"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

11 August 2013

Kenali Sinker

Selamat datang kepada semua peminat blog sotonglaut. Pada post kali ini. aku nak berkongsi dengan korang berkaitan dengan sinker. Mungkin sinker begitu asing bagi sesetengah pencandat. Sinker pada umumnya adalah satu struktur tambahan yang diletak atau dipasang pada jig bagi menjalankan fungsi-fungsi tertentu. Sinker selalu digunakan bagi mempercepatkan masa jig tenggelam.

Di bahagaian bawah aku sertakan beberapa contoh sinker yang ditemui di dalam carian google. Sesetengah sinker masih tiada di pasaran tempatan.

Sinker yang digantung pada candat tanpa pemberat

Sinker bersifat luminous


Sinker yang dipasang pada hadapan jig
(plastik merah)


DD Sinker. jenis sarung

Anda tidak perlu risau jika sinker sukar untuk diperolehi di pasaran. Anda boleh membuat sinker anda sendiri dengan menggunakan batu ladung kecil. Sinker buatan berkenaan boleh digantung di kepala candat berdekatan tali utama. Perlu diingat agar sinker anda tidak digantung dengan tali panjang. Gantung sinker serapat mungkin dengan dagu jig anda. Jika sinker anda terlalu panjang dibimbangi ia akan membelit tali utama ketika jig diturunkan ke dasar. Selamat mencuba dan jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

Natural Jig

Salam Aidil Fitri untuk semua. Korang masih beraya lagi? Selamat beraye lah untuk korang sume. Semoga korang sume terus bahagia. Sambil-sambil beraya tu... korang baca-baca le.. post baru aku ni. Kali ini aku nak bercerita tentang dua ekor jig yang aku beli baru-baru ni.

Kedua-dua ekor jig ini begitu istimewa kerana harga dia mahal. Kalau hilang sehari tak lalu makan. Aku beli jig-jig kerana ciri-ciri natural atau semulajadi yang terserlah pada jig ni.



Jig kat atas tu murah sikit. Tapi warna hijau berkilat dengan perut putih hampir menyamai seekor spesies ikan hijau yang kerap di jumpai di celah-cerah karang. Aku rase... kalau aku baling kat sotong kejap je die kena tipu. Mungkin dia ingat ikan hijau tu. Apa ntah nama ikan tu.... aku pun tak ingat. Jig berwarna hijau sangat sesuai dimainkan ketika air jernih. 



Jig kedua kat atas tu.. adalah dari jenis rainbow. Jig ni mahal sikit. Tengok rupa pun gerun. Sotong suke ke? Dari pengalaman aku, jig jenis rainbow ni adalah multi killer. Maksudnya ia mampu menjerat pelbagai jenis sotong termasuk mabang, katak, jarum, dan torak. Ciri yang ada padanya ialah mampu menyimpan cahaya malar di dalam badan menjadikan ia sesuai dimainkan ketika malam.

Sebenarnya aku dah tak sabor nak test umpan-umpan baru aku ni. Cuma sekarang ni mamber-mamber aku lum balik dari cuti raya lagi. Nanti diorang balik... sah minggu pertama kami akan terpacak di tepi pantai sebuah pulau. Masa tu baru aku boleh tahu potensi sebenar umpan baru aku ni. Korang bile pula nak keluar trip?

Jumpa lagi
Abe Din.
Read more >>

10 August 2013

Candat raya

Salam lebaran dan selamat menyambut Aidil Fitri kepada semua pengunjung beragama Islam. Mungkin masih belum terlewat untuk aku ucapkan buat korang. Moga-moga Aidil Fitri tahun ini akan membawa bersama hikmah ramadhan dalam hidup korang. Kepada semua diharapkan erat-eratkan lagi tali silaturahim sesama rakan-rakan dengan meneruskan aktiviti kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi.

Sambil-sambil korang dok beraya tu... aku nak berkongsi sikit dengan korang terutama pencandat-pencandat tegar tentang candat-candat yang sedang hot di pasaran le ni. Pada ramadhan lepas... aku sempat beli dua tiga ekor candat baru... cadang nak test power die lepas raye ni. Harga memang boleh tahan gak mahal.
 
Candat yang dijangka akan jadi "killer" sotong

Sebenarnya aku beli 4 ekor candat. Yamashita 1.8, hijau (RM25), Asuka 2.0, rainbow (RM11), Naory 1.8, rainbow (RM35) dan sekor Yamashita buntal, merah (RM21). Sebenarnya aku bukan nak beli sangat... cuma masa aku tengah guide seorang mamber baru yang mula nak berjinak-jinak dengan instrument candat, aku pulak yang digoda oleh tauke cina kat kedai tu. Haa... tu sebab aku jadi terbeli.

Tapi.. takpe. Aku tak menyesal. Sekurang-kurangnya aku leh guna lepas raya ni. Sume candat yang aku beli, dipilih berdasarkan fungsi dan kegunaannya pada environment yang berbeza. Ramai orang membeli candat mengikut fahaman dan kepercayaan masing-masing. Seolah-olah tiada satu panduan khusus yang perlu diikuti semasa memilih candat di kedai.

Ada orang yang membeli candat disebabkan kecantikan candat berkenaan dari pandangan mata diorang je. Ada yang memilih mengikut bentuk mata candat. Saiz candat. Ada juga yang memilih berdasarkan harga. Aku hanya senaraikan beberapa faktor sahaja. Disebabkan faktor pemilihan yang tidak konsisten ini, banyak candat gagal berfungsi dengan baik. Sesetengahnya hanya mampu tersadai di dalam kotak pancing sahaja.... kerana aksi yang tidak memuaskan tuannya.

Dalam banyak-banyak sebab yang aku bagi kat atas tu... ramai yang memilih berdasarkan faktor harga. Nak yang murah.. Ramai yang masih bersama mitos.. "candat mana pun tak pe, kalau sotong jumpa, dia bedal jugak". Diorang menggunakan kelemahan sotong dari segi "bekeng"nya untuk membuat sandaran maya ini.

Cer perhati harga... Emm. Mahal gak

Tapi, aku tak salahkan diorang juga. Ada yang tidak begitu mampu membeli candat yang mahal. Bagi pencandat baru pula.. diorang mudah kehilangan candat kerana tersangkut. Bagi golongan ini, guna candat murah lebih sesuai. Aku dah tulis beberapa artikel berkaitan ubahsuai candat lama dan candat murah ni. Memang terbukti keberkesanannya. Moga-moga ia akan menjadi rujukan buat korang.

Label belakang kotak candat

Bagi pencandat profesional, faktor pemilihan candat sangat dititik beratkan. Mereka selalunya membeli mengikut fungsi candat berdasarkan lokasi yang akan mereka lawati. Bukan semua candat sesuai pada semua lokasi. Jika lokasi berair cetek... hanya candat-candat tertentu sahaja yang berkesan dan tidak merugikan pencandat (tunggu post akan datang), Kalau di kawasan yang dalam, candat yang digunakan perlu berbeza... begitu juga di kawasan sederhana dalam. Kelajuan arus, keamatan cahaya, kejernihan air, kelajuan angin yang mampu mempengaruhi balingan juga perlu diambil kira. Pendek kata tak rugi kalau kita ambil tahu sikit-sikit... ia akan menguntungkan kita. Jangan main campak je bila nampak air.

Satu lagi korang perlu baca maklumat yang tercatat pada belakang kotak candat yang korang nak beli. Ada juga info ditulis dalam bahasa jepun atau cina. Mesti korang tak tau baca kan... hehe aku pun tak tau. Tapi korang agak-agak le apa yang diaorang nak kabo kat korang. Gambo ade kan.. atau korang tanya je kat tuan kedai. Tapi jangan risau, le ni dah banyak kotak candat yang menggunakan bahasa inggeris untuk memberi maklumat kepada pembeli. Bahasa melayu? ... aku belum jumpa lagi.

Korang belajar le sikit-sikit ilmu mencandat ni. Tak rugi pun. Kalau korang tahu banyak, kongsi le dengan aku sikit. Aku ni pun dok belajar lagi... tak abis-abis belajar. Emm....Korang dok beraya lagi ke ? Aku pun nak gi raya jugak ni. Lain kali jumpa lagi ye. Selamat Hari Raya Maaf Zahir & Batin.
Abe Din.
Read more >>

06 August 2013

Sotong Goreng

Selamat datang kepada semua pengunjung blog sotonglaut. Apa khabar semua. Selamat menjalani ibadah puasa. Sekali lagi datang menjenguk ke dapur Abe Din di sotonglaut. Macam biase... kalau datang dapur tu adalah resipi yang nak dikongsi dengan korang sume.

Kebetulan pula di bulan yang mulia ini, aku nak share satu resipi yang aku tembak jer boh nama dia "Sotong Goreng Spesiel". Haa.. tu le nama die. Kat mane spesiel die aku pun tak tau. Apa yang aku tau resepi ni sedap dan boleh membuat orang yang makan jadi kenyang. tu le keistimewaannya.

Untuk promosi... hehe, aku letak gambar hasil kreativiti aku mula-mula sekali. Jangan telan air liur banyak sangat... bulan puasa ni. Nanti lepas belajar resipi... korang gi buat. Untuk memasak resipi ni, fisrt sekali korang kena ada perkakas untuk memasak. Kalau takde gi beli.. Pastu korang gi pasar cari sotong segar. Aku cadangkan sotong mabang, ketupat atau torak. Paling sedap aku rasa sotong torak. Untuk resipi kali ini aku guna sotong mabang... sebab spesies ni ada banyak dalam peti ais rumah aku.

 Dipersembahkan karya terkini, Sotong Goreng Spesiel

Haa .. kat bawah tu adalah gambar sotong yang aku rakam masa aku gi bazar ramadhan kat area rumah aku baru-baru ni. Sambil cari kuih untuk juadah berbuka puasa sempat lagi aku snap gambar spesies ni. Rasa macam nak beli... tapi sotong dalam peti ais rumah aku ada berlambak. Saje je letak gambar ni... untuk mereka yang tak pernah tengok sotong... tau makan je. Leh tengok puas-puas.

 
Gambar atas: Sotong ketupat, Torak, Mabang
Cari hok segar sekali... baru best

Lepas korang pilih sotong yang sesuai, bawak balik. Jangan tinggal kat pasar pulak. Besihkan betul-betul, dilarang guna sabun. Korang boleh buang kulit, kalau korang tak suka kulit dia.  Cara dia... tarik dengan tangan dan jari korang. Kalau korang dapat sotong yang penuh telur dalam perut die... memang korang macam dapat bonus raye le... Hello bro...telur sotong memang sedap.... tau tak. Apa? tak pernah makan?. Ishh... sob..sob, tahun bile le korang mula idup kat dunia ni.

Pastu.. pastu, korang kelar sotong dengan pisau tajam. jangan bagi putus. Tulang jangan buang. Biaq kat tempat asal die. Hello bro, kalau sotong katak... kena buang tulang tu. Kapur tu, boleh kena keracunan makanan. Nanti takleh raya baru padan muka.

Sotong dipanggang terlebih dahulu
Kalau korang cancel nak buat sotong goreng.. 
korang boleh makan terus sotong panggang ni... 
Sedap gak. Dedulu, aku pernah test sekali. 

Haa... nampak kat atas tu. Sotong yang aku potong, aku panggang dulu dalam kuali khas. Saje nak bagitau aku baru beli kuali tu. Tu yang spesielnya sotong goreng nih. Korang boleh salut dengan kunyit atau serbuk lada hitam untuk menambahkan aromanya. Letak garam sikit. Kalau ada darah tinggi, jangan letak garam. Korang jangan panggang sampai kering... separuh masak je dah cukup. Lepas dah cukup masak... jangan tunggu sejuk, korang terus  golek-golek dalam telur... pastu golek pulak dalam tepung goreng. Ikut le tepung apa yang korang nak gune. Kat kedai berlambak... macam-macam ada. Nak pedas.. letak serbuk cili sikit.

  
Celup dalam telur... guling dalam tepung

Untuk golek dalam tepung korang jangan tunggu sotong sejuk. Kalau beliau sejuk... beliau akan mengecut dan daya serapan daging beliau terhadap tepung menjadi kurang. Dah siap golek dalam tepung... terus korang goreng dalam minyak panas. Korang agak-agak le bile masa yang sesuai untuk angkat. Jangan lama sangat... kalau digoreng terlalu lama, sotong akan jadi keras dan peratus kesedapannya semakin hilang.

Goreng ketika minyak cukup panas

Korang kenal tak gambar kat bawah tu... betul keladi. Hampeh, keladi apenye. Tu daun kari dengan buah tomato. Daun kari perlu digoreng bersama-sama dengan sotong. Daun kari yang garing menunjukkan masa maksimum untuk menggoreng sotong...  korang kena angkat sebelum daun kari menjadi terlalu garing.

Selepas sotong masak... angkat dan tos minyak. Guna le penapis atau tisu. Ambil buah tomato... potong ikut suka ati korang. Pastu... letak celah-celah sotong.. bukan apa, nak bagi lebih menarik. Kadang-kadang makanan kita dok sedap mana.... tapi bile dihias cantik, jadi sedap. Tambahan pula di bulan puasa ni.. semua nampak sedap.

 
Potong tomato ikut suka anda sebagai hiasan
Daun kari... bau die.. pergghh. 
Rasa macam dok kedai mamak je..

Itu sajelah resepi aku untuk kali ini. Mana gambar final die.. Opss ilang. Korang kena skroll kat atas tengok balik gambo hok mula-mula tadi. Haa... tu le hasil final die. Semoga korang pakat-pakat cuba. Sebelum aku blah... Selamat berpuasa untuk semua dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin. Ikhlas dari aku yang takleh nak balik raya kat kampung mak aku. Hati-hati semasa memandu dan jumpa lagi lepas raye nanti. Oppss. satu lagi jangan main mercun... bahaye. Bye.
Abe Din
Read more >>

Sotong Ramadhan

Selamat datang kepada semua pengunjung. Baru-baru ni selepas aku ubahsuai candat.... apa lagi, esokya aku terus pergi test power candat bola ni kat lokasi mencandat. Aku memilih kawsan Chagar Hutan, Kerteh.

Masa tu dah petang... sementara nak tunggu waktu berbuka, aku dan mamber terus ke lokasi. Dapat baling sekali dua jadilah.. nak test power je. Aku menggunakan candat yamashita hijau 2.0 yang sudah dimodified. Bahagian kulit dan mata telah diubah dan sedia untuk berjuang. Bahagian selatan, laut agak bergelora dan berangin, aku memilih bahagian utara untuk membaling candat.


Sotong pertama yang berjaya dijerat.
Pegangan kemas pada jejari sekunder

Sotong ni ... sama macam kat atas tu.
Mata dan perutnya berwarna hijau..

Penat juga baling... sekor pun tak dapat. Maklumlah pada ketika tu... air laut sedang surut. Aku meramalkan sotong telah mula bergerak ke tengah. Jika sotong jauh ke tengah laut, peluang untuk mendapatkan sotong memang tipis. Tapi kalau dah rezeki tetap rezeki jugak... tidak berapa lama selepas aku mula bersungut dalam hati... candat yang aku baling telah menerima salam pertama. Candat aku memang baik... lepas bersalam, dia terus tak lepas... dan aku berjaya membawa naik sekor sotong bersaiz sederhana.

Memang betul tekaan aku, sotong memegang candat dari jarak yang jauh. Seketika kemudian, seekor lagi cotong bersaiz lebih kecil berjaya dinaikkan. Bila hari semakin petang sekumpulan sotong bersaiz kecil mengejar candat sehingga ke tepi batu. Malangnya tiada sekor pun yang sudi bersalam dengan candat aku.

Aku meramalkan jika aktiviti dijalankan hingga matahari terbenam... banyak lagi sotong bersaiz besar akan dinaikkan. Tapi.... kami kena balik untuk berbuka puasa dan bersolat tarawikh. Berdasarkan pengalaman aku, pada hari itu sotong memang galak. Cara pegangan candat adalah kemas. Candatkukuh tertancap pada jari sekunder sotong. 


Candat yang dipilih untuk diuji di lapangan

Candat hijau sangat sesuai digunakan ketika air laut jernih dan ketika bulan mengambang. Candat 2.0 selalu dimainkan ketika air cetek. Di kawasan air yang dalam, candat bersaiz 2.5 lebih sesuai digunakan. Aku bercadang untuk sekali lagi menguji keberkesanan candat ini pada trip lepas raya di Pulau Ular.

Hari semakin gelap, kami berpakat menamatkan trip singkat pada pukul 7 petang. Kami mesti keluar awal untuk mencari kedai bagi berbuka puasa. Kami sampai kedai tepat pada masanya. Duduk sekejap... dah azan, tanda tiba waktu berbuka. Kami pulang ke lokasi masing-masing lebih kurang pukul 8 malam.
Abe Din
Read more >>

Ubah Candat Lagi..

Selamat datang kepada semua pengunjung blog sotonglaut. Kali ni aku nak share sedikit maklumat berkaitan candat dengan sume pencandat yang sudi bertandang ke sini. Bagi yang belum tahu... buleh tahu, yang dah tau, kongsi dengan orang lain supaye.. mereka sume tahu.

Baru-baru ni aku berkunjung ke sebuah kedai di Chukai, Kemaman. Sambil tengok-tengok, terbeli candat... bukan sekor ramai. Pastu aku beli cat luminous sebotol warna hijau. Tak sedar macam kena pukau... terbang RM150. Sampai rumah baru aku sedar dari pukau.

Alang-alang dah beli... aku pun terus modified. Bulan-bulan puasa ni aktiviti siang hari kurang sikit. Balik kerja terus tido... daripada tido baik aku buat aktiviti seni sikit. First sekali aku modified semua mata candat yang aku beli. Aku gunakan teknik ubahsuai selang seli atau songsang (rujuk artikel lama). Teknik ni dah lama aku cipta. Sangat berguna untuk sotong yang bersifat pasif dan terlalu sukar dinaikkan menggunakan mata candat normal. Mata candat yang diubah sebegini memang sudah terbukti keberkesanannya memerangkap jejari sotong mabang dan jejarum.


Ubah mata candat menggunakan plier

Selepas mata candat selesai diubahsuai, aku memulakan proses menghasilkan candat bola. Aku juga menggunakan 3 jenis cat luminous iaitu kuning, putih dan hijau. Aku menggunakan dua jenis candat iaitu yamashita hijau 2.0 dan candat murah 2.0 variasi merah.

Kumpulan candat yang baru dibeli

Harga candat yamashita 2.0 ialah RM22 sekor. Tokey kedai bagi RM18 sekor.. Candat lain RM5.50 lepas diskaun RM4.50 sekor.. memang baik. Korang tau... tu lah sebab utama aku berjaya dipukau di kedai pancing ni. Dok sedar habis duit..


Rupa candat sebelum di"bola"kan

Antara variasi candat yang akan di"bola"kan

Candat yang sudah dikeluarkan dari plastik pembungkus siap sedia untuk di"bola"kan. First sekali, kacau cat luminous untuk mendapatkan kualiti terbaik. cat yang lama tidak digunakan akan mendap ke bawah. Sapu, titik, cat ikut kehenak hati. Aku nak nasihatkan korang yang bercadang untuk mem"bola"kan candat agar tidak mengusik bahagian perut candat. Biarkan seperti keadaan asal. Kenapa?... bukan geli... saje jer aku suruh korang buat macam tu. Korang nak buat jugak... lantak korang le.


Rupa candat yang telah selesai di"bola"kan

Jeng... jeng. dah siap. Jika tangan korang kena cat, basuh dengan tinner. Candat yang sudah dicat perlu disusun di  atas kertas tisu atau surat khabar untuk mengeringkannya. Satu lagi... nasib baik dok lupa.. buat satu sapuan cat membulat pada belakang candat iaitu di tengah-tengah mata kail candat. Kenapa?... sebab ketika candat ditarik, sotong akan menyerang mangsa dari bahagian belakang. Cat yang disapau pada tengah bunga mata candat akan menambahkan geram sotong mengejar candat berkenaan.

Cukup lah tu... letih dah aku menaip sambil mikir. Sume untuk kongsi dengan korang. Semoga korang dapat sotong lebih banyak dan lebih besar dari aku. Kalau korang mencandat waktu siang... tak payah cat pun takpe. Apa yang aku share ni... untuk kaki candat tegar yang mencandat waktu malam jer... Haa... mak aku dah panggil tu. Nanti aku update lagi.
Abe Din.
Read more >>

Susun Candat

Selamat datang untuk korang semua. Hari ni.. aku nak berceloteh tentang candat pulak. Camne trip korang? Banyak dapat sotong?. Bagi pencandat-pencandat tegar, candat atau jig sotong merupakan satu keperluan yang sangat penting. Paling kurang diorang ni kena ada set-set candat yang pelbagai... baru nampak brutal. Kalau setakat candat sekor jer ada.. pastu mengaku dah pro... pi main jauh-jauh. Wat penat je aku citer jer.

Pencandat perlu kerap menukar candat apabila berlaku perubahan kepada kedudukan matahari, pencahayaan dan perubahan tahap kejernihan air. Kalau tali putus... memang sah dah kena tukar baru. Oleh sebab itu, pencandat perlu mempunyai satu kaedah untuk menukar candat dengan lebih cepat.

Proses menukar candat akan menjadi lebih mudah jika candat disusun dengan kemas dan teratur. Jangan letak candat merata-rata... ia boleh menyebabkan kecederaan. Cuba korang beli bekas yang boleh bantu korang menyusun candat dengan kemas dan teratur. Jangan salah beli... pastikan bekas yang dipilih adalah dari jenis lutsinar, ringan dan tidak terlalu besar. Pastikan juga bekas candat anda kemas apabila ditutup. Kalau tidak, risiko candat terjatuh dan tercicir memang tinggi.


Bekas candat aku... baru beli ni bro

Anda boleh menyusun candat mengikut harga candat, saiz, warna atau kemampuannya menarik perhatian sotong. Jangan susun ikut suka... nanti lambat masa korang nak pilih. Bekas yang lutsinar dapat membantu korang memilih candat terlebih dahulu sebelum bekas candat dibuka. Tentu menjimatkan masa.

Cer korang tengok bekas candat baru aku macam kat bawah tu. Korang perasan tak yang bekas tu ada dua layer, depan dan belakang. Dua-dua belah buleh letak candat, cili dan pisau kecil pun aku letak dalam tu gak. Bekas candat buleh diletak di dalam beg atau korang letak tali untuk digalas seperti beg.


Koleksi candat kesayangan aku

Aku harap apa yang aku celotehkan kat sini... dapat bagi sedikit panduan untuk korang sume... yang nak pakai je lah. Post akan datang aku share isu lain pulak. 

Sebelum aku blah, aku nak promosi sikit berkaitan satu tawaran yang aku dah post kat dalam blog ni. Sebenarnya aku nak cari seramai mungkin rakan-rakan yang sudi berkongsi memori berkaitan sotong. Semua perkongsian aku akan publish dalam ruang-ruang yang bersesuaian dalam blog buruk nih.

Korang boleh hantar gambar korang bersama sotong. Kalau korang bukan kaki candat... korang buleh hantar gambar korang masa beli sotong kat pasar ke, masa masak sotong ke, dengan foto sotong ke, teady bear sotong ke, gambar dengan candat, joran sotong.. atau apa-apa ajelah berkaitan sotong. Bukan apa saje nak kongsi dengan pengunjung lain kat blog ni.

Kalau korang ada artikel sesuai berkaitan sotong pun aku akan publishkan... tapi takde royalti le. Di kesempatan ini juga, aku nak ucapkan terima kasih kepada semua yang sudi berkongsi dengan blog sotonglaut ni. Rasenya semua yang send bahan kat aku... aku dah publishkan. Terima kasih sekali lagi. Korang yang minat nak masuk boleh send bahan atau gambar melalui E-mail colourless_orchid@yahoo.com. Hadiah sedang dipertimbangkan.

Sehingga berjumpa lagi. Bye.
Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing