"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

12 March 2011

Fakta Sotong

Fakta Menarik Tentang Sotong


1-Ahli Biologist menganggarkan terdapat 
kira-kira 500 spesies sotong
2-Sotong betina bertelur seribu biji setiap kali di dasar laut.
3-"Giant squid" mempunyai mata sebesar bola jaring
4-Sesetengah sotong mempunyai organ bioluminescent 
menyebabkan ia bercahaya dalam gelap
5-Sesetengah sotong kehilangan tantakelnya 
pada peringkat larva


6-Sotong merupakan haiwan karnivor: makan ikan, 
krustasia dan sotong kecil
7-Sotong mempunyai 8 lengan dan hanya tantakel 
mempunyai penyedut
8-Sotong mempunyai 3 jantung
9-Sotong berenang paling pantas di antara 
haiwan-haiwan invertebrata
10-Kebiasaannya sotong hidup selama 1 hingga 2 tahun


11-Sotong terbesar yang dilaporkan sepanjang 
60 kaki dan berat 1980 lbs
12-Nama "calamari" bermaksud memasak sotong
dari bahasa greek
13-Sotong paling kecil bersaiz 0.7 inci dengan berat 0.02 oz
14-Kebanyakan sotong memancutkan dakwat bagi 
melepaskan diri daripada musuh
15-Sotong boleh menyamar mengikut persekitarannya.


 
Carian internet :
Abe Din.
Read more >>

10 March 2011

Evolusi Blog

Salam sejahtera untuk semua pengunjung sotonglaut.blogspot.com/
Pada kali ini, Abe Din akan menceritakan serba sedikit mengenai penghasilan blog sotonglaut pada peringkat awal pembinaan.

Dahulu blog sotonglaut dikenali sebagai blog SOTONG MANIA. Blog ini mula dibangunkan pada hari Sabtu, 17 April 2010. Misi utama pembinaan blog ini adalah untuk memberikan sebanyak mungkin input kepada pengunjung di Malaysia dan Nusantara berkaitan dengan pancingan sotong yang lebih dikenali sebagai "candat sotong" di Terengganu.

 Blog pertama yang dihasilkan pada April 2010

Rakan-rakan pancing terdekat agak sedikit terkejut di atas penghasilan blog sotong ini kerana mereka semua tahu bahawa Abe Din adalah kaki pancing ikan yang sudah sampai ke tahap mania. Mereka berpendapat sepatutnya blog ikan yang dihasilkan dahulu.

Ramai juga yang tidak mengetahui bahawa disamping memancing ikan, Abe Din juga telah mula melakukan pancingan sotong sejak lebih 10 tahun. Bermula dari modal kecil sehingga modal yang besar dengan menyewa bot untuk pergi memancing. Selalu juga Abe Din dipelawa oleh nelayan tempatan pergi memancing di laut. Dari situlah Abe Din mengutip dan mengumpul satu persatu pengalaman hidup orang laut.

Abe Din juga mula melihat gelagat pemancing-pemancing baru yang kecundang di laut disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan tentang pancingan sotong. Mereka mengeluarkan belanja sewaan dan perjalanan yang bukan sedikit hingga mencegah ribuan ringgit sekumpulan hanya untuk mencandat sotong. Paling menyedihkan hasilnya tidak setimpal dengan pelaburan yang dibuat. Ada juga yang mengikut trip hanya disebabkan terpengaruh dengan cerita kawan yang menyertai trip sebelumnya. Muntah, letih, lesu,  kekecewaan adalah perkara biasa yang Abe Din perhati dan lihat.


Bertitik tolak dari situ, Abe Din membulatkan tekad untuk membangunkan blog khusus tentang pancingan sotong bagi memberikan sebanyak mungkin info berguna kepada semua pemancing sotong yang lahir bagai cendawan tumbuh. Tambahan pula tiada blog atau laman web yang membincangkan teknik pancingan sotong secara terperinci dan konsisten.

Sesungguhnya penghasilan blog ini bukan untuk tujuan komersial atau mahu menyaingi sesiapa. Lebih tepat lagi ia hanyalah satu tanggungjawab sosial Abe Din kepada golongan pemancing di Malaysia dan Nusantara. Ilmu yang ada tidaklah banyak, Abe Din hanya ingin berkongsi dan membantu.

Dengan lahirnya blog ini, Abe Din telah mendapat ramai kenalan dan kawan dari merata pelusuk termasuk Singapura dan Brunei. Banyak juga soalan yang ditanya dan proses bertukar fikiran berlaku cukup baik. Abe Din tetap berharap suatu hari nanti, aktiviti pancingan sotong akan mencipta rekod dan sejarahnya yang tersendiri dalam dunia pancingan di Malaysia.

17 April 2011, blog ini genap setahun berada di alam siber. Terima kasih kepada semua pelawat. Semoga sokongan anda akan memberi semangat kepada Abe Din untuk terus bercerita dan berlipurlara tentang sotong. Doakan kejayaan sotonglaut.blogspot.com/  
-Abe Din
Read more >>

09 March 2011

Bedah Jig

Salam untuk semua pengunjung sotonglaut.blogspot.com/
Pada kesempatan ini Abe Din akan pembincangkan serba sedikit berkenaan pembuatan jig bagi mencandat sotong. Abe Din memilih jig buatan Jepun, Yamashita.

Yamashita merupakan salah satu jig yang begitu popular di Terengganu. Dihasilkan dalam pelbagai warna iaitu merah, oren, hijau, biru serta coklat. Saiz yang biasa dijual ialah 2.0, 2.5 dan 3.0. Harga jualannya di antara RM18 hingga RM25.


Jig Yamashita merupakan jig yang cukup afektif kerana ia mampu menyimpan cahaya dalam tempoh yang agak lama. Kelebihan ini membuatkan jig Yamashita mudah menarik perhatian sotong terutamanya sotong mabang. Mata jig pula cukup kuat dan tajam untuk menahan asahan sotong bersaiz besar.

Antara kelemahan jig ini ialah balutan kainnya yang mudah terkoyak apabila digigit sotong. Dakwat yang melekat pada kainnya pula agak sukar untuk dihilang sepenuhnya. Kebiasaanya, Abe Din akan menyembur cat 'clear' terlebih dahulu pada permukaan luar jig untuk mengatasi masalah ini.

Rajah di bawah menunjukkan bahagian dalam jig Yamashita yang telah dibuang pembalut kainnya. Pembuatan badannya dari plastik jenis luminous sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada jig ini ketika beraksi di dalam air.

Bahagian dalam jig yang dibuang kain dan dibelah dua


Bahagian dalam jig yang kosong memberikan daya apungan kepada jig. Kandungan udara menyebabkan ia lambat tenggelam dan sesuai digayakan di kawasan pertengahan air. 

Keluaran jig Yamashita versi baru sedikit sebanyak mengurangkan populari jig ini. Abe Din akan  memperkenalkan Jig baru Yamashita yang lebih afektif di dalam post akan datang.
Sekian dahulu untuk kali ini-Abe Din
Read more >>

08 March 2011

Jerat Jig

Salam untuk semua pengunjung sotonglaut.blogspot.com/
Dalam kesibukan tugas harian sempat juga Abe Din menyelongkar koleksi internet berkaitan pancingan sotong. Mungkin ramai di antara kita yang pernah merasai tarikan sotong yang sememangnya mempunyai daya juang yang tinggi tetapi tidak ramai yang dapat melihat perjuangannya di dalam air.

Pada kali ini, Abe Din ingin berkongsi situasi berkenaan dengan semua pengunjung sotonglaut. Rakaman video berkenaan diperolehi dari laman Youtube. Jika anda mempunyai kelapangan, banyak pengalaman memancing sotong boleh ditonton di laman ini.






Sotong memang terkenal dengan kegigihan untuk melepaskan diri. Semburan dakwat dan pecutan jet air adalah dua cara yang selalu digunakan. Pemancing mahir tidak akan mengunci drag kekili kerana ia akan menyebabkan tantekal sotong terputus seterusnya sotong akan berjaya melepaskan diri.

Sebaik sahaja sotong merasai ketajaman mata jig, ia akan mula menyembur dakwat hitam. Pada ketika ini, sotong berkenaan beranggapan jig yang disangkakan makanan adalah merupakan ancaman kepadanya. Sotong secara konsisten menyembur dakwat ke hadapan untuk menjauhkan diri daripada jig. Jika mata jig kuat dan tajam, peluang untuk sotong melepaskan diri adalh tipis.

Pemancing perlu banyak bersabar dan berhati-hati jika jig disambar sotong terutamanya jika saiz sotong berkenaan besar dan kuat.  

Semoga anda mendapat sesuatu yang baru. 
Sehingga berjumpa lagi. Abe Din
Read more >>

05 March 2011

Resepi Pelik 2

Salam untuk semua pengikut blog Sotonglaut. Apa sahaja yang anda lakukan, setinggi penghargaan dan terima kasih kerana sudi menjengah ke laman sotong ini. 

Pada kesempatan ini, Abe Din akan bercerita tentang satu lagi resepi pelik berasaskan dakwat sotong. Seperti yang kita sedia maklum, dakwat sotong merupakan salah satu mekanisme pertahanan bagi sotong. Untuk pengetahuan anda, sotong menghasilkan warna dakwat yang berbeza mengikut spesies. Kumpulan octopus menghasilkan dakwat hitam pekat, spesies squid menghasilkan dakwat berwarna biru kehitaman manakala spesies cuttlefish menghasilkan dakwat berwarna sedikit coklat. (sila rujuk spesies berkenaan dalam ruangan Rahsia Dakwat Hitam)

Antara kegunaan dakwat sotong ialah sebagai bahan rencah dalam masakan, pewarna rambut dan ada juga dijadikan dakwat untuk mencetak. Di kesempatan ini, Abe Din akan mengupas fungsi dakwat sotong di dalam proses penyediaan makanan. Antara fungsi utamanya ialah  sebagai pelembut dan perasa. Dakwat sotong juga boleh dimasak bersama nasi, pasta dan stew ikan.

 

Resepi yang Abe Din ingin perkenalkan di sini ialah "Cuttlefish Ink Pasta". Dalam resepi ini dua ekor sotong katak yang besar digunakan. Sotong diasingkan pundi dakwatnya. Bahagian badan lain dibersihkan secara lebih kurang dan dipotong kecil-kecil secara memanjang. Tulang sotong katak pula boleh digunakan sebagai bahan makanan burung nuri.

Pundi dakwat dipecahkan di dalam bekas dan dicairkan menggunakan air suam. Goreng bawang besar serta bawang putih yang telah dicincang. Tambahkan isi sotong bersama sisa dakwat yang masih tinggal kemudian masak beberapa minit. Orang Eropah akan menambahkan sedikit wine dan kemudian ditambah pati tomato. Tambah dakwat sotong yang telah diasingkan dan masak selama 15 minit lagi. Tambah air jika campuran kuah agak pekat.

Sementara menunggu kuah pasta masak. Celurkan pasta di dalam air panas dan sebaik sahaja pasta lembut tuangkan ke dalam kuah pasta yang sedang mendidih. Masak beberapa minit lagi sehingga kuah pekat.



Pasta yang telah masak dan berkuah pekat boleh diangkat dan dihidangkan di dalam pinggan. Gambar di atas menunjukkan hasil yang diperolehi. Kaedah memasak ini bukan sahaja popular di Eropah tetapi juga di Asia Tenggara. Rakyat di negara China pandai memasak dengan menggunakan dakwat sotong.

Sesiapa yang berminat untuk mencuba, boleh mendapatkan lebih info melalui halaman Youtube. Semoga resepi pelik ini akan kena dengan selera anda.

Hingga berjumpa lagi.
Salam dari Abe Din.
Read more >>

Resepi Pelik 1

Salam untuk semua pengikut dan pembaca blog sotonglaut.blogspot.com/
Tidak sabar rasanya menunggu masa dan ketika sotong menyerang kawasan pesisir pantai Terengganu. Dari tinjauan di beberapa kawasan pasar ikan, nampaknya sudah ada tanda-tanda kehadiran sotong mabang dan sotong katak di perairan Pantai Timur. Peralatan telah tersedia, hanya masa yang sesuai sahaja belum muncul.

Dalam kesibukan seharian, sempat juga Abe Din membuat sedikit carian internet dan berjumpa dengan beberapa artikel berkaitan tabiat makan sotong yang agak pelik di luar negara. Tabiat yang Abe Din maksudkan ialah memakan sotong kurita secara hidup-hidup. Mungkin agak asing di Malaysia tetapi di luar negara terutamanya negara Korea, ia cukup popular. Makanan ini juga dikenali sebagai "Korean Sushi". Kita juga boleh melihat trend makan sotong kurita hidup ini sudah mula dipopularkan di Jepun, China dan Taiwan.

Dua dua cara bagaimana sotong kurita disediakan sebagai makanan. Sotong Kurita bersaiz kecil akan dihidang di dalam bekas atau mangkuk secara hidup. Sotong bersaiz besar akan dipotong-potong dan disusun bersama sayuran. Apa yang pasti, sotong berkenaan dipotong ketika masih hidup. Jejari sotong berkenaan masih dilihat bergerak-gerak.


Sotong hidup atau potongan sotong yang masih bergerak akan diambil menggunakan penyepit, diputar dan dipusing seterusnya dicelup ke dalam sos khas. Sotong berkenaan akan disuap ke dalam mulut dan dikunyah hidup-hidup.



Ada ketikanya sotong yang masih hidup tadi cuba melawan untuk melepaskan diri. Ketika ini tangan akan digunakan bagi memegang sotong tanpa penyepit. Bagi orang-orang Korea mungkin makan cara begini sangat menyeronokkan.

Di Malaysia, cara makan sotong segar agak berlainan. Sotong yang digunakan adalah sotong yang baru mati. Sotong dibersihkan, dibuang kulit, dipotong dengan pisau tajam dan dimakan dengan menggunakan sos khas. Penggemarnya memakan sotong tanpa dimasak terlebih dahulu. Walaupun begitu, sotong berkenaan dibasuh sehingga bersih.

Bak kata orang, lain padang lain belalangnya. Apakah ada kemungkinan cara makan warga Korea ini akan ditiru oleh rakyat Malaysia? Sudikah anda menjadi orang yang pertama mencubanya? Hanya masa dan ketika yang akan menentukan.

Semoga berjumpa lagi.
Abe Din.
Read more >>

01 March 2011

Kaedah Sembelih

Salam untuk semua peminat Sotonglaut.
Pada post kali ini, Abe Din akan menunjukkan beberapa gambar bagaimana proses "penyembelihan" sotong dilakukan.

Di dalam post sebelum ini, ada dinyatakan beberapa alatan yang boleh digunakan bagi melakukan proses "penyembelihan" sotong. Kita semua mengetahui bahawa, bahagian otak haiwan adalah bahagian penting yang mengawal aktiviti makhluk hidup. Apabila jaringan kawalan ini diputuskan maka aktiviti hidup haiwan akan lumpuh atau terhenti.

Dalam proses penyembelihan yang sebenarnya, memotong urat yang membawa mesej ke otak akan mengurangkan penderitaan dan kesakitan kepada haiwan yang disembelih. Bagi haiwan sotong, proses memutuskan jaringan saraf ini cukup hanya sekadar membuat beberapa tusukan ke bahagian yang berdekatan dengan otaknya. Pemilihan alatan yang tajam akan memudahkan proses ini dan ia juga tidak menyiksa haiwan berkenaan.

Gambar 1-Pisau atau alatan tajam yang digunakan diletakkan 
dalam sudut 45 darjah menghala ke leher sotong.

 Rajah 2 dan 3- Menunjukkan sebahagian badan sotong bertukar 
kepada putih. Keadaan ini menunjukkan pelaku telah berjaya 
melumpuhkan aktiviti saraf pada separuh badan sotong.

Rajah 4- Tusukan kali kedua di bahagian badan sebelah lagi 
menyebabkan semua badan sotong bertukar kepada putih. 

Rajah 5-Tusukan di bahagian tengah kepala di antara 
kedua belah mata bertujuan untuk melumpuhkan 
saraf di bahagian kepala.

 Rajah 6-Menunjukkan keseluruhan badan sotong telah 
bertukar kepada warna putih. Ini adalah petunjuk bahawa
sotong berkenaan telah mati.

Bagi pemancing baru, sedikit latihan diperlukan bagi memahirkan kaedah "penyembelihan" ini. Pemancing yang mahir boleh mematikan sotong hanya dengan sekali tusukan sahaja. Walau apa yang kita lakukan, mestilah bermula dengan niat yang baik. Jangan sesekali kita menganiayai haiwan berkenaan kerana ia juga makhluk ciptaan yang Maha Esa.

Semoga anda semua mendapat sesuatu yang berguna. Sehingga berjumpa lagi pada post yang berikutnya. Salam bahagia-Abe Din
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing