing dan joran disusun dengan kemas dan tidak berselerak. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa tali pancing itu sendiri boleh membunuh

4-Tetapkan kedudukan
Duduk di tempat yang mudah untuk berpaut dan tidak terlalu berdekatan dengan bahagian tepi bot. Jangan berdiri dan menggunakan telefon bimbit jika ribut disertai dengan kilat dan guruh.

5-Dapatkan nasihat tekong bot
Tekong selalunya selamba je. kalau di Terengganu... rata-rata mereka sudah biasa berhadapan dengan ribut luar jangka ini.

6-Saling membantu
Mungkin ada di antara rakan anda baru pertama kali keluar mencandat... mereka mungkin  mabuk, kesejukan dan bermacam kerenah lagi. Jangan pentingkan diri.. hulurkan bantuan anda bagi meredakan kebimbangan mereka.


7-Berdoa
Berdoa adalah jalan terbaik memohon pertolonganNya dan menenangkan perasaan. Jika ribut nampak pelik sikit... salah seorang laungkan azan dengan kuat.

Sekian untuk kali ini. Selamat memancing dan mencandat. Utamakan keselamatan anda.
Abe Din
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing